Bagi Mohamad, penghormatan yang diberikan ternyata menjelaskan realiti mengenai impak kehadirannya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Perjalanan hayat yang menyeluruh pada seorang lelaki yang bernama Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuatkan beliau layak digelar sebagai ‘manusia gunung’.
Istilah tersebut disebutkan oleh Profesor Sejarah & Kajian Strategik Universiti Malaya, Prof. Datuk Mohamad Abu Bakar dalam rancangan Buletin AWANI khas bagi mengenang pemergian Mursyidul Am PAS tersebut ke rahmatullah malam semalam.
“Kita berdepan dengan seorang tokoh yang dianggap sebagai ikon. (Penghormatan) itu sekali gus menyebabkan (kewujudan) Nik Aziz menjadi satu institusi.
“Kehidupan dan kematiannya memberi impak besar kepada masyarakat dan ini akan berlanjutan dalam tempoh yang panjang. Ini terjadi kerana beliau telah terlibat selama lebih 20 tahun dalam (arena peolitik dan kepimpinan) tanah air.
“Beliau merupakan tokoh yang saya gelarkan sebagai ‘manusia gunung’,” kata Mohamad.
Memperjelaskan istilah tersebut, Mohamad memberitahu, ‘manusia gunung’ ialah manusia yang hidupnya membanjari suatu masa atau zaman yang lama dan sepanjang tempoh tersebut, individu itu telah melalui fasa jatuh dan bangun, pahit dan manis.
Tambah Mohamad, figura yang dipanggil Tok Guru oleh orang ramai itu telah menempuhi pelbagai pahit maung pengalaman sebagai ahli politik disegani dan juga pendakwah yang tidak pernah melepaskan tanggungjawab asas seperti menyampaikan syarahan agama setiap minggu.
“Kita berdepan dengan seorang tokoh yang dianggap sebagai ikon” - Mohamad Abu Bakar
Semua nilai tersebut, menurutnya, telah terkumpul dalam diri Nik Aziz selama bertahun-tahun sehingga beliau boleh dianggap sebagai satu institusi, perlambangan atau ikon dalam masyarakat.
“Impak tersebut bukan sahaja dirasai dalam Kelantan pada awalnya, malah telah berkembang ke luar lingkungan negeri tersebut terutamanya ketika menggalas jawatan Presiden, Ketua Dewan Ulama dan juga Mursyidul Am PAS. Semua peranan itu tergabung dalam dirinya,” ujar Mohamad.
Mengulas tentang upacara pengebumian NIk Aziz hari ini, Mohamad menyatakan bahawa nilai kesederhanaan Nik Aziz begitu menyerlah hingga ke akhir usia.
“Kesederhananan yang menyelubungi pengebumiannya melengkapkan imej dan kedudukan beliau di mata masyarakat,” kata Mohamad, yang turut mengimbas pendidikan sekolah pondok, sifat peribadi, susur galur keturunan dan juga rekod politik Nik Aziz yang baik dalam program siaran langsung tersebut.
Bagi Mohamad, untuk mencapai kedudukan yang begitu hebat, seseorang tokoh perlu mempunyai kesemua gabungan tersebut.
“Jika tidak mempunyai semua itu, adalah sukar untuk menyerlahkan diri dalam perjuangan politik dan dakwah, lebih-lebih lagi dalam situasi kemunculan ramai para ulama dan tok guru pondok sekarang ini.
“Penghormatan yang diberikan ternyata menjelaskan realiti mengenai impak kehadirannya,” ujar Mohamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan