Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
POLIS mengangkat mayat wanita warga emas yang maut dibunuh anaknya. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Georgetown: Wanita maut dipercayai ditikam dengan gunting oleh anaknya yang mempunyai masalah mental, dalam kejadian di Relau, di sini, hari ini.
Suspek juga dikatakan menghubungi abangnya kira-kira 5 petang, bagi memaklumkan mengenai kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, abang suspek kemudian menghubungi polis bagi tindakan lanjut.
Katanya, suspek yang juga anak bongsu berusia 40 tahun itu kemudian diberkas di unit kediaman pangsapuri berkenaan.
"Siasatan awal mendapati anak sulung dan kedua menghubungi mangsa sebelum kejadian namun panggilan itu tidak dijawab.
"Mereka kemudian dikejutkan dengan panggilan mengenai kematian ibu akibat ditikam menggunakan gunting oleh suspek," katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Razlam berkata, mangsa yang berusia 67 tahun dikatakan hanya akan datang ke rumah peninggalan suaminya itu tiga hari seminggu bermula Jumaat.
Manakala baki hari yang lain, katanya, wanita warga emas itu tinggal bersama anak sulungnya di Batu Maung dekat sini.
"Suspek juga pernah membuat ugutan bunuh terhadap semua ahli keluarganya ketika mereka tinggal bersama di Batu Maung.
"Selain itu suspek juga pernah dimasukkan ke wad rawatan psikiatri di Jalan Perak di sini, pada tahun lalu," katanya lagi.
Menurut Razlam, motif pembunuhan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) proses bedah siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan