"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu laungan azan: Polis guna cara diplomatik, harmonikan keadaan

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Georgetown: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung laporan penggunaan pembesar suara bagi laungan azan di surau berhampiran kondominium di Tanjong Tokong di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata, pihaknya mengambil maklum perkara itu dan sudah bertemu dengan kedua-dua belah pihak yang terbabit dalam insiden itu.

"Perkara ini, kita mahu harmonikan keadaan dan (difahamkan) kerajaan negeri pun sudah adakan mesyuarat.

"Polis sudah buka siasatan dan ia masih dalam siasatan, jadi kita guna cara diplomatik bagi selesaikan isu ini.

"Kita sudah panggil kedua-dua pihak dan selaras dengan peraturan kerajaan negeri, isu ini sensitif jadi kita selesaikan dengan cara baik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan mengenai video tular mesyuarat Badan Pengurusan Bersama (JMB) di sebuah kondominium di Tanjong Tokong di sini, yang mengaitkan isu penggunaan pembesar suara bagi laungan azan oleh sebuah surau berhampiran kejiranan berkenaan.

Video kejadian pada 12 Mac lalu itu memaparkan kekecohan timbul apabila penduduk beragama Islam membuat bantahan apabila isu laungan azan diusulkan.

Difahamkan, lelaki yang juga dikatakan Pengerusi JMB memberi cadangan supaya pembesar suara diletakkan di dalam surau serta kelantangan pembesar suara laungan azan direndahkan, selain mencadangkan laungan azan dilakukan menerusi aplikasi Whatsapp.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, isu terbabit sudah diselesaikan dengan baik, bagaimanapun Ahli Jawatankuasa Pengurusan Surau Saidina Umar, pula berkata, isu itu sengaja dibangkit semula oleh pengerusi JMB dan dibimbangi berbaur perkauman selain menuntut permohonan maaf daripada pengerusi JMB berkenaan.

Tiada ulasan: