Haris Hauzah
Adakala sesebuah filem itu menjadi besar bukan kerana cerita mahupun kekuatan seni yang dibawanya, tetapi kerana sentimen dan genre.
Tulisan ini akan cuba meletakkan konteks dan makna kenyataan itu ke dalam sepotong petikan yang pernah Anwar Ibrahim sebutkan dalam ucapannya sebagai perdana menteri sewaktu persidangan Dewan Rakyat, iaitu “a tale told by an idiot, full of sound and fury, signifying nothing (kisah yang diceritakan oleh orang bodoh, penuh dengan kebingitan dan kemarahan tidak bermakna apa-apa)."
Ia merupakan petikan dialog dari drama pentas berjudul Macbeth karya William Shakespeare.
Ada dua filem yang disentuh kali ini iaitu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dan Anwar: The Untold Story.
Nasib sesebuah filem itu - sama ada cemerlang atau kecundang - terletak pada tiga hal utama iaitu skrip yang sempurna, lakonan yang berkesan serta sinematografi yang memiliki kebijaksanaan dalam memvisualkan penceritaan.
Seperti dunia politik kita, kalau ada sekali dua naratif Melayu malas diucap sampai ke pentas kongres, kemudian berubah menjadi proklamasi yang mendakwa kononnya Melayu tergugat kerana kehilangan kuasa, itu hanyalah satu daripada bermacam sentimen yang diulang-ulang untuk awam.
Makanya sesebuah filem harus memiliki kenakalan dan kejahatan setara itu juga. Lantaklah jika genrenya cinta, seram, epik sejarah ataupun biopik.
Apa yang penting, filem itu harus bijak mengeksploitasi kejahatan dengan memperalatkan keluhuran kesenian. Kejahatan perlu dijadikan modal politik yang dominan dalam mengganggu gugat kestabilan, kesejahteraan dan perpaduan terhadap sekelian watak yang sedang menikmati keadaan aman.
Kejahatan yang dieksploitasi secara nakal itu pasti nanti akan membangkitkan kebaikan. Dari situlah unsur-unsur kemanusian dibina dan dibangunkan.
Sayugia diingatkan, filem yang baik adalah filem yang mampu membangkitkan perasaan dan menjana pemikiran.
Jadi pertunjukan fesyen
Biarpun naratif pembicaraannya tampak kecil dan remeh - seperti dalam filem Children of Heaven arahan Majid Majidi, atau The Bicycle Thief arahan Vittorio De Sica - kekayaan unsur manusiawi dan ketinggian isu kesenjangan ekonomi yang dimunculkan membuat ia menjadi sebuah produk yang menyentak serta menyedarkan.
Sewaktu filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan mula ditayangkan, hebohlah kumpulan politik ultra Melayu Islam di sana sini.
Jika suatu masa dulu ada Pemuda PAS yang membawa sentimen antipawagam, kerana Mat Kilau tiba-tiba mereka membeli berpuluh-puluh tiket wayang.
Ia disusuli dengan seruan demi seruan para pemimpin parti agar para pengikut mereka berduyun-duyun masuk ke pawagam. Acara menonton wayang bersama pimpinan dan ketua parti itu pun jadi majlis yang mengagumkan.
Pada masa sama ada ahli parlimen Cina dari DAP yang turut mengedarkan tiket-tiket percuma untuk penyokong mereka sama-sama 'menjulang' Mat Kilau.
Keterujaan itu lalu merebak menjadi program pertunjukan fesyen tanjak dan capal ala cosplay di banyak pawagam. Walhal filem Mat Kilau itu hanyalah sebuah karya yang membosankan.
Ada terlalu banyak kelemahan garapan dan kelompongan penceritaan pada fiksyen yang dibalut sebagai sebuah filem epik sejarah itu. Justeru tidak hairan seandainya kedengaran laungan takbir dan jeritan “hidup Melayu!” sewaktu atau selepas tayangan.
Bukan tentang Anwar
Mari kita lihat pula pada malam tayangan perdana filem Anwar: The Untold Story.
Sungguhpun tulisan ini belum mahu mengulas filem tersebut dari aspek garapan, tetapi sudah terbau-bau sentimen politik yang tebal untuk menjadikan filem tersebut 'laris' di pasaran.
Buktinya pada malam itu bergegak gempita laungan reformasi dijeritkan.
Tidak dapat disangkal sememangnya ia adalah filem yang berani, namun ungkapan “the untold story” yang cuba dijual sebenarnya adalah rahsia terbuka dalam politik negara ini.
Salah satu mahakarya Shakespeare yang paling mendapat banyak sanjungan pengkritik ialah The Tempest.
Ia dibuat berdasarkan peristiwa benar iaitu bagaimana sebuah kapal yang mengalami kerosakan teruk akibat dibadai ribut sehingga akhirnya ia pecah di perairan Bermuda.
Kapal dalam The Tempest adalah lambang kepada sebuah kerajaan yang sedang berantakan akibat perpisahan di antara ayah dan anaknya yang bakal menaiki takhta.
Menariknya The Tempest itu diadun dengan komedi romantik yang tidak akan sempat membuat kita bosan.
The Tempest mengajar kita bahawa sesebuah kebenaran peristiwa dalam karya kreatif tidaklah dipentingkan secara keterlaluan.
Apa yang lebih utama adalah cara dan gaya kemanusian, moral, nafsu dan kesyaitanan manusia terhadap kekuasaan digambarkan.
Justeru aku percaya filem yang sepatutnya dihasilkan sekarang bukanlah tentang Anwar, tetapi kisah pergelutan Wan Azizah Wan Ismail pada zaman bergelora itu sehingga memaksa dia terjun ke dunia politik.
Kisah percintaan dunia remaja Nurul Izzah Anwar yang terperangkap dalam krisis pada tahun-tahun bergelombang pula barangkali akan dapat menghindarkan sentiman politik dan jeritan reformasi diheret ke pawagam.
Namun boleh jadi idea itu tidak mencukupi untuk penerbit menjual sentimen untuk melariskan filem sebagaimana Mat Kilau menunggang seni.
Demikianlah cara orang kita meraikan filem dan seni. - “A tale told by an idiot, full of sound and fury, signifying nothing.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan