"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Tindakan ganas polis burukkan imej Najib

Oleh Syed Jaymal Zahiid

Senario ganas di mana polis memukul Ahli Parlimen PAS, Dr Hatta Ramli, yang dapat dirakam melalui kamera sewaktu perhimpunan mansuhkan ISA pada 1 Ogos lalu, serta kuasa berlebihan pihak polis dalam usaha cuba memadamkan protes rakyat tersebut, sudah pasti meninggalkan kesan hitam kepada pemerintahan Dato' Seri Najib Tun Razak.

Penahanan lebih 400 orang para demonstran, termasuk wanita dan kanak-kanak, serta penggunaan gas pemedih mata ke atas demonstrasi aman yang diadakan[demo2.jpg] itu, tidak banyak memberi kebaikan kepada Perdana Menteri yang baru ingin mengecapi sedikit sokongan daripada orang ramai yang masih ragu-ragu.

Pemimpin Pakatan Rakyat sudah pasti akan memanfaatkan kemarahan awam akibat penggunaan kuasa berlebihan pihak polis untuk menyuraikan perhimpunan yang menyaksikan lebih 20,000 orang turun ke jalan raya membantah penggunaan ISA itu.

Kemuncaknya, protes tersebut akan dilihat sebagai satu usaha yang lebih besar daripada pihak pembangkang untuk menuntut perubahan yang dijanjikan oleh pentadbiran Najib.

Sejak mengambil alih kuasa, perdana menteri cuba menggambarkan dirinya sebagai seorang pembawa pembaharuan dengan berjanji akan mengkaji semula ISA, membuat konsesi bagi masyarakat bukan Melayu dan mengambil beberapa langkah untuk membebaskan ekonomi.

Kuasa berlebihan yang digunakan oleh pihak berkuasa untuk menghalang protes pada 1 Ogos lalu sudah pasti akan menjadi bahan bagi Pakatan Rakyat untuk mengatakan bahawa kerajaan tidak bertolak ansur terhadap pengkritiknya.

Ia juga akan menyedikan peluang kepada pembangkang untuk menggunakan ISA sebagai simbol sikap keras kerajaan BN dalam pentadbirannya.

Kota raya Kuala Lumpur menjadi seperti medan perang pada 1 Ogos lalu dan ia berlaku kerana pihak berkuasa tidak bersedia untuk bertolak ansur dengan satu perarakan aman yang dirancang oleh pembangkang.

Gas pemedih mata memenuhi ruang udara kota raya, dan jalan-jalan raya dibasahi oleh air kimia yang disembur ke arah para demonstran, lalu memaksa mereka mencari perlindungan di pusat-pusat membeli belah berhampiran.

Kedai-kedai ditutup dan urus niaga terpaksa dihentikan. Pekedai-pekedai tidak lagi melayan pelanggan, sebaliknya terpaksa menutup dan membasahkan muka kerana gas pemedih mata telah memasuki premis perniagaan mereka.

Terdapat senario di mana seorang ibu cuba mendiamkan anaknya yang menangis kerana kepedihan akibat terkena gas pemedih mata dan air kimia yang disemburkan.

"Ya Allah, tolonglah kami," kedengaran rintih seorang ibu. Tidak jauh darinya seorang lelaki muda berlumuran darah di kepalanya yang luka kerana terkena kelongsong gas pemedih mata.

Keganasan tersebut barangkali boleh dielakkan sekiranya Najib menjawab surat yang dikirimkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat yang meminta pertemuan diadakan bagi membincangkan beberapa masalah termasuk ISA.

Pemimpin BN gagal mengambil jalan tengah dan mengambil pendekatan diplomatik. Malah sebaliknya secara membuta tuli cuba mempertahan tindakan polis dan mengatakan ISA akan terus dikekalkan.

Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishammuddin Hussein, dalam reaksi segeranya kepada perhimpunan tersebut, tidak menunjukkan sebarang simpati kepada mereka yang diganasi oleh pihak polis, dan berkata, mereka telah diberi amaran awal agar jangan menyertai perhimpunan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz berkata, kerajaan tidak sekali-kali akan menghapuskan ISA dan sekali gus mengisytiharkan bahawa "selagi BN memerintah, ISA kekal".

Sama ada menteri-menteri BN ini tahu atau tidak, kenyataan-kenyataan seperti ini sudah pasti akan membuatkan rakyat lupa tentang masalah yang berlaku dalam Pakatan Rakyat, sekali gus memberikan kekebalan kepada Pakatan Rakyat untuk menyatukan rakyat di belakangnya.

Analisis MALAYSIAN INSIDER

-detikdaily.net-

Tiada ulasan: