N Faizal Ghazali & Shakira Buang
Dalam usaha membina semula negara dan mengelak daripada kegagalan, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berharap hubungan silaturahim dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dapat dijalinkan semula.
Berkongsi harapan tersebut, pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin berkata, hasrat murni perdana menteri itu dibuat pada pertemuan bersama dua anak bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, semalam.
“Dalam pada perdana menteri bertanya khabar berkenaan perkembangan terkini berkenaan dua anak Tok Guru (Nik Abdul Aziz), selain itu perdana menteri ada menyebut berkenaan semangat persaudaraan antara beliau dengan ramai teman-teman lama beliau, termasuk Tuan Guru Presiden PAS (Abdul Hadi Awang).
“Perdana menteri berharap sangat ia (hubungan persaudaraan) berlaku antara beliau dan presiden PAS, selain sikap PAS dalam menangapi isu-isu yang dibangkitkan agar tidak mengagalkan usaha membina negara,” katanya kepada Malaysiakini.
Wan Ji berkata demikian mengulas lanjut berhubung pertemuan Anwar bersama Nik Omar Nik Abdul Aziz dan adiknya yang juga bekas ahli parlimen PAS, Nik Muhammad Abduh.
Pertemuan itu mencetuskan tanda tanya di kalangan pemerhati politik kerana umum mengetahui kedua-dua beradik itu saling bermusuhan dalam politik.
Nik Abduh pada masa ini merupakan ahli jawatankuasa PAS pusat. Bagaimanapun dia digugurkan oleh PAS sebagai calon parti itu pada PRU lalu.
Hubungannya dengan Nik Omar diketahui renggang selepas abangnya itu membuat keputusan menyertai Amanah kerana tidak bersetuju dengan pendirian PAS pada 2018 untuk bekerjasama dengan Umno.
Pada tahun yang sama, Nik Omar membuat keputusan menyertai Amanah, yang merupakan sebuah parti serpihan PAS.
Pada PRU14, Nik Omar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka atas tiket PKR, tetapi tewas pada PRU berikutnya.
Untuk rekod, Abdul Hadi dan Anwar merupakan bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).
PAS pernah bersama dengan DAP dan PKR dalam gabungan Barisan Alternatif bagi menghadapi pilihan raya umum 1999.
Selanjutnya, DAP, PKR dan PAS membentuk Pakatan Rakyat pada April 2008, sebelum PAS meninggalkan gabungan itu pada 2015.
Inisiatif Nurul Izzah
Dalam perkembangan berkaitan, Wan Ji berkata pertemuan itu merupakan inisiatif Nurul Izzah Anwar dengan dia menjadi orang tengah.
"Semua ini adalah inisiatif dari Nurul Izzah.
"Beliau meminta saya menjadi orang tengah untuk berjumpa dengan Ustaz Nik Abduh. Pertemuan itu berlaku sehari sebelum Ramadan.
"Selepas pertemuan pertama itu, saya mencadangkan agar Ustaz Nik Omar dilibatkan sama," katanya.
Selain itu, Wan Ji mengulangi bahawa pertemuan tersebut juga sebagai usaha untuk meneruskan legasi Nik Abdul Aziz.
“Pertemuan antara perdana menteri dengan dua anak Tok Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Nik Omar dan Ustaz Nik Abduh adalah atas semangat untuk memastikan legasi Tok Guru.
“Nik Abdul Aziz dapat diteruskan dalam banyak aspek, terutama dalam dua aspek besar.
“Pertama, pendidikan Islam dan kedua politik yang berasaskan kemanusiaan dan persaudaraan,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan