"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Helikopter 'misteri' resahkan penduduk

MUHAMMAD AMMAR ABD HADI

Sabri menunjukkan arah helikopter itu terbang. Gambar kecil: Helikopter yang terbang di kawasan penduduk.
BALING- Helikopter misteri yang dilihat mengelilingi ruang udara penduduk Kampung Tok Bandar, Sungai Limau sejak seminggu lalu mengundang keresahan penduduk.

Wakil penduduk, Mohd Sabri Mahmud,51, berkata, penduduk tertanya-tanya tujuan helikopter itu berlegar di kawasan kampung berkenaan.

Menurutnya, helikopter itu dilihat pada waktu pagi atau petang dan terbang ke arah Gunung Pulai.

"Orang kampung tertanya helikopter ini milik siapa, banyak kali dah...kadang-kadang terbang kawasan ini selang sehari. Di warung pakat sembang benda ni.

"Tak tau lah kenapa lalu sini, laluannya ka, atau mungkin helikopter bawa pelancong, tetapi sebelum ini tak pernah ada," katanya ketika ditemui di Kampung Tok Bandar, Sungai Limau hari ini.

Menurutnya, pada Jumaat lalu, helikopter terbang lebih rendah daripada kebiasaannya.

Menurutnya, penduduk bimbang kehadiran helikopter itu ada kaitan dengan projek kuari Gunung Pulai yang sebelum ini ditangguh sementara.

"Kami fikir, apakah projek ini akan mula semula, itu yang dirisaukan," katanya.

Norma Ahmad, 50, pula berkata, pada Jumaat lalu, helikopter tersebut dilihat jelas pada waktu pagi.

"Memang terbang rendah sangat, memang bunyi kuat. Waktu itu saya sedang basuh baju," katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati sememangnya terdapat helikopter berlegar seperti didakwa.

Tiada ulasan: