"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa PAS, Umno tolak guna kalimah Ummah?

Wan Ji Wan Hussin

Dua hari sebelum 16 September yang merupakan Hari Malaysia pada tahun ini, tercipta satu sejarah - apabila dua parti yang turun-temurun berbalah, malah saling menuduh kafir dan sesat; PAS dan Umno berjaya menandatangani hubungan kerjasama.

Walaupun usaha kerjasama dua parti tertua di negara ini telah dilakukan semenjak tahun 2008 lagi - atas nama idea unity government - tetapi perlaksanaan kerjasama ketika itu agak sukar terjadi.

Dari sudut ahli PAS pun, masih ramai lagi dari kalangan mereka yang agak susah hendak menerima cadangan tersebut. Apatah lagi, melihat kepada Umno yang terpalit dengan skandal kewangan negara seperti 1MDB.

Dengan itu, berlaku perlawanan dalaman parti, sehingga sebilangan besar figura besar PAS telah keluar dan menubuhkan parti baru - Parti Amanah Negara.

Walau bagaimanapun, dengan keluar sebilangan besar figura besar itu, menjadikan usaha PAS mahu bergabung dengan Umno semakin lancar. Dengan itu, sejarah 14 September berjaya dilaksanakan.

Menarik direnung, pada peringkat awal, ungkapan yang dipopularkan adalah "penyatuan Ummah". Tetapi, tidak semena-mena dua parti yang berorentasikan kaum dan agama itu memutuskan untuk menukar kepada ungkapan lain - Piagam Muafakat Nasional.

Tidak tahu apa yang difikirkan oleh pemimpin tertinggi PAS dan Umno itu. Berbagai spekulasi yang kedengaran.

Ada pihak mendakwa, menukar itu kerana mengambil kira rakan taulan Umno turun temurun - MCA dan MIC. Wallahu alam, hanya Allah yang tahu hakikat sebenarnya.

Andai tindakan PAS - Umno menukar itu kerana faktor kewujudan bukan muslim, dan dianggap kalimah Ummah hanya fokus kepada muslim sahaja, saya menganggap menolak penggunaan kalimah "ummah" tersebut adalah dangkal dan cukup tidak berilmu.

Ummah centric

Jika diimbau ke tahun 2006 yang lalu, Dr Maszlee Malik yang kini menteri pendidikan, pernah melontarkan satu idea - ummah centric vs jemaah centric.

Ketika itu, saya menjawat jawatan ketua Ulamak Pelapis Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor, saya masih ingat bagaimana Ustaz Idris Ahmad yang ketika itu timbalan ketua pemuda PAS Pusat telah menolak wacana yang dibuka oleh Dr Maszlee tersebut.

Bukan sekadar menolak, malah Ustaz Idris Ahmad yang mendokong idea jemaah centric - dalam ucapan penutup muktamar Pemuda PAS Pusat itu, tanpa rasa bersalah menuduh Dr Maszlee Malik yang ketika itu adalah pensyarah UIA sebagai ejen Umno.

Menarik untuk direnungi, kini Dr Maszlee Malik adalah salah seorang menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan yang dimusuhi Umno, sedangkan Ustaz Idris Ahmad pula pemimpin PAS yang kini memberi “siqah” atau kepercayaan penuh kepada kerjasama PAS - Umno.

Ummah dalam hadis

Bagi mereka yang sering mendengar syarahan dan membaca tulisan ulama Arab berkenaan perbahasan kalimah “ummah” pasti akan tahu akan pemaknaannya yang sebenar.

Ingin saya mencadangkan agar ulama-ulama dalam PAS dan Umno perlu mendengar kupasan daripada Syaikh Dr Said Ramadhan al Buti berkenaan hal ini.

Dalam satu syarahan beliau, dijelaskan bahawa penggunaan kalimah ummah bukan sekadar merujuk kepada orang Islam sahaja, malah termasuk juga kepada orang yang tidak beragama Islam. Ini dihujah kepada dua dalil berikut:

Pertama, dalam Sahih Muslim, daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW ada bersabda:

"Demi nyawa Muhammad di tangan Tuhan, bahawa tidak ada seorang pun daripada kalangan umat ini, sama ada dia Yahudi atau Nasrani yang mereka mendengar (Islam) daripadaku (Nabi), kemudian mereka mati tanpa beriman kepadaku, maka dia sebagai ahli neraka." (Hadis no, 153)

Daripada hadis ini kita akan faham bahawa Nabi telah menjelaskan bahawa Yahudi dan Nasrani - walaupun mereka tidak beragama Islam, mereka dikira juga sebilangan daripada kalangan ummah.

Kedua, dalam hadis lain Nabi SAW ada bersabda:

"Para Nabi terdahulu diutuskan untuk kaum tertentu, sedangkan aku diutuskan untuk semua manusia." (al Bukhari, hadis no : 335)

Dengan hadis ini, Dr Said Ramadhan al-Buti menjelaskan bahawa, ummah bukan dikhususkan untuk muslim sahaja, malah semua mereka yang tidak beragama Islam juga dikira daripada kalangan ummah.

Ubah idealisme

Dalam karya Muqaddimah, Ibn Khaldun ada membincangkan teori "tadawul" - perubahan jatuh naik sesuatu pemerintahan.

Menurut pengamatan ulama sosiologi itu, sesuatu idea dalam sesuatu pentadbiran mengambil masa selama 40 tahun. Kemudian idea tersebut bergantian sehingga mencapai 120 tahun. Selepas 120 tahun, selalunya pemerintahan itu akan jatuh.

Melihat teori tadawul, mengingatkan kita pada permulaan idea kepimpinan ulama yang secara rasmi diterima dalam PAS semenjak 1982. Dalam kiraan itu, umur kepimpinan ulama kini sudah mencapai 37 tahun - berbaki tiga tahun lagi.

Dalam buku "Memoir Politik Asri: Meniti arus", Datuk Asri Muda ada menulis bahawa sebelum kepimpinan Ulama PAS, idealisme yang PAS amalkan adalah semangat nasionalis yang disebatikan dalam fikrah Islam.

Namun, apabila berlaku revolusi Iran tahun 1979, idea Wilayatul Faqeh cadangan Ayatollah al-Khomeini yang bermazhab Syiah diterima oleh PAS. Ia diserap secara langsung dalam idealisme perjuangan PAS yang dijenamakan sebagai kepimpinan ulama.

Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh - yang pernah menjawat jawatan pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia - ada menulis bahawa idea kepimpinan ulama PAS merupakan pemikiran yang memisahkan fikrah Islam daripada semangat kebangsaaan Melayu.

Tahun 1983 merupakan titik akhir idealisme percampuran faham kebangsaaan Melayu dan Islam apabila gagasan yang dibawa beberapa tokoh besar dalam PAS seperti Dr Burhanuddin al Helmi, Prof Zulkifli Muhammad dan Dato’ Asri tersingkir daripada kerangka idealismenya.

Menarik untuk direnung, apabila teori tadawul oleh Ibn Khaldun itu meletakkan batasan 40 tahun, sedangkan kepimpinan ulama yang tinggal beberapa tahun sahaja lagi akan mencecah umur 40 tahun; yang PAS pula pada kala ini sedang mengolah persetujuan ahli partinya agar menerima Umno sebagai rakan kerjasama dengan menggunakan istilah “ta’awun siyasi”, “matang dan sejahtera”, serta sedang membawa naratif yang amat berbeza dengan pendekatan PAS turun temurun – menyerang dan bermusuh dengan Umno.

Mungkin pada saat ini, PAS sedang berada dalam landasan perubahan idealisme politik mereka.

Mungkin mereka akan “sujud di kubur” Datuk Asri Muda mengaku salah atas usaha menjatuhkan bekas Yang Di Pertua PAS itu - dengan mengambil semula idea campuran Islam dan fahaman kebangsaan Melayu.

Bahkan, mungkin juga mereka sedang menuju ke arah idealisma yang lebih sedih – penafsiran Islam dalam semangat perkauman.

Pada saya, itu tidak pelik. Apatah lagi, ketika kita mengetahui kenyataan terbaru Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Sarawak baru-baru ini yang menyebut,"...biar Melayu yang menguasai Sarawak ini... kita tidak halau orang Cina, tidak! Tapi jangan orang Cina menguasai Sarawak ini," katanya seperti dipetik lidah rasmi parti itu, Harakahdaily.

WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tiada ulasan: