"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis berkas kakitangan bank disyaki songlap RM24.2 juta

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang kakitangan sebuah bank ditahan selepas disyaki bertindak sebagai 'orang dalam' dan bersubahat dengan sebuah sindiket bagi mengeluarkan wang tunai bernilai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima empat laporan pada awal Jun memaklumkan berlakunya pengeluaran yang mencurigakan.

Menurutnya, laporan dibuat mangsa dan kakitangan bank terbabit di Petaling Jaya, Selangor mendakwa berlaku pengeluaran secara tunai di Kota Kinabalu, Sabah membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

"Kesemua pemilik akaun terbabit mendakwa tidak mengetahui berhubung transaksi pengeluaran dan tidak pernah ke Kota Kinabalu, Sabah bagi melakukan pengeluaran itu.

"Susulan itu seorang suspek berusia 38 tahun yang juga kakitangan bank terbabit ditahan di sekitar Kota Kinabalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, siasatan awal mendapati terdapat pembabitan ahli sindiket terbabit dari dalam bank itu sendiri berikutan transaksi pengeluaran tanpa kebenaran itu hanya boleh dilakukan dengan kerjasama 'orang dalam'.

Katanya, setakat ini pihak polis sudah mengenal pasti beberapa lagi suspek dan sedang dalam proses memburu mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pasukan serbuan merampas tiga unit telefon bimbit bersama kad sim, kat mesin pengeluaran wang automatik (ATM) (lapan), komputer riba (satu) dan tunai berjumlah RM4,400.

"Polis Diraja Malaysia akan memastikan siasatan kes ini dilaksanakan sebaiknya selaras dengan peruntukan undang-undang negara," katanya.

Tiada ulasan: