KOSMO!
Zaim dan Ismanira dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini selepas didakwa. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!
PETALING JAYA – Ibu kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abd. Matiin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa dia tidak sihat dan muntah.
Tertuduh, Ismanira Abdul Manaf berkata demikian ketika ditanya jurubahasa sama ada wanita itu dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari sihat atau tidak.
Pada prosiding itu, Zaim Ikhwan memberitahu dia sihat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron, manakala peguam Fahmi Abd. Moin dan Mahmud Abdul Jumaat masing-masing mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.
Pasangan suami isteri itu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan pada Disember tahun lalu.
Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
Mengikut pertuduhan, pasangan berusia 29 tahun itu didakwa secara bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan dilakukan di sekitar Jalan PJU, Damansara Damai di sini pada pukul 12 tengah hari, 5 Disember hingga pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.
Berikutan itu, mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
“Saya faham pertuduhan, saya tidak mengaku bersalah,” kata kedua-dua tertuduh yang kelihatan tenang ketika ditanya pengakuan mereka untuk direkodkan.
Pasangan tersebut kemudian dilihat beredar dari Kompleks Mahkamah Petaling Jaya sekitar pukul 10.58 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan