"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Biar kelemahan Najib jatuhkan Umno-BN

RAYUSA
WALAUPUN pelbagai telahan dilontarkan oleh pemerhati politik tanah air mengenai maksud tersirat kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak, tindakan tersebut tetap tidak salah dan memang wajar.

Sebabnya, pentadbiran perdana menteri Malaysia yang keenam itu memang lemah, malah lebih lemah daripada pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) seperti yang kerap disebut oleh Mahathir.

Ada yang berpendapat Mahathir akan terus menghentam Najib dan tidak berpuas hati dalam segala perkara sehinggalah anaknya, Dato’ Seri Mukhriz menjadi perdana menteri.

Khabarnya, Mukhriz yang kini menteri besar Kedah akan dibawa kembali ke pentadbiran pusat.

Meskipun antara sebabnya ialah kegagalan sebagai pentadbir negeri, ia semakin menguatkan spekulasi tersebut. Cuma, yang kelakarnya, kalau sudah gagal mentadbir, bagaimana mungkin mentadbir negara.

Mahathir juga pernah menegaskan kerajaan Umno-BN akan tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti selagi Najib masih perdana menteri. Ertinya, Najib akan menyebabkan kerajaan tua dan korup itu tumbang.

Secara logik, perkara tersebut memang sangat baik bagi Pakatan Rakyat dan para penyokongnya kerana potensi memenangi PRU14 sangat besar. Jadi, sesiapa pun jangan meminta atau menyuruh Najib meletakkam jawatan!

Lebih baik Najib terus menjadi perdana menteri dengan segala keburukannya dan tidak berubah agar kebencian rakyat bertambah.

Menggantikannya dengan orang lain (meskipun tidak lebih baik) barangkali membawa kebaikan kepada Umno-BN. Sokongan mungkin akan kuat beralih semula kepada Umno-BN sebagaimana yang berlaku semasa Pak Lah menggantikan Mahathir pada 2003.

Namun, itu hanya andaian yang juga kata-kata licik Mahathir agar Najib ditukar. Yang penting, Pakatan tidak boleh mengharapkan Najib terus menjadi perdana menteri sehingga PRU14.

Pergolakan dalaman yang dihadapinya mesti diselesaikan, apatah lagi selepas ketiadaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sama ada Najib, Muhyiddin ataupun Mukhriz menjadi perdana menteri atau tidak. Jika terus bercakaran, harapannya untuk menguasai Putrajaya akan t inggal harapan sahaja. Anwar sendiri berpesan pada 10 Februari lalu sebelum dibawa ke Penjara Sungai Buloh agar parti komponen Pakatan berhenti berbalah sesama sendiri.

Beberapa hari sebelum itu, Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang baharu dilantik semula sebagai mufti Perlis pula mengkritik kepimpinan Najib. Katanya, Najib lambat bertindak, tidak seperti yang dilakukan oleh Mahathir.

Tambah Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza, Najib tidak memperbaik corak kepimpinannya.

Jadi, tegas beliau, tidak mustahil masalah demi masalah akan terus melanda Malaysia.

Dr Maza menegaskan itu adalah soal masalah kepimpinan.

Sambil mengatakan Najib lambat bertindak, beliau berterus-terang menyukai cara Mahathir. Dr Maza melihat pentadbiran Najib kerap menunggu hingga keadaan hampir parah untuk bertindak dan membuat keputusan. Malangnya, keputusan yang diambil tidak pula mantap, sekali gus menggambarkan kepimpinan yang lemah.

Tegas Dr Maza, rakyat Malaysia memerlukan pemimpin yang bijaksana, pintar dan tangkas.

Beliau menganggap Najib ketika ini tidak dapat memimpin negara dan rakyat dengan baik. Oleh itu, beliau meminta Najib mengemaskinikan kepimpinananya kerana apa yang berlaku dalam negara sekarang menyedihkan.

Kata beliau lagi, Najib perlu mengembalikan identitinya sebagai perdana menteri yang mewakili semua kaum. Bagaimanapun, tidakkah permintaan itu aneh kerana Najib sendiri melaunglaungkan slogan 1Malaysia ciptaannya (konon)?

Akibat kelemahan itu, menurut Dr Maza, berlaku kebocoran di sana-sini dalam pentadbiran Najib. Itu menyebabkan pembaziran wang rakyat yang bukan sedikit.

Dari satu segi dan logik, tidak meminta Najib meletakkan jawatan seperti mengingini negara menuju kehancuran. Sebabnya, membiarkan Najib terus menjadi perdana menteri bererti rela beliau terus merosakkan negara.

Namun, terus berada di bawah pentadbiran kerajaan Umno-BN juga akan menghadapi keadaan yang sama kerana kerajaan tersebut tidak mampu/mahu berubah ke arah kebaikan lagi.

Dalam kata lain, menukarkan Najib dengan Muhyiddin atau orang lain tidak membawa (banyak) perubahan positif kerana pengganti beliau masih pemimpin Umno-BN yang tidak boleh diharap.

Tiada ulasan: