"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sindiket dadah sebalik syarikat keselamatan

Bernama

KAJANG: Polis menumpaskan satu sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah yang dipercayai berselindung di sebalik syarikat pengawal keselamatan, selepas merampas dadah bernilai kira-kira RM7.5 juta dalam sembilan serbuan di sekitar Cheras dan Kajang, Selangor, Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman Khaw Kok Chin berkata 17 individu ditahan dalam serbuan itu, yang terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita warga asing, serta sembilan lelaki dan seorang wanita warga tempatan.

Beliau berkata semua yang ditahan dalam serbuan 1.10 petang hingga 9.30 malam di beberapa rumah teres dan apartmen sekitar Cheras dan Kajang itu berumur 18 hingga 50 tahun.

Sindiket yang beroperasi sejak awal tahun itu diketuai oleh lelaki warga tempatan berusia 39 tahun yang menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar dadah di pasaran tempatan terutama sekitar Lembah Klang.

Khaw berkata hasil risikan polis berjaya membongkar tempat memproses serta stor penyimpanan dadah, dan merampas pelbagai jenis dadah seperti meth oil seberat 526.75kg bersamaan dengan 211kg syabu serta 409g ketamin, 504g heroin, 10,000 biji pil erimin 5 dan 1.11kg serbuk MDMA.

“Turut dirampas dalam operasi ini adalah 28.8kg ephedrine, pelbagai jenis cecair dan serbuk bahan kimia untuk penghasilan dadah serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah heroin, ketamin dan syabu,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Semenyih.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari bermula 6 Jun lepas bagi membantu siasatan.

Khaw berkata tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 bagi harta-harta ahli sindiket yang disita, dianggarkan bernilai RM1.1 juta.

“Harta-harta yang disita adalah lapan kenderaan antaranya kereta jenis Honda HRV, BMW, Toyota Hilux dan Honda Civic serta sebuah motosikal jenis Honda EX5. Turut disita wang tunai kira-kira RM158,000 dalam pelbagai nilai mata wang negara serta pelbagai jenis barang kemas,” katanya.

Khaw berkata JSJN masih berusaha mengesan anggota rangkaian sindiket itu yang masih bebas, terutama yang bertindak sebagai pembekal, dan orang ramai yang maklumat mengenai sindiket ini diminta menyalurkannya kepada polis dengan menelefon hotline JSJN di talian 012-2087222 bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: