"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan gundah walau dikatakan kalah di Sabah, kata Rafizi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli memohon pasukannya agar tidak gundah walaupun digembar-gemburkan mereka kalah di Sabah.

Ini kerana keputusan rasmi hingga kini menunjukkan saingan mereka hanya mendahului dengan kelebihan 1,611 sahaja dan kelebihan undi itu tidak termasuk bahagian Pensiangan dan Keningau.

“Kedua-dua cabang ini dianggarkan boleh memberi margin kemenangan mencecah 3,000 kepada saya, jika pengundian dibenarkan berjalan baik dan tidak disabotaj dengan pelbagai masalah,” katanya di Facebook.

Antara masalah yang Rafizi sebut adalah keadaan pusat mengundi yang tidak memuaskan, ketiadaan internet dan peranti yang tidak mencukupi.

Keputusan rasmi menunjukkan 22 daripada 25 bahagian di Sabah menunjukkan penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahului Rafizi dengan kelebihan 1,611 undi.

Bagaimanapun keputusan bagi Tawau, Keningau dan Pensiangan belum dikeluarkan.

Rafizi menyeru jawatankuasa pemilihan pusat parti segera mengumumkan keputusan pengundian ketiga-tiga bahagian berkenaan yang digantung.

Beliau mengingatkan JPP agar tidak mengulangi kesilapan minggu lalu di Sabah iaitu tidak menyediakan peranti mengundi secukupnya dan pemilihan tempat mengundi tanpa talian telefon dan terlalu kecil untuk jumlah pengundi yang ramai.

“Sedangkan JPP tahu bahagian seperti Pensiangan sentiasa mengeluarkan ribuan anggota setiap pemilihan,” katanya.

Sementara itu, Rafizi yakin Sarawak akan memberi saingan yang baik dan membantu pasukannya merapatkan jurang.

Beliau turut menyeru agar tiada tangan-tangan ghaib yang cuba menekan bahagian-bahagian yang bersama pasukannya seperti PKR Julau.

“Kita hanya ketinggalan 2,600+ undi setelah 185 cabang mengundi di seluruh negara.

“Dengan undi dari Pensiangan, Keningau, Julau dan bahagian-bahagian lain, saya yakin kita berupaya menamatkan musim pemilihan kali ini dengan bergaya, asalkan JPP melaksanakan tugasnya dengan memastikan pengundian di bahagian-bahagian yang besar ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Tiada ulasan: