"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

K'rjn PR Kedah mungkin terkubur

Oleh Chan Wei See

Air yang mengapungkan perahu itu, bisa mengaramkan perahu."Kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah yang didominasi PAS, nampaknya belum memahami maksud pepatah Cina ini. Walaupun pilihan raya umum 8 Mac 2008 menyaksikan bagaimana Kedah ditawan oleh pembangkang, dengan bantuan undi bukan Melayu, namun kerajaan PR tidak akur kepada suara rakyat setelah berkuasa.



Dasar berbau "perkauman" yang terpesong dari pendirian PR, malah memperlekehkan masyarakat Cina digubal, mencetuskan kekecewaan dan kemarahan komuniti Cina tempatan.

"Sebelum 8 Mac 2008, saya berusaha untuk memastikan ahli keluarga saya, kawan saya, jiran saya mengundi untuk PAS. Pada pilihan raya umum yang akan datang, saya akan memastikan ahli keluarga saya, kawan saya dan jiran saya tidak mengundi PAS!"

Demikianlah yang diperkatakan oleh seorang pemaju Cina di Kedah kepada MerdekaReview ketika ditemuramah. Suara masyarakat Cina dengan lantang berbunyi, "seandainya kerajaan Kedah tidak akur kepada suara rakyat, memperbetulkan apa yang salah dengan segera, maka orang Cina di Kedah sanggup mengembalikan 'kerajaan lama yang tidak berubah untuk 50 tahun', daripada mengekalkan 'kerajaan baru yang makin ubah makin teruk'. "

"Kedah di bawah PAS" bakal jadi sejarah

Penetapan kuota perumahan 50% untuk bumiputera, yang diumumkan Menteri Besar Kedah Azizan Abdul Razak (gambar kiri) pada tahun 2008, telah menggoyah keyakinan komuniti Cina terhadap pimpinan kerajaan PR. Isu pusat penyembelihan khinzir yang menggemparkan baru-baru ini, memusnahkan terus keyakinan komuniti Cina terhadap kerajaan PR di Kedah.

Meskipun isu ini nampaknya reda setelah pemimpin PR peringkat pusat, Lim Kit Siang mencampurtangan, namun komuniti Cina masih meragui sama ada kerajaan Kedah akan menunaikan janji untuk menyelesaikan isu ini. Barisan Exco negeri Kedah dilihat terlalu lemah untuk menyelesaikan kemelut yang tersebut di atas.

Maka, tokoh persatuan tempatan menyimpulkan, sekiranya kerajaan pusat pimpinan Najib tidak mencetus masalah besar, malah terus menggubal dasar yang mesra kepada bukan Melayu, maka "Kedah di bawah perintah PAS" akan tinggal sebagai lembaran sejarah untuk selama-lamanya.

Kualiti barisan EXCO rendah

Tiada orang menjangkakan bahawa pembangkang berupaya menawan kubu Barisan Nasional di Kedah. Sebelum PRU ke-12, penduduk tempatan memujuk agar ahli profesional bertanding menyarungkan jersi PKR. Namun demikian, kerusi yang dibahagikan kepada PKR tidak mendapat sambutan, lantaran itu diisi dengan calon yang kualitinya lebih rendah.

Bagaimanapun, tsunami politik telah menghancurkan kerajaan BN di Kedah kemudiannya. Kuasa tidak berbau. PAS, PKR dan DAP merampas kuasa dengan menawan 22 dari 36 kerusi DUN.

Menurut seorang penyokong PR tempatan, Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa sebelum ini hanya menjangkakan bahawa PAS akan bertahan di Kelantan, sementara merampas kuasa di Terengganu. Setelah penyokong PR memaklumkan kepada Ustaz Nasharuddin bahawa keadaan di Kedah menampakkan peluang untuk pembangkang, barulah diumumkan secara terbuka bahawa PAS berupaya memerintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Ini menunjukkan bahawa "kerajaan negeri Kedah" tidak terjelma dalam minda pemimpin pembangkang sebelum PRU ke-12, ketika merangka strategi untuk merampas tampuk kuasa. Maka ia berakhir dengan barisan Exco yang berkualiti rendah. Malah, antara parti komponen PR, ADUN dari PKR memperlihatkan keupayaan yang paling rendah, langsung tidak berdaya untuk mengimbangi PAS dalam mesyuarat Exco negeri.

BN terus lobi "lompat parti"

Desas-desus bahawa kerajaan PR di Kedah bakal ditumbangkan sejak tahun lepas tidak pernah bernoktah. Sebagaimana yang dimaklumkan, proksi BN tidak pernah berhenti untuk melobi agar ADUN PR lompat parti. Malah, setelah isu pusat penyembelihan khinzir tercetus, RM4 juta ditawarkan untuk menggoda supaya ADUN PR menyeberang.

Antara 22 kerusi yang dimenangi PR, PAS merangkul 16 kerusi, DAP hanya satu dan PKR memiliki 5 kerusi; sementara 14 kerusi yang dimiliki BN, 12 kerusi menjadi milik UMNO, MCA dan Gerakan masing-masing mempunyai satu kerusi.

Dalam barisan Exco Kedah yang terdiri daripada 11 orang, 8 orang dari PAS dan selebihnya dari PKR, iaitu Mohamad Radzhi Salleh dari Lunas, Manikumar Subramaniam dari Bukit Selambau, dan Tan Wei Xu (gambar kanan) dari Bakar Arang. DAP dengan hanya seorang ADUN dari Kota Darul Aman, Lee Guan Aik tidak mendapat tempat dalam barisan Exco Kedah.

Jadi, ketika khabar angin kencang meramalkan kerajaan Kedah akan ditumbangkan, 3 orang Exco dari PKR dilihat sebagai "kumpulan berisiko tinggi", hingga dipandang serong oleh ahli parti sendiri. Anggota dari PKR memaklumkan kepada MerdekaReview, bahawa walaupun kebolehan Mohamad Radzhi Salleh dan Tan Wei Xu agak rendah, namun tetap diangkat sebagai Exco, setelah mendapat restu daripada ahli parlimen Sungai Petani PKR, Johari Abdul yang juga seorang bekas pemimpin UMNO.

Menurut pemerhatian wartawan MerdekaReview ketika melawat Kedah, penilaian tokoh tempatan terhadap Tan Wei Xu agak negatif. Tahap pendidikan dan kebolehan bahasa Tan agak rendah, sebagai Exco Sumber Manusia, Pengangkutan, Alam Sekitar & Hal Ehwal Masyarakat Cina. Komuniti Cina tempatan meragui kebolehan beliau untuk mengimbangi kuasa konservatif dari PAS dalam mesyuarat EXCO.

Sebaliknya, komuniti Cina menaruh harapan yang tinggi terhadap Manikumar Subramaniam yang baru menang dalam pilihan raya kecil di Bukit Selambau pada April 2009. Namun demikian, adakah keputusan PKR melantik ahli profesional untuk "membaiki keadaan" di kerajaan Kedah terlalu lambat? Jawapannya masih belum diketahui. (siri pertama...akan disambung)


*Analisa ini ditulis Chan Wei See, Editor
MerdekaReview, diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan: