Ketuanan Melayu, satu ungkapan yang amat popular dalam budaya politik di Malaysia. Umno yang sejak sekian lama membawa agenda perkauman Melayu menjadikan ungkapan ini sebagai kalam keramat ketika berhadapan dengan musuh-musuh partinya.
Dari sudut sejarah, ungkapan ini bermula pada tahun 1986. Pada peringkat awalnya, ia adalah ucapan seorang pemimpin Umno Kelantan yang dikenali sebagai Abdullah Kok Lanas (nama sebenarnya: Tan Sri Abdullah Ahmad, meninggal dunia pada 12 Jun 2016) dalam satu ucapan beliau di Singapura.
Dalam ucapan tersebut, Allahyarham Abdullah mengungkapkan istilah “Malay Dominance”, tetapi kemudiannya diterjemah kepada bahasa Melayu sebagai 'ketuanan Melayu'.
Pemaknaan dan definisi bagi ketuanan Melayu tidak pernah jelas. Dari sudut persepsi, terdapat pelbagai kefahaman terhadap ketuanan Melayu. Walau bagaimanapun, pemahaman yang popular adalah, ia sebagai konsep perkauman yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang: Malaysia).
Implikasi kefahaman ini menjadikan orang Cina dan India dianggap sebagai pendatang dan terhutang budi kepada orang Melayu. Dengan itu, wujud sentimen bahawa Malaysia ini dimiliki oleh orang Melayu dan rakyat Malaysia yang bukan berketurunan Melayu adalah 'hamba'. Jika tidak dianggap sebagai 'hamba' sekalipun, mereka dianggap mempunyai tahap kasta yang rendah berbanding Melayu.
Dari sudut pengamalan, ia dilaungkan oleh Umno. Namun, pada akhir tahun 2010, Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan bahawa slogan ini digunakan oleh Umno untuk mengkayakan pemimpin Melayu dan mengabaikan warga Melayu yang miskin. Kenyataan tersebut mendapat kecaman hebat daripada pemimpin Umno.
Kesan dari kecaman tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu adalah Ketua Umum PKR mengulangi slogan 'ketuanan rakyat' yang pernah diungkapkan tahun 2008. Anwar membangkitkan perihal hak ekonomi kaum selain Melayu, seperti Kadazan, Iban, Cina dan India.
Atas semangat Islam, pada tahun 2010, Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz pernah mengungkapkan bahawa perjuangan 'ketuanan Melayu' adalah sia-sia sahaja. Allahyarham Nik Aziz menyatakan bahawa laungan ketuanan Melayu dengan mengetepikan Islam hanya akan menjadikan orang Melayu lebih hina, bukan lebih mulia.
Lebih berani lagi, pada 1999, Nik Abdul Aziz bukan sahaja membangkitkan soal ketuanan Melayu, malah mempertikaikan konsep hak istimewa Melayu. Allahyarham Nik Aziz berkata: “Sesuatu bangsa itu tiada hak istimewa. Kalau ada bangsa Arab boleh diberi hak, tetapi Islam tidak memberikan kepada mana-mana bangsa. Saya sebenarnya tidak bersetuju dengan istilah (hak istimewa Melayu) itu.”
Kewarganegaraan
Dalam era konsep kewarganegaraan (bahasa Arab: al-Muwatanah), asas kerakyatan bagi sesebuah negara bukan lagi berasaskan kepada kaum, tetapi berasaskan pengiktirafan perlembagaan sesebuah negara terhadap individu rakyat.
Ini berbeza dengan pengamalan pada zaman pemerintahan muslim dahulu, di mana kewarganegaraan berasaskan kepada anutan agama. Ini berlaku dalam pemerintahan Osmaniyyah, Abasiyyah, Umawiyyah, Fatimiyyah dan banyak lagi.
Seseorang itu dikira sebagai warganegara, apabila dia telah memeluk agama Islam. Apabila seseorang itu tidak beragama Islam, maka dia dibebankan untuk membayar jizyah (cukai kepada orang yang tidak beragama Islam).
Dengan membayar jizyah, maka dia dikira sebagai kafir zimmi (non-muslim yang wajib dijaga kebajikannya oleh sesebuah kerajaan). Kafir zimmi ini dianggap sebagai golongan kelas kedua dalam sesebuah kerajaan.
Andai non-muslim tersebut tidak mahu membayar jizyah, dia dianggap sebagai kafir harbi (non-muslim yang boleh diperangi). Ini kerana, dengan sikapnya yang berkeras tidak mahu memeluk agama Islam dan tidak mahu membayar jizyah, diragui motifnya berada dalam pemerintahan muslim. Kemungkinan besar dia mempunyai hasrat untuk memberontak.
Konsep ini berteraskan bahawa muslim sebagai tuan dalam sesebuah negara. Jelas, konsep itu sudah tidak relevan untuk diamalkan dalam bentuk negara bangsa seperti Malaysia, malahan di semua negara dalam dunia pada hari ini.
Dalam konsep sekarang, semua rakyat yang disahkan secara perlembagaan dikira sebagai rakyat dalam negara, tanpa mengira anutan agamanya. Setiap mereka mendapat hak keamanan dan kesejahteraaan sebagai rakyat.
Namun, di Malaysia terdapat satu sentimen yang dikenali sebagai ketuanan Melayu, yang meletakkan asas kaum Melayu sebagai tuan rumah. Dengan sentimen ini, lahir tanggapan bahawa bangsa selain Melayu, kaum lain seperti Cina dan India adalah pendatang, walaupun mereka sudah menjadi warganegara Malaysia secara sah dan secara berperlembagaan.
Dari sudut sejarah Islam, semasa Nabi Muhammad masuk ke Madinah bersama para sahabat yang dikenali sebagai Muhajirin (kalangan rakyat Mekah yang bersama-sama dengan Nabi berhijrah ke Madinah), status Nabi dan sahabat Muhajirin bukan “warganegara” Madinah (ketika itu: Yasrib).
Pun begitu, kehadiran Nabi dan sahabat Muhajirin diterima rakyat Madinah yang dikenali sebagai Ansar sehingga melantik baginda sebagai ketua kerajaan di Madinah. Penerimaan terhadap rakyat Mekah untuk dijadikan ketua kerajaan di Madinah berlanjutan turun temurun; iaitu apabila Abu Bakar al-Siddiq diterima menjadi ketua kerajaan, kemudian disambung oleh Saidina Omar, Osman dan Ali dan seterusnya, walhal mereka berasal dari Mekah.
Tanpa dinafikan, memang terdapat rakyat asal Madinah yang tidak bersetuju, iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul. Dengan status Nabi sebagai “orang luar”, menyebabkan dia merancang untuk mengeluarkan baginda dari Madinah. Tindakan itu menyebabkan dia mendapat celaan al-Quran sepertimana diceritakan dalam ayat ke-8, dari surah al-Munafiq.
Pandangan tokoh sejarah, politik
Hal yang pasti, ketuanan Melayu tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Menurut pakar sejarah, Prof Khoo Kay Kim, istilah ketuanan Melayu tidak pernah digunakan dalam sejarah. Dengan sebab itu, tidak hairan terdapat sebilangan tokoh besar dalam negara yang menolak konsep tersebut.
Antara yang menolak konsep ini adalah Allahyarham Nik Abdul Aziz, bekas menteri besar Kelantan. Atas semangat Islam, beliau berkata, “Jika di Malaysia ini, suka sangat sebut ketuanan Melayu, sebab Melayu bangsa asal, tetapi kita lupa bahawa bumi ini adalah kepunyaan Allah. Sepatutnya, kita kena sebut ketuanan Allah. Sepatutnya, lagu ini (seperti ini) cara berfikir orang-orang beriman”.
Dalam kenyataan yang lain, Nik Abdul Aziz pernah menyatakan bahawa dia secara terang-terangan menolak konsep ketuanan Melayu. Beliau berkata, “Sebab tu kita buat PAS for All. Lama dah 1Malaysia ini dilakukan oleh PAS, lama dah. Dan DAP sebut, Malaysian Malaysia. Lama dah. Jadi, oleh yang demikian, 1Malaysia ini tiru gerakan Islam sebenarnya, bukan gerakan Melayu. Sebab itu saya lawan ketuanan Melayu.”
Juga menolak konsep ini adalah Tun Dr Mahathir Mohamad. Malahan beliau menampilkan pula kegagalan Melayu dalam ekonomi berbanding bangsa lain. Dengan demikian, beliau menganggap slogan ketuanan Melayu sebagai sia-sia.
Kata Dr Mahathir,“Tidak guna (tidak ada faedah) kita panggil diri kita tuan. Kita bangga kerana kita adalah tuan? Kalau kita jadi pemandu kereta dan ada orang di belakang yang mengarah kita ke mana-mana? Apakah kita tuan, atau yang di belakang itu adalah tuan?”
“Kadang-kadang kita terpaksa cuci kasut orang. Orang yang mempunyai kasut itu tuan, atau kita (orang yang cuci kasut) itu tuan?.
“Tidak ada gunanya laung ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu… ketuanan, (kalau) jadi kuli orang, (itu) bukan tuan.”
Pada Jun 2018, bekas ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz ada menyatakan, sudah sampai masanya ditinggalkan konsep 'Ketuanan Melayu' dan digantikan dengan konsep 'ketuanan Malaysia'. Beliau berkata, “Kenapa kita mahu bersaing sesama kita? Kita sepatutnya bersaing dengan yang terhebat di rantau ini, yang terbaik di dunia. Janganlah lagakan antara warisan Melayu dengan warisan Cina. Kita rakyat Malaysia. Kita mahu negara ini menjadi tuan di rantau ini.
“Ia (ketuanan Melayu) sudah tidak sesuai digunakan dalam masyarakat kini. Kini, konsep yang lebih sesuai adalah ketuanan Malaysia. Negara ini mesti didahulukan.”
Anwar pula pernah membangkitkan persoalan kepada pemaknaan bagi “tuan” dalam pengistilahan ketuanan Melayu. Anwar berkata, “Tuan itu, (maknanya) yang berkuasa, yang utama, yang memiliki. Jadi, kalau Melayu itu tuan, bagaimana kedudukan Iban, Kadazan, Cina, India?”
Dalam satu ucapan di Kampung Baru pada 14 April 2008 yang dikenali sebagai “Dari Black 14 ke arah kemenangan rakyat”, Anwar Ibrahim pernah menggantikan sentimen “ketuanan Melayu” kepada “ketuanan Rakyat”.
Dalam ucapan itu, beliau berkata, “Kita tidak bicara soal ketuanan Melayu, tetapi program kita akan lebih banyak membela nasib orang Melayu. Kita tidak bicarakan ketuanan Melayu, kerana yang kita bicarakan adalah ketuanan rakyat.”
(Ikuti bahagian 2 tulisan ini pagi esok)
WAN JI WAN HUSSIN merupakan pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre. Tulisan ini dipetik dari saudara.org
Tiada ulasan:
Catat Ulasan