"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Suruhanjaya Diraja atau 'Sarkas Diraja'?

Mohamed Hanipa Maidin

Apabila ditanya wartawan adakah beliau didesak untuk mengadakan Suruhanjaya Diraja (SR) bagi menyiasat punca kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock, Dato' Seri Mohd Najib Razak menafikannya.Beliau menjawab persetujuan menubuhkan Suruhanjaya Diraja itu adalah "kerana ingin mencari kebenaran".

Betulkah Najib berminat ingin mencari kebenaran? Apabila beliau dan kabinet bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Diraja nampak pada zahirnya beliau seolah-oleh serius ingin mencari kebenaran. Namun apabila skop Suruhanjaya Diraja itu hanya dihadkan untuk menyiasat teknik penyiasatan yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jelaslah Najib bukan berminat mencari kebenaran. Apa yang jelas Najib ingin 'mengkebumikan kebenaran'!

Najib melalui Abdul Ghani Patail (Peguam Negara) terdesak mencari dalil dan alasan bagi menjustifikasikan tindakan beliau yang mengehadkan terma rujukan Suruhanjaya Diraja hanya kepada menyiasat cara atau kaedah penyiasatan yang digunakan oleh SPRM.

Najib menyatakan bahawa beliau terikat dengan undang-undang. Beliau telah dinasihati oleh Ghani Patail bahawa sebab kematian Teoh Beng Hock perlu ditentukan oleh satu inkues di bawah seksyen 339(1) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ). Di bawah seksyen 339(1) KPJ, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk mengarahkan Majistret untuk mengadakan siasatan di atas kematian seseorang.

Ghani berhujah bahawa KPJ adalah undang-undang khusus yang mempunyai peruntukan mengenai satu siasatan bagi kes-kes kematian. Oleh itu, hujah Ghani inkues adalah mandatori bagi menentukan sebab-sebab kematian Teoh Beng Hock dan bukannya Suruhanjaya Diraja yang menjalankan tugas atau peranan tersebut. Ghani menambah jika Suruhanjaya Diraja juga menjalankan tugas menyiasat sebab kematian mendiang Teoh maka ia akan menjalankan tugas yang bertindih dengan tugas Mahkamah.

Ghani juga berhujah bahawa orang awam tidak patut keliru peranan Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan oleh Kerajaan dengan inkues yang diwujudkan di bawah KPJ. Beliau berhujah bahawa Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Commissions of Enquiry Act 1950) secara jelas merujuk kepada penyiasatan berkenaan tindakan dan pengurusan kakitangan awam (lihat Seksyen 2(1)(a)) dan Jabatan Kerajaan (2(1)(b)).

Oleh itu Ghani menambah peranan Suruhanjaya Diraja tidak boleh diluaskan bagi menyiasat kes kematian kes Teoh Beng Hock kerana siasatan oleh pihak Majistret adalah lebih betul dan disokong oleh undang-undang.

Ghani berkata adalah tepat peranan Suruhanjaya Diraja hanya dihadkan kepada menyiasat teknik penyiasatan yang digunapakai oleh SPRM.

Komen saya terhadap kenyataan Ghani di atas: "Wahai Peguam Negara, janganlah membohongi rakyat!"

Pertamanya mari kita lihat hujah beliau bahawa inkues adalah mandatori (wajib) bagi menyiasat kes-kes kematian seperti kes Teoh Beng Hock.

Jika kita menerima hujah tersebut, kita berhak bertanya mengapakah sehingga kini beliau sebagai Peguam Negara tidak melaksanakan tugas dan peranannya di bawah Seksyen 339(1) KPJ bagi mengarahkan satu inkues diadakan bagi menyiasat kes A. Kugan yang mati di dalam tahanan polis iaitu di Balai Polis Taipan, Subang Jaya pada 20 Disember 2008.

Mengapakah tiada inkues dibuat di dalam kes Memali?

Kes A. Kugan menimbulkan dua pertanyaaan yang sehingga kini masih gagal dijawab oleh Kerajaan.

Pertamanya sebab�sebab kematian beliau di dalam tahanan polis. Kenapakah, mengguna pakai hujah Ghani, inkues tidak dibuat bagi menyiasat hal tersebut.

Keduanya kes A. Kugan juga menimbulkan isu teknik penyiasatan pihak polis. Mengapakah Ghani sebagai Penasihat Undang-undang Kerajaan tidak menasihati ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat teknik penyiasatan yang diguna pakai oleh pihak polis?

Ghani berhujah bahawa Suruhanjaya Diraja tidak boleh ditugaskan untuk menyiasat sebab-sebab kematian Teoh kerana ia di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950. Penyiasatan Suruhanjaya Diraja hanya dihadkan berkenaan tindakan dan pengurusan kakitangan awam dan jabatan Kerajaan sahaja.

Di sini jelas Ghani berbohong dan sengaja tidak membaca seksyen 2 secara keseluruhan. Atas sebab yang hanya Ghani tahu, beliau hanya membaca Seksyen 2(1)(a) dan (b) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 dan dengan sengaja meninggalkan seksyen 2(1)(d) Akta yang sama.

Seksyen 2(1)(a) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat tindakan pegawai-pegawai Persekutuan dan Seksyen 2(1)(b) pula bagi menyiasat tindakan dan pengurusan jabatan Kerajaan yang menjalankan tugas-tugas awam.

Apakah pula yang dikatakan oleh Seksyen 2(1)(d) Akta tersebut?

Seksyen tersebut menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara-perkara lain (any other matter) yang menurut perkiraan baginda perkara-perkara itu untuk kemaslahatan awam (public welfare).

Jelas Seksyen 2(1)(d) memberi suatu kuasa yang amat luas kepada Suruhanjaya Diraja yang mana kuasa tersebut adalah merangkumi tujuan kemaslahatan awam menyiasat sebab-sebab kematian Teoh Beng Hock.

Di negara-negara Komanwel (bekas jajahan Britain) lain seperti Australia yang turut menjadi rujukan khalayak perundangan Malaysia, adalah menjadi perkara biasa siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat sebab-sebab kematian seseorang khususnya kematian misteri.

Mengenai hujah Ghani jika Suruhanjaya Diraja diberikan tugas menyiasat kematian Teoh akan berlaku pertindihan tugas, jawapan pada hujah mengarut itu boleh dijelaskan sebegini: Jika Ghani atau Najib tidak mahu pertindihan tugas cukuplah diberi kuasa kepada Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kedua-dua perkara iaitu teknik siasatan SPRM dan sebab-sebab kematian Teoh. Tidak perlu inkues kerana ia akan bertindih tugas dengan Suruhanjaya Diraja dan membazirkan wang rakyat!

Mengapa rakyat mahukan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian Teoh? Jawapannya kuasa Suruhanjaya Diraja adalah lebih luas dari kuasa seorang Majistret di dalam siasatan inkues.

Suruhanjaya Diraja sebagai contoh boleh memanggil mana-mana orang dan juga boleh menerima apa-apa keterangan termasuk keterangan yang sekiranya dikemukakan di Mahkamah akan ditolak (lihat seksyen 8(f) Akta tersebut).

Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan sekadar menyiasat teknik penyiasatan SPRM adalah Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan untuk tujuan hiburan semata-mata.

Adakah Najib inginkan Suruhanjaya Diraja atau 'Sarkas Diraja'? Kalau 'Sarkas Diraja' Najib dan Ghani layak menjadi badutnya.

Tiada ulasan: