"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Displinkan pemimpin Pakatan Rakyat, elak imej tercalar

Azamin Amin

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Hrkh) - Parti-parti komponen Pakatan Rakyat terdiri daripada PAS, KeADILan dan DAP mestilah mendisplin pemimpin masing-masing, supaya sebarang tindakan dan kenyataan tidak melampaui batas sehingga menjejaskan imej baik yang ada di mata rakyat, sekaligus mencalarkan dan memberi kesempatan kepada musuh untuk merosakkan hubungan baik yang sedia ada.

Ini termasuk juga Ketua Menteri dan Menteri Besar Pakatan Rakyat yang mesti berperanan dalam hal yang sama supaya exco dan pegawai masing-masing dalam mengurus tadbir akan memberi gambaran postif kerajaan negeri masing-masing.

Demikian pandangan Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar dalam mengulas tindakan dan kenyataan kontroversi Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dan Exco Kerajaan Tempatan Selangor Ronnie Liu mutakhir ini.

"Pengajaran di sini ialah, pemimpin Pakatan Rakyat tidak boleh melihat kepentingan sebelah pihak sahaja dengan mengabaikan yang lain kerana kita hidup berbilang bangsa dan undi kita juga datangnya daripada orang Islam dan bukan Islam.

"Justeru, sebarang ketidakpuasan hati, berbincang dengan baik dan bukannya bercakap di luar, sehingga memberi gambaran yang buruk dan salah kepada Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Beliau merujuk kepada insiden yang berlaku di Kedah berkaitan isu pusat penyembelihan babi yang akhirnya dapat diselesaikan dengan baik di meja rundingan.

"Jangan emosi dan terburu-buru dalam bertindak hingga mencetuskan rasa kurang senang pihak lain. Berhati-hati keluar kenyataan. Ada saluran perbincangan baik di dalam parti mahupun kerajaan negeri," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata terpulang kepada DAP untuk mengambil tindakan sewajarnya sama ada melalui jawatankuasa displin atau kaedah yang lain dalam menangani dua anggotanya yang telah mencetuskan isu hangat baru-baru ini.

"PAS juga ada jawatankuasa displin, jika pemimpinnya tersasar. Itu terpulanglah kepada DAP nak buat macam mana, itu urusan dialah," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan isu itu akan dibangkitkan dan dibincangkan dalam pertemuan para pemimpin Majlis Pakatan Rakyat, namun yakin kebijaksanaan kerajaan negeri mengatasi masalah tersebut.

"Kita kena tengok sejauh mana peringkat negeri selesaikan. Saya percaya kerajaan negeri lebih arif hal masing-masing dan boleh diselesaikan seperti isu di Kedah tempoh hari.

"Dan bukan isu ini sahaja, setiap kali pemimpin Pakatan Rakyat bertemu, masing-masing sering mengingat antara satu sama lain batas-batas dan sensitiviti rakyat yang perlu dijaga," katanya yang kini berada di Kedah.

Tiada ulasan: