
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
2 kanak-kanak maut, motosikal bertembung kereta
Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

KEADAAN kereta yang terbabit kemalangan mengorbankan dua kanak-kanak. FOTO Ihsan Polis.
Tangkak: Dua kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan di Kilometer 38, Jalan Muar-Segamat berhampiran pekan Sagil, di sini.
Kemalangan dipercayai berlaku pada 2.30 petang tadi menyebabkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Tangkak, sebelum ia hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
"Motosikal mangsa kemudian bertembung dengan kereta yang datang dari arah Segamat, menyebabkan mangsa parah dan disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Khairul Azmi Ibrahim di talian 011-12445836.
2 mayat membusuk dalam rumah disyaki dibunuh
FMT Reporters
PETALING JAYA: Mayat dua bersaudara ditemukan membusuk dipercayai dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di Semenyih.
Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof, berkata wanita dan anak saudara lelaki masing-masing 53 dan 25 tahun disyaki maut akibat sesak nafas.
Katanya, penemuan mayat susulan laporan seorang lelaki semalam yang menghidu bau busuk mencurigakan dari kediaman kakaknya, selepas 10 hari tidak kelihatan.
“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat yang dijalankan hari ini dan punca kematian adalah sesak nafas.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menurut kenyataan.
Beliau berkata, siasatan ke atas rumah mangsa tidak menjumpai sebarang kesan atau barang digeledah dengan keadaan berkunci dari dalam.
“Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini, namun keterangan ahli keluarga dan saksi akan direkodkan bagi membantu siasatan,” katanya.
Orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai kes boleh menghubungi mana-mana balai terdekat atau pegawai penyiasat Umesh Ratnam Kumar di talian 012-6114900.
Empat pelajar maut, dinding tangki air runtuh di sekolah berasrama
Bernama
Pasukan penyelamat daripada Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Magelang bersama agensi kecemasan lain digerakkan ke lokasi kejadian. - X: @gontornews
JAKARTA: Empat pelajar maut manakala 11 lagi cedera selepas dinding tangki simpanan air runtuh di sebuah sekolah berasrama penuh Islam di Jawa Tengah, Indonesia, menurut pegawai pada Jumaat.
Insiden berlaku kira-kira 10.30 pagi waktu tempatan pada Jumaat di Pondok Modern Darussalam Gontor di Kabupaten Magelang, ketika pelajar sedang bersiap untuk mandi sebelum memulakan aktiviti persekolahan.
"Seramai 29 pelajar terlibat dalam kejadian itu. Daripada jumlah itu, 25 berjaya diselamatkan, namun 11 orang mengalami kecederaan dan dihantar ke pusat kesihatan berdekatan.
"Empat pelajar lain tertimbus di bawah runtuhan," kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), Abdul Muhari, dalam satu kenyataan.
Pasukan penyelamat daripada Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Magelang bersama agensi kecemasan lain telah digerakkan ke lokasi kejadian.
"Semua mangsa berjaya dikeluarkan satu demi satu iaitu yang pertama pada 6 petang, kedua pada 7.20 malam, ketiga pada 8 malam, dan keempat pada 11.20 malam pada hari sama," katanya.
Satu pasukan gabungan termasuk kakitangan sekolah sedang meneruskan kerja-kerja pembersihan serpihan runtuhan, sementara siasatan mengenai punca kejadian masih dijalankan.
RASMI: BN menang Ayer Kuning dengan majoriti besar
Faiz Zainudin
TAPAH: Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaan di DUN Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan majoriti lebih besar.
Menurut keputusan rasmi, calon BN, Yusri Bakir menang dengan kelebihan 5,006 undi, menewaskan pencabar Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan KS Bawani dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK DUN Ayer Kuning, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori, di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Merdeka.
Secara keseluruhan, setiausaha Umno Tapah itu peroleh 11,065 undi sementara Muhaimin 6,059 undi dan Bawani 1,106 undi.
Peratusan keluar mengundi kali ini mencapai 58.07% berbanding 74.85% pada PRU 2022.
Seramai 31,897 pengundi dalam daftar pemilih PRK Ayer Kuning.
Pada PRU 2022, Ishsam Shahruddin mempertahankan kerusi tersebut dengan kelebihan 2,213 undi dalam pertandingan lima penjuru, menewaskan pencabar dari Pakatan Harapan, PSM (Parti Sosialis Malaysia), dan Pejuang.
PH dan BN kemudian membentuk kerajaan perpaduan.
Tak rasmi: BN menang Ayer Kuning
BN menang 60.3 peratus undi
Semua saluran pengundian telah diambil kira mengikut keputusan tidak rasmi.
BN nampaknya memenangi 60.3 peratus undi, manakala bahagian undi PN dianggarkan 33.9 peratus.
Bagi PSM, walaupun ia mempunyai lebih daripada dua kali ganda bahagian undinya, ia berada di bawah enam peratus, jauh daripada 12.5 peratus yang diperlukan untuk mendapatkan semula deposit pilihan rayanya.
17 saluran mengundi telah dikira, BN terus mendahului
BN terus mendahului apabila semakin banyak keputusan daripada pelbagai saluran undi diterima.
Setakat ini, dengan 17 daripada 67 saluran dikira, BN telah memperoleh 2,494 undi, berbanding PN yang memperoleh 751 undi dan PSM sebanyak 196 undi; memberikan BN majoriti sebanyak 1,743 undi.
IDE: BN raih 68 peratus sokongan pengundi Ayer Kuning
Harapandaily
Sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mencecah 68 peratus, menurut kajian Institut Darul Ehsan (IDE).
Tinjauan IDE bermula daripada 10 April hingga semalam juga mendapati Perikatan Nasional (PN) hanya memperoleh 26.1 peratus sokongan.
Analisis juga menunjukkan BN berupaya meraih sokongan rentas kaum berbanding PN yang sokongannya lebih tertumpu hampir eksklusif kepada segmen pengundi Melayu.
Dalam masa sama, calon Dr Yusri daripada BN pula mendapat pengiktirafan majoriti responden ketimbang calon PN dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
“PN hanya menunjukkan kekuatan dalam niche Melayu muda, namun gagal menembusi undi kaum lain atau warga emas.
“BN berada dalam posisi paling stabil dengan keupayaan menarik sokongan pelbagai kaum dan peringkat umur, mencerminkan naratif inklusif yang berjaya,” kata IDE.
Berkenaan gabungan PH–BN, kajian IDE mendapati sebanyak 53.2 peratus responden menyokong kerjasama tersebut dan percaya ia mampu menangani isu negara.
“Berdasarkan unjuran semasa, IDE menjangkakan BN berada dalam kedudukan yang selesa untuk mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning.
“Gabungan kekuatan rentas kaum, penguasaan dalam semua kategori umur dan kelebihan jentera tradisi menjadikan BN sebagai pilihan utama pengundi dalam PRK kali ini,” kata IDE lagi.
Polis kesan dua lelaki Myanmar saksi kes bunuh
Bernama
NIBONG TEBAL: Polis sedang mengesan dua lelaki Myanmar untuk menjadi saksi penting perbicaraan kes bunuh di Mahkamah Butterworth, pada 5 hingga 7 Mei depan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan DSP Mohd Norazmi Abd Ghapar dalam kenyataan berkata mereka ialah Than Htut Aung, 48, dan Than Htut, 47, masing-masing memiliki pasport bernombor MC970548 dan MC871691.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mereka menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Nazrul Hisham Musa menerusi talian 01156655560 atau mana-mana balik polis berhampiran.
Dua pemimpin PAS campur tangan PRU2025 Singapura
BHarianonline

Bendahari Agung, PAS, Iskandar Abdul Samad. - Foto fail NSTP
SINGAPURA: Dua pemimpin parti PAS dari Malaysia didapati masuk campur dalam Pilihan Raya Umum 2025 (PRU2025) Singapura.
Perkara itu didedahkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD), dalam satu kenyataan bersama pada 25 April.
Mereka mengenal pasti Bendahari Agung, PAS, Iskandar Abdul Samad, dan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, sebagai dua individu yang telah campur tangan dalam PRU2025.
MHA dan ELD telah mengeluarkan arahan tersebut di bawah Seksyen 61N Akta Pilihan Raya Parlimen (PEA).
Menurut laporan Berita Harian Singapura, kedua-duanya didapati mengeluarkan hantaran di Facebook yang menyiarkan komen mereka terhadap politik Singapura.
Di samping itu, terdapat satu penerbitan PAS, Harakah Daily, yang telah menyiarkan dua artikel pada 22 dan 23 April, menukil komen Iskandar mengenai keadaan masyarakat Melayu di Singapura dan GE2025.
Kedua-dua artikel itu bertajuk, 'PRU Singapura: Calon Melayu semakin menonjol' dan 'Jangan ulangi senario Melayu 'disingkir' dari bandar'.
Kenyataan MHA dan ELD pada 25 April berkata adalah menjadi satu kesalahan bagi warga asing mempengaruhi GE Singapura.
"Warga asing tidak boleh mengarah, membiayai atau dalam apa cara sekalipun mempengaruhi pilihan raya Singapura.
"Adalah satu kesalahan di bawah PEA bagi warga asing untuk menyertai kegiatan pilihan raya atau menerbitkan pengiklanan pilihan raya dalam talian (OEA).
"Politik Singapura mestilah rakyat Singapura sahaja yang membuat keputusan," tambah kenyataan itu.
Iskandar menyatakan sokongan terhadap beberapa calon yang sedang bertanding dalam GE2025 menerusi Facebooknya.
Antaranya ialah calon Parti Pekerja (WP), Faisal Manap dan calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Damanhuri Abas.
Menulis di akaun Facebook beliau, Iskandar berkata: "Sedih jika Faisal kalah, selepas segala usaha baik yang dilakukan sejak 2011.
"Beliau telah membangkitkan banyak isu terutama isu tudung dan keberanian untuk menjelaskan kepada Parlimen bahawa dalam Islam, agama tidak boleh dipisahkan dari politik. Harap beliau akan berjaya sekali lagi walaupun sukar," katanya
Beliau turut memuat naik satu tangkap layar mengenai ucapan Damanhuri di Hari Penamaan Calon dan berkata: "Ucapan tegas beliau, patut dijadikan iktibar. '60 tahun mereka berkuasa, bersangka baik diinjak kepala'".
Penerbitan, Harakah Daily, turut mengeluarkan artikel yang menukil komen Iskandar.
Antaranya, dalam artikel bertajuk, 'PRU Singapura: Calon Melayu semakin menonjol' beliau menamakan tiga calon WP Melayu – Siti Alia Abdul Rahim Mattar, Abdul Muhaimin Abdul Malik, Sufyan Mikhail Putra – yang menarik perhatiannya, selain daripada Faisal dan Damanhuri.
"Mungkin ramai menyangka orang Melayu di Singapura tidak berani menentang kerajaan (pemerintah), tetapi keadaan sekarang menunjukkan sebaliknya.
"Calon-calon yang tampil ini bukan calang-calang, malah berpendidikan tinggi, berpengalaman bidang profesional masing-masing," katanya.
Awal sebelum ini, beliau turut mengetengahkan kekhuatiran berhubung langkah mengambil khidmat perundingan daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi menjayakan pembaharuan semula bandar negara itu.
Beliau bimbang konsep pemilikan perumahan Singapura dilihat sebagai agenda migrasi warga asing, sekali gus menyingkirkan Melayu bandar yang miskin apabila hartanah dijual pada harga bebas dan di luar kemampuan mereka.
"Apabila kita lihat perkembangan di Singapura dalam pembaharuan semula bandar, kesannya amat buruk sekali bagi orang Melayu.
"Di mana sebelum merdeka, Singapura ada kerusi-kerusi (Parlimen) di mana orang Melayu adalah majoriti," katanya di artikel 'Jangan ulangi senario Melayu 'disingkir' dari bandar'.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar, pula menyiarkan semula hantaran Zulfikar Mohamad Shariff – yang telah menukar kewarganegaraan Singapura kepada Australia pada 2020 – mengenai isu 'Hijab di Singapura, Mengapa AP Melayu tidak boleh menjadi harapan kita (masyarakat Melayu)'.
Dalam hantaran tersebut, Sukri mengaitkan Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebuah parti di Malaysia, dengan PAP.
"Moga umat Islam di Malaysia tidak tertipu dengan DAP, mengulangi kesilapan di Singapura," tulisnya.
Bukan pemandu, tetapi penumpang kereta maut terkena tembakan
Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my

Tangkap layar video di media sosial menunjukkan polis memeriksa kereta yang dinaiki mangsa tembakan di Jalan Stephen Yong, Batu Kawa di Kuching, pagi tadi. FOTO Tular
Kuching: Lelaki yang maut terkena tembakan di Jalan Stephen Yong, Batu Kawa, di sini, pagi tadi bukan pemandu kereta seperti dilaporkan sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, mangsa berusia 34 tahun itu adalah penumpang kereta Perodua Myvi berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan mangsa duduk di bahagian penumpang depan atau belakang ketika kejadian.
Pada jam 5.30 pagi tadi, dua lelaki membawa mangsa yang terbaring di dalam kereta itu ke Balai Polis Batu Kawa, di sini.
Mohd Irwan berkata, dua lelaki terbabit memaklumkan rakan mereka terkena tembakan ketika mereka melalui Jalan Stephen Yong dan pegawai perubatan mengesahkan kematian mangsa.
"Terdapat kesan tembakan pada kepala mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuhm" katanya.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Sylvarius di talian 013-8637241 bagi menyalurkan maklumat.
Apa yang YB kata ni? Adakah YB tuduh polis membantu kerajaan Madani?
Mohsin Abdullah
Adakah YB tuduh polis membantu kerajaan Madani?
Pemuda Amanah Kelantan bertanya adakah wakil rakyat PAS bagi kawasan Melor nak tanam kebencian dalam kalangan penyokong partinya terhadap polis? Umno Kelantan pula kata wakil rakyat itu cuba beri gambaran buruk terhadap polis. Pada hemat saya persoalan yang lebih serius ialah adakah YB berkenaan menuduh polis bermain politik untuk membantu kerajaan Madani?
YB yang dimaksudkan ialah Wan Rohimi Wan Daud. Seperti dikata tadi beliau ialah Adun Kelantan bagi kawasan Melor — mewakili PAS. Beberapa hari lalu semasa berucap pada sidang DUN, beliau menyatakan rasa tidak puas hati terhadap apa yang diumum polis mengenai apa yang berlaku di Kelantan. Jelas Wan Rohimi melihat pendedahan polis memberi imej tidak molek terhadap kerajaan negeri pimpinan PAS.
Apa yang polis kata? Pada 9 April lalu, dalam satu sidang media Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat memaklumkan jumlah kes rogol dan sumbang mahram di Kelantan menunjukkan trend peningkatan ketara setiap tahun dengan kebanyakan kes melibatkan hubungan suka sama suka. Itu intipati sidang media beliau. Tidak perlu saya ulangi perinciannya.
Pada 21 Mac pula, Polis Kelantan mendedahkan bahawa ramai pengasas produk kosmetik dan pempengaruh terbabit dalam kegiatan edar dadah dan pengubahan wang haram. Kata Yusoff dapatan itu hasil beberapa tangkapan.
Apa pula kata Wan Rohimi di DUN Kelantan 22 April lalu? Menurut laporan Malaysiakini, beliau berkata:
“Saya tertanya-tanya ketua polis ni nak menjual cerita sensasi atau penguatkuasa atau penjawat awam yang mempunyai disiplin tentang data?
“Pada 9 April sumbang mahram, kes rogol, bawah umur… Kelantan lagi. Budak perempuan cari lelaki untuk buat hubungan seks, budak lelaki hamilkan sepupu. Pada 16 April ada lagi kes. Pegawai polis terkejut jumpa video seks anak. Dari bulan Februari, Mac dan bertalu-talu pada April kenyataan memberi gambaran negatif kepada negeri ini.
“Empat hari lepas timbalan ketua polis negara (Ayob Khan Mydin Pitchay) ulangi data yang sama. Kita fikir bakpo (kenapa) yang bersungguh sangat dan mengambil satu cebisan yang kecil untuk memberikan gambaran yang salah (berkenaan isu sosial dan jenayah Kelantan).”
Maaf YB, soal sumbang mahram, seks suka sama suka, edar dadah dan ubah wang haram bukan ‘satu cebisan kecil’ dan apa yang polis dedahkan berdasarkan fakta kes. YB sendiri sebut data. Ertinya bukan gambaran salah.
Wan Rohimi seterusnya dilapor berkata: “Sebab itu saya kata, kalau nak sebut sebut semualah. Apabila kita (PAS) tengok (teliti) baru kita perasan… oh barangkali hari Sabtu ni adalah pilihan raya kecil bagi DUN Ayer Kuning.”
Kata-kata itu seperti saya sebut pada awal penulisan sesuatu yang serius implikasinya dan membimbangkan. Apa makna kata-kata itu? Mesej apa yang beliau mahu sampaikan?
Maaf sekali lagi YB saya tanya adakah YB mahu gambarkan polis sengaja memburuk-burukkan kerajaan negeri yang dipimpin PAS, supaya PAS kalah di Ayer Kuning?
Adakah YB tuduh polis bertindak bagai parti politik membantu kerajaan Madani? Polis aktif politik? Jika iya maka tuduhan itu amat serius. Siasatan wajib dijalankan. Mungkin oleh suruhanjaya diraja. Jika terbukti benar tindakan mesti diambil.
Apa pun oleh kerana Wan Rohimi bercakap dalam DUN beliau boleh bercakap apa sahaja kerana dilindungi kekebalan yang diperuntukkan kepada ahli Dewan. Kekebalan yang sama dinikmati Ahli Parlimen walaupun ada ura-ura tidak lama dulu undang-undang kebal itu wajar dipinda dan Johari Abdul selaku speaker Parlimen dikatakan setuju. Tetapi itu hanya pada peringkat cakap-cakap. Tidak ada apa yang berlaku. Oleh itu Wan Rohimi tetap selamat dilindungi imuniti.
Mungkinkah beliau tersalah cakap atau tertekan emosi? Atau dipengaruhi bahang kempen Ayer Kuning yang jauh di Perak meskipun beliau di Kelantan? Mungkinkah beliau mahu mengakui silap dan mahu mohon maaf kepada polis?
Kata Wan Rohimi menurut laporan Sinar Harian: “Saya menegur penjawat awam. Takkan tidak boleh tegur… sedangkan perdana menteri pun kami tegur — ralik-ralik.”
Baiklah YB jika begitu pendirian YB.
Nota kaki: Ralik atau ralit ialah loghat Kelantan bermaksud mengasyikkan, melekakan, berkhayal, mengelamun. Apa maksudnya dalam konteks kata-kata Rohimi yang ditulis pada perenggan di atas? Maaf ambo tak tau.
Lelaki maut dalam kereta ditembak di kepala ketika memandu
Mohd Roji Kawi
KUCHING: Seorang lelaki ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala dalam sebuah kereta di Jalan Stephen Yong, Batu Kawa pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian daripada dua lelaki yang datang ke Balai Polis Batu Kawa pada jam 5.30 pagi.
Berdasarkan laporan, katanya dua lelaki terbabit memaklumkan rakan mereka terbaring dalam kereta dipercayai terkena tembakan ketika memandu di jalan terbabit.
"Ketika datang ke balai, dua lelaki itu membawa rakan mereka yang terbaring dalam kereta dan pasukan siasatan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan serta pegawai perubatan mengesahkan kematian mangsa berusia 34 tahun itu.
"Terdapat kesan tembakan pada kepala mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Apa agenda mereka?: Mengapa KTM perlu ditukar, tetapi nama penjajah kekal mekar?
Kolumnis AWANI
KTM lahir daripada semangat sebuah Tanah Melayu yang sedang membina kemerdekaan dan kedaulatan. - Gambar fail/Bernama
CADANGAN untuk menukar nama Keretapi Tanah Melayu (KTM) atas alasan kononnya ia sudah “lapuk” telah menimbulkan polemik dalam kalangan rakyat. Dikatakan nama tersebut tidak lagi mencerminkan wajah Malaysia moden dan inklusif.
Namun, cadangan ini menimbulkan satu persoalan besar -- jika KTM, sebuah nama dalam bahasa kebangsaan yang mempunyai akar sejarah tempatan dianggap ketinggalan zaman, bagaimana pula dengan pelbagai nama tempat yang jelas diwarisi daripada era kolonial?
KTM bukanlah tinggalan penjajahan. Berbeza dengan George Town, yang dinamakan sempena Raja George III; atau Port Dickson, Fraser’s Hill, Cameron Highlands, dan Butterworth, yang dinamakan sempena pegawai-pegawai British, KTM adalah cerminan identiti tempatan dan nasional.
Ia lahir daripada semangat sebuah Tanah Melayu yang sedang membina kemerdekaan dan kedaulatan. Menganggap bahawa istilah Tanah Melayu sudah tidak relevan bermakna kita seolah-olah menafikan naratif sejarah panjang rantau ini. Ada pihak mendakwa bahawa istilah Tanah Melayu tidak mencerminkan kepelbagaian kaum di Malaysia.
Namun, secara sejarah dan geografi, Tanah Melayu merujuk kepada Semenanjung ini. Ia bukan kenyataan untuk menolak sesiapa. Tanah Melayu secara literal bermaksud Land of the Malays. Apa salahnya mengiktiraf fakta itu?
Bukankah Thailand juga membawa maksud 'tanah bagi orang Thai', dan China 'tanah bagi orang Cina'? Nama-nama seperti ini mencerminkan akar sejarah tanpa menafikan realiti masyarakat majmuk hari ini.
Apa yang lebih menghairankan adalah apabila usaha untuk mengembalikan nama asal kepada tempat-tempat yang diberi nama oleh penjajah turut mendapat tentangan.
Contohnya, apabila cadangan dikemukakan untuk menukar George Town kepada Tanjung Penaga, iaitu nama asal kawasan tersebut, ramai yang membantah dengan alasan ia akan “menghapuskan sejarah” atau “mengelirukan pelancong”.
Ini datang daripada golongan yang sama yang mahu nama KTM ditukar.
Di sini jelas kelihatan ironi: nama kolonial dipertahankan, manakala nama tempatan yang bersejarah pula mahu dipadamkan.
Jika kita benar-benar serius mahu mengangkat semula identiti nasional dan membebaskan diri daripada legasi kolonial, maka kita wajar bermula dengan nama-nama yang memang datang daripada era penjajahan.
Mengapa George Town, Butterworth, Fraser’s Hill dan Cameron Highlands masih kekal dalam Malaysia pasca-merdeka? Sekiranya semangat pembaharuan dan keterangkuman menjadi asas pertimbangan, maka nama-nama kolonial inilah yang lebih wajar dinilai semula terlebih dahulu.
Nama bukan sekadar satu bentuk rujukan geografi—ia mengandungi makna, kenangan dan lambang identiti. Keretapi Tanah Melayu bukan sekadar satu perkhidmatan pengangkutan; ia adalah simbol sejarah, penyatuan, dan kemajuan negara.
Menukarnya atas alasan ia “tidak moden” adalah satu bentuk pelupaan budaya dan warisan yang tidak wajar.
Justeru, kita tidak seharusnya tergesa-gesa mengubah nama yang lahir daripada akar sejarah sendiri semata-mata untuk kelihatan moden.
Jika KTM perlu ditukar kerana kononnya lapuk, maka gunakanlah piawaian yang sama terhadap semua nama -- terutamanya nama yang ditinggalkan oleh penjajah.
Jika tidak, kita mungkin sedang memelihara nama-nama warisan kolonial sambil perlahan-lahan memadamkan jati diri kita sendiri.
* Artikel oleh Prof Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli. Beliau ialah Penyelaras, Unit Undang-Undang Antarabangsa, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM; Felo Penyelidik Kanan, Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.
Didapati bersalah intai wanita dalam tandas, penganggur dipenjara 5 bulan setelah gagal membayar denda RM2,800
Alias Abd Rani

Muhammad Nazrullah (tengah) dipenjara selepas gagal membayar denda selepas mengaku bersalah mengintai wanita dalam tandas awam Tanjung Emas, Muar. NSTP/ Alias Abd Rani
MUAR: Seorang penganggur dipenjara lima bulan selepas gagal membayar denda RM2,800 yang dikenakan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengintai wanita di sebuah tandas awam, pertengahan bulan ini.
Tertuduh, Muhammad Nazrullah Basir, 24, sebelum itu dijatuhi hukuman denda itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa mengaibkan kehormatan wanita berusia 26 tahun dengan mengintai melalui bawah pintu tandas awam Tanjung Emas, di sini, pada jam 9.30 pagi 14 April lalu.
Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada dalam tandas awam wanita itu menjerit selepas menyedari seorang lelaki mengintainya melalui bawah pintu, menyebabkan tertuduh melarikan diri menaiki sebuah kereta jenis Perodua Kancil.
Bagaimanapun, penjaga tandas di situ ternampak tertuduh dan memaklumkan kepada polis yang kemudian menahan lelaki itu pada jam 12 tengah hari 21 April lalu bagi membantu siasatan kes itu.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amieerah Alludin, manakala tertuduh diwakili Tee Xi Ran daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Adakah isu ladang babi membawa kemenangan kepada calon PAS
Mampukah usaha PN tumpu isu ladang babi diterjemah di peti undi?

Qistina Nadia Dzulqarnain
Perikatan Nasional (PN) menghabiskan sebahagian besar daripada dua minggu tempoh berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Ayer Kuning mengetengahkan isu ladang babi yang dikatakan memberi kesan kepada penduduk tempatan.
Beberapa pengundi Melayu yang dihampiri Malaysiakini mengakui bahawa jarak yang berdekatan antara ladang babi dan kawasan perumahan sememangnya menimbulkan kebimbangan tertentu.
Walau bagaimanapun, sama ada tumpuan PN terhadap isu itu boleh menjejaskan sokongan kepada BN, masih belum dapat dilihat.
Bagi Hisamuddin Ayob, 57, adalah lebih baik bagi bakal wakil rakyat Ayer Kuning berusaha memindahkan ladang babi ke lokasi yang "lebih sesuai" jauh dari perumahan yang kebanyakannya orang Melayu.
Hisamuddin, yang mengulas bagaimana ladang seperti itu mengganggu deria bau dan bau itu menjadi sangat kuat apabila hujan di kawasan kejiranan Tanjung Keramat.
Sambil menambah bahawa penduduk juga berhadapan dengan isu lalat yang dipercayai dikaitkan dengan ladang itu, Hisamuddin menyampaikan harapannya agar Adun baru yang akan dipilih - tanpa mengira fahaman parti - akan menumpukan pada usaha menyelesaikan isu berkenaan.
“Saya tak kisah siapa pun, asalkan boleh tolong rakyat. Bila ada masalah tunjuk muka, bukan bila nak undi saja," katanya sambil berhenti makan tengah hari sebelum meneruskan harinya.
“(Ahli Dewan Undangan Negeri) harus berada di situ setiap kali pengundi mereka menghadapi masalah dan bukannya hanya menunjukkan muka mereka apabila mereka mahu kita mengundi mereka.”
Sentimen sama turut disuarakan oleh Sahak Tahir, 61, yang turut menentang sekeras-kerasnya cadangan supaya ladang sedia ada menerapkan kaedah ternakan babi moden.
“Apa pun yang dibuat, ini kawasan Melayu, tidak sesuai untuk ternakan babi berada di sini.
"Kami sudah lama tidak berpuas hati dengan perkara ini. Ladang-ladang mesti dipindahkan untuk mengelak isu ini berlarutan (kerana) kami tidak mahu ia menimbulkan ketegangan di kalangan penduduk di sini," tambah pesara itu.
Bagaimanapun, Sahak mendapati percubaan PN untuk menimbulkan kemarahan pengundi dengan menggunakan isu ladang babi sebagai sesuatu yang membingungkan.
Ini, tegasnya, kerana gabungan itu telah memainkan peranan dalam memburukkan lagi masalah apabila ia sebelum ini sebahagian daripada kerajaan Perak meluluskan pembukaan ladang sedemikian dalam jarak dekat dengan kawasan kejiranan majoriti Melayu.
Dia berpendapat walaupun PN dapat melihat peningkatan sokongan daripada pengundi yang menyokong usaha membantah ladang babi, ia mungkin tidak mencukupi untuk mengancam kemenangan BN esok.
Selain mendakwa terdapat lebihan bekalan ladang babi di kawasan Ayer Kuning, PN juga mendakwa memiliki bukti saintifik yang membuktikan Sungai Bidor dicemari bahan pencemar dari ladang babi Kampung Poh.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad berhujah bahawa walaupun ladang itu bukan dalam kawasan DUN, sungai yang mengalir ke kawasan itu juga bertindak sebagai sumber air sekunder dan tempat rekreasi untuk "majoriti" penduduk di kawasan itu.

Walaupun gabungan itu terus memperjuangkan isu itu, pemilik perniagaan kecil Baharin Mohamad, 47, berkata pengundi semakin bosan mendengar hujah PN mengenai isu itu tanpa menjelaskan secara terperinci penyelesaian yang boleh ditawarkan kepada penduduk Ayer Kuning jika ia memperoleh kerusi DUN itu.
"Kalau selesaikan isu ladang babi ni, kemajuan kampung bangun ke? Tak pun, hilang masalah itu, yang lain tak selesai, rugi juga," katanya ketika ditemui di kedai makannya berhadapan blok komersial kecil di Changkat Petai.

Baharin Mohamad
Sambil menyatakan bahawa hanya terdapat satu ladang babi di kawasan itu, Baharin berkata walaupun penduduk sekali-sekala terdedah kepada bau yang tidak menyenangkan, ia bukanlah setiap masa seperti didakwa PN.
Isham Maarof, 24, yang menyatakan pandangan yang sama, berkata, walaupun dia bimbang dengan ladang babi di kawasan majoriti Melayu, dia lebih mementingkan mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarganya.
Pekerja kilang itu ketika ditemui di gerai tepi jalan di Ayer Kuning Selatan, berkata dia berharap Adun yang akan dipilih dapat menangani masalah kekurangan peluang pekerjaan untuk belia di pekan kecil itu.
Dia berkata walaupun terdapat banyak kilang yang beroperasi dan ladang pertanian di kawasan itu, kebanyakannya nampaknya lebih suka mengupah buruh asing berbanding warga tempatan.
Pengundi Ayer Kuning akan membuang undi esok selepas tempoh berkempen selama dua minggu, di mana kebanyakannya PN membangkitkan pelbagai isu berkaitan ladang babi di kerusi DUN majoriti Melayu di bawah kawasan parlimen Tapah yang dikuasai MIC itu.
PN meletakkan Ketua PN Tapah Abd Muhaimin Malek manakala BN telah memilih untuk meletakkan Setiausaha Umno Tapah Yusri Bakir.
Timbalan Setiausaha Agung PSM Bawani KS turut menyertai saingan tiga penjuru bagi kerusi DUN itu, yang diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandang dari Umno, Ishsam Shahruddin, pada 22 Feb.
Skandal kontrak C4i: Seorang lagi pegawai polis ditahan
FMT Reporters
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi pegawai polis dalam siasatan ke atas perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem Command & Control, Communication & Computer Integration (C4i) bernilai kira-kira RM15 juta.
Sumber dipetik sebagai berkata pegawai berpangkat superintenden itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung bayaran daripada kontraktor dan sub-kontraktor bagi perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem C4i.
Rumah dan pejabat pegawai berkenaan turut digeledah, menurut sumber Sinar Harian. Permohonan reman pegawai itu akan dibuat esok.
Dalam pada itu, sumber turut memaklumkan sebanyak 15 rakaman percakapan diambil daripada saksi dan orang kena tahan. Jumlah pembekuan akaun kes berkenaan setakat ini ialah RM7.6 juta, katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, dilapor mengesahkan penahanan ini.
Semalam, SPRM dilaporkan mereman enam individu berumur lingkungan 30 dan 50-an termasuk seorang pengarah syarikat, ketua pegawai kewangan dan dua pegawai polis disyaki terlibat tuntutan palsu bagi perolehan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem C4i.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata dua pegawai yang berpangkat superintendan dan inspector ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman juga menjalankan audit kewangan terhadap kontrak C4i pada tahun lepas, dan mendapati terdapat pembayaran yang tidak sepatutnya kepada sebuah syarikat sebelum melaporkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
Menteri gesa Adun PAS beri kerjasama, Polis hanya jalankan tugas
Anne Muhammad
PUTRAJAYA: Adun Melor Wan Rohimi Wan Daud digesa bekerjasama dengan polis Kelantan untuk mendapat data jenayah seks dan narkotik di Kelantan yang dipersoalkan wakil rakyat PAS terbabit.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata polis hanya menjalankan tugasnya mereka untuk mengawal dan menyiasat sebarang kes.
“Kalau nak bukti minta dan kerjasama dengan polis.
“Kami pun mohon data polis sebelum keluarkan kenyataan kerana ia membabitkan kes telah disiasat…kalau belum siasat tak masukkan,” katanya selepas perhimpunan bulanan kementeriannya.
Mengikut laporan media, Wan Rohimi pada sidang DUN Kelantan, Selasa lalu mendakwa Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat memberi gambar negatif berhubung kes-kes jenayah di negeri itu.
Wan Rohimi mendakwa polis mengeluarkan kenyataan mengenai kes-kes jenayah itu tanpa disokong oleh data dan fakta.
Antara isu disentuh Mohd Yusoff ialah melibatkan usahawan kosmetik yang didakwa mengetuai sindiket dadah, kejadian kes rogol serta sumbang mahram termasuk melibatkan kanak-kanak.
Berhubung kes rogol dan sumbang mahram, Yusoff berkata sepanjang tahun lalu sebanyak 252 kes direkod, meningkat berbanding 2023 membabitkan 206 kes.
Pukul isteri dengan pistol gara-gara dikejutkan bersarapan
Sinar Harian
Vanit (kiri) menerima empat jahitan selepas dipukul menggunakan pistol oleh suaminya. - Foto Sinar Harian/Agensi
KALASIN: Seorang lelaki di wilayah Kalasin, Thailand bertindak menyerang isterinya dengan pistol selepas dikejutkan untuk bersarapan
Wartawan tempatan yang melawat lokasi kejadian mendapati wanita berkenaan mengalami kecederaan di kepala.
Menurut portal berita Thailand, Workpoint News, mangsa terpaksa menerima empat jahitan.
Mangsa, wanita berusia 43 tahun dikenali sebagai Vanit, menjelaskan insiden berlaku sekitar jam 9 pagi (waktu tempatan) ketika dia cuba mengejutkan suaminya untuk bersarapan.
Namun, lelaki itu bertindak marah dan situasi menjadi tegang sehingga berlaku pertengkaran
Ketegangan memuncak dan Vanit melarikan diri ke rumah bapa saudaranya yang terletak berdekatan untuk mendapatkan perlindungan.
Bagaimanapun, suaminya didakwa mengejarnya dan memukul kepalanya dengan pistol.
Walaupun Vanit masih belum membuat laporan polis, ahli keluarganya menggesa agar tindakan undang-undang diambil kerana ini bukan kali pertama suaminya bertindak ganas.
Vanit menyatakan bahawa dia sanggup memaafkan suaminya sekiranya lelaki itu menjalani ritual Khan Ha atau upacara permohonan maaf tradisional melibatkan lima barang dan dia perlu memohon maaf dengan ikhlas serta menyesali perbuatannya itu.
Namun, dia menegaskan tidak akan tinggal bersama lelaki itu lagi.
Pasangan tersebut dilaporkan telah tinggal bersama lebih setahun tetapi tidak mempunyai anak.
Vanit mempunyai lima anak hasil daripada hubungan terdahulu.
Sementara itu ibu saudara mangsa mengesahkan kejadian berlaku di rumahnya dan dia sendiri menyaksikan lelaki itu memukul isterinya dengan senjata.
Walaupun tidak pasti sama ada lelaki itu terbabit dengan dadah t, beliau percaya hubungan perkahwinan itu tidak dapat diselamatkan lagi kerana kerap berlaku pertengkaran dan keganasan dalam rumah tangga pasangan itu. - Sinar Harian memetik agensi
SPRM tahan pegawai disyaki terima rasuah RM40,000 babitkan projek Rumah Mesra SMJ
Juwan Riduan
SANDAKAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM40,000 daripada beberapa individu dan kontraktor membabitkan projek pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Suspek ditahan kira-kira jam 2 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.
Sumber berkata, suspek dipercayai menerima wang rasuah kira-kira RM40,000 sejak 2022 hingga tahun ini sebagai dorongan memberikan projek pembinaan rumah berkenaan kepada beberapa individu dan kontraktor.
"Suspek kini direman tujuh hari sehingga 1 Mei selepas Hakim Zaini Fishir membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Sesyen Sandakan pagi tadi," katanya.
Ketua Polis Balai kantoi dadah ditukarkan
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009," katanya.
Pas harung sungai cari najis babi demi undi PRK Ayer Kuning
Harapandaily

Tindakan pemimpin dan jentera pilihan raya Pas yang tergamak turun mengharungi sungai bagi mencari najis babi demi merebut undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak mengundang sindiran orang ramai.
Mereka termasuk Ketua Penerangan Pas dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa air Sungai Bidor yang mengalir hingga ke kawasan DUN Ayer Kuning dicemari akibat kewujudan ladang ternakan babi.
Rata-rata berpendapat Pas sudah begitu terdesak sehingga sanggup ‘menunggang’ isu babi walaupun masalah itu gagal diselesaikan semasa parti pembangkang itu menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Perak daripada 2020 hingga 2022.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pasar Mas, Wan Abd Hadi secara sinis mengajak Ahmad Fadhli pulang menjenguk Kawasan bukannya sibuk hal di negeri lain.
“Kau buat apa Fadhli? Kau nak buktikan apa pada rakyat di Ayer Kuning?
“Malu tengok sampai masuk sungai cari najis khinzir. Kau masuk sungai buat apa? Balik Pasir Mas, buat kerja di sini.
Ahmad Fadhli dan ADUN Manjoi, Hafez Sabri turun mengharung sungai mencari kesan najis babi menjelang PRK Ayer Kuning esok.
“Kau sibuk tempat orang, kenapa? Masalah kandang khinzir tu sudah berpuluh tahun berlaku.
“Zaman Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria jadi Exco Pertanian lagi, kandang khinzir dah ada.
“Sepatutnya, kau tanya Razman apa dia buat Waktu dia jadi Exco dulu.
“Kenapa zaman dia tak diselesaikan isu-isu kandang khinzir ni?” tempelaknya menerusi TikTok yang sudah meraih lebih 16,000 tontonan setakat pagi ini.
Semalam, Ahmad Fadhli menerusi laman Facebook mendakwa menyaksikan sendiri sisa kumbahan najis babi disalirkan terus masuk ke dalam Sungai Bidor.
Pemimpin Pas berkenaan turut mencabar Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turun dan membasuh muka menggunakan air Sungai Bidor selepas lokasi pencemaran.
“Baiklah, kalau YAB TPM terlalu yakin ladang babi itu ikut SOP (prosedur operasi standard), saya cabar turun dan basuh muka.
“Ada berani?” soalnya.
Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, pengusaha ladang babi di kawasan DUN Ayer Kuning beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, cadangan pembangkang mengenai penambahbaikan operasi ternakan terbabit adalah tidak relevan.
Menurutnya, pengusaha berkenaan sudah mendapat lesen mengusahakan ternakan mereka sejak sekian lama.
Polis putus telinga digigit pelajar Afrika
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang anggota polis dilapor putus telinga kiri akibat digigit lelaki warga Afrika yang bertindakn agresif ketika cuba ditahan, dalam kejadian di klinik swasta, Metro Prima, Kuala Lumpur.
Menurut sumber, anggota berpangkat koperal bersama seorang lagi rakan setugas digegaskan ke lokasi, susulan laporan pesakit warga asing itu mengamuk, dalam kejadian pada 10.30 pagi tadi.
Katanya, suspek pada awalnya dikatakan memberi kerjasama ketika ditenangkan pihak polis.
“Namun, sebaik sahaja hendak dimasukkan ke dalam kenderaan peronda (MPV), suspek secara tiba-tiba berpaling lalu menggigit telinga kiri anggota polis terbabit sehingga putus,” kata sumber itu kepada Sinar Harian.
Anggota berusia lingkungan 30-an mengalami pendarahan teruk dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur, dan difahamkan akan menjalani pembedahan menyambung semula bahagian telinga terputus.
Susulan itu, suspek berusia 38 tahun yang juga pelajar kolej swasta ditahan untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Sentul, Jasni Zopal, mengesahkan kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Dua anak jiran dibunuh kerana memancing kolam keluarga
Sinar Harian
BENGKULU: Polis Indonesia menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun kerana disyaki membunuh dua anak jirannya, masing-masing berusia lapan dan sembilan tahun, hanya kerana mereka memancing ikan di kolam milik keluarganya.
Ketua Polis Daerah Bengkulu, Kombes Pol Sudarno berkata, kedua-dua mangsa dikenali sebagai AR dan AB, dilaporkan hilang pada 15 April lalu sebelum mayat mereka ditemui dalam keadaan menyayat hati, terikat dan disumbat dalam guni di dua lokasi berasingan.
Siasatan mendapati, suspek bertindak di luar batasan apabila marah terhadap kedua-dua mangsa yang memancing ikan di kolam belakang rumahnya.
“Suspek bertindak mencekik dan menutup mulut mangsa kemudian mereka dibiarkan lemas sebelum membuang mayat mereka.
"Seorang daripada mangsa dibuang ke dalam perairan Muara Jenggalu dengan guni berisi batu sebagai pemberat. Seorang lagi ditemui dalam tangki najis di rumah suspek,” katanya kepada wartawan baru-baru ini.
Polis menemui petunjuk penting apabila terdapat tulisan 'Ibrahim Tanjung Bengkulu' pada guni berkenaan. Siasatan lanjut membawa kepada rumah suspek yang terletak berdekatan dengan kediaman mangsa.
Siasatan turut mendapati suspek cuba 'menyembunyikan' rahsia supaya mayat tidak dapat dihidu dan berbau dengan menabur kapur barus dan daun serai ke dalam tangki najis.
Suspek juga dipercayai menyertai operasi mencari mangsa untuk menutup perbuatannya.
Bedah siasat ke atas mayat AB menunjukkan kesan lebam pada pipi, dahi dan leher akibat dicekik, manakala keadaan mayat AR yang sudah rosak menyukarkan penentuan punca kematian.
Polis menahan suspek dan 'menjaga' keluarganya bagi mengelakkan sebarang amukan daripada penduduk setempat. Kawasan rumah suspek turut dipasang garis keselamatan polis.
“Anggota polis, termasuk ketua komuniti setempat, telah dikerah bagi mengawal keadaan dan menenangkan orang ramai. Kami menggesa agar orang awam tidak bertindak di luar batas undang-undang,” kata Sudarno.
Menurut beliau, ibu bapa suspek tidak berada di rumah ketika kejadian dan tidak terlibat dalam kes itu.
Suspek kini berdepan siasatan di bawah Seksyen 80(3) Akta Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia dan Seksyen 338 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun jika disabitkan kesalahan. - SInar Harian memetik agensi
Bekas Hakim Mahkamah Sesyen dipenjara enam bulan dan denda RM25,000 kerana menerima rasuah
BERNAMA
Putrajaya: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 terhadap seorang bekas Hakim Mahkamah Sesyen kerana menerima rasuah berhubung prosiding mahkamah.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengekalkan hukuman Mahkamah Sesyen itu selepas membenarkan rayuan akhir pendakwa raya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 31 Julai 2023 yang menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 terhadap Azmil Muntapha Abas, 50.
Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi dan menafikan hak rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan yang efisyen.
"Lebih serius lagi dalam kes ini jenayah dilakukan seorang penjawat awam yang ketika itu berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Sesyen dan bertanggungjawab menjalankan tanggungjawab kehakiman.
"Ini tentunya menghancurkan amanah tanggungjawab dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi kehakiman dan melemahkan sistem pentadbiran keadilan negara," katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Hakim Mohd Nazlan berkata setelah meneliti rekod rayuan, mahkamah mendapati hakim bicara Mahkamah Sesyen telah membuat pertimbangan sewajarnya terhadap faktor mitigasi dan pemberatan serta prinsip hukuman yang berkenaan sebelum menjatuhkan hukuman.
"Dalam alasan Mahkamah Tinggi pula yang menggantikan hukuman penjara enam bulan kepada sehari, terdapat kekhilafan yang tidak memberi justifikasi kepada gangguan terhadap keputusan hakim mahkamah bicara," katanya.
Beliau berkata hukuman yang dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Sesyen adalah mencerminkan hukuman yang berkadaran, adil, berpatutan serta tidak berlebihan.
"Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan pendakwaan. Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi diketepikan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen iaitu enam bulan penjara dan denda RM25,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda dikekalkan. Mahkamah memerintahkan waran komital dikeluarkan dan responden (Azmil) ditahan serta-merta," kata hakim itu.
Difahamkan Azmil Muntapha akan dibawa ke Penjara Kajang.
Pada 19 Oktober 2022, Azmil Muntapha dihukum penjara enam bulan dan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5,000 berhubung prosiding mahkamah.
Azmil Muntapha sebagai Hakim Mahkamah Sesyen didakwa telah memperoleh wang tunai RM5,000, tanpa suatu balasan pada 8.22 malam, yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dalam suatu prosiding berkaitan dengannya, iaitu mengendalikan kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).
Enam OKT tersebut ialah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong, yang masing-masing melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan Azmil Muntapha telah menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua mereka.
Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Setia Alam 2, Shah Alam, pada 10 Mei 2018, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan berkata hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam menjatuhkan hukuman penjara terhadap responden (Azmil Muntapha) yang mana hukuman itu memberi penekanan kepada masyarakat bahawa kesalahan yang dilakukan responden adalah serius.
"Apabila dikurangkan kepada penjara satu hari, ia gagal mencapai matlamat untuk menghalang orang ramai daripada melakukan kesalahan sama dan menunjukkan keseriusan jenayah yang dilakukan oleh seseorang berjawatan sedemikian," katanya.
Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mendapati saksi pendakwaan ketiga (pegawai polis) dan keempat (timbalan pendaftar) memainkan peranan besar dalam mempengaruhi responden.
Sementara itu peguam Datuk Wira Mohtarudin Baki yang memberi perkhidmatan probono (khidmat guaman percuma) kepada Azmil Muntapha berkata hujahan pendakwaan yang membangkitkan isu kepentingan awam dan menegakkan badan kehakiman adalah retorik.
"Ini kerana tiada tindakan diambil terhadap SP3 dan SP4. Selain itu hukuman penjara menjejaskan kerjaya responden selama 17 tahun serta responden hilang keyakinan diri," kata bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu.
'Pak guard' belasah isteri guna pedang samurai gara-gara aplikasi cari kenalan
Sinar Harian
Suspek (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang pengawal keselamatan yang ditahan pada Khamis selepas disyaki mencederakan isterinya menggunakan pedang samurai direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.
Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 27 tahun yang turut didakwa mengugut isterinya dikeluarkan oleh Majistret N Sivashangari bermula Jumaat sehingga Isnin ini.
Sumber berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek menuduh isterinya berusia 19 tahun berlaku curang setelah terlihat aplikasi mencari kenalan baharu di telefon bimbit milik mangsa pada 12 April lalu.
Menurutnya, namun mangsa menafikan melakukan perkara itu membuatkan lelaki terbabit berang lalu mengambil pedang samurai sepanjang 0.5 meter dari dalam almari bilik dan mengugut untuk membunuh isterinya itu supaya mengaku.
"Ketika itu pengadu berada di rumah keluarganya di Krubong sebelum suspek memeriksa telefon mangsa dan terjumpa aplikasi itu.
"Selain mengugut lelaki itu dipercayai memukul isteri menggunakan belakang pedang samurai di bahagian lengan kiri mengakibatkan terdapat kesan merah dan lebam," katanya.
Tambahnya, pergaduhan suami isteri itu berlarutan sehingga Isnin lalu apabila suspek tidak berpuas hati dan terus mendesak isterinya itu supaya mengaku curang.
Ujarnya, suspek kemudian bertindak mencekik leher pengadu dengan kuat dan menumbuk mukanya apabila mangsa masih menafikannya.
Malah suspek juga didakwa pernah mendesak mangsa untuk mengaku di hadapan keluarganya sambil mengeluarkan ugutan bunuh sebelum wanita itu membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak kerana bimbang keselamatan diri.
Penahanan reman suspek bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah. -- Sinar Harian
Ilham Centre: BN tiada masalah besar kekal kerusi DUN Ayer Kuning
Harapandaily
BN secara relatifnya tidak menghadapi masalah besar untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) esok, menurut Ilham Centre.
Firma penyelidikan itu berpendapat persoalan utama ialah sejauh mana kerjasama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan mampu meningkatkan sokongan pengundi untuk mencapai sasaran majoriti tinggi seperti diumum Menteri Besar Perak.
“Sasaran ini memberi tekanan langsung kepada jentera kempen BN dan PH untuk membuktikan keberkesanan kerjasama melalui keputusan hari pengundian, walaupun majoriti responden berpendapat sasaran tersebut sukar dicapai,” jelasnya menerusi kenyataan hari ini.
Pemerhatian selama dua minggu kempen di Ayer Kuning, Ilham Centre menyifatkan fokus Utama di pihak Perikatan Nasional (PN) adalah mengekalkan momentum sokongan pengundi Melayu, khususnya anak muda yang menjadi kekuatan mereka pada PRU-15.
“Jika PN berjaya mengekalkan jumlah undi terdahulu, ia sudah dianggap sebagai pencapaian besar.
“PRU lalu menyaksikan PN berjaya menguasai empat Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu di Ayer Kuning, sekali gus mencabar dominasi tradisi UMNO,” ujarnya.
Penanda aras kritikal
Sehubungan itu, Ilham Centre berpendapat PRK kali ini menjadi medan penting untuk menentukan sama ada PN mampu mempertahankan prestasi tersebut atau kembali kehilangan cengkaman kepada BN.
Tegasnya, PRK N.48 Ayer Kuning merupakan penanda aras kritikal bagi menilai keberkesanan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dan pengaruh sebenar PN dalam kalangan pengundi muda Melayu.
Dalam masa sama, PRK yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru itu akan menggambarkan sejauh mana faktor peribadi calon mempengaruhi keputusan pengundian dan hala tuju politik setempat menjelang pilihan raya akan datang.
Mulai 8 pagi esok, seramai 31,315 pengundi berdaftar bagi PRK DUN Ayer Kuning akan keluar memilih wakil selepas tamat 14 hari tempoh berkempen.
PRK Ayer Kuning adalah PRK ke-11 selepas PRU15 dengan sebanyak 19 pusat mengundi membabitkan 63 saluran akan dibuka.
Calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir akan berentap dengan calon PN, Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Mohamad Yusri akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong manakala Abd Muhaimin di SK Ayer Kuning dan Bawani di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok.
Mereka ini 'kebal' undang-undang!, Betul ke? Atau penguatkuasa kurang berfungsi
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

SEBAHAGIAN 94 Pati yang ditahan selepas imigresen menyerbu 24 premis perniagaan di sekitar Puchong, semalam
Puchong: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu 24 premis perniagaan dimonopoli warga asing di sekitar Puchong di sini dan menahan 94 orang, kelmarin.
Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 10.30 pagi membabitkan 54 pegawai pelbagai pangkat dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat JIM, Putrajaya.
Menurutnya, premis perniagaan dikendalikan warga asing ini terdiri premis barangan runcit, makanan dan minuman, dandanan, cucian kenderaan dan jualan pakaian.
"Berdasarkan hasil risikan dijalankan selama dua hari mendapati premis perniagaan yang dimonopoli warga asing ini beroperasi tanpa rasa takut dan bimbang terhadap aktiviti penguatkuasaan yang sedang giat dijalankan oleh agensi penguatkuasaan.
"Warga asing ini dipercayai menerima bayaran gaji bermula dari RM50 sehari hingga RM1,500 sebulan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kadar bayaran gaji ini juga bergantung kepada tempoh waktu bekerja individu warga asing terbabit.
"Seramai 370 individu yang terdiri daripada 247 lelaki dan 85 wanita warga asing serta 38 warganegara tempatan diperiksa dalam operasi ini.
"Pasukan operasi menahan seramai 72 lelaki dan 22 wanita warga asing yang terdiri dari warganegara Thailand, Bangladesh, Indonesia, Myammar, Pakistan, Yaman, Vietnam, Mesir, Palestin dan India berusia antara 23 hingga 35 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya.
Zakaria berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, salah guna permit dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
"JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007," katanya.
Langgan:
Ulasan (Atom)




