"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada Ketua Polis Daerah tidak puas hati dengan D7 Bukit Aman

Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

khairil.ashraf@hmetro.com.my

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur antara Datuk Abu Samah Mohd Noor (kiri) dan Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (kanan) di sini, hari ini.  FOTO Bernama

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur antara Datuk Abu Samah Mohd Noor (kiri) dan Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain (kanan) di sini, hari ini. FOTO Bernama

Kuala Lumpur: Ketua Polis Daerah di seluruh negara diingatkan agar tidak menjadikan 'akujanji' yang ditandatangani setiap bulan sebagai kertas tisu bagi memastikan agar tiadanya sebarang kegiatan judi dan aktiviti haram di daerah pentadbiran masing-masing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ini disebabkan beliau menerima maklumat ada dalam kalangan Ketua Polis Daerah tidak berpuas hati apabila tindakannya menghantar pasukan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) dari JSJ Bukit Aman bagi mengambil tindakan terhadap premis judi dalam talian.

"Sepatutnya semua Ketua Polis Daerah yang setiap bulan tandatangan akujanji tiada sebarang aktiviti judi di daerah masing-masing berpegang teguh kepada akujanji terbabit.

"Janganlah akujanji itu dianggap sebagai kertas tisu yang tiada nilai," katanya selepas hadir menyaksikan majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Di majlis itu, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain menerima tugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu daripada Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Abu Samah Mohd Noor.

Menurut Ayob Khan, pihaknya juga akan memastikan ia dilaksanakan oleh mereka.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat tafsiran atau andaian bahawa kegiatan judi ini akan habis.

"Tidak ada. (Ia) memakan masa. Judi ini macam-macam jenis judi. Judi dalam talian, judi empat nombor ekor," katanya.

Beliau berkata, kegiatan judi itu juga taktiknya berubah-ubah dan mereka tidak akan tinggal di satu tempat.

"Kalau kita pergi buat serbuan di premis, dia akan lari keluar, takkan duduk satu tempat statik dan berpindah-randah. Ini akan mengambil masa sedikit," katanya.

Menyentuh mengenai dakwaan Edisi Siasat berkaitan sindiket judi Winbox yang sering mengaitkan polis tidak mengambil tindakan, Ayob Khan enggan memberikan komen berkaitan perkara itu.

"Tidak ada nilai untuk dikomen dan untuk disiasat," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan satu pasukan khas (taskforce) Bukit Aman baru ditubuhkan yang melihat semua kesalahan jenayah di seluruh Malaysia.

"Kita baru tubuhkan. Ini bukanlah taskforce sampai 300 orang. Tidak ada. Taskforce ini kecil tetapi akan turun ke bawah.

"(Ia) akan (lihat) semua kesalahan jenayah. Bukan setakat judi dalam talian sahaja," katanya.

Sementara itu, Ayob Khan memaklumkan sejak JSJ melancarkan talian hotline, pihaknya menerima 300 aduan atau maklumat daripada orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, apabila pihaknya menganalisa aduan yang dikemukakan oleh orang ramai, hanya kira-kira 10 aduan berkaitan JSJ.

"Yang lagi lebih 200 macam-macam maklumat orang beri. Jadi kita salurkan (kepada bahagian lain)," katanya.

Tiada ulasan: