"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seorang ADUN BN Melaka bakal sertai Pas?

HADI AB. MANAP 
MUHYIDDIN Yassin bersalaman dengan orang ramai sambil diiringi Mohd. Yadzil Yaakub (kanan) ketika Rumah Terbuka Aidilfitri PN Melaka di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bemban, Jasin, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
JASIN: Pas bakal mempunyai wakil tunggalnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dalam persidangan dijadualkan berlangsung Julai ini, seandainya benar khabar angin yang mendakwa terdapat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akan menyertai parti itu.

Ura-ura itu dikuatkan lagi dengan kehadiran pemimpin berkenaan ke Rumah Terbuka Aidilfitri Perikatan Nasional (PN) Melaka yang berlangsung di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bemban di sini, malam tadi.

Pengerusi PN negeri yang juga Ketua Pembangkang DUN, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub ketika ditemui tidak menafikan atau mengeyakan spekulasi itu, namun menyatakan pihaknya terbuka menerima mana-mana wakil rakyat kerajaan yang ingin bersama menguatkan barisan pembangkang.

Jelasnya, buat masa ini individu yang dimaksudkan belum menyatakan hasratnya secara rasmi sama ada ingin menyertai Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahupun Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

“Saya tak pasti hal itu tapi bagi saya, saya rasa benda itu tiada yang mustahil sebab kita lihat kerajaan sekarang pun, semua sedia maklum ada yang mengatakan ini sebagai cacamarba. Yang berhormat-yang berhormat yang berfikiran terbuka, berfikiran untuk membela rakyat saya rasa mesti akan melihat ini adalah benda yang tak betul, jadi dia akan cuba mencari peluang dan ruang untuk bersama dengan PN.

“Kami alu-alukan sebab kita sebenarnya satu parti untuk membela rakyat. Bukan semata-mata untuk memegang jawatan yang berhormat hanya untuk sekadar nama. Silakan,” katanya yang juga ADUN Bemban.

Rumah Terbuka Aidilfitri PN Melaka turut dihadiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pada April lalu, Utusan Malaysia melaporkan, dua ADUN PN yang kini berstatus pembangkang dipelawa menyertai kerajaan negeri perpaduan Melaka sebelum Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan pada Sidang DUN, Julai ini.

Ketua Menteri yang baharu mengangkat sumpah ketika itu, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, jika kedua-dua mereka iaitu Mohd. Yadzil dan ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof bersetuju menyertai, Melaka bakal mencatat sejarah tersendiri menjadi negeri sifar pembangkang.

Bagaimanapun, kedua-dua ADUN berkenaan secara terbuka menolak pelawaan tersebut untuk terus kekal di blok pembangkang.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail turut mengesahkan, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada mana-mana ADUN BN untuk menyertai parti itu.

“Setakat ini hanya ada khabar angin, cuma sekadar khabar angin. Belum ada satu kepastian dan selagi belum ada satu kepastian kita tunggu sahajalah dan lihat,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: