"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Menjelang PRU16: PN boleh kehilangan 32 daripada 74 kerusi parlimen sekiranya…
Harapandaily
Mohd Yusri Ibrahim
Pas parti politik lama dan berpengalaman luas, mereka bijak membaca dan mencatur gerak politik mereka sendiri.
Sebab itu apabila berdepan beberapa isu berbangkit dalam PN, mereka kembali membuka pintu kepada Umno.
Isu-isu berbangkit tersebut bukan sekadar tentang hubungan dengan Bersatu seperti yang saya sentuh dalam catatan lepas, tetapi juga tentang peluang mereka dalam PRU16 nanti.
Jika situasi politik sekarang tiada perubahan dan UMNO/BN kekal bekerjasama dengan PH menuju PRU16, PN berpotensi hilang sekurang-kurangnya 32 kerusi parlimen yang mereka sandang sekarang, berdasarkan undi yang mereka perolehi berbanding campuran undi sedia ada PH-BN.
Hilang 32 daripada keseluruhan 74 kerusi yang dimenangi dalam PRU15 2022 lalu bukanlah sesuatu yang diingini oleh PN, bahkan akan jadi mimpi ngeri jika benar-benar berlaku nanti.
Sebab itu saya percaya para strategis Pas tidak akan biarkan perkara ini berlaku, mereka adalah parti tunggal yang memenangi kerusi parlimen paling banyak dalam PRU lepas, mereka akan cuba pertahan karisma yang ada.
Saya kurang sentuh tentang Bersatu kerana kekuatan sebenar akar umbi PN adalah Pas, setiap kali pilihan raya, Bersatu hanya bergantung kepada kekuatan jentera PAS.
Jika Pas memilih untuk tinggalkan kerjasama dengan Bersatu dan mereka gagal menumpang mana-mana parti dalam PRU akan datang, Bersatu berisiko hilang dalam radar politik tanah air, seperti yang sedang dialami Pejuang sekarang.
Secara umumnya 32 kerusi yang saya maksudkan itu paling banyak adalah dari Perak iaitu negeri tempat sedang berlangsung PRK Ayer Kuning sekarang.
Jika PH-BN kekal bekerjasama dan senario politik tidak banyak berubah, PN berisiko hilang lapan kerusi di Perak iaitu Gerik, Parit Buntar, Bukita Gantang, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Parit, Pasir Salak dan Lumut.
Pahang pula negeri kedua paling banyak PN berisiko terlepas dengan tujuh kerusi iaitu di Jerantut, Indera Mahkota, Kuantan, Maran, Kuala Krau, Temerloh dan Rompin.
Seterusnya Selangor dengan enam kerusi iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat.
Melaka dan Pulau Pinang pula masing-masing tiga kerusi iaitu di Masjid Tanah, Tangga Batu, Jasin, Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh.
Johor pula berisiko hilang dua kerusi iaitu di Mersing dan paling menarik kerusi yang sedang disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Pengerusi PN di Pagoh juga termasuk dalam senarai.
Selain itu Kedah dan Perlis masing-masing satu kerusi parlimen Kulim Bandar Baharu dan Kangar.
Sebelum kempen Ayer Kuning bermula, pimpinan-pimpinan utama Pas telah membuat kenyataan terbuka menyatakan hasrat untuk kembali menaut kasih dengan UMNO.
Sepanjang kempen PRK ini Pas juga tidak banyak menyerang UMNO, mereka tidak berhasrat untuk membakar sisa-sisa runtuhan piagam muafakat yang ditandatangani sebelum ini.
Dengan harapan besar agar puing-puing tersebut boleh dikutip, disusun dan dipaku semula untuk membina mahligai baru, walaupun mungkin tidak seindah dan sekukuh Taj Mahal, tapi sekurang-kurangnya bolehlah dulu untuk bermadu cinta buat sementara.
Sebab itu Ayer Kuning akan terus dijadikan medan untuk meyakinkan UMNO/BN bahawa kerjasama bersama PH dalam Kerajaan Perpaduan tidak wajar diteruskan.
Berbanding menyerang UMNO/BN, PN lebih banyak menyerang PMX dan Kerajaan Madani secara umum di Ayer Kuning.
Secara tidak langsung ini juga memberi keuntungan kepada UMNO/BN, mereka boleh fokus kepada strategi kempen tanpa banyak gangguan, seterusnya berusaha untuk capai kemenangan dengan majoriti besar yang mereka sasarkan.
Mohd Yusri Ibrahim ialah pensyarah kanan di Universiti Malaysia Terengganu
Nelayan warga Kemboja maut terkena libasan tali pukat tunda
Bernama
IPOH: Seorang awak-awak warga Kemboja ditemukan maut selepas dipercayai terkena libasan tali papan besi pukat tunda dalam kejadian kira-kira 23 batu nautika di perairan barat Kuala Kurau semalam.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu dilaporkan oleh majikan mangsa pada 4.15 petang.
Menurut kenyataan itu, sebuah aset Maritim Malaysia segera diatur gerak ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.
"Pada masa sama, Pusat Operasi Zon menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan perubatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
"Namun, setelah pasukan bantuan tiba di lokasi, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh petugas KKM yang membuat pemeriksaan," menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan turut memaklumkan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut dan segera melaporkan sebarang kecemasan yang berlaku.
"Sebarang kejadian boleh dilaporkan terus kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-727 9919 atau melalui talian kecemasan 999 bagi tindakan segera," katanya.
Pemilihan PKR: Nik Nazmi tewas pada Afdlin
Malaysiakini

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatan ketua cabang PKR Setiawangsa selepas tewas kepada kepada pengarah dan pelakon Afdlin Shauki.
Afdlin menang dengan 631 undi berbanding Nik Nazmi 563 undi.
Mengikut borang keputusan PKR, hanya 1,207 undi dikeluarkan walaupun 1,640 orang layak mengundi.
Nik Nazmi ialah Ahli Parlimen Setiawangsa.
Afdlin sebelum ini menyifatkan Nik Nazmi "terlalu sibuk" dengan tugas lain, justeru dia ingin menawarkan alternatif kepada ahli akar umbi.
Ini merupakan kali kedua Afdlin mencabar Nik Nazmi bagi jawatan ketua cabang. Dia sebelum ini juga berkata pasukannya terlibat dengan ahli parti yang mendakwa "tidak pernah bertemu" Nik Nazmi selama memegang jawatan ketua cabang.
Pemilihan PKR peringkat cabang bermula dari 11 April dan akan berakhir esok.
Sementara itu, dalam pemilihan parti Bukit Bintang, Timbalan Menteri Perpaduan Senator K Saraswathy kehilangan jawatan ketua cabang kepada Anwar Pawan Chik.
Anwar menang dengan 807 undi berbanding Saraswathy 683, yang diikuti rapat oleh Sivamalar Genapathy (664).
Saraswathy sebelum ini mengumumkan keputusannya untuk bertanding di bahagian Bukit Bintang, memetik pengalamannya selama 26 tahun berkhidmat kepada masyarakat di sana.
Bagi cabang Batu, ahli parlimen kawasan itu, Prabakaran Parameswaran tewas pada peguam Asheeq Ali Sethi Alivi dengan kelebihan 153 undi.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menang tanpa bertanding di Lembah Pantai.
Fahmi juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!
Kelantan: Lelaki maut dihempap pokok tumbang
Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my

LELAKI maut dihempap pokok tumbang di Tok Bali, Pasir Puteh, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca.
Pasir Puteh: Lelaki maut dihempap pokok tumbang ketika menunggang motosikal berhampiran Balai Polis Marin Tok Bali, di sini, hari ini.
Mangsa, Ramli Mohd Rahim, 51 meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tok Bali, Fakarudin Abu Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian jam 4.18 petang.
Katanya, setibanya di tempat kejadian didapati sebatang pokok tumbang menghempap seorang lelaki bersama sebuah motosikal.
"Pihak bomba memotong dahan pokok dan dialihkan daripada badan mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Imigresen serbu restoran Arab popular di Bukit Bintang, 45 pekerja asing ditahan
Bernama
Operasi JIM Kuala Lumpur malam tadi dilancarkan susulan aduan awam. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menahan 45 warga asing termasuk lima wanita yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen, selepas menyerbu lapan premis menjual makanan Arab popular di Bukit Bintang, di sini semalam.
Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata kesemua mereka merupakan pekerja restoran berkenaan yang berumur 21 hingga 45 tahun.
Beliau berkata mereka terdiri daripada 14 warganegara Yaman, Bangladesh (10 orang), Syria (tujuh orang), masing-masing empat dari Pakistan dan Mesir; Indonesia (tiga orang) serta seorang dari Myanmar, Afghanistan serta Filipina.
"Mereka melakukan pelbagai kesalahan imigresen, antaranya salah guna pas, tidak mempunyai permit sah dan pas tamat tempoh," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Mohammed Saupee berkata operasi sejam bermula 10.40 malam itu dilancarkan susulan aduan awam, dan ia melibatkan 35 pegawai dan anggota JIM Kuala Lumpur.
"Tinjauan awal dan risikan JIM Kuala Lumpur juga berjaya mematahkan cubaan pekerja warga asing berkenaan menyamar sebagai pelanggan ketika serbuan," katanya.
Kesemua mereka dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Polis cari pembeli Kia Sonata BGK2338
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

Keadaan kereta yang terbalik dan terbakar menyebabkan pemandunya rentung di Kilometer 65.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, malam tadi. FOTO IHSAN PDRM
Pendang: Polis sedang mencari pembeli kereta Kia Sonata untuk membantu siasatan kemalangan yang menyebabkan seorang individu rentung di Kilometer 65.4 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya berjaya mengesan pemilik kereta itu untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, kereta yang bernombor pendaftaran BGK 2338 itu adalah milik seorang wanita yang sudah dijual kepada seorang lelaki pada tahun 2016 tanpa menukar nama.
"Sekarang ini kita sedang mengesan pembeli melalui pemilik kenderaan terbabit bagi memudahkan kami mendapatkan identiti pemandu yang rentung dalam kemalangan itu.
"Kita turut menggunakan khidmat pegawai Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk mendapatkan nombor casis kereta berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, seorang pemandu kereta ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 65.4 Lebuhraya Utara Selatan, menghala ke utara, di sini malam tadi.
Kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik serta terbakar sehingga menyebabkan pemandunya rentung.
Pengurusan lama Menara KL dakwa pejabat diceroboh, aset dirosakkan
Malaysiakini
Isu Menara Kuala Lumpur terus berlanjutan dan terbaru syarikat pengurusan sebelum ini, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan Hydroshoppe Sdn Bhd (HSB) membuat laporan polis berhubung kerosakan barangan mereka di premis berkenaan.
Dalam satu laporan polis yang dibuat semalam, pihak MKLSB dan HSB meminta polis menyiasat jika wujud unsur khianat terhadap aset milik MKLSB di Menara Kuala Lumpur.
Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Pengarah urusan MKLSB, Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh, berkata dia meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya sekiranya wujud unsur khianat.
"Pihak kami mengharapkan agar siasatan lanjut dapat dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang unsur khianat yang disengajakan terhadap aset milik MKLSB.
"Sekiranya siasatan membuktikan wujudnya unsur khianat, tindakan susulan yang sewajarnya hendaklah diambil selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Tindakan memusnahkan atau dengan sengaja merosakkan harta milik MKLSB adalah suatu perbuatan yang tidak beretika dan mencerminkan tingkah laku tidak profesional yang sama sekali tidak wajar ditunjukkan oleh mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, MKLSB dan HSB mempersoal tindakan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang memasuki premis Menara Kuala Lumpur bagi menyita dan mengusir mereka sedangkan isu berkenaan telah dibawa ke mahkamah.
Abdul Hamid berkata, sepatutnya isu berkenaan kekal sebagai status quo sehingga mahkamah membuat keputusan dan pihaknya tidak patut diusir.
Dia mendakwa tiada pihak yang sepatutnya mengganggu status quo sehingga tarikh perbicaraan.
Sementara itu, Abdul Hamid mendakwa sebelum ini terdapat insiden di mana kakitangan MKLSB menerima ugutan untuk dicederakan kerana enggan menerima tawaran LSHSM.
"Sebelum ini juga terdapat insiden di mana kakitangan MKLSB telah menerima ugutan untuk dicederakan berikutan keputusan untuk tidak menerima tawaran daripada LSHSM, memandangkan tawaran tersebut tidak menepati prinsip 'no less favourable'.
"Sehubungan itu, pihak kami mengharapkan agar PDRM mengambil tindakan yang tegas dan telus susulan laporan yang telah dikemukakan," katanya lagi.
Berdasarkan laporan polis dan gambar yang diedarkan, kerosakan aset itu membabitkan rak dalam satu pejabat yang didakwa telah diceroboh masuk oleh pihak tertentu.
Pencerobohan itu mengakibatkan barangan peribadi telah hilang serta cermin kaca sebuah rak juga telah dipecahkan.
Sementara itu, Abdul Hamid ketika dihubungi Malaysiakini memaklumkan bahawa pihak polis mengesahkan tidak menjalankan siasatan terhadap laporan polis itu.
"Petang semalam selepas laporan polis dibuat saya dimaklumkan bahawa pihak polis tidak akan menjalankan siasatan lanjut," katanya.
Pemandu rentung kereta terbakar langgar pembahagi jalan
FMT Reporters
Identiti mangsa dalam kejadian di Kilometer 65.3 Lebuhraya Utara Selatan, menghala ke utara itu belum dikenal pasti.
Bomba menerima maklumat pada 11.36 malam berhubung kejadian kemalangan mengakibatkan sebuah kereta terbakar dan pemandunya rentung. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Pemandu ditemui rentung dalam sebuah kereta yang melanggar pembahagi jalan di Kilometer 65.3 Lebuhraya Utara Selatan, menghala ke utara, di Pendang, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak Mohd Happyzam Abd Rasid berkata kejadian itu membabitkan sebuah kereta yang terbabas dan melanggar pembahagi di sebelah kiri jalan sebelum terbalik serta terbakar.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 11.36 malam.
“Komander Operasi memaklumkan ada seorang mangsa didalam kereta terbabit dan tindakan operasi kerja-kerja pemadaman dilakukan sehingga api berjaya dikawal pada 12.40 tengah malam.
“Mangsa rentung namun identitinya belum dikenal pasti,” katanya menurut Berita Harian.
Pelajar jual gambar bogel: Pengetua sekolah menengah di Kulai letak jawatan
FMT Reporters
PETALING JAYA: Pengetua Sekolah Menengah Foon Yew di Kulai meletakkan jawatan susulan penahanan dua pelajarnya yang disyaki menghasilkan dan menjual imej bogel palsu wanita menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Dalam kenyataan hari ini, lembaga pengarah sekolah tersebut memaklumkan bahawa surat perletakan jawatan daripada pengetua Gan Chuang Chee telah diterima pada 12 April lalu.
“Lembaga mengambil serius perkara ini, dan dalam mesyuarat bulanan pada 17 April, kami sebulat suara bersetuju untuk menghormati keputusan Gan,” kata kenyataan itu.
Lembaga turut memaklumkan bahawa satu pasukan bebas terdiri daripada lima ahli ditubuhkan bagi menyemak aduan yang dikemukakan oleh bekas pelajar berkenaan perkara itu.
Awal bulan ini, beberapa pelajar perempuan dan bekas pelajar membuat aduan bahawa gambar mereka telah disalahgunakan untuk mencipta imej bogel palsu yang kemudiannya dijual secara dalam talian.
Pada Rabu lalu, polis Iskandar Puteri memperoleh perintah reman terhadap dua remaja lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penjualan imej tersebut.
Salah seorang suspek berusia 16 tahun dan seorang lagi berumur 19 tahun. Suspek 16 tahun dipercayai menggunakan perisian AI serta gambar dari media sosial untuk mencipta imej bogel menggunakan wajah mangsa, sebelum menjualnya secara dalam talian pada harga RM2 setiap satu.
Empat tampil dengan SD dakwa saksi mata Arafat keluarkan pistol
N Faizal Ghazali
Empat individu tampil dengan akuan berkanun (SD) dan mengaku sebagai saksi mata serta mendakwa melihat Adun Hulu Kinta, Arafat Varisai Mahamad mengeluarkan pistol dalam kejadian pada 13 April lalu.
Preseen Nair Vijayakumaran, 34, menegaskan bahawa insiden Arafat mengeluarkan sepucuk pistol adalah benar dan bukanlah satu tuduhan palsu mahupun fitnah.
“Saya sendiri merupakan saksi mata kepada kejadian tersebut, bersama beberapa individu lain yang turut menyaksikan insiden itu dengan jelas.
“Kami telah tampil membuat SD bagi mengesahkan perkara ini secara rasmi dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
SD tersebut turut dibuat oleh lima individu lain, manakala dua daripada mereka tidak hadir pada sidang media yang diadakan di Ipoh hari ini kerana bekerja.
Selain Preseen Nair, SD tersebut turut dibuat oleh G Hasvin Kumara, 29; V Sehghar, 27; G P Nagaindran, 29; V Kavish Nair, 22 dan R Narayanasamy, 44.
Kesemua mereka merupakan ahli PKR cabang Tambun.
Pada 13 April lalu Malaysiakini melaporkan Arafat yang juga penyandang Ketua Cabang PKR Tambun menafikan dakwaan dia menunjukkan pistol kepada pencabarnya semasa kempen pemilihan parti.
“Setiap kali tempoh pemilihan parti akan ada yang memfitnah untuk kepentingan politik calon yang menentang saya dalam pemilihan," katanya yang turut membuat laporan polis susulan dakwaan itu.
PKR Tambun bersama cabang-cabang lain di Perak telah mengadakan proses pemilihan parti pada Ahad lalu.
Arafat bagaimanapun tewas berdepan pencabarnya Shamsul Kamar Ani bagi jawatan Ketua Cabang PKR Tambun.
Terdahulu, A Kalaimughilan, yang merupakan rakan sepasukan Shamsul memuat naik satu video mendakwa Arafat hadir ke lokasi kempen dan menunjukkan pistol ke arah kumpulan mereka.
Kalaimughilan bersama beberapa individu lain mendakwa mereka mempunyai bukti bagi menyokong dakwaan tersebut.
Dia turut mendakwa Arafat mengugut beberapa calon dalam pertandingan kali ini.
Preseen Nair berkata mereka dimaklumkan satu laporan polis telah dibuat oleh wakil pihak Arafat terhadap Kalaimughilan yang dikatakan membuat laporan palsu dan fitnah.
Tegasnya, individu yang membuat laporan bagi pihak Arafat itu tidak berada di tempat kejadian.
“Maka, timbul persoalan tentang asas kepada dakwaan bahawa laporan asal adalah tidak benar.
“Lebih mengelirukan, individu tersebut merupakan pegawai perhubungan yang bertugas di Pejabat YB Arafat, dan kenyataannya tanpa disokong fakta kukuh dilihat sebagai satu cubaan mengganggu proses siasatan pihak polis.
“Kami menyeru agar semua pihak memberikan ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara adil, bebas, dan telus,” katanya.
Katanya, kesemua mereka juga telah dipanggil pihak polis bagi memberi kenyataan bagi membantu siasatan kes tersebut.
Sehubungan itu tambahnya, mana-mana pihak yang selepas ini mengeluarkan kenyataan atau membuat laporan polis yang mendakwa kejadian ini tidak berlaku, mereka sebenarnya menyebarkan maklumat palsu dan melakukan pembohongan secara terbuka.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis terhadap individu-individu tersebut.
“Berkenaan kenyataan media yang dikeluarkan oleh YB Arafat bahawa objek yang dikeluarkan hanyalah sebuah lampu suluh (torch light), kami mempersoalkan
rasional dan keperluan mengeluarkan lampu suluh dalam suasana siang hari yang terang, apatah lagi ketika situasi tegang.
“Secara logik, penjelasan tersebut adalah tidak munasabah dan mencurigakan. Kami ingin menegaskan bahawa kami tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan memutarbelitkan fakta mahu pun menutup kebenaran.
“Kami yakin bahawa pihak berkuasa akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti demi menjaga ketenteraman awam dan menegakkan keadilan,” kata Preseen Nair lagi.
Pengetua sekolah letak jawatan susulan skandal seks
Malaysiakini
Pengetua Sekolah Menengah Foon Yew di Kulai, Johor, telah meletak jawatan di tengah-tengah pelbagai dakwaan salah laku seksual yang berlaku di kawasan sekolah dan dakwaan salah laku pihak sekolah dalam kes sedemikian.
Dalam satu kenyataan, lembaga pengarah sekolah itu berkata ia menerima surat peletakan jawatan Gan Chuang Chee pada 12 April dan sebulat suara bersetuju untuk menghormati "kehendak peribadinya" semasa mesyuarat semalam.
Kenyataan hari ini tidak menjelaskan alasan di sebalik peletakan jawatan itu, tetapi berkata ia akan mengikut prosedur yang ditetapkan untuk memastikan peralihan yang lancar dan terus menyediakan persekitaran yang berkualiti tinggi untuk pengajaran dan pembelajaran.
Kenyataan itu juga berkata menyebut mengenai aduan oleh bekas pelajar yang akan diserahkan kepada jawatankuasa bebas yang terdiri daripada lima anggota. Namun, tiada perincian lanjut dinyatakan.
Awal bulan ini, pelajar dan bekas pelajar wanita sekolah itu mengadu bahawa gambar mereka disunting oleh seorang pelajar lelaki, tanpa persetujuan mereka, secara tidak senonoh.
Mereka mendakwa imej lucah itu kemudian dijual dalam kumpulan sembang untuk keuntungan, dan pihak sekolah didakwa hanya memberi teguran kepada pelaku.
Susulan itu, lembaga pengarah sekolah itu menjelaskan pada 10 April bahawa pelaku yang didakwa telah dibuang sekolah, tetapi mengakui ia gagal menangani isu itu dengan pantas.
Polis juga telah menahan seorang lelaki berusia 16 tahun yang dikatakan dalang dan seorang suspek berusia 19 tahun untuk membantu siasatan.
Sejak insiden berhubung imej yang disunting itu, dakwaan lain mengenai salah laku seksual dan aduan mengenai salah pengendalian sekolah telah timbul, melibatkan kampus rumah di Johor Bahru dan cawangan di Kulai.
Dalam satu dakwaan yang tersebar luas, seorang bekas pelajar mendakwa sebagai graduan 2012 dari cawangan Kulai menuduh bekas gurunya menyentuhnya secara tidak wajar kira-kira 15 tahun lalu.
Dia mendakwa "Guru G" akan menyentuh kepalanya, memegang tangan dan pinggangnya, dan tingkah laku lain.
Dia berkata ia mengambil masa 10 tahun untuk introspeksi dan terapi, dan pergerakan #MeToo di Taiwan pada 2023 mendorongnya menerima hakikat bahawa tingkah laku guru itu bukan dengan kasih sayang, dan dia menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa.
Nanyang Siang Pau memetik pengerusi lembaga sekolah yang menyatakan pada 12 April bahawa guru itu telah diberi cuti, berkuat kuasa keesokan harinya, sementara menunggu siasatan.
Kahwini Wanita Tempatan, Warga Asing Nikmati Hidup Mewah Dengan Pendapatan RM55,000 Sebulan
Warga Asing Kahwin Wanita Tempatan, Nikmati Hidup Mewah Dengan Pendapatan RM55,000 Sebulan
Hizam Jaafar
Kira-kira RM55,000 sebulan pendapatan peniaga warga Bangladesh yang berkahwin dengan wanita tempatan, hasil perniagaan di Brickfields menurut Kosmo Online.
Bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 47 tahun itu terbongkar apabila pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu malam tadi mendapati beliau mengambil bekerja tiga pekerja asing yang tidak memiliki permit sah.
Mereka tolong sahaja
“Mereka tolong sahaja, bukan kerja tetap. Saya bayar mereka sebanyak RM45 hingga RM70 sehari,” katanya.
Dalam operasi bersama JIM KL, KPDN, dan DBKL, 17 individu ditahan, terdiri daripada majikan asing, dua pasangan suami isteri tempatan, dan beberapa warga Bangladesh serta Pakistan.
“Individu ditahan terdiri daripada 13 lelaki Bangladesh dan dua lelaki Pakistan termasuk seorang majikan warga asing dan dua majikan tempatan yang merupakan pasangan suami isteri.
“Tindakan ke atas pekerja, majikan dan pelanggan itu membabitkan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa, menyalahgunakan syarat pas sah serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
Wan Mohammed Saupee menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c), 6(1)(c), 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen.
Tertelan emas, budak 11 tahun terpaksa dibedah
Agensi
SINAR-X menunjukkan perut Qian membengkak. FOTO Douyin
Beijing: Tindakan kanak-kanak di timur China tertelan jongkong emas membawa padah apabila perutnya membengkak.
Lapor South China Morning Post (SCMP), kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu termakan jongkong emas seberat 100 gram semasa bermain di rumahnya.
Berdasarkan laporan Modern Express, logam berharga itu berjaya dikeluarkan doktor di sebuah pusat perubatan terkemuka di Suzhou, wilayah Jiangsu, selepas pembedahan pada awal April lalu.
Selepas menelan jongkong emas, Qian memberitahu ibu bapanya dia merasakan sedikit bengkak di perutnya, walaupun tidak mengalami sebarang ketidakselesaan di bahagian badan lain.
Ibu bapanya yang bimbang segera ke Hospital Kanak-Kanak Gabungan Universiti Suzhou untuk pemeriksaan menyeluruh.
Pemeriksaan sinar X mendedahkan, objek logam berketumpatan tinggi tersangkut di saluran usus kanak-kanak lelaki itu.
Pada mulanya, doktor menganggap pendekatan konservatif, memandangkan kanak-kanak itu tidak menunjukkan gejala teruk.
Mereka memberikan ubat-ubatan untuk menyebabkan kanak-kanak itu cirit-birit dengan harapan jongkong emas akan dikeluarkan secara semula jadi.
Bagaimanapun, selepas dua hari berlalu, sinar X susulan mengesahkan objek asing itu kekal tidak bergerak di dalam badannya.
Disebabkan peningkatan risiko halangan atau perforasi dalam saluran ususnya, doktor memutuskan untuk meneruskan pembedahan dengan segera bagi mengeluarkan objek asing itu.
Pasukan pembedahan memilih teknik penyingkiran objek asing endoskopik yang mengelakkan hirisan besar.
Dua pakar bedah mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan objek itu selepas berjaya mengatasi cabaran kerana saiznya besar dan permukaannya yang licin.
-hmetro
Penumpang jadi hero, tembak mati individu mahu rampas pesawat
AFP
Guatemala City: Seorang penumpang pesawat kecil dari Belize terpaksa menembak mati warga Amerika Syarikat (AS) yang bersenjatakan pisau dan cuba merampas pesawat itu.
Pesuruhjaya Polis Chester Williams berkata, suspek yang maut itu mengancam juruterbang selepas pesawat Cessna Grand Caravan dari Tropic Air berkenaan berlepas dari bandar Corozal, pada waktu pagi.
Ketika kejadian, pesawat membawa 14 penumpang.
"Pesawat menuju ke pulau San Pedro di Belize, tetapi lelaki itu mengarahkan juruterbang untuk ke luar negara.
"Pesawat itu berlegar di atas lapangan terbang antarabangsa Belize City sebelum mendarat ketika ia hampir kehabisan minyak, di mana suspek itu menikam dua penumpang," katanya kepada berita Channel 5.
Menurut pegawai dan media tempatan, seorang penumpang mempunyai senjata api berlesen terpaksa menembak mati penyerang itu bagi menyelamatkan keadaan.
Polis mengenal pasti penyerang itu sebagai warga AS yang juga bekas tentera, Akinyela Sawa Taylor, 49.
Penumpang yang cedera dibawa ke hospital.
-hmetro
Jurutera didakwa rakam video bogel bekas kakak ipar
Sinar Harian
Tertuduh (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di Melaka, hari ini. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang jurutera duda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Jumaat, atas tuduhan merakam video bogel bekas kakak ipar menggunakan sebatang pen kamera di dalam tandas rumah bekas isterinya.
Bapa kepada dua cahaya mata itu membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Asyikin Rosli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa hendak mengaibkan kehormatan dan menggangu kesantunan seorang wanita berusia 40 tahun dengan cara merakam video menggunakan pen kamera tersembunyi dalam keadaan bogel.
Kesalahan itu dilakukan dalam bilik air di sebuah rumah di Tanjung Kling di sini, kira-kira jam 2 petang pada pertengahan Jun tahun lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau keduanya sekali, sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang diwakili peguam Kent Tan Chow Teng merayu jaminan rendah kerana anak guamnya perlu menafkah dua anak yang masih kecil berusia dua dan empat tahun termasuk ibu bapanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 selain menetapkan 4 Jun depan sebagai sebutan semula kes.
Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan seorang lelaki diburu polis selepas disyaki merakamkan video isteri, kakak ipar dan anak saudara mandi menggunakan kamera tersembunyi berbentuk pen.
Tindakan jahat lelaki berusia 35 tahun itu disedari isterinya berusia 27 tahun yang terjumpa kamera pengintip di dalam beg individu terbabit di rumah mereka sebelum mereka bercerai pada Januari lalu.
Sumber berkata, wanita itu menyemak kandungan fail di dalam pen kamera tersebut antara Jun hingga Oktober tahun lalu selain membuat semakan di komputer riba suaminya secara diam-diam dan mendapati terdapat beberapa keping rakaman video dan gambar ahli keluarganya.
Lebih menyedihkan lagi pemeriksaan di telefon bimbit bekas suami juga menjumpai video rakaman kakaknya berada di dalam bilik tidur dan bilik air yang dirakam secara curi-curi. - Sinar Harian
Gaduh rebut kekasih, bapa 2 anak antara 3 didenda RM1,200
FMT Reporters
PETALING JAYA: Tiga rakan, termasuk seorang bapa dua anak masing-masing didenda RM1,200 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas tuduhan membelasah seorang lelaki dalam perebutan teman wanita lima tahun lalu.
Harian Metro melaporkan Ng Yeong Jye, 22, Ng Jia Xin, 21, dan Lim Song Ying, 20, dijatuhkan hukuman itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Arun Noval Dass.
Mereka didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang remaja 17 tahun di sebuah kedai makan di Taman Setia Jaya pada 12.30 tengah malam 2 Dis 2020.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintah tiga tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda itu. Semua tertuduh kemudian membayarnya.
Sultan Pahang: Tamatkan pencerobohan, sudah 4 dekad tanah dirompak
Malaysiakini
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu kemelut pencerobohan tanah secara haram di negeri ini dinoktahi.
Al-Sultan Abdullah bertitah sebanyak 14,494.9 hektar tanah kerajaan telah diceroboh dan diusahakan secara haram dengan tanaman sawit, getah, durian dan pelbagai hasil bumi.
Baginda bertitah seluas 5,997.09 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) juga telah diceroboh, kononnya atas nama pertanian, tetapi hakikatnya perompakan terbuka terhadap harta negeri.
"Masalah ini bukan baru bermula semalam, ia telah berakar sejak lebih empat dekad yang lepas, ia berlaku tanpa pengetahuan beta namun bukan niat beta untuk mengungkit kisah lama atau menambahkan kekusutan.
"Kita tidak mahu terus dibelenggu oleh bayang-bayang masa silam. Sebaliknya, kita berhasrat untuk menoktahi kemelut pencerobohan tanah secara haram ini. Biarlah kisah lalu itu menjadi pengajaran.
"Jika ada unsur rasuah, salah guna kuasa atau pengkhianatan terhadap amanah, biarlah Allah SWT yang Maha Adil menentukan dan menjatuhkan hukumnya," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Al-Sultan Abdullah bertitah seiring dengan keputusan kerajaan negeri, baginda menegaskan tidak akan ada sebarang kelulusan baharu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram.
Titah baginda ia adalah prinsip yang tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menjaga amanah kepada negeri dan rakyat.
"Tambahan pula keadaan hari ini sangat membimbangkan, apabila ada yang sengaja meniupkan api sentimen demi meraih simpati, seolah-olah pencerobohan ini satu bentuk perjuangan.
- Bernama
Fitnah vaksin: KJ menang saman, dapat ganti rugi RM2.5 juta
Malaysiakini
Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memperoleh ganti rugi RM2.5 juta selepas menang dalam kes saman terhadap Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq berhubung vaksin COVID-19 yang dimuat naik di media sosial, tiga tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan demikian selepas membenarkan saman fitnah difailkan Khairy, 49, yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau selaku plaintif terhadap Mohd Rasyiq, 45, sebagai defendan.
Hakim itu turut memerintahkan defendan membayar kos RM50,000 kepada plaintif.
Pada 25 Jan 2022, Khairy menyaman Mohd Rasyiq atas dakwaan memfitnahnya dengan membuat beberapa kenyataan fitnah termasuk menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Okt 2021 serta pada 6 dan 10 Jan 2022.
Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dirinya telah diberi vaksin COVID-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.
- Bernama
Remaja maut kena renjatan elektrik ketika memanah ikan
Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Kota Marudu: Seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memanah ikan di sungai Kampung Minansad, di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 15 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat renjatan elektrik daripada kabel elektrik putus yang terkena air berdekatan lokasinya memanah ikan.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, hasil siasatan mendapati bapa mangsa dimaklumkan anaknya bersama tiga rakannya pergi memanah ikan di sungai berkenaan, kira-kira jam 7 malam.
"Jarak antara rumah mangsa dengan sungai kira-kira satu kilometer. Sejam selepas itu salah seorang rakannya datang ke rumah mangsa dan memberitahu mangsa terkena renjatan elektrik ketika berada di dalam sungai.
"Bapa mangsa kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa berada di dalam sungai dalam keadaan kabel elektrik berada di tangannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui apa-apa kesan jenayah yang menyebabkan kematian mangsa.
"Mangsa kemudian dibawa naik ke daratan oleh pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Kota Marudu.
"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk tujuan pemeriksaan lanjut," katanya.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Ini betul-betul kena kencing: Penumpang kelas perniagaan basah kuyup kena kencing dalam pesawat
Agensi
Bangkok: Kelas perniagaan penerbangan Air India ke Bangkok huru-hara selepas seorang penumpang membuang air kecil pada penumpang lain.
The Thaiger melaporkan, insiden mengejutkan itu berlaku dalam penerbangan AI 2336 dari New Delhi pada 9 April lalu ketika pesawat itu bersedia untuk mendarat di Bangkok.
Walaupun tandas penerbangan berfungsi sepenuhnya, lelaki itu didakwa membuka zip dan membuang air berdekatan penumpang lain dalam kelas berkenaan.
Mangsa yang dilaporkan sebagai pengarah urusan sebuah syarikat, dikatakan terkejut selepas terkena air kencing lelaki itu, manakala kakitangan syarikat penerbangan bergegas untuk menangani keadaan.
Kru kabin juga sempat menawarkan bantuan kepada penumpang yang basah kuyup itu untuk membuat aduan di Bangkok, namun dia menolak pada masa itu, mungkin masih terkejut dengan insiden itu.
Sementara itu, Air India mengesahkan perkara itu sudah dilaporkan kepada polis dan satu jawatankuasa akan menyiasat sama ada suspek akan disenarai hitamkan dari penerbangan akan datang.
"Selain memberi amaran kepada penumpang yang tidak dikawal itu, anak kapal kami menawarkan untuk membantu mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa di Bangkok, tetapi ditolak pada masa itu," kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.
Polis kini sedang menyiasat pesawat Air India itu atas insiden terbabit.
Lelaki yang tidak disebutkan namanya itu dilaporkan meminum alkohol.
Insiden itu menambahkan lagi reputasi buruk syarikat penerbangan itu yang sebelum ini mempunyai rekod kes minuman keras.
Menteri Penerbangan Awam India, Ram Mohan Naidu Kinjarapu berkata, penumpang itu akan diambil tindakan jika didapati bersalah.
"Setiap kali kejadian seperti ini berlaku, kementerian mengambil maklum.
"Jika ada salah laku, kami akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
Pemimpin Bersatu dakwa Muhyiddin langkau MT untuk lantik Ali
Elill Easwaran
Seorang pemimpin Bersatu kata Majlis Tertinggi Bersatu tidak pernah lulus pelantikan Ali Mohamad sebagai timbalan ketua penerangan.
Muhyiddin Yassin Ali Mohamad
Seorang pemimpin Bersatu kritik Presiden Muhyiddin Yassin kerana ‘cipta’ jawatan untuk Ali Mohamad.
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu mengkritik Presiden Muhyiddin Yassin berhubung pelantikan Ali Mohamad sebagai timbalan ketua penerangan, mendakwa keputusan itu dibuat secara unilateral.
Bercakap dengan syarat tidak dinamakan, pemimpin itu terkejut dengan pelantikan itu kerana Ali sedang disiasat atas dakwaan rasuah dan ditahan reman.
Pemimpin itu berkata Muhyiddin melangkaui Majlis Tertinggi (MT) Bersatu untuk melantik Ali, walaupun bekas ahli Umno itu hanya menyertai parti itu pada April tahun lalu.
“MT Bersatu tidak pernah meluluskan pelantikan ini. Mengapa Muhyiddin beri layanan istimewa?” katanya.
Beliau juga berkata jawatan itu tidak pernah wujud sebelum ini dan nampaknya baru diadakan.
“Tidak pernah ada jawatan ‘timbalan ketua penerangan’ dalam sejarah Bersatu. Jawatan itu dicipta untuk Ali,” katanya kepada FMT.
“Muhyiddin mesti bertanggungjawab kerana bersetuju melantik Ali sebagai timbalan ketua penerangan walaupun umum sedar tentang desas-desus masalah yang dihadapi Ali sebelum pelantikan ini.”
Kritikan ini berlatarkan siasatan membabitkan Ali, yang pernah menjadi timbalan presiden Dewan Negara dari Disember 2020 hingga Mei 2023.
Ali juga pernah menjadi pengerusi Umno Melaka, dan bertanding di DUN Sungai Udang pada PRN 2021 namun tewas dengan perbezaan tipis 530 undi.
Ali ditahan pada 14 Apr dan direman sehingga 20 April bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Menurut sumber, Ali dipercayai menerima rasuah daripada seorang pemilik syarikat sekitar 2021 hingga 2023, didakwa sebagai balasan kerana memberikan kerja menambak laut di perairan Kota Laksamana.
Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz dilapor menjelaskan bahawa dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan Ali itu berlaku ketika beliau masih berada dalam Umno.
Mufti Perlis: 'Bidaah bakar jubah Walid'
Ammar Izzudin Zainudin
Drama web tempatan Bidaah arahan Mohd Fazli Yahya muncul fenomena baru apabila menyentuh isu paling sensitif dalam masyarakat – penyalahgunaan agama oleh golongan berkepentingan.
Terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd milik Erma Fatima dan ditayangkan secara eksklusif di platform Viu Malaysia-Indonesia, Bidaah bukan sekadar kisah rekaan semata.
Dengan lebih 2.5 bilion tontonan dicatatkan, drama ini menjadi antara naskhah paling tular tahun ini – membongkar sisi gelap manipulasi agama atas nama keimanan.
Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) antara yang tampil mengulas kontroversi drama ini.
“Hebat bagi sebuah karya seni yang berjaya membakar jubah ‘walid-walid’ yang selama ini bersembunyi atas nama kerohanian untuk menghisap harta dan diri pengikut mereka.
"Akhirnya, mereka mula kepanasan dan mengulas dengan penuh emosi.
"Ketika mereka mengangkat jubah bimbang terkena api, mereka terlupa perkara lain pula yang terdedah,” katanya menerusi platform Dr Maza Channel.
Bidaah mengisahkan Baiduri (Riena Diana), seorang wanita muda yang dipaksa menyertai kumpulan radikal bernama Jihad Ummah yang dipimpin oleh Walid Muhammad (Faizal Hussein) – seorang pemimpin karismatik tetapi zalim yang mendakwa dirinya sebagai ‘Imam Mahdi’.
Di sebalik jubah dan gelaran suci itu, terselindung ajaran sesat, perkahwinan paksa, eksploitasi seksual dan kawalan psikologi ekstrem.
Petikan paling menggugah dalam drama ini ialah, “Pejamkan mata, bayangkan muka Walid,” — dialog yang mencerminkan kedalaman manipulasi terhadap pengikut oleh tokoh berkarisma penuh tipu daya.
Klimaks cerita memuncak apabila anak kandung Walid sendiri, Hambali (Fattah Amin), pulang dari Yaman dan mula meragui ajaran ayahnya. Bersama Baiduri, mereka menentang sistem menindas yang beroperasi di bawah nama agama.
Gabungan lakonan kuat, naratif bertingkat dan keberanian menampilkan isu-isu tabu menjadikan Bidaah lebih daripada sekadar tontonan — ia mencerminkan realiti sosial yang menggoncang.
Pendakwah selebriti, Ustaz Amin Idris pula menyoal kenapa drama ini ‘laku keras’ di Indonesia.
“Saya ada bersembang dengan rakan-rakan berasal dari Indonesia yang dikenali ketika belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dahulu, mereka mengatakan bahawa apa yang berlaku di dalam drama tersebut, memang berlaku di Indonesia," katanya seperti dipetik Sinar Harian hari ini.
Amin berkata rakannya memberitahu sudah menjadi kebiasaan di negara jiran apabila seseorang itu memakai jubah dan serban, maka orang ramai lebih mudah percaya.
Bagaimanapun, Amin berkata dia setuju dari sudut lain drama itu boleh merosakkan imej Islam dan golongan agamawan.
Terdahulu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata dia telah menonton siri drama itu dan akan memberi penjelasan terperinci dalam masa terdekat.
"Ada dua perkara utama membuatkan saya berfikir panjang, pertama ialah kesesuaian tajuk drama ini.
"Kedua, gambaran keseluruhan drama yang mungkin memberi perspektif yang kurang tepat kepada orang awam tentang hakikat sebenar tasawuf dan tarekat yang murni menurut al-Quran dan al-Sunnah," katanya.
Dia juga mengucapkan tahniah kepada Pali Yahya dan Erma Fatima berhubung penghasilan drama tersebut.
"Apa jua kaedah penyampaian sama ada salah atau betul dari sudut persepsi dan tanggapan penonton, saya yakin niatnya baik.
“Bertitik tolak dari situ, kita nilai dengan adil, bukan nilai dengan emosi,” katanya, lapor Kosmo Online pada 12 April lalu..
Pelari pecut negara lancar mogok, boikot latihan Ballard
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my

KHAIRUL Hafiz (kiri) dan Zaidatul Husniah memilih meninggalkan kem olahraga negara. FOTO NSTP
Kuala Lumpur: Kemelut dalam kem olahraga kembali panas apabila beberapa atlet pecut mengambil keputusan melancarkan mogok dengan tidak menghadiri latihan yang dikendalikan oleh Pengarah Teknikal Olahraga Malaysia (MA), Robert Ballard, sejak sebulan lalu.
Atlet turut menerima ugutan akan dibuang daripada program jika mereka bersuara meluahkan rasa tidak puas hati terhadap cara pengurusan beliau.
Atas beberapa sebab, terutama apabila prestasi semakin merudum dengan ketara, atlet dalam acara pecut seperti Raja Pecut Asia Tenggara 2017, Khairul Hafiz Jantan, pemenang rekod kebangsaan 100 meter (m) Zaidatul Husniah Zulkifli dan juara berganda Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal memilih meninggalkan kem olahraga negara dan kembali berlatih dengan dipantau jurulatih yang 'dibuang' MA, Mohd Poad Md Kassim.
Isu kejurulatihan semakin parah hari ini, ia tidak hanya membelenggu barisan pelari pecut tetapi turut membabitkan penyumbang utama pingat di Sukan Sea dalam acara baling tukul besi seperti Jackie Wong dan Grace Wong yang dibiarkan terkapai-kapai tanpa jurulatih khusus sejak tamatnya Sukan Asia Hangzhou 2022.
Khairul Hafiz berkata, cara pengurusan Ballard turut menjadi perbalahan apabila selepas hampir dua tahun beliau bergelar Pengarah Teknikal, langsung tiada program direncanakan yang sepatutnya menjadi tugasnya.
"Kami hanya berlatih dan berlatih. Dua tahun tanpa sebarang perancangan. Malah sudah lama kami terperap tanpa kejohanan di luar negara," katanya.
Kata-kata Khairul Hafiz itu diperkuatkan lagi apabila dimaklumkan ketika mesyuarat Ahli Jawatankuasa MA akan menghantar 37 atlet ke Kejohanan Olahraga Asia (ATF) tapi siapakah atlet terpilih kerana atlet sendiri tidak tahu syarat kelayakan dan siapa yang layak beraksi.
Apa yang lebih menimbulkan rasa kurang senang selepas dikhabarkan Ballard menerima gaji yang tinggi sehingga lima angka tapi tiada hasil yang disumbang selepas dua tahun bersama kem olahraga.
"Saya bukan nak burukkan sesiapa, olahraga sudah tak macam dulu. Kesefahaman antara kami dan orang atas langsung tiada.
"Saya pernah diugut, jika tak berlatih dengan dia (Ballard), kontrak tak akan disambung. Sebab saya ingin terus berlari untuk negara saya ikutkan saja.
"Tapi cuba bayangkan daripada catatan masa sekitar 10.5 saat (s), 10.6s lepas berlatih dengan Ballard, terus jadi 10.99s.
"Bila tiada kemajuan, perkara itu disuarakan, ada atlet dihina dan dimaki sesuka hati," kata Khairul.
Perkara yang sama turut disuarakan oleh Zaidatul Husniah, pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 11.49s yang kembali berlatih menggunakan program latihan Poad.
Difahamkan MA sudah menamakan beberapa calon jurulatih namun badan induk itu perlu mengemukakan justifikasi kepada Majlis Sukan Negara.
Atas faktor itu, MA masih belum menamakan jurulatih pecut dan ia bakal memberi impak besar memandangkan tempoh empat bulan pertama tahun ini memerlukan kepakaran jurulatih ketika Sukan Sea hanya berbaki kurang lapan bulan.
Kes borang daftar kelahiran palsu, 14 direman termasuk 3 wanita
FMT Reporters
PETALING JAYA: Tiga wanita antara 14 individu direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Shah Alam bagi membantu siasatan kes mengemukakan borang daftar kelahiran palsu.
Harian Metro melaporkan perintah reman semua individu berusia 28 hingga 49 tahun sehingga 20 April ini dibenarkan Majistret Ameera Mastura.
Permohonan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin dan Pegawai Pendakwa SPRM, Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi.
Sumber berkata, semua individu itu ditahan 12.30 tengah hari hingga 6.30 petang di pejabat SPRM Selangor.
Menurutnya, siasatan mendapati mereka mengemukakan permohonan kad pengenalan dan sijil kelahiran anak kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Ini dibuat menerusi borang daftar kelahiran mengandungi butiran matan palsu berkenaan pengesahan kelahiran bayi sedangkan tiada rekod kelahiran bayi terbabit di hospital terlibat.
“Mereka melakukan perbuatan itu sejak 2015 hingga 2023.”
Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pada 12 Mac lalu, SPRM dilaporkan menahan 16 individu disyaki terbabit rasuah pendaftaran lewat kelahiran bukan warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan berkata, semua suspek berusia 20-an hingga 70-an ditahan menerusi Op Outlander dan Op Birth di beberapa premis, termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang serta Johor.
Katanya, serbuan itu hasil risikan kira-kira setahun dengan kerjasama dan perkongsian maklumat SPRM serta JPN.
Jalur Gemilang silap: Polis tahan ketua editor, timbalan ketua penyunting Sin Chew
Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua editor dan timbalan ketua penyunting Sin Chew Daily hari ini ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka depan akhbar itu.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, kedua-dua individu ditahan untuk siasatan lanjut.
“Kita tahan untuk siasatan dan bawa dua individu terbabit ke pejabat bagi mendapatkan komputer serta barang berkaitan kes bagi siasatan selanjutnya.
“Kedua-dua individu akan dibebaskan dengan jaminan polis malam ini,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, pihak polis merakam keterangan kedua-dua individu itu selama tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Ketua editor itu dikatakan berperanan meluluskan penyiaran ilustrasi tersebut manakala timbalan ketua penyunting terbabit pula adalah pereka grafik bertanggungjawab.
Razarudin berkata, setakat ini, pihaknya menerima 40 laporan berhubung isu itu di seluruh negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Selasa lepas, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka depannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.
Insiden itu mendapat kiritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan sebelum dicetak untuk siaran.
Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Negeri boleh haramkan penjualan vape, banteras penyalahgunaan dadah
Bernama
ALOR SETAR: Kerajaan negeri boleh mengambil tindakan mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape yang kini menjurus kepada penyalahgunaan dadah sintetik baharu.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata perkara itu semakin membimbangkan apabila terdapat pelajar sekolah seawal usia 13 tahun dikesan menggunakan vape mengandungi bahan dicampur dadah yang jika tidak dikekang boleh menjadi ancaman baharu di negara ini.
Beliau berkata terdapat negeri telah mengambil inisiatif mengharamkan penjualan vape yang membawa impak positif dan kerajaan negeri lain disaran mengikut jejak sama sementara menunggu kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang berkaitan.
"Ada sesetengah negeri ambil keputusan itu, maknanya kerajaan negeri pun boleh keluarkan larangan, sebab lesen penjualan di bawah PBT (pihak berkuasa tempatan), sementara nak tunggu kerajaan Pusat nak gubal undang-undang baharu kerajaan negeri boleh ambil tindakan walaupun tak keseluruhan tapi impaknya memang ada.
"Bila tanya saya secara peribadi, vape lagi bahaya daripada rokok, kita perlu ada usaha menjurus ke arah itu kerana apa membimbangkan kita 65 peratus daripada kandungan vape ini ada bahan terlarang seperti methamphetamine dan ekstasi, ini semua bahan disenaraikan sebagai racun," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Johor kekal melarang dan tidak mengeluarkan sebarang kebenaran lesen penjualan vape atau rokok elektronik di negeri itu sejak 1 Januari 2016 serta menguatkuasakan undang-undang melarang menghisap vape termasuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati melakukan urusan jual beli peranti berkenaan.
Ayob Khan menambah semua pihak perlu berusaha menangani isu itu memandangkan vape dilihat mudah dimanipulasi dengan dimasukkan dadah-dadah baharu yang berbahaya sehingga merosakkan masa depan golongan remaja.
"Kajian terbaharu di Kelantan, umur paling muda terlibat vape adalah 13 hingga 17 tahun, dalam kajian itu juga didapati 31 peratus penggunanya aktif, tujuh peratus menggunakan vape secara kerap dan 76 peratus lagi kenal dengan individu yang menggunakan vape," katanya.
Menurutnya lagi, dadah jenis fentanyl yang dikenali 'dadah zombie' turut dikesan digunakan sebagai bahan dalam cecair vape yang kesannya 100 kali ganda berbahaya dan kuat berbanding morfin serta 20 hingga 40 kali lebih kuat daripada heroin.
Dalam pada itu, makmal dadah yang diserbu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam Op Kenari di negeri ini semalam turut membongkar kegiatan memproses cecair vape serta mushroom yang mengandungi dadah.
Katanya dalam operasi itu, pihaknya merampas 110 katrij dan 67 botol cecair vape yang dihasilkan di makmal tersebut untuk dipasarkan di negeri ini, Pulau Pinang dan Lembah Klang.
"Operasi itu melibatkan Zon Kuala Muda, Pendang, Kota Setar dan Pokok Sena di mana seramai 61 orang berjaya ditahan dan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM6 juta dirampas untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan memohon peruntukan RM80 juta daripada Kementerian Dalam Negeri untuk peralatan baharu dalam usaha meningkatkan keupayaan polis mengesan dadah baharu di negara ini.
Negeri-negeri dibawah pentadbiran PAS jadi juara
Kelantan catat kes penyalahgunaan dadah tertinggi, diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah - Ayob Khan
Zuliaty Zulkiffli
ALOR SETAR: Kelantan mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia membabitkan 1,130 kes dalam setiap 100,000 penduduknya.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata Terengganu pula kedua tertinggi dengan 914 kes, diikuti Perlis (965 kes) dan Kedah (898 kes) bagi jumlah penduduk sama.
Beliau berkata, berdasarkan statistik pada 2024, sebanyak 192,857 kes penyalahgunaan dadah direkodkan di seluruh negara,
Daripada jumlah itu, sebanyak 61 peratus daripada mereka yang berusia antara 15 dan 39 tahun, yang tergolong dalam kumpulan umur paling produktif.
"Jumlah itu membabitkan 56 peratus daripada mereka adalah lelaki dan 75 peratus daripadanya adalah Melayu, dengan 37 peratus daripada mereka menganggur," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ayob berkata, daerah Pendang di negeri ini masih mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di seluruh negara iaitu 1,798 bagi setiap 100,000 penduduk.
Beliau berkata, daripada jumlah itu menunjukkan peningkatan daripada 1,333 kes penyalahgunaan dadah bagi setiap 100,000 penduduk yang dilaporkan pada tahun sebelumnya.
"Berdasarkan statistik terkini pada tahun lalu, daerah Pendang masih mencatatkan kes penyalahgunaan dadah paling tinggi di negara ini iaitu 1,789 bagi setiap 100,000 penduduk.
"Selepas Pendang, empat daerah di Kelantan iaitu Kuala Krai (1,442); Bachok (1,315), Tanah Merah (1,275) dan Pasir Putih (1,265) mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini," katanya.
Ayob berkata, berdasarkan kajian, 47 peratus daripada penyalahgunaan dadah kerana pengaruh rakan sebaya, manakala 18 peratus lagi mencuba dadah kerana sekadar ingin mencuba.
Dalam pada itu, Ayob berkata, polis akan meneruskan tindakan membanteras sindiket pengedaran dadah di negara ini susulan serbuan meluas Ops Kenari selama lapan hari di Kedah dan Perlis baru-baru ini, yang bermula pada 9 April lalu.
"Sasaran utama kami ialah pembekal dan pengedar utama.
"Kami sudah mengetahui bahawa ramai pengedar dadah sudah melarikan diri ke negara jiran untuk mengelak daripada ditahan," katanya.
PN dah hilang plot?
Hishamuddin Aun
Seorang pengamat politik dakwa gabungan itu duduk di alam khayalan dan percaya mereka sedang berjaya.
Momentumnya beransur-ansur meningkat selepas lima hari tempoh berkempen PRK Ayer Kuning pada 26 April. Sambil Perikatan Nasional (PN) mula melaungkan keyakinan mampu menarik pengundi bukan Melayu, Barisan Nasional (BN) pula dilihat lebih terkehadapan dalam meraih kepercayaan pemilih.
Dalam pertembungan yang dilabel ‘ustaz lawan ustaz’ — Mohamad Yusri Bakir di pihak BN dan Abd Muhaimin Malek mewakili PN — selain calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS yang membuat penampilan semula selepas PRU15, seorang pengamat politik awal-awal lagi menelah kemenangan calon BN dengan majoriti sekurang-kurangnya empat kali lipat berbanding tiga tahun lalu.
Sudah tentu Setiausaha Agung PN Mohamed Azmin Ali enggan memperakuinya dengan alasan pengundi kaum Cina (21.99%) dan India (14.3%) daripada 31,897 pengundi berdaftar memberikan respons yang positif sepanjang kempen gabungan parti itu setakat ini.
“Pengundi bukan Melayu, kita tahu memberikan pertimbangan isu ekonomi dan peluang perniagaan. Mereka berasakan tiada peluang pekerjaan, tiada pertumbuhan dan peluang ekonomi yang baik di bawah kerajaan Madani,” katanya di Kampung Dato Seri Kamaruddin Tambahan, Bidor semalam.
Sebaliknya, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali lebih cenderung melihat kepada kekuatan jentera pilihan raya BN yang membolehkan Yusri mudah dimobilisasikan kepada pengundi sebagai memberi kelebihan kepada calon kerajaan itu.
“BN cuba memenangi hati pengundi melalui mesej kerajaan Madani mampu menawarkan kestabilan politik dan kemakmuran, bukan hanya di peringkat Persekutuan malah di Perak. Maka mesejnya adalah penting calon BN dikekalkan di kawasan ini.
“Kita lihat di awal ini, mesej kejayaan pentadbiran Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ditonjolkan. Menyatakan keadaan pemulihan negara, ekonomi yang lebih baik, peluang pelaburan untuk Malaysia yang meningkat dan juga pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia,” katanya.
Lawan pula dilihatnya condong kepada isu bersifat peribadi dengan menyerang Anwar di samping memainkan isu 3R (kaum, agama dan raja), antaranya isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dan pengusiran orang Melayu di Kampung Sungai Baru — kedua-duanya di Kuala Lumpur — yang tidak punya banyak kaitan dengan penduduk di Ayer Kuning.
Pengamat politik Raggie Jessy Rithaudeen yang aktif dengan pandangan kritisnya di media sosial berpandangan bahawa PRK Ayer Kuning akan ditentukan oleh pengundi Cina dan pengundi atas pagar yang tidak akan tertarik jika PN terus mengulangi naratif yang sama.
“Pengundi atas pagar ni, mereka mahu melihat apa yang pemimpin atau parti dapat bawa ke meja rundingan. Apakah kebaikan jika mereka mengundi parti berkenaan. Umno faham benda ni, sebab tu dia menunjukkan sikap ingin bertoleransi, ingin berbincang, sebab dia tahu targetnya adalah pengundi atas pagar yang akan lihat lebih daripada (isu) agama, bangsa dan negara tapi isu-isu lain yang dibawa.
“Pengundi Melayu yang progresif, kalau dia lihat boleh bertolak-ansur dengan orang Cina, dia boleh harmoni dengan parti-parti lain, ini mendorong pengundi progresif menjurus kepada Umno. Maknanya kerajaan perpaduan ni dia tahu benar siapa yang menentukan keputusan pilihan raya,” katanya.
Raggie tidak bersetuju dengan pandangan penganalisis yang berasakan BN letakkan seorang ustaz untuk kurangkan kebarangkalian hilang sebilangan undi Melayu.
“Saya tidak lihat sepenuhnya begitu sebab pola pengundian dalam beberapa pilihan raya tunjukkan (pengundi) yang ada dalam Umno sekarang memang melekat dengan Umno dah. Yang pindah menyokong PN pun dah pindah dah. Maknanya pengagihan pengundi dah berlaku masa PRN sebelum ni lagi.
“Kita ada lihat sedikit peralihan pengundi Melayu daripada PN kepada Umno dalam dua PRK (Nenggiri dan Mahkota). Di pihak PN pula, mereka (pengundi tegar Melayu) dah maksimum, soalnya adakah mereka mampu kekalkan jumlah yang ada atau kehilangan lebih ramai lagi,” katanya.
Raggie meramalkan PN akan terus kerugian jika terus memainkan naratif yang sama — canangkan tujuan nak tukar kerajaan setiap kali PRK diadakan — sedangkan rakyat tidak boleh diperdohkan atas kesedaran kerajaan hanya boleh bertukar dalam PRU.
“Belah pembangkang dia akan kutuk kerana itu modus operandi mereka kata Umno terlalu berlembut dan tunduk. Tapi itu hanya didengar penyokong mereka (yang taasub), bukannya pengundi progresif. PN khususnya PAS dia dalam keadaan mengalah, mereka tak lagi berusaha dapatkan pengundi Cina.
“Dia seolah-olah dah mengalah tak dapat undi Cina, dia nak fokus kat Melayu. Tapi Melayu yang mendengar mereka adalah yang dah melekat dengan mereka, jadi tidak akan mengubah keputusan pilihan raya, malah merugikan kerana golongan muda Melayu yang progresif makin duduk di tengah, mereka nak tahu lebih daripada isu agama, bangsa dan negara tapi apa yang lebih daripada itu. Mereka juga mahu dengar apa lagi yang dapat ditawarkan PN berbanding retorik kosong,” katanya.
Membandingkan kedua-duanya, Raggie menyimpulkan gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) tahu faktor penentu dalam PRK Ayer Kuning adalah pengundi atas pagar dan pengundi Cina. Dia tahu tumpuan harus diberi kat situ, jadi untuk pengundi Cina, dia hantar DAP dan MCA.
“Kita lihat di Mahkota kalau DAP dan MCA berkempen bersama, orang Cina teruja dan sudah ada buat pertama kali kerelaan orang Cina yang keluar mengundi iaitu penyokong PH untuk sokong calon Umno. Di situ saja sudah jadi satu kemenangan besar buat Barisan dan dia akan menang berlipat ganda lebih besar jika dia dapat ulangi apa yang berlaku di Mahkota.
“Tapi PAS tak nampak ni dan tak ada usaha dapatkan pengundi Cina dengan retorik yang dimainkan. Ia tidak akan didengar pengundi selain penyokong tegar mereka. Mereka tidak akan dapat lebih dari apa yg mereka capai pada PRU15. Malah, mereka mungkin terus keciciran kerana strategi BN dan PH adalah tepat.
“Penyokong PAS yang duduk di alam khayalan dan percaya mereka sedang berjaya akan dorong pemimpin mereka kekalkan hala tuju yang sama kerana mereka tidak rasional, tidak objektif, tidak menilai perkara seperti siapa sasaran kita, siapa penentu pilihan raya, (sebaliknya) mereka hanya lebih beremosi.
“Tapi apa yang dihasratkan (PN) memang dah tersasar kerana mereka dibuai kepercayaan (konon) orang sebenarnya dah muak dengan kerajaan. Itu satu retorik kosong sebenarnya.
“Yang saya yakin BN akan dapat majoriti sekurang-kurangnya empat kali ganda apa yang mereka dapat dulu. Kejutan, jika berlaku di Ayer Kuning, ialah tiba-tiba majoriti pengundi Cina sokong PN sampai PN menang. Ketika itu saya akan buat ‘live’ dan mengaku saya hilang kata-kata,” tambahnya sebagai kesimpulan.
Hanya kerana gagal 4 subjek peperiksaan, ibu tergamak bunuh anak
Agensi

Rani dituduh membunuh anaknya selepas tidak dapat menerima kenyataan anaknya gagal peperiksaan. FOTO Agensi
New Delhi: Terkilan dan tidak dapat menerima kenyataan anaknya gagal empat subjek dalam peperiksaan, ibu di India ini sanggup membunuh anaknya selepas remaja perempuan itu menipu mengenai keputusan peperiksaannya.
Tertuduh, Bhimaneni Padmini Rani, adalah penduduk Shastrinagar di Banashankari.
Polis menahannya atas tuduhan menikam Sahiti Shivapriya, 17, sehingga mati pada 29 April tahun lalu.
Rani tinggal bersama Sahiti, anak tunggalnya, di rumah mendiang suaminya, Bhimaneni Maheshwar Rao, dan bergantung kepada pendapatan daripada sewa bangunan milik keluarga suaminya.
Pendakwa Raya, Bhaskar, memberitahu Times of India, Rani menyerang Sahiti dengan dua pisau dapur.
"Sahiti berbohong kepada ibunya, mengatakan dia mendapat 95 peratus dalam peperiksaannya. Tetapi pada 28 April, Sahiti memberitahu Rani dia gagal dalam satu mata pelajaran.
"Sahiti juga menyalahkan ibunya atas kegagalan itu dengan mengatakan dia tidak pernah menyokongnya," katanya.
Katanya, Rani yang kecewa menelefon rakan karib Sahiti yang mendedahkan remaja itu sebenarnya gagal dalam empat mata pelajaran.
Menurut Rani, dia sangat menyayangi Sahiti kerana dia melahirkan remaja itu selepas 16 tahun perkahwinannya.
"Saya semakin rapat dengannya selepas suami meninggal pada 2020 tetapi dia tidak menunjukkan rasa sayang sama.
"Saya menjalani pembedahan penggantian lutut tetapi dia tidak pernah melayan saya dengan penuh kasih sayang.
"Namun, saya tetap menyayanginya kerana saya percaya dia akan berubah suatu hari nanti," kata Rani kepada polis.
Katanya, dia memutuskan untuk membunuh anak perempuannya itu selepas dia malu dengan saudara-mara.
"Saya beritahu saudara-mara yang Sahiti mendapat markah 95 peratus dan akan terbang ke luar negara untuk melanjutkan pengajian tinggi.
"Jika mereka mengetahui realitinya, saya akan dihina. Jadi, saya memutuskan lebih baik dia mati," kenyataan Rani dalam kertas pertuduhan dibacakan.
Menurut kertas pertuduhan, Rani memberitahu saudara-maranya anak perempuannya berkemungkinan mendapat tawaran di universiti Amerika Syarikat.
Justeru, Mahkamah Bandar Bengaluru pada Selasa mendapati suri rumah berusia 59 tahun itu bersalah membunuh anak perempuan tunggalnya di kediaman mereka selepas remaja itu berbohong mengenai markah 95 peratus dalam peperiksaan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan denda 50,000 rupee (RM2,575.81).
‘Melayu tak ada duit’, pengulas Amerika perlekeh lawatan Xi
Malaysiakini
Pengulas politik konservatif Amerika, Bill O’Reilly, memperlekeh lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, Vietnam dan Kemboja, sambil mempersoalkan nilai ekonomi terhadap usaha Beijing mendekati negara-negara Asia Tenggara.
“Hai Presiden Xi, biar saya berterus terang. Mereka tiada duit langsung. Mereka tak boleh tolong kamu, mereka tak akan beli barang kamu sebab mereka tak ada duit,” kata O’Reilly dalam klip di X.
Bekas hos Fox News itu kelihatan bingung dengan rasional strategik di sebalik lawatan serantau Xi dan berkata pemimpin China itu mungkin cuba mengelak tekanan ekonomi dan penelitian antarabangsa.
“Mungkin dia pergi ke sana untuk cuba seludup barang China bawah label Vietnam. Tapi itu akan mudah terbongkar.
“Jadi saya pun tak tahu ini tentang apa. Kamu tahu... Kalau China kehilangan pasaran AS. Tapi saya masih percaya akan ada detente (pengenduran ketegangan). Ia dah rosak. Ia betul-betul kacau.
“Sebab kami ada duit, kami beli barang. ‘Orang Melayu’ takkan beli barang anda, mereka tiada duit,” katanya.
Komen O’Reilly itu dibuat dalam konteks perang dagang berpanjangan antara Amerika Syarikat dan China yang bermula pada 2018 semasa pentadbiran kali pertama Donald Trump.
Xi berlepas ke Kemboja pagi tadi selepas menamatkan lawatan negara selama tiga hari ke Malaysia.
Presiden China itu memulakan lawatannya pada Selasa atas undangan Yang di-Pertuan Agong.
Ini lawatan kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kali terakhir pada 2013 yang menyaksikan hubungan diplomatik kedua-dua negara ditingkatkan kepada perkongsian strategik menyeluruh.
Pada Rabu, Xi disambut dalam upacara sambutan negara, diikuti dengan majlis menghadap dan jamuan negara bersama Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Dalam pertemuan dua hala di Kompleks Seri Perdana pada hari sama, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Xi membincangkan cara untuk memperkukuh kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran 31 Memorandum Persefahaman (MoU), perjanjian dan nota antara Malaysia dan China. Xi kemudian menghadiri majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh Anwar.
Mudah? Bayar RM30k, terus timang anak
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Putrajaya: Lebih RM30,000, itu harga dibayar seorang juruteknik pendingin hawa bagi 'membeli' seorang bayi yang diidamkan selepas segala ikhtiar untuk mendapatkan anak gagal.
Lelaki berusia 44 tahun yang ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Melaka sebelum dibawa ke Ibu Pejabat JPN di Putrajaya itu mengaku terdesak mendapatkan cahaya mata sebelum mencari jalan mendapatkan anak angkat.
Dia mendakwa, ketika itu dia dipertemukan dengan ejen sindiket.
"Selepas bertanya-tanya, saya bertemu dengan seorang wanita tempatan dan dia menyerahkan bayi kepada saya dan isteri di kawasan parkir sekitar Bukit Jalil, tiga tahun lalu.
"Ketika itu saya tahu ia satu kesalahan tetapi kami terdesak, semasa pertemuan itu, wanita berkenaan menyerahkan bayi dan dokumen untuk didaftarkan.
"Kemudian saya dan isteri membawa dokumen itu untuk membuat pendaftaran di JPN," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, tidak lama selepas itu, dia ada meminta pandangan peguam berhubung tindakannya dan dinasihatkan menyerah diri kepada pihak berkuasa, namun dia mendakwa takut melakukannya.
Ini kerana dia berpendapat, bayi itu akan mendapat kehidupan lebih baik bersamanya dan isteri berbanding keluarga kandung yang tidak mahukan anak itu.
Menurutnya, dia dan isterinya sudah menghabiskan ribuan ringgit bagi melakukan prosedur persenyawaan in vitro (IVF) beberapa kali, namun tidak berhasil.
"Sekarang dia sudah berusia tiga tahun, ada orang cakap muka dia tidak sama dan warna kulit dia lain daripada kami, tetapi bagi saya dia tetap anak saya.
"Kalau satu hari nanti dia sudah besar dan bertanya perkara sebenar, saya akan ceritakan semua kerana saya percaya hidup dia dengan kami lebih selesa," katanya.
Lelaki maut jatuh perigi
BERNAMA
Ipoh: Seorang lelaki maut selepas dipercayai tergelincir ke dalam perigi ketika mengambil air di Kampung Nyior, Kampar, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa lelaki berumur 57 tahun itu pada 7.52 pagi.
"Lelaki itu didapati terjatuh ke perigi sedalam tiga meter dan bomba menggunakan tali bagi mengambil mangsa," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata, lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.
Sungguh-sungguh biadap individu yang menggunakan nama Cayson Goh di Facebook apabila menghina Agong sebagai anj**g
Siapa dia Cayson Goh? Biadab sungguh hina Agong sampai tahap itu

Harapandaily
Tular di media sosial kenyataan biadab individu yang menggunakan nama Cayson Goh di Facebook apabila secara terang-terang menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Cayson mengeluarkan kenyataan jelek itu dalam bahasa Cina sekaligus menyinggung isu agama, kaum, dan institusi diraja (3R) dengan berkongsikan gambar disiarkan Oriental Daily News Malaysia.
Foto berkenaan memaparkan Presiden China, Xi Jinping sedang menandatangani buku pelawat sempena Lawatan Negara selama tiga hari di Malaysia bermula semalam manakala Sultan Ibrahim berdiri di sisi sambil memerhati.
Individu terbabit menganggap posisi tersebut sebagai tunduk kepada kuasa China walaupun hal tersebut merupakan antara protokol diplomatik.
“Pemimpin tertinggi yang kita hormati, di hadapan pemimpin besar China, tiba-tiba berubah menjadi seekor anjing liar.
“Haha, dia hanya mampu memandang tuannya duduk di atas takhta. Orang Malaysia tetap orang Malaysia.
“Tidak pernah dididik, tidak tahu malu. Nah, beri tulang kepada Agong. Hahaha…,” kata Cayson menghina.
Langgan:
Ulasan (Atom)






