"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tekan butang lif, terus ke angkasa

Agensi

Tokyo: Sektor pelancongan angkasa dijangka lebih 'meriah' selepas projek mega lif gergasi yang bernilai AS$100 bilion (RM469 bilion) siap menjelang 2050.

Projek yang masih dalam rancangan pembinaan awal dijangka dapat mengangkut pelancong ke Marikh menggunakan lif hingga 35,406 kilometer atas bumi.

Syarikat pereka teknologi itu yang berpangkalan di Jepun, Obayashi Corporation berkata, dengan adanya lif itu, perjalanan ke Marikh yang mengambil masa antara enam hingga lapan bulan boleh dikurangkan kepada tiga ke empat bulan atau paling pantas 40 hari.

Syarikat yang menjadi tulang belakang kepada pembinaan bangunan ikonik, Menara Tokyo Skytree setinggi 633.984 meter itu mencadangkan, secara teknikalnya pembinaan lif angkasa boleh dilaksana.

"Ia akan merapatkan jurang antara bumi dan angkasa melalui kabel, membolehkan orang ramai melakukan perjalanan ke angkasa dengan mudah, seolah-olah mereka menaiki kereta api.

"Konsep itu dianggap boleh dilaksana dari sudut pembinaan dan ia kini dalam proses pembangunan sebenar," kata syarikat itu.

Pasukan projek Obayashi Corporation mengumumkan konsep pembinaan lif itu, 14 tahun lalu, namun dalam kemas kini terbaharu, Business Insider melaporkan pada Rabu yang syarikat bersedia untuk meneruskan projek.

Pakar teknologi projek, Yoji Ishikawa berkata, pihaknya kini dalam fasa penyelidikan dan pembangunan, melakukan reka bentuk kasar, pembinaan perkongsian dan promosi.

"Kami memerlukan perkongsian, industri yang berbeza dan sudah tentu mengumpul dana adalah sangat penting," katanya.

Sementara itu, saintis Christian Johnson memberi amaran, idea lif angkasa itu mencabar dari segi teknikal dan berisiko, memandangkan penambatnya perlu kukuh dan tidak terjejas dengan cuaca ekstrem.

Beliau menerbitkan laporan mengenai lif angkasa tahun lalu dalam Jurnal Dasar & Tadbir Urus Sains yang dikaji semula.

"Lif angkasa adalah konsep hipotetikal untuk meletakkan satelit

mengelilingi bumi yang akan menjimatkan banyak kos, berbanding pelancaran roket tradisional.

"Namun, cabaran teknikal, terutama yang berkaitan bahan penambat menghalang lif angkasa daripada melepasi peringkat reka bentuk," katanya.

Selain itu katanya, kesan cuaca buruk, ribut besar boleh membawa serpihan pada kelajuan tinggi yang berisiko menyebabkan putus jika penambat tidak patah.

"Kilat pula menimbulkan risiko lain seperti sambaran petir secara langsung pada penambat, yang berkemungkinan besar memusnahkannya," katanya.

Tiada ulasan: