"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Chua Jui Meng mampu gugat BN Johor, Ghani makin cemas hadapi PRU 13

BELUM habis Presiden MCA, Ong Tee Keat terkejut dengan isu PKFZ, tiba-tiba degupan jantungnya bertambah kencang apabila bekas Naib Presiden, Chua Jui Meng melepaskan jawatan Ketua MCA Bakri dan sehari kemudiannya mengesahkan dirinya sudah bersama PKR.


Tentunya, pemimpin-pemimpin BN tidak dapat menahan gelombang ini tetapi sesekali cuba disekat dengan kata-kata, langkah yang diambil Jui Meng yang juga bekas Menteri Kesihatan tidak memberi apa-apa kesan kepada BN.

Mereka berkata demikian, termasuk Hishammuddin Hussein dan Muhyiddin Mohd Yassin kerana mereka terpaksa berpura-pura. Walaupun ia memberi kesan cukup besar kepada BN di Johor, tetapi, para pemimpin Umno ini masih mahu mengatakan “ia tidak memberi apa-apa kesan”.

Sebelum Jui Meng, Zaid Ibrahim mendahului. Sebelum Zaid, Dr. Tan Kee Kwong sudah di hadapan.

Kenapa Muhyiddin dan Hishammuddin mengatakan Jui Meng melompat masuk PKR, BN tidak terjejas? Kenapa rakyat mahu dikhayalkan dengan kenyataan yang tidak berpijak di bumi nyata?

Ketika Jui Meng masih dalam MCA, membantu calon BN Tay Puan Chuan bertanding di Bakri, BN masih kalah 722 undi sedangkan ketika Jui Meng mewakili BN di sini (Bakri), Jui Meng mengutip majoriti 19,059 undi.

Maknanya, pengundi di Bakri menolak BN di situ kerana faktor Jui Meng. Hanya di Bakri, BN tewas kepada DAP di Johor, sedangkan 25 lagi kerusi Parlimen dimenangi BN.

Berbeza dengan kawasan Labis, walaupun Dr. Chua Soi Lek dikatakan terlalu hebat pengaruhnya di situ, tetapi apabila dia tidak diletakkan bertanding, calon BN yang diletakkan menggantikannya, Chua Tee Yong yang merupakan anak Soi Lek, menang bergaya.

Di sini, pengundi boleh bayangkan, bagaimana keadaan di Bakri dan Johor khususnya apabila Jui Meng sudah tidak bersama-sama MCA lagi. Ketika masih dalam MCA pun, tetapi tidak terpilih bertanding, kerusi yang dimenangi BN sejak wujudnya Parlimen Bakri boleh terlepas, apa tah lagi kalau Jui Meng sudah meninggalkan MCA.

Parlimen Bakri, mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri. Dua kerusi mewakili majoriti pengundi Melayu manakala satu kerusi mewakili kawasan bermajoriti pengundi Cina.

DUN Bentayan dimenangi DAP melalui calonnya Gwee Tiong Heng di mana kawasan ini pengundi Cina menguasai 76.20 peratus dan Melayu cuma 23.81 peratus. DUN Sungai Abong dimenangi Pas, melalui Dr. Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh yang menang kerusi ini mengalahkan calon Umno (BN) Kamaruddin Suratman dengan majoriti 1,550.

Satu lagi kerusi, DUN Bukit Naning dimenangi Datuk Abdullah Ali yang ketika itu adalah Ketua Umno Bahagian Bakri.

Di Johor, kedudukan Bakri dihimpit dengan kawasan-kawasan glamour. Di sebelah baratnya, Pagoh di mana Muhyiddin merupakan Ahli Parlimen di situ, Di utaranya, Ledang di mana Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman mengetuai Umno bahagian itu maakala di timurnya, Muar di mana Ahli Parlimennya ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Haji Ibrahim.

Disebabkan Jui Meng agak lama di Bakri dan pernah menjadi Menteri Kesihatan ketika mewakili Parlimen itu, kini pengundi-pengundi di Bakri tentunya mahukan Jui Meng kembali mewakili mereka di situ dan tidak akan sedia menerima sesiapa lagi yang mewakili MCA (BN).

Kepimpinan BN di Johor tidak akan senang duduk dengan perkembangan politik Jui Meng ini. Walaupun MCA dan Umno mempunyai seorang Timbalan Presiden yang datangnya dari Johor, tetapi ia tidak menjanjikan apa-apa.

Umno Johor pernah menghantar dua orang Presiden iaitu Onn Jaafar dan Hussein Onn. Umno Johor juga pernah mempunyai Timbalan Presiden iaitu Dr. Ismail Abdul Rahman dan Musa Hitam. MCA Johor juga pernah mempunyai pemimpin besar mereka seperti Dr. Neo Yee Pan, Ong Ka Ting dan kini Soi Lek.

Namun sejarah dan kegemilangan itu tidak menjanjikan kegemilangan akan berulang. Di kawasan di mana Ka Ting bertanding (ketika itu Ka Ting masih Presiden MCA), Parlimen Kulai, salah satu DUN di sini, (Senai) calon BN Chun Yoong Fok tewas keada calon DAP Ong Kow Meng dengan majoriti 4,030 sedangkan DUN ini sebelumnya diwakili BN dengan majoriti 5,294.

Ka Ting hanya mampu mengutip majoriti di sini sebanyak 11,744 sedangkan sebelum itu, Lim Si Cheng yang juga Timbalan Speaker Parlimen ketika itu menang dengan majoriti 18,144 undi.

Dengan kedudukan Soi Lek yang tidak lagi menjadi Menteri walaupun menyandang jawatan Timbalan Presiden MCA, Jui Meng sudah meninggalkan MCA dan Ka Ting sudah tidak menjadi Presiden dan bukan lagi Menteri, apakah MCA di Johor masih ‘bergigi’ seperti MCA di zaman Dr. Ling Liong Sik dulu?

MCA mewakili enam kawasan Parlimen, Gerakan dan MIC satu manakala yang lainnya diwakili Umno.

Ditulis Oleh IDRIS SAMAD
-utaraonline.net-

Tiada ulasan: