Imlan Adabi
Ada seorang lelaki berusia 50-an yang amat dikenali di Kota Bharu pada sekitar 1970-an. Hampir setiap hari dia ada di pasar besar dan hentian bas tanpa peduli akan orang yang lalu-lalang di situ.
Hal itu kerana tugas lelaki terbabit di situ ialah berpidato dengan kawasan kaki lima sebagai pentasnya.
"Merdeka, merdeka, merdeka; nasi berlauk nasi kerabu; kita pakat sambut merdeka; makan nasi lauk budu," suara lantang lelaki itu menghiasi Kota Bharu.
Dan dia dianggap wira rakyat jalanan.
"Merdeka merdeka merdeka. Umno PAS tak boleh pakai, kedua-duanya dok melarat. Dapat pitih lupa rakyat".
Kami tidak kenal asal-usul lelaki terbabit . Orang menyebutnya Tok Awe Merdeka. Ada ketikanya dia bercerita tentang politik tetapi sesekali dia menjadi lebih menyeronokkan apabila bercakap tentang janda yang ‘hangat.’
Tok Awe Merdeka akan menghilangkan diri seketika apabila ada peniaga yang memberi dia nasi kerabu atau nasi berlauk bersama teh O untuk mengalas perut.
Mitos Tok Awe Merdeka hidup dalam kalangan penduduk Kota Bharu bertahun-tahun lamanya.
Kemunculan ustaz baru
Ada yang berkata dia tidak siuman kerana putus cinta. Ada yang mendakwa dia sebenarnya ialah perisik polis yang hanya menyamar sebagai orang gila untuk menyiasat kecenderungan orang Kelantan terhadap kerajaan Perikatan.
Kami tidak peduli siapa lelaki itu kerana pidato beriramanya menghiburkan, malah yang ada ketika tertentu ia terasa bernas.
Sehinggalah saya meninggalkan Kota Bharu pada awal 1980-an, mitos Tok Awe Merdeka terusik dalam lagu dikir barat Seman Wau Bulan, serta diselitkan juga dalam wayang kulit oleh Dollah Baju Merah.
Selepas 50 tahun saya merumuskan pidato adalah kerja pecacai politik yang mencari makan untuk kelangsungan hidup. Jika Tok Awe Merdeka mendapat 'habuan' nasi kerabu dan nasi berlauk, orang politik dapat kuasa (jika ada yang mempercayai pidato mereka).
Pada awal dekad 1980-an ramai ustaz yang baru balik dari Mesir atau Jordan menghiasi masjid dan surau di kampung kami. Ramai yang berasal Kelantan tetapi ada juga dari Terengganu.
Mereka dikatakan lebih alim dan berilmu kerana belajar di tanah Arab - sumber asal kewujudan Islam.
Mereka berbeza daripada ustaz keluaran pondok Tok Kenali atau pondok Sungai Durian.
Mereka mengajar kami tentang Islam yang 'sebenar'. Mereka mengajar tentang jihad dan perjuangan menegakkan negara Islam. Mereka memberitahu bahawa perlembagaan yang wujud sejak 1957 adalah sekular kerana tidak berlandaskan al-Quran dan hadis.
Mereka mengajar perkataan seperti taghut , kafir zimmi dan kafir harbi yang sebelum itu tidak kami fahami.
Pidato ustaz-ustaz muda bukan sahaja bergema di masjid dan surau, malah di hentian bas serta kaki lima deretan rumah kedai melalui kaset yang dipasang dengan gelombang suara yang kuat.
Semangat juang sesetengah anak muda yang kurang ilmu boleh tahan memuncaknya setiap kali ustaz terbabit meninggikan suara tentang jihad.
Sesekali ia disambut dengan laungan takbir.
Mainan politik antarabangsa
Kami yang Islam sejak kecil tidak pernah merasai kepanasan sedemikian rupa. Sebelum kedatangan ustaz - yang kemudian dipanggil ulama - yang baru pulang dari Timur Tengah itu, kami hidup damai tanpa sengketa.
Benarlah hujah Tok Awe Merdeka beberapa tahun sebelumnya bahawa Umno dan PAS kedua-duanya ‘tak boleh pakai.’
Apabila dapat kuasa mereka akan melupakan rakyat.
Pada pertengahan dekad 1980-an peristiwa berdarah di Lubuk Merbau dan Memali berlaku. Kedua-duanya insiden politik yang benihnya ditanam oleh sang politikus yang berapi-api pidato mereka.
Pengalaman ngeri di Malaysia itu sempat saya heret ke Jakarta ketika menghadiri program pertukaran belia Asean.
Di kaki lima pasar utama, saya lihat sosok pemidato yang cepat menangkap berahi untuk mendengar: "Sudara-sudara, buang saja anu kalian kalau baru tempur sekali sudah melengkung. Lebih baik berikan saja pada anjing kalau enggan minum obat."
Orang banyak. Pidato dengan tema seks sebegitu merupakan hujah yang mudah memancing. Sama seperti pidato politik atau 'kuliah' ustaz selebriti, ceramah tentang seks dan ubat kuat mudah memancing pendengar.
Pengalaman di Jakarta adalah kesinambungan dari Kota Bharu. Cerita politik dan seks mudah diingat dan menambat minat.
Hari ini bukan sahaja Tok Awe Merdeka dan ustaz muda di kampung. Pidato adalah rutin untuk mengolah persetujuan umum.
Presiden AS Joe Biden menyebut Vladimir Putin sebagai "tukang bantai" dan mendorong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) untuk menggulingkan presiden Rusia itu dari kekuasaan di Kremlin.
Biden menyampaikan pidato bersejarah di Warsaw, Poland pada 26 Mac 2022 iaitu sebulan setelah Rusia memulakan serangannya ke atas Ukraine.
Selama Biden berpidato, peluru Rusia dilaporkan menghujani kota Lviv yang hanya berjarak 65km dari perbatasan Poland.
Biden berjanji untuk terus berjuang bersama Ukraine, namun sehingga kini AS tidak pernah menghantar tentera menentang Rusia kecuali memberi pinjaman bersama kadar faedah yang tinggi, sekali gus terus memiskinkan Ukraine.
Rakyat yang terbakar
Pada 20 Jan 1963 Indonesia mengambil sikap bermusuhan terhadap Malaysia. Sukarno memproklamirkan gerakan Ganyang Malaysia melalui pidato pada 27 Julai tahun yang sama.
"Kalau kita lapar itu biasa. Kalau kita malu itu juga biasa. Namun kalau kita lapar atau malu itu kerana Malaysia, kurang ajar! Kerahkan pasukan ke Kalimantan hajar cecunguk Malayan itu! Pukul dan sikat jangan sampai tanah dan udara kita diinjak-injak oleh Malaysian keparat itu," katanya.
Pidato kosong Sukarno itu tidak ke mana kerana Malaysia mencapai kemajuan yang lebih baik berbanding negara tersebut.
Sejarah mengajar bahawa pidato tanpa akal adalah tin kosong yang tidak membawa hasil kecuali kebisingan.
Realpolitik sepanjang zaman memerlukan pemidato yang hebat sebagai pencacai siasah.
Lidah mereka adalah api yang membakar, dan yang terbakar hangus ialah rakyat yang terbuai.
Seperti Tok Awe Merdeka, kerja bercakap dan berhujah hanya menguntungkan orang tertentu sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan