"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Waran tangkap buat Shahidan Kassim

Mahkamah Sesyen Kangar mengeluarkan waran tangkap ke atas bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim selepas beliau gagal hadir untuk menghadapi pertuduhan jenayah hari ini.

Waran tangkap itu dikeluarkan hakim Johari Abu Hassan selepas beliau menerima permohonan timbalan pendakwa raya, Mohd Nordin Ismail.

Menurut laporan Utusan Online peguam bela Shahidan, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim berkata pihaknya akan membuat permohonan kepada mahkamah untuk membatalkan waran tangkap tersebut.

Kata Syed Muhammad Anwar bekas menteri besar Perlis itu tidak hadir di mahkamah pagi ini kerana tidak dimaklumkan mengenai prosiding berkenaan lebih awal.

Malah Syed Muhammad Anwar berkata dia sendiri tidak dimaklumkan terlebih dulu berhubung pendakwaan tersebut.

Shahidan sebelum ini dipanggil memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman berhubung laporan yang dibuat ke atasnya oleh seorang gadis.

Beliau berada di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia itu selama kira-kira tujuh jam.

Semoga doa diterima

Sehari kemudian - iaitu pada 31 Okt - Shahidan tampil memberi penjelasan dengan mendakwa kejadian tersebut berpunca daripada "salah faham."

Katanya dakwaan beliau berdua-duaan dengan pelajar terbabit di dalam kereta adalah tidak benar.

Shahidan menambah pertemuan itu dibuat ekoran keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan beliau keluar dari kenderaan terbabit.

Menurut Syed Muhammad Anwar anak guamnya itu berada di luar kawasan ketika ini.

“Kes berprofil tinggi seperti ini perlulah dimaklumkan lebih awal, apatah lagi melibatkan seorang ahli politik.

“Shahidan pula menetap di Perlis, waran tangkap hanya dikeluarkan jika beliau melarikan diri,” katanya.

Sementara itu difahamkan Shahidan kini tiada dalam Malaysia.

Berdasarkan kenyataan dimuat naik di Facebook beliau, anggota parlimen Arau itu sedang mengerjakan umrah.

"Syukur ahamdulillah pada-Mu Ya Allah, kami telah selesai tunaikan Umrah.

"Semoga Allah SWT menerima amalan kami. Saya mendoakan semua sama ada yang berpesan melalui pm (mesej peribadi) atau media sosial.

"Saya mohon pada Allah agar selamatkan agama kami, bangsa kami dan negara Malaysia.

"Semoga Allah SWT makbulkan doa-doa kita semua... Amin," tulisnya kira-kira 14 jam lalu.

Tiada ulasan: