"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guns N Roses di Pasir Salak

Dr Muhaimin Sulam

November termasuk bulan monson timur laut yang membawa hujan lebat. Biasanya angin Laut China Selatan datang ke daratan membawa bersamanya ombak besar.

Udara bergerak dari kawasan tekanan tinggi - iaitu pedalaman benua Asia - ke kawasan tekanan rendah - iaitu benua bawah angin.

Angin ini merentasi Laut China Selatan lalu menurunkan hujan lebat. Bukan hujan biasa-biasa.

Hujan biasa-biasa lazimnya dianggap sebagai hujan rahmat. Hujan yang bukan lebat melampau atau membawa angin kencang akan menyuburkan tanah dan menyegarkan hawa.

Tetapi hujan pada November biasanya lebat dan berselang-selikan guruh petir. Ia adalah jhujan yang begitu membimbangkan kerana boleh menyebabkan air naik dan banjir pun berlaku. Pekebun pula tidak dapat menoreh.

Banyak aktiviti harian tergendala.

Ketika itu, ramai yang berfirasat bahawa banjir ialah bala yang diturunkan oleh Allah SWT kerana dosa-dosa yang dilakukan oleh segelintir atau sebahagian manusia. Itulah hukuman dari Allah SWT, kata mereka.

Semua tafsiran dan firasat itu boleh berubah mengikut kehendak diri sendiri. Sesetengahnya menggunakan wahyu dan hadis nabi bagi memperkukuhkan hujah mereka.

Hujah untuk menolak ada, hujah untuk menerima pun ada.

November Rain yang dinukilkan pada tulisan ini bukanlah sesuatu yang sengaja diada-adakan oleh penulis sendiri. Musim tengkujuh dalam politik tanah air menyaksikan beberapa episod pemandiran bangsa, kedangkalan tindakan dan kebekuan pemikiran.

Pada 14 November ini, kumpulan rock al-alamiyah yang terkenal, Guns N’ Roses mengadakan konsert di Sunway, Subang. Antara lagu mereka yang terkenal adalah November Rain. Lagu itu bakal dinyanyikan pada konsert tersebut.

Guns N’ Roses memang tidak dijadualkan pergi ke kampung halaman Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan rakan-rakannya, sama ada untuk sesi bertemu peminat atau menziarahi perkuburan JWW Birch dan askar Inggeris yang ada di Bandar Baru Kampung Gajah.

Di Kampung Gajah yang terletak tidak berapa jauh dari Teluk Intan itulah Birch dan lima lagi askar Inggeris terbunuh dalam pertempuran dengan pengikut Datuk Maharajalela pada November 1875.

Slash - pemain gitar utama Guns N’ Roses kelahiran kota London itu - barangkali berminat menziarahi tanah perkuburan Kristian di perkampongan orang Melayu di Pasir Salak. Tetapi sekarang semua penduduk asalnya berhijrah meninggalkan kampung itu kerana kerap banjir.

Ada tinggal beberapa rumah kosong di situ sekarang. Selebihnya ialah makam sultan Perak, kubur lama dan tapak masjid yang masih tinggal.

Slash mungkin tidak tahu pun kewujudan kubur anak kota London di sini. Slash dan Birch sama-sama anak London.

Kalau Slash berziarah, mungkin ziarah itu akan memberi idea baru kepada Guns N’ Roses untuk menerbitkan satu lagi klip video yang boleh menandingi pencapaian November Rain yang dibikin 20 tahun lalu.

Video klip itu boleh disiapkan dengan berkisah tentang majlis perkahwinan sang kekasih yang gilang-gemilang dalam sebuah gereja jauh di luar bandar.

Pasangan pengantin itu dilakonkan oleh penyanyi utama Guns N’ Roses, Axl, dengan kekasihnya, Stephanie Seymour.

Selepas pengantin lelaki menyarung cincin ke jari pengantin perempuan, Slash boleh digambarkan keluar dari majlis tersebut bersama gitarnya.

Tiba-tiba angin bertiup kencang, hujan lebat dan guruh. Majlis tersebut tiba-tiba kelam-kabut dan ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Pada babak-babak akhir, pengantin perempuan kelihatan terbaring di dalam keranda dengan pakaian pengantinnya. Pengantin perempuan itu mati.

Jalan ceritanya penuh dengan analogi dan misteri.

November ini di Pasir Salak - yang terletak 198 kilometer dari ibu kota - akan mengadakan program perpaduan ummah yang menggabungkan dua tokoh utama parti Melayu di atas satu pentas.

Zahid Hamidi - presiden Umno - akan berpadu dengan presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Permit polis bagi mengadakan program itu sudah dihantar kepada pihak berkuasa. Publisiti dan persiapan sedang diatur dengan dimulai majlis merisik beberapa minggu lalu.

Ini julung kali diadakan program mega bagi menggemblingkan kekuatan dua parti politik Melayu tanah air.

Mereka memilih Pasir Salak sebagai tempat pelancaran hari persandingan dua parti. Ini bukan satu kebetulan.

Kali terakhir Presiden PAS turun ke Pasir Salak ialah pada 2013 untuk program ‘PAS Ganti UMNO’. Ia adalah satu program persiapan PAS mengambil peranan Umno sebagai pemerintah.

Kini, tema program sudah berubah dan berkembang di luar jangkaan pemikiran aras biasa. Itulah, tiada kemustahilan dalam politik. Musuh berubah menjadi kawan.

November ini dipilih kerana bulan inilah Birch dibunuh pahlawan Melayu di Pasir Salak. Nampaknya PAS dan Umno mahu mengambil semangat memberontak, biarpun Birch dibunuh ketika mandi di tepi sungai saja pun, bukan berdepan sebagaimana pahlawan Melayu sejati.

Pelamin itu keranda politik

Namun detik itu amat penting. Itulah detiknya orang Melayu bangkit dengan emosi dan semangat yang meluap-luap.

Dalam catatan buku Pasir Salak: Pusat Gerakan Menentang British Di Perak oleh Prof Dr Abdullah Zakaria Ghazali ada disebutkan beberapa askar "sepoi" (bahasa sastera lama yang merujuk kepada askar India) yang mengawal Birch bertempiran lari.

Ada antara mereka terjun ke Sungai Perak apabila mendengar suara jeritan "amuk!" dan melihat beberapa orang Melayu berlari sambil menghunus senjata ke arah mereka.

Amuk adalah perlakuan di luar kawalan otak yang sihat. Pakar psikologi menyebutkan tindakan amuk ini sebagai suatu kecenderungan sikap orang Melayu yang mempunyai sikap pendendam, memendam rasa dan keterikatan yang berlebihan pada sesuatu tradisi atau kelaziman dalam masyarakat.

November ini bagai bulan untuk PAS dan Umno 'mengamuk'.

Tiba-tiba sahaja Islam dan Melayu terancam dan dalam keadaan kritikal. Tiba-tiba sahaja bukan Islam kurang ajar dan biadab.

Hilang sudah pertimbangan yang pernah dimiliki. Bagaimana mungkin perjuangan murni PAS selama ini sanggup bersengkokol dengan Umno yang mereka pernah gelar korup?

Pelamin yang dibina adalah satu keranda politik.

Umno ibarat bahtera yang sedang tenggelam.

Orang Melayu tiada kehilangan apa-apa selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan dalam tempoh lima bulan ini. Namun Melayu mula hilang kebergantungan kepada Umno.

Orang Melayu perlu berdiri atas kakinya sendiri. Jangan dibiarkan lagi nama Melayu dijaja dan dijual atas kepentingan peribadi atau sekelompok tertentu.

Bawa bertenang dan fikirkan.

Tapak program tersebut akan berlangsung di bekas tapak stesen teksi dan bas awam pekan Kampung Gajah.

Sejurus peralihan kerajaan berlaku Mei lalu, antara langkah awal yang diambil oleh anggota parlimen Pasir Salak ialah merobohkan stesen teksi dan bas awam itu.

Itulah 'amuk' Melayu Pasir Salak. Pengambilan tanah awam itu didakwa melalui proses perundangan tetapi berselindung atas nama Melayu.

Hakikatnya nama Melayu dijaja demi pengekalan kuasa sang penjarah bangsa.

Ketika kaki terakhir melangkah dari bekas tapak stesen teksi dan bas Kampung Gajah itu, hujan berlaku dengan lebat, guruh bergemuruh, kilauan petir sambar-menyambar di langit gelap tanpa purnama.

Penyanyi Guns N’ Roses, Axl pun menyanyi:


Do you need some time on your own
do you need some time all alone
everybody needs some time
on their own
don’t you.

Itulah November Rain di Pasir Salak.


DR MUHAIMIN SULAM seorang aktivis politik, pensyarah universiti dan penulis buku serta esei.

Tiada ulasan: