"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengarah APM Kedah meninggal dunia, jatuh di Everest

Samadi Ahmad dan Zuliaty Zulkifi
am@hmetro.com.my
AWANG Askandar (dua dari kanan) meninggal dunia hari ini selepas terjatuh ketika mendaki ke puncak Everest. FOTO Ihsan ME 2023.
AWANG Askandar (dua dari kanan) meninggal dunia hari ini selepas terjatuh ketika mendaki ke puncak Everest. FOTO Ihsan ME 2023.
Putrajaya: Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah yang juga pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023) Awang Askandar Ampuan Yaacub meninggal dunia ketika menawan gunung tertinggi itu.

Beliau meninggal dunia pada 10.30 pagi waktu Nepal (12.45 tengah hari waktu Malaysia) selepas terjatuh pada ketinggian 8,000 meter dari aras laut.

Ketua Misi ME 2023, Azim Afif Ishak,35, berkata, ketika kejadian Allahyarham bersama Muhammad Hawari Hashim, 33, sedang melakukan pendakian dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak.

Azim berkata, selepas jatuh, Allahyarham dibawa ke kem empat dengan bantuan malim gunung untuk diberikan rawatan dan meninggal dunia pagi tadi.

Menurutnya, jenazah akan dibawa turun sehingga ke kem dua, esok untuk diterbangkan ke hospital dengan helikopter namun, bergantung kepada cuaca.

"Kejadian sudah dimaklum kepada Kedutaan Malaysia di Nepal dan keluarga Allahyarham juga sudah dimaklumkan mengenai insiden.

"Pihak kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal bagi menguruskan jenazah," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, selepas terjatuh Allahyarham masih dalam keadaan sedar dan Hawari meneruskan pendakian sehingga ke puncak.

Misi ME 2023 ini adalah percubaan kedua Allahyarham selepas tertangguh tahun lalu disebabkan faktor cuaca, dengan misi itu dipecahkan kepada dua pasukan yang mana Awang Askandar bersama Hawari memulakan misi pertama, manakala Azim Afif dia dan Tiong Ling Yang, 30, kumpulan kedua.

Sedih dengan kejadian itu, katanya, misi kumpulan kedua akan ditangguhkan bagi menguruskan jenazah Allahyarham.

Media tempatan Nepal melaporkan Allahyarham adalah warga asing ke sembilan meninggal dunia bagi musim pendakian tahun ini termasuk malim gunung.

Tiada ulasan: