"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seorang lagi Tan Sri ditahan kes penipuan pelaburan MBI

Bernama

Polis menahan seorang lagi individu bergelar Tan Sri kerana disyaki mempunyai kaitan dengan skim penipuan pelaburan Ponzi melibatkan MBI International Group (MBI) pada Khamis lepas di Pulau Pinang.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Muhammed Hasbullah Ali ketika mengesahkan penahanan itu berkata lelaki terbabit kini direman lima hari bagi membantu siasatan.

“Individu terbabit telah dibawa ke pejabat dan rumahnya serta beberapa dokumen yang sepatutnya dirampas untuk siasatan lanjut selain dijadikan bahan bukti,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan dan tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan baharu berhubung kes berkenaan.

Satu sidang media juga akan diadakan dalam masa terdekat bagi memaklumkan perkembangan lanjut berhubung kes, katanya.

Difahamkan, pengerusi sebuah syarikat hartanah di Pulau Pinang berusia 53 tahun itu dipercayai berperanan sebagai rakan kongsi atau proksi yang menerima wang daripada dalang sindiket tersebut untuk ‘mencuci duit’ hasil kegiatan haram.

Pada 22 April lepas Muhammed Hasbullah dilaporkan berkata lima individu termasuk seorang usahawan bergelar ‘Tan Sri’ dan ‘Datuk Seri’ yang dipercayai menjadi proksi serta rakan perniagaan dalam skim penipuan pelaburan itu ditahan di sekitar Lembah Klang dan di utara tanah air menerusi Op Northern Star pada 18 hingga 21 April.

Beliau berkata selain tangkapan tersebut, polis turut menyita dan membekukan harta serta aset membabitkan tiga dusun durian bernilai RM223.62 juta di tiga lokasi berasingan iaitu di Raub, Pahang (344 hektar), Jawi, Pulau Pinang (5.26 hektar) dan Tasek, Kedah (13.76 hektar).

Katanya, sebanyak 299 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM123.61 juta turut dibekukan selain 12 kenderaan mewah, seutas jam tangan mewah, lima telefon bimbit dan pelbagai dokumen penting yang dipercayai mempunyai kaitan dengan skim penipuan berkenaan.

Muhammed Hasbullah berkata turut disita tiga entiti perniagaan membabitkan sebuah kilang memproses kelapa sawit di Selama, Kedah, sebuah hotel serta sebuah syarikat pemaju hartanah di Pulau Pinang dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan mencecah RM3.51 bilion.

- Bernama

Lelaki Amerika dihukum penjara 53 tahun kerana bunuh kanak-kanak Palestin-Amerika

Bernama

Joseph Czuba, 73, didapati bersalah atas tuduhan membunuh peringkat pertama, cubaan membunuh, serangan fizikal teruk dan jenayah kebencian setelah menyerang keluarga Palestin-Amerika itu. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Seorang lelaki di negeri Illinois, Amerika Syarikat dijatuhi hukuman penjara 53 tahun pada Jumaat atas serangan bermotifkan kebencian pada 2023 yang mengorbankan Wadee Alfayoumi, 6, seorang kanak-kanak Palestin-Amerika, lapor Anadolu Ajensi (AA) yang memetik laporan media tempatan.

Ibu kanak-kanak itu, Hanan Shaheen, turut ditikam dalam serangan berkenaan.

Joseph Czuba, 73, didapati bersalah atas tuduhan membunuh peringkat pertama, cubaan membunuh, serangan fizikal teruk dan jenayah kebencian setelah menyerang keluarga Palestin-Amerika itu beberapa hari selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Okt 2023, menurut laporan NBC News.

Shaheen memberi keterangan bahawa Czuba memberitahunya "kaum kamu" membunuh orang Yahudi dan bayi di Israel, serta mengatakan umat Islam tidak dialu-alukan di rumahnya.

Satu-satunya saksi pendakwaan, bapa saudara kepada Wadee, Mahmoud Yousef, berkata kematian kanak-kanak itu menghancurkan harapan dan impian keluarga mereka. "Apa pun hukuman yang dijatuhkan, ia tetap tidak setimpal," katanya seperti dilaporkan.

Czuba tidak memberikan sebarang kenyataan semasa hukuman dijatuhkan.

Dia didapati bersalah atas kes pembunuhan pada 14 Okt 2023 di kediamannya di Plainfield, 64 kilometer barat daya Chicago, tempat keluarga mangsa menyewa dua bilik.

Pendakwa raya berkata Czuba menyasarkan keluarga itu kerana latar belakang agama Islam mereka dan sebagai tindak balas terhadap perang Israel ke atas Semenanjung Gaza yang bermula seminggu sebelum kejadian.

Bekas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden sebelum ini memperingati ulang tahun pertama serangan kejam itu.

PU Syed: ‘Dewan Ulama Pas berbunyilah, tegur Sanusi walau dia MB’

SITI NUR ZAWANI

Penceramah bebas, PU Syed buat kesekian kalinya menegur secara terbuka Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ekoran tular video beliau berkaraoke di sebuah majlis baru-baru ini.

PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata, teguran kali ini mungkin teguran yang terakhir dibuat untuk pemimpin-pemimpin Islam dalam parti itu.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya Sanusi berhenti dari menyanyi di tempat awam dan fokus kepada urusan-urusan menjaga kebajikan rakyat.

“Walaupun menyanyi (Sanusi) orang lelaki tak ada masalah. Tapi dia menjadi masalah bila mana ia dinyanyikan oleh pemimpin.

“Apatah lagi Datuk Seri adalah pemimpin dikenali sebagai panglima perang PN. Orang besar. Jawatankuasa Pas pusat. Saya ahli biasa je memang tak layak saya nak menegur.

“Apa yang saya nak sebut, nak berkaraoke buatlah sendiri-sendiri dalam rumah. Tak payah tunjuk kepada masyarakat. Saya minta Datuk Seri tak usahlah menyanyi dah. Tumpukan kepada urusan rakyat,” katanya dalam satu video dimuat naik di TikTok.

Pada masa sama, PU Syed memohon agar Dewan Ulama Pas tidak berdiam diri dan menegur kelakuan Sanusi yang dianggap tidak sesuai untuk tontonan umum.

“Kepada Dewan Ulama Pas. Berbunyi lah. Bercakaplah. Tegurlah walaupun dia seorang menteri besar.

“Orang-orang bangsawan ini kita perlu tegur dia. Kadang-kadang mereka tergelincir. Kita kena tegur.

“Bagi kami asatizah yang tidak ada apa-apa, ini nasihat kami. Datuk Seri tinggalkan benda-benda lagha macam ni. Tak perlulah menyanyi atas pentas. Tumpukanlah amal baik, baca Al-Quran untuk kita tonjolkan kepada rakyat,” katanya lagi.

PAS pun teringin nak kerjasama dengan Umno kata Ketua Pemuda PAS

PAS juga sedia kerjasama dengan Umno, kata Afnan

Shakira Buang

Jika Bersatu terbuka untuk bekerjasama dengan Umno, PAS juga nampaknya tiada masalah untuk turut serta selagi dasar parti itu tidak bercanggah dengannya.

Menyuarakan perkara itu, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden (duduk, dua dari kiri) berkata pendirian PAS sejak dahulu tidak berubah iaitu parti itu boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan tidak bercanggah dengan dasar yang dipegangnya.

“Kita pun pernah bekerjasama dengan Umno sebelum ini, sekarang berpisah. Bersatu pun sebelum ini tak pernah ada kerjasama (dengan PAS), tapi sekarang ada kerjasama.

“Jadi semua kemungkinan-kemungkinan itu boleh berlaku. Asas kepada politik ini ialah muafakat dan sudah tentulah bagi parti yang berteraskan agama seperti PAS, keutamaan Islam itu di hadapan. 

“PAS menerima dan terbuka (untuk kerjasama dengan Umno),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, dalam sesi audio siar bersama bekas menteri Zaid Ibrahim, Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin berkata Bersatu yang merupakan serpihan Umno mempunyai ideologi yang sama dengan parti itu, maka pihaknya sedia untuk bekerjasama bagi mencapai tujuan yang sama.

"Jika dilihat dari sudut agenda, Umno ditubuhkan untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Hari ini, Bersatu juga memegang ideologi yang sama.

"Adakah mungkin satu masa nanti ada kerjasama? Ini bukan bermakna Bersatu tidak kuat tetapi kita terbuka untuk bekerjasama," kata Hamzah.

Malah ketika kempen PRK Ayer Kuning sebelum ini, Hamzah masalah ladang babi di Perak terutama di Ayer Kuning boleh diselesaikan sekiranya Umno bergabung dengan PN bagi membentuk kerajaan negeri.

Namun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan hasrat itu sebagai hanya mimpi di siang hari dan Umno telah menutup pintu kerjasama dengan PN.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi yang juga ahli Parlimen Alor Setar mendakwa Umno kini terbahagi kepada dua kelompok, iaitu kelompok yang menyokong kerjasama untuk Melayu dan Islam dan kelompok  yang hanya mementingkan kuasa.

“Jadi, yang nak kepentingan Melayu dan Islam itu mehlah (marilah) duduk dengan kita…tinggallah Umno (yang mementingkan kuasa),” katanya lagi.

Lelaki Myanmar maut dengan kesan tikaman

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my
Anggota polis membawa keluar mayat seorang lelaki warga Myanmar yang maut dengan kesan tikaman di kepala dalam kejadian di sebuah asrama kilang barangan kitar semula di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad
Anggota polis membawa keluar mayat seorang lelaki warga Myanmar yang maut dengan kesan tikaman di kepala dalam kejadian di sebuah asrama kilang barangan kitar semula di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Bukit Mertajam. FOTO Nur Izzati Mohamad
Bukit Mertajam: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui maut dengan kesan tikaman di kepala dalam kejadian di sebuah asrama kilang barangan kitar semula di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, di sini, pagi tadi.

Insiden kira-kira jam 9 pagi itu disedari majikan mangsa yang pergi membuat pemeriksaan di tingkat atas premis menempatkan asrama pekerja terbabit selepas tiada seorang pekerjanya datang bertugas.

Majikan mangsa terkejut apabila menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan sudah tidak bernyawa lalu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Susulan itu, sepasukan polis bersama Unit Anjing Pengesan (K-9) pergi ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan sebelum menemui senjata yang digunakan suspek untuk menikam mangsa di kawasan berhampiran.

Difahamkan, mangsa tinggal di asrama itu bersama enam rakan senegaranya, namun kesemua mereka melarikan diri sejurus kejadian.

Menurut sumber, mangsa dipercayai dibunuh disebabkan perselisihan faham dengan rakannya.

Setakat ini, 11 suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kes itu nanti.

Pemain bola sepak bersembunyi di bawah katil, anak dan isteri diculik

Astro Arena

Pemain bola sepak Ecuador, Jackson Rodriguez, bersembunyi di bawah katil ketika penculik menceroboh rumahnya dan menculik isteri serta anaknya. - Foto Stadium Astro

ISTERI dan anak seorang pemain bola sepak Ecuador telah diculik apabila lelaki menceroboh masuk ke rumah mereka untuk mencari pemain itu, yang terpaksa bersembunyi di bawah katilnya untuk menyelamatkan diri.

Penculikan di kediaman pemain pertahanan, Emelec Jackson Rodriguez, berlaku sekitar jam 3 pagi waktu tempatan di bandar pantai Guayaquil, kata ketua polis Edison Rodriguez.

Dalam keterangannya kepada polis, pemain berusia 26 tahun itu berkata dia bersembunyi di bawah katil apabila mendengar pintu depan dipecahkan, menurut ketua polis.

Pelaku menculik isteri dan anak Rodriguez selepas bertanya kepada wanita itu sama ada pemain itu berada di rumah.

Insiden itu berlaku di tengah-tengah keadaan darurat yang diisytiharkan 10 hari lalu oleh kerajaan di sembilan kawasan di negara itu, termasuk wilayah Guayas, di mana Guayaquil berada.

Langkah itu membolehkan pengerahan pasukan keselamatan di wilayah tersebut untuk memerangi operasi kumpulan jenayah terancang, yang dipersalahkan pihak berkuasa atas gelombang keganasan.

Ketidakamanan dan jenayah telah melanda Ecuador selama empat tahun, dengan peningkatan dalam beberapa bulan pertama tahun ini, menurut kerajaan.

Antara Januari hingga Mac, 2,345 kematian kejam dilaporkan, 742 daripadanya berlaku di Guayaquil, terletak 270 kilometer barat daya ibu kota Quito.

Bandar pelabuhan itu dianggap sebagai salah satu kawasan paling berbahaya di negara ini.

Dari pelabuhan tersebut, penghantaran dadah haram dihantar ke Eropah, Amerika Tengah, dan Amerika Syarikat, menurut pihak berkuasa.

Atlet lain turut menjadi sasaran sebelum ini.

Pada Disember 2024, pemain bola sepak, Pedro Perlaza, yang bermain untuk Liga de Quito juga telah diculik di Esmeraldas, sebuah bandar yang terletak 182 kilometer barat laut Quito, dan diselamatkan beberapa hari kemudian. -- Stadium Astro

Pemandu e-hailing ditahan, lakukan amang seksual terhadap remaja perempuan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Ampang Jaya: Pemandu e-hailing ditahan selepas melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan ketika berbual di tepi jalan kawasan padang di Ampang, di sini, baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, ketika kejadian remaja perempuan berusia 16 tahun itu sedang menunggu bapanya sebelum didatangi lelaki berusia 38 tahun bertanya mengapa mangsa berada di situ.

Menurutnya, mangsa memberitahu sedang menunggu bapanya sebelum mereka sempat berbual namun lelaki itu menyentuh pipi dan pergelangan kaki mangsa.

"Suspek juga menepuk bahu mangsa ketika remaja terbabit mengadu mengalami tekanan di sekolah malah suspek cuba memeluknya menyebabkan dia berasa tidak selesa.

"Mangsa kemudian melarikan diri kerana takut manakala suspek pulang ke rumahnya," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Kamsiah berkata, mangsa kemudian menceritakan kepada bapanya sebelum mereka tampil membuat laporan polis.

"Susulan itu, suspek ditahan semalam dan direman seminggu sehingga 9 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Rangka lelaki dipercayai hilang Julai lalu ditemukan di belakang rumah

Amir Hamzah Nordin
Rangka manusia ditemukan di belakang sebuah rumah di Felda Bukit Mendi, malam tadi. - Foto ihsan polis
Rangka manusia ditemukan di belakang sebuah rumah di Felda Bukit Mendi, malam tadi. - Foto ihsan polis
Bera: Polis menerima aduan berkaitan penemuan tulang disyaki rangka manusia di belakang sebuah rumah di Felda Bukit Mendi, dekat sini, jam 11.50 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata pengadu menemukan rangka dan tengkorak ketika membersihkan kawasan semak dan meracun rumput di kawasan itu kira-kira jam 4 petang semalam.

Katanya, pengadu yang berusia 36 tahun pada mulanya ragu sama ada rangka yang ditemukan itu adalah patung atau manusia sebelum menceritakan kepada rakannya.

"Akhirnya dia membuat keputusan melaporkan kepada polis sebelum anggota ke tempat kejadian.

"Rangka manusia yang ditemui itu berada kira-kira 100 meter dari belakang rumah yang juga tanah rizab Felda dan kawasan berpaya," katanya.

Beliau berkata, rangka dan tengkorak itu dijumpai di kawasan semak samun dan polis turut menemukan baju, seluar dan jaket dalam keadaan berselerakan.

"Siasatan masih lagi diteruskan dan rangka itu diserahkan kepada Unit Forensik Hospital Bera untuk pengenalan identiti mangsa.

"Polis sebelum ini pernah menerima satu laporan pada Julai 2024 berkaitan orang hilang (OH) di Felda Bukit Mendi," katanya.

Katanya, individu yang dilaporkan hilang itu seorang lelaki berusia 48 tahun.

"Setakat ini keluarga terdekat sudah dihubungi dan mengesahkan pakaian yang ditemui dipakai mangsa ketika dilaporkan hilang," katanya.

Ini sebabnya Ketua Dewan Ulama Pas anggap hebatnya MB Kedah kuat nyanyi


Harapandaily

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Senator Datuk Ahmad Yahya menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang kerap menyanyi dan berkaraoke sebagai orang yang “hebat”.

Beliau mengaitkan kesukaan Sanusi berkaraoke di media sosial itu dengan pendekatan dakwah.

“… tetapi di sana ada lagi sasaran-sasaran dakwah yang perlu kita dekati mereka.

“Mereka ini tidak hadir kuliah-kuliah ilmu. Mereka ini takkan hadir majlis-majlis selawat tapi mungkin mereka berada di padang-padang bola, stadium dan di media sosial yang begitu luas.

“Jadi, macam mana nak ambil (perhatian) ni?” katanya dalam sedutan rakaman video yang tular.

Walau bagaimanapun, Ahmad mengakui terdapat pihak yang kurang selesa melihatkan Sanusi berkaroke sehingga tengah malam.

“Mungkin apa yang dilakukan Datuk Seri MB (Sanusi), satu sudut kita rasa kurang selesa.

“Mungkin ada anggap begitu, tak sesuai tapi satu perkara yang hebat setiap kali Datuk Seri MB kita ni ‘live karaoke ke menyanyi ke, akan ada isteri MB di sebelah. Itu kebiasaan.

“Saya dapat mengesahkannya. Cuma bila kita tengok dalam media sosial tu, tak nampak (isteri MB Kedah), yang nama dua sajalah,” kata Ahmad lagi.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) umum dikenali gemar menyanyi termasuk menyanyi secara langsung di TikTok dengan alasan bukan menjadi suatu kesalahan selagi tidak menyalahi perundangan atau agama.

Malah, dalam majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon lalu, Sanusi dilihat gigih menyanyikan lagu “Lamunan Terhenti” bersama Aris Ariwatan.

Kelantan: Polis tahan jiran bantu siasatan warga emas hilang barang kemas RM300,000

Nor Amalina Alias
Mek Som@Nisah Omar menunjukkan bilik tidurnya yang berselerak. - Foto NSTP/ Nor Amalina Alias
Mek Som@Nisah Omar menunjukkan bilik tidurnya yang berselerak. - Foto NSTP/ Nor Amalina Alias
BACHOK: Polis menahan seorang suspek lelaki yang juga jiran warga emas yang kehilangan barangan kemas bernilai lebih RM300,000 di Kampung Pengkalan Kasim, Beris Kubor Besar, di sini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, berkata lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Tok Belian Beris, Tawang, jam 1.20 pagi semalam.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai jurukimpal itu disyaki terbabit dalam kes pecah rumah Mek Som @ Nisah Omar, 77 pada 29 April lalu.

"Ujian saringan air kencing suspek negatif namun dia didapati mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Ismail berkata, suspek mempunyai dua kes lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya, satu kes di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB, Seksyen 456 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 457 KK.

Katanya, suspek ditahan di bawah Op Pintu/Op Cantas di bawah Seksyen 457 KK dan ditahan reman untuk siasatan dan tindakan lanjutan.

"Suspek direman empat hari sehingga Ahad ini dan kita masih teruskan siasatan," katanya.

Selasa lalu, Mek Som @ Nisah kerugian lebih RM300,000 apabila barangan kemas miliknya lesap ketika dia keluar mengaji di Masjid Pengkalan Chengal kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Dia mendakwa rumahnya tiada kesan umpil namun apabila diperiksa bilik tidurnya berselerak sebelum mendapati beg pinggang mengandungi beberapa barang kemas miliknya hilang.

Angan-angan Bersatu ganti UMNO dah berakhir

Harapandaily

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan hasrat awal Bersatu untuk menggantikan UMNO sudah berakhir.

Beliau berkata demikian mengulas pengakuan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bahawa trend pengundian dan sokongan orang Melayu terhadap parti itu hampir tepu.

“Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mengakui sokongan orang Melayu terhadap Bersatu sudah tepu. Makin lama makin merosot. Memang benar.

“Bersatu sukar untuk bersaing dengan UMNO dan Pas.

“Dua parti itu pilihan utama orang Melayu. Bersatu tidak boleh bersaing dengan UMNO dan Pas,” tegasnya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Wan Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang dalam wawancara bersama FMT mengakui bimbang jika PN tiada strategi lebih anjal untuk memenangi hati dan kepercayaan golongan pertengahan khususnya pengundi bukan Melayu.

Wan Fayhsal berkata, PN menang 74 kerusi Parlimen pada PRU15 sekaligus dianggapnya sebagai sokongan orang Melayu dan Bumiputera tetapi kini berkurangan kepada 68 kerusi selepas enam wakil rakyat Bersatu mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berpendapat adalah lebih baik Bersatu bersaing dengan PKR.

“Justeru, jadikan Bersatu parti berbilang kaum macam PKR. Bersatu perlu “lain dari yang lain”.

“Satu lagi pilihan terbaik ialah bubar parti Bersatu.

“Lebih baik cari warna dan cogankata lain supaya tidak nampak meniru UMNO. Barulah “lain dari yang lain”,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu lagi.

Untuk rekod, PN hanya menang tiga kawasan daripada 11 PRK yang diadakan selepas PRU15 iaitu Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman serta DUN Sungai Bakap.

Tujuh kawasan lagi dikuasai gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) manakala satu dimiliki Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bahkan, BN berjaya merampas DUN Nenggiri yang dimenangi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

Remaja 16 tahun cuba samun, rogol pekerja spa dicekup

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

Melaka: Remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan polis selepas disyaki cuba menyamun dan merogol seorang wanita pekerja spa di sebuah premis di Taman Bachang Utama, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek ditahan di sebuah rumah pangsa di Taman Merdeka tengah malam tadi oleh sepasukan polis Cawangan Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah bersama anggota Task Force Balai Polis (BP) Batu Berendam susulan laporan dibuat mangsa iaitu pengadu.

Beliau berkata, berdasarkan laporan mangsa menyatakan seorang lelaki tidak dikenali datang ke spa tempatnya bekerja dan bertanyakan pakej rawatan untuk rakan wanitanya yang dalam perjalanan ke premis itu.

Menurutnya, selepas diberitahu mengenai rawatan disediakan, suspek masuk ke dalam spa sebelum bertindak menutup mulut pengadu dengan tangan dan menariknya ke bilik rawatan.

"Suspek kemudian meminta wang dan memegang tangan pengadu dengan kuat yang mana pengadu itu cuba melawan untuk melepaskan diri.

"Suspek cuba merogolnya, namun dia melawan serta menjerit meminta tolong menyebabkan lelaki itu melarikan diri.

"Pengadu kemudian menghubungi majikan dan memberitahu kejadian dan diarah mengunci pintu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher berkata, beberapa minit kemudian pengadu terdengar loceng dan pintu premis dibuka yang mana suspek sekali lagi cuba membuat perkara tidak elok terhadapnya.

"Suspek bagaimanapun melarikan diri apabila wanita itu menghubungi majikannya," katanya.

Menurut Christopher polis turut merampas topi keledar, kunci motosikal dan motosikal yang dilaporkan hilang daripada suspek yang direman tujuh hari bermula hari ini.

Katanya, hasil soal siasat suspek mengaku terbabit kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 376/511 dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Atas alasan 'bosan' seorang lelaki rempuh tujuh murid sekolah dengan keretanya

Suspek dakwa 'bosan' sebelum rempuh tujuh murid sekolah

Astro Awani

Pihak berkuasa memeriksa kenderaan yang dipercayai merempuh sekumpulan murid sekolah rendah di Osaka. -AP

OSAKA: Seorang lelaki ditahan selepas didakwa merempuh tujuh murid sekolah rendah dengan keretanya dalam kejadian berhampiran Sekolah Rendah Senbon, di sini, pada Khamis.

Menurut pihak berkuasa, kejadian berlaku sekitar jam 3 petang ketika murid-murid itu sedang berjalan pulang selepas sesi persekolahan.

Suspek, Yuki Yazawa, 28, berasal dari Tokyo, Jepun dilapor menyewa kereta beberapa hari sebelum insiden.

Polis Osaka mengesahkan suspek menyatakan "bosan dengan segalanya" sebagai motif tindakan, sebelum dia dengan sengaja merempuh kumpulan kanak-kanak tersebut.

Akibat rempuhan itu, seorang murid perempuan mengalami kecederaan parah dengan rahang patah, manakala enam lagi mengalami kecederaan ringan.

Seorang saksi kejadian memberitahu media tempatan bahawa selepas insiden berlaku, murid-murid menjerit kesakitan, manakala suspek dilihat terkejut dan tidak berkata apa-apa sebelum dia ditahan pihak sekolah.

Ketua Polis Osaka, dalam kenyataan berkata: “Kami akan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap motif suspek dan akan memastikan keadilan ditegakkan. Keselamatan murid-murid sekolah adalah keutamaan pihak berkuasa.”

Pihak sekolah dalam pada itu mengumumkan akan menyediakan sokongan psikologi kepada murid-murid yang terkesan.

Kelantan: Kanak-kanak 11 tahun cedera ditikam bapa

Sinar Harian

Lokasi kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dipercayai ditikam bapanya di Kampung Banggol Che Dol, Pasir Mas pada Jumaat. -Foto Sinar Harian

PASIR MAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dipercayai mengalami kecederaan akibat ditikam oleh bapanya yang merupakan seorang guru, dalam kejadian di Kampung Banggol Che Dol, di sini pada Jumaat.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku pada jam 8 pagi.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan. -Sinar Harian

Wanita dalam perjalanan ke SPRM didakwa hilang sejak 9 April

Faisal Asyraf

Menurut adiknya, kenderaan e-panggilan dinaiki Pamela Ling dipintas oleh tiga kenderaan tidak dikenal pasti.
Keluarga Pamela Ling mendakwa, wanita itu dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya sebelum dia tidak lagi dapat dihubungi.
PETALING JAYA: Seorang ibu tiga anak dilaporkan hilang sejak bulan lepas ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

Pamela Ling, 42, dalam perjalanan berjumpa pegawai agensi antirasuah itu untuk memberikan kenyataan berkaitan suatu siasatan pada 9 April apabila dia didakwa diculik, dakwa adiknya, Simon.

Simon berkata, keluarga mereka difahamkan bahawa kenderaan e-panggilan yang dinaiki Pamela pada hari itu dipintas oleh tiga kenderaan tidak dikenal pasti.

Dia kemudian diarahkan menaiki salah satu kenderaan itu, menurut Simon.

“Tiada lagi khabar berita daripada Pamela sejak tengah hari itu. Sudah lebih 20 hari dia hilang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, panggilan dan mesej yang dihantar oleh keluarga dan peguamnya berulang kali kepada Pamela selepas 2 petang hari itu tidak dijawab.

“Kami bimbangkan keselamatannya. Keadaan berkait kehilangan Pamela sangat luar biasa dan perlu disiasat,” katanya.

Keluarga itu membuat laporan polis dan berkata mereka dimaklumkan bahawa polis telah memulakan siasatan berhubung penculikan.

FMT telah menghubungi polis Putrajaya untuk mendapatkan komen.

Simon menggesa polis untuk memperhebat usaha mereka mengejar semua petunjuk yang penting, memandangkan masa itu penting.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mungkin mempunyai maklumat berhubung perkara itu supaya tampil membantu mengesan Pamela.

Simon berkata, Pamela terakhir diketahui menetap di sebuah pangsapuri di Sunway Velocity, Cheras, Kuala Lumpur.

Bersatu juga akhirnya tidak percayakan Pas

Harapandaily

Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor memandang kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkenaan dengan kebimbangan parti itu dalam gabungan bersama Pas dilihat sebagai langkah yang telah diduga.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, AMANAH melihat kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan krisis ketidak percayaan rakan strategik dalam membawa agenda Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Kami sebenarnya telah menduga perkara ini akan berlaku kerana seperti yang sedia maklum, Pas sebelum ini dilihat acap kali menikam belakang rakannya dengan mengeluarkan pelbagai hukum selepas mereka tidak lagi bersama parti-parti lain.

“Sebelum ini Pas dilihat mesra dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Parti Keadilan Rakyat (PKR- Pakatan Rakyat), Tan Sri Lim Kit Siang (DAP – Pakatan Rakyat), UMNO dalam (MN) serta terkini Bersatu dan perkara yang terbaru ini telah dapat diduga sekali lagi Pas sedang mengkhianati rakannya,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Hamzah dilapor berkata, BERSATU terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO kerana kedua-dua parti berkongsi asas ideologi yang sama.

Menurut Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat itu, bekas pemimpin MIC dan MCA juga sudah mendaftar untuk menjadi ahli BERSATU.

Mengulas lanjut, Aminolhuda berkata, agenda Pas di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang selama ini demi mengambil kesempatan di atas pengaruh seseorang hanya untuk mendapatkan kuasa dan kepentingan peribadi mereka sahaja.

“Namun, perkembangan ini sedikit sebanyak telah membuka mata ramai pihak berkenaan dengan hilangnya matlamat asal Pas dalam membawa agenda rakyat.

“Kini, Pas dilihat lebih kepada sebuah parti yang terlalu hendakkan kuasa semata-mata,” tambah beliau lagi.

'Mama bantu lepaskan saya'

Raja Noraina Raja Rahim dan Nur Alif Hazmi Suffian
am@hmetro.com.my
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim (kanan) bersama Ibu mangsa Yanti ketika sidang media anak beliau telah dijual kepada sindiket di Kemboja di Ibu pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa. FOTO AMIRUDIN SAHIB.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim (kanan) bersama Ibu mangsa Yanti ketika sidang media anak beliau telah dijual kepada sindiket di Kemboja di Ibu pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa. FOTO AMIRUDIN SAHIB.
Kuala Lumpur: "Mama bantu lepaskan saya."

Demikian mesej dihantar seorang gadis berusia 22 tahun kepada ibunya yang meminta diselamatkan selepas dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Kemboja.

Ibu mahu dikenali Yanti, 45, berkata mesej berkenaan diterima menerusi aplikasi Telegram pada 28 Mac lalu dan sehingga kini anak tunggalnya itu dikatakan masih 'dikurung' oleh sindiket penipuan dalam talian.

Menurutnya, anak memaklumkan mengikut dua rakan yang juga pasangan kekasih 'makan angin' ke Thailand sebelum diseludup masuk ke Kemboja.

"Dia (anak) tidak tahu dia kena tipu… sekarang dia seorang sahaja rakyat Malaysia di sana, yang lain semua orang China. Anak saya pandai cakap Cina sebab bekas suami saya orang Cina.

"Dia hanya dapat hubungi saya melalui Telegram beberapa kali. Anak saya minta tolong diselamatkan dan ada hantar lokasi tapi saya tidak tahu bagaimana keadaannya sekarang," katanya pada sidang media di Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung MHO Datuk Hishamuddin Hashim.

Yanti yang berasal dari Limbang, Sarawak mendakwa datang ke Kuala Lumpur untuk meminta pertolongan MHO pada minggu lalu.

"Saya tidak tahu apa nak buat dan ambil cuti datang ke sini. Saya sekarang menyewa di sebuah hotel di ibu kota dan akan tunggusehingga anak saya diselamatkan.

"Semalam pun anak saya mesej lagi tanya bila boleh bawa dia pulang," katanya yang turut merayu bantuan pihak berkuasa dan sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

"Saya mahu anak saya balik ke pangkuan saya. Anak saya anak tunggal… saya mohon kerajaan bantu selamatkan dia," katanya.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihaknya akan menyalurkan permohonan bantuan segera kepada Kedutaan Malaysia di Kemboja dan Kedutaan Kemboja di Malaysia.

"Kami mohon kedua-dua pihak berkolaborasi dan segera menyelamatkan mangsa. Laporan polis juga dibuat dan kita mahu usaha menyelamatkan mangsa ini dapat dipercepatkan," katanya.

Veteran Umno seru Bersatu bubar, dakwa PAS banyak kali hantar ‘wakil’ jumpa PM

FMT Reporters

PETALING JAYA: Veteran Umno menyeru Bersatu dibubar dan kembali menyertai parti itu selepas mendakwa PAS sudah berkali-kali menghantar ‘wakil-wakil’ mereka berjumpa perdana menteri untuk diterima masuk dalam kerajaan perpaduan.

Setiausaha Mustapha Yaakub berkata, Bersatu sedia tahu tindakan PAS untuk meyakinkan Anwar Ibrahim bagi tujuan berkenaan.

Beliau juga menolak Bersatu bekerjasama dengan Umno, sebaliknya lebih baik parti itu memanggil perhimpunan khas dan membuat pembubaran seperti pernah dilakukan Tengku Razaleigh Hamzah semasa membubarkan Semangat 46.

“Realitinya kenyataan itu membuktikan kebimbangan Bersatu terhadap nasibnya bersama PAS dalam PN (Perikatan Nasional) yang retak menunggu belah.

“Bersatu tahu PAS telah berusaha untuk meyakinkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mereka diterima ke dalam kerajaan perpaduan.

“Bukan sekali, tetapi sudah berkali-kali PAS telah menghantar ‘wakil-wakil’ mereka berjumpa PMX untuk tujuan itu,” katanya menurut Sinar Harian.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, partinya terbuka bekerjasama dengan Umno kerana mereka berkongsi asas ideologi sama.

Seruan sama juga diulangi Hamzah pada kempen PRK Ayer Kuning, baru-baru ini, yang menyaksikan Umno mengekalkan penguasaannya dengan majoriti lebih besar, walaupun kadar keluar mengundi kurang 60%.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, Bersatu perlu kembali secara ‘inblock’ yang disifatkan cara terbaik memperjuangkan agama, bangsa, dan negara.

“Bukan bekerjasama dengan Umno, tetapi bersama dalam Umno,” katanya sambil menggambarkan hasrat berulang kali disuarakan Hamzah berniat baik dan positif.

‘Bersatu nak kerjasama dengan Umno sebab risau hubungan dengan PAS’


Salah tekan pedal minyak, kereta terbabas ke medan selera

Afiezy Azaman

Kemalangan itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan dan ia hanya melibatkan kerosakan pada kenderaan dan peralatan di kawasan laman selera. - Foto PDRM

KUALA LUMPUR: Sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner yang dipandu oleh seorang lelaki terbabas ke dalam kawasan Laman Selera MPAJ di Jalan Kerja Air Lama, Ampang, pada Khamis.

Ia selepas pemandunya dipercayai tersilap menekan pedal minyak dalam kejadian yang berlaku pada 4.15 petang itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, insiden berlaku ketika pemandu terbabit sedang memasuki petak parkir Orang Kurang Upaya (OKU) di lokasi berkenaan.

"Ketika cuba meletakkan kenderaan, pemandu secara tidak sengaja telah menekan pedal minyak hingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam kawasan medan selera," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Bagaimanapun beliau berkata, kemalangan itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan dan ia hanya melibatkan kerosakan pada kenderaan dan peralatan di kawasan laman selera.

Kes disiasat di bawah Kesalahan Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Seorang lelaki tempatan dan 2 pendatang haram Bangladesh ditahan disyaki melombong bijih besi secara haram di Rompin

BERNAMA

Kuantan: Tiga lelaki termasuk dua warga Bangladesh ditahan kerana disyaki melombong bijih besi secara haram di Sungai Ganoh, Hutan Simpan Bukit Ibam Muadzam Shah, Rompin, Selasa lalu.

Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam hantaran di Facebook memaklumkan mereka ditahan oleh petugas Batalion 7 PGA dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dalam Op Bersepadu Khazanah pada 3 pagi.

"Hasil pemeriksaan mendapati kegiatan melombong dilakukan dua lelaki warga Bangladesh, dan pemilik lombong yang juga lelaki tempatan gagal menunjukkan lesen pelombongan bijih besi yang sah. Warga Bangladesh itu juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah," menurut hantaran itu.

Beliau berkata suspek yang ditahan berumur 40 hingga 50 tahun, dan kes disiasat mengikut Seksyen 159 dan 137(a) Akta Enakmen Mineral Negeri 2001 dan Seksyen 55B serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Peralatan serta jentera digunakan untuk melombong yang dianggarkan bernilai RM1.25 juta turut dirampas.

Langgar pembahagi jalan, 3 maut tersepit

FMT Reporters

Semua mangsa meninggal dunia di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara.

Bomba mengambil masa sejam untuk mengeluarkan tiga mayat. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Tiga maut akibat tersepit susulan nahas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara, berhampiran susur keluar Balakong, awal pagi tadi.

Bomba berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.57 pagi melibatkan sebuah kereta dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan.

Setibanya di lokasi pada 6.07 pagi, pasukan bomba mendapati tiga lelaki tersepit dalam kenderaan tersebut.

Menurut Berita Harian, bomba mengambil masa kira-kira satu jam mengeluarkan mangsa.

Operasi ditamatkan pada 7.29 pagi dengan kes diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.

Mayat mangsa lubang benam akhirnya ditemukan semalam

Agensi
LOKASI lubang benam berkenaan. FOTO Jiji Press / AFP / Japan Out
LOKASI lubang benam berkenaan. FOTO Jiji Press / AFP / Japan Out
Tokyo: Satu jasad dipercayai milik pemandu lori berusia 70-an yang hilang selepas kenderaan dipandunya 'ditelan' lubang benam gergasi di Yashio, utara Tokyo, Januari lalu, akhirnya ditemukan semalam.

Lapor Kyodo News, pihak berkuasa wilayah Saitama mengesahkan bentuk menyerupai tubuh manusia ditemukan di dalam kabin lori yang tersangkut dalam paip pembetungan sejauh 30 meter (m) dari lokasi asal kejadian.

Pasukan bomba dan polis dijangka memasuki paip berkenaan seawal 2 Mei bagi menjalankan operasi sepenuhnya selepas ujian menunjukkan tahap gas hidrogen sulfida dan aliran air dalam keadaan selamat.

Insiden tragik itu berlaku pada 28 Januari apabila lubang benam selebar 40 m dan sedalam 15 m terbentuk secara tiba-tiba di persimpangan jalan.

Operasi pencarian terpaksa ditangguhkan pada 9 Februari akibat risiko runtuhan susulan.

Bagaimanapun, kerja-kerja membina laluan pintasan aliran kumbahan berjaya disiapkan pada 24 April lalu, membolehkan usaha menyelamat diteruskan.

Sebuah laluan cerun turut dibina bagi memudahkan pasukan penyelamat mengakses kabin lori itu, selain sebuah terowong menegak untuk kerja-kerja mengangkat menggunakan jentera berat.

Mayat reput sah Siti Rohani jatuh sungai sejak enam bulan lalu

JAMLIAH ABDULLAH
SITI ROHANI SAAD
ALOR SETAR: Polis mengesahkan mayat reput yang ditemukan terdampar di tebing Sungai Kedah, Alor Mengkudu dekat sini Januari lepas adalah Siti Rohani Saad, 37, yang hilang dipercayai jatuh sungai November tahun lepas. 

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pengesahan itu ekoran keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh Ahad lepas.

 “Keputusan DNA tersebut positif milik Siti Rohani dan mayatnya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dituntut keluarga pada hari sama setelah perkara itu dimaklumkan kepada mereka untuk disemadikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 Katanya, pihak polis akan terus menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut, namun setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

 Akhbar sebelum ini melaporkan kehilangan Siti Rohani, dari Kampung Kuala Lanjut, Pokok Sena selepas motosikal miliknya ditemui di tebing Sungai Titi Haji Idris, pada 8 November tahun lepas.

 Wanita itu dilaporkan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Jalan Pegawai dekat sini pada awal pagi hari kejadian.

 Mayat seorang wanita dalam keadaan reput kemudian ditemukan orang awam di Sungai Kedah berkenaan pada 14 Januari lepas yang dikaitkan dengan kehilangan mangsa.

Sementara itu, setelah lebih enam bulan berlalu, penantian keluarga wanita itu berakhir apabila jenazah Siti Rohani dibawa pulang ke Kampung Kuala Lanjut, Bukit Lada di sini.

 Walaupun hanya sekujur tubuh yang tidak bernyawa, namun keluarga wanita itu dapat menghela nafas lega selain bersyukur kerana dapat menyempurnakan perjalanan akhirnya ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Kuala Lanjut di sini, selepas waktu Maghrib, Jumaat lepas.

 Kakak Allahyarham, Naziroh, 51, berkata, keluarganya menerima panggilan daripada polis berhubung perkara itu pada tengah hari Jumaat lalu sebelum membuat tuntutan jenazah di HSB pada hari yang sama.

 “Alhamdulillah, arwah dikebumikan selepas solat Maghrib. Kami sekeluarga bersedih dengan kejadian ini namun sudah reda kerana itulah ketentuan Allah SWT. Sejak mayat ditemukan pada Januari lepas di Alor Mengkudu kami juga sudah menerima hakikat bahawa itu adalah Siti Rohani.

 “Cuma kami berharap dapat membawa Siti Rohani pulang untuk dikebumikan dan penantian itu berakhir,” katanya.

 Menurut Naziroh, keluarganya bagaimanapun berharap siasatan ke atas kemalangan yang menimpa adiknya itu dapat diteruskan.

 “Polis ada memberitahu bahawa mereka akan terus menyiasat kes kematian ini dan apa pun kami berharap mendapat jawapannya satu hari nanti. Saya tidak berhenti berdoa untuk itu,” katanya. – UTUSAN

JHEAIK siasat video pendakwah dikatakan solat Jumaat bersama bunian

Noorazura Abdul Rahman
ALOR SETAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) menyiasat video yang memaparkan dakwaan solat Jumaat bersama bunian membabitkan seorang pendakwah terkenal, baru-baru ini.

Pengarah JHEAIK, Datuk Abd Ghani Zainudin berkata pihaknya akan memanggil individu terbabit bagi mendapatkan penjelasan.

"Kita maklum tentang penularan video itu dan dakwaan pendakwah berkenaan solat Jumaat bersama bunian yang didakwa dilakukan seorang agamawan ketika hayatnya," katanya dihubungi hari ini.

Abd Ghani berkata JHEAIK kini sedang bekerjasama dengan Jabatan Mufti Kedah untuk merangka tindakan yang bersesuaian dalam menangani isu berkenaan.

Beliau turut menasihatkan semua pendakwah supaya berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan umat Islam.

"Kita juga berharap semua pihak bertenang dan membiarkan pihak berkaitan menyiasat isu ini termasuk mengeluarkan kenyataan sehingga mendatangkan kegusaran ramai di media sosial," katanya.

Tular di media sosial sejak beberapa hari lalu video berdurasi satu minit 31 saat memaparkan pendakwah terkenal dipercayai dalam satu majlis berserta kapsyen 'Kisah Paksu Mid Solat Jumaat Bersama Bunian di Tengah Laut'. Video itu menimbulkan pelbagai reaksi warganet.

Pembantu kedai maut ditikam, seorang suspek diberkas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki diberkas kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan seorang pembantu kedai di sebuah ladang kelapa sawit di Simpang, Taiping, Perak semalam.
Ketua Polis Taiping, Mohamad Nasir Ismail, berkata siasatan awal mendapati pembunuhan itu bermotifkan cemburu.

Dalam masa kurang daripada 24 jam, suspek yang berusia 40 tahun diberkas di Aulong pada kira-kira 11 pagi, bersama parang yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa, 19.

Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan melalui orang awam yang menjumpai mangsa tertiarap dan berlumuran darah pada 2.55 petang,” katanya, lapor Bernama.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Taiping untuk permohonan reman.

Lelaki maut ditikam di ladang kelapa sawit, cemburu jadi punca

Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
am@hmetro.com.my

Taiping: Akibat cemburu dipercayai menjadi motif seorang lelaki maut ditikam dalam kejadian di ladang kelapa sawit di Simpang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail, berkata suspek berjaya ditahan pada jam 11 pagi hari ini di kawasan perumahan di Aulong.

Menurutnya, sekitar jam 2.55 petang semalam polis menerima laporan dari orang awam yang menjumpai seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di sebuah ladang kelapa sawit di Simpang.

"Siasatan mendapati mangsa berusia 20 tahun dan berkerja sebagai pembantu kedai makan.

"Susulan aduan itu polis berjaya menangkap suspek berusia 40 tahun dan turut menemukan pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan mempunyai empat rekod jenayah lampau. Suspek di bawa ke mahkamah esok bagi proses permohonan reman," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi siasatan awal pihaknya mendapati motif kejadian kerana perasaan cemburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pengantin perempuan maut kemalangan 2 hari sebelum naik pelamin

Alias Abd Rani
Kereta dinaiki Nur Syamira (foto kecil) yang terbabit kemalangan di Kilometer 93.3, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) pagi tadi.
Kereta dinaiki Nur Syamira (foto kecil) yang terbabit kemalangan di Kilometer 93.3, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) pagi tadi. 
BATU PAHAT: Persiapan majlis sudah lengkap dan hanya menunggu hari untuk melangsungkan perkahwinan, namun bakal pengantin perempuan menemui ajal akibat pagi tadi.

Siti Nur Syamira Samsol, 28, yang sepatutnya menjadi raja sehari Sabtu ini, meninggal dunia selepas kereta dinaiki bersama tunangnya, Muhammad Aiman Abdul Rashid, 30, terbabit kemalangan di Kilometer 93.3, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) kira-kira jam 8.30 pagi.

Arwah dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya, Zainab Sakardi, 61, di Kampung Benaung, Mersing bagi membuat persiapan, selain menghadiri majlis tahlil arwah bapanya, Samsol Ismail esok sebelum majlis persandingan berlangsung.

Kakaknya, Siti Nor Syamila, 37, berkata berita kematian itu hanya diketahui selepas dimaklumkan tunangnya sejurus terbabit kemalangan.

"Kami sudah buat persiapan sepenuhnya dan hanya tunggu hari majlis berlangsung, namun bila dapat berita sedih ini kami tak tahu nak cakap apa.

"Semua termasuk barang hantaran sudah siap lebih awal, arwah pun nampak gembira bila hari majlis semakin dekat. Persiapan dia minta nak uruskan semua, kami hanya bantu dalam hal tertentu.

"Dua tahun lalu, kami kehilangan abah, hari ini adik pula. Kesedihan kami belum terubat, ditambah pula pemergian adik dua hari sebelum majlis berlangsung," katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) hari ini.

Menurut Nor Syamila, dia menerima panggilan daripada ibunya jam 9.15 pagi memaklumkan adiknya itu kemalangan, namun tidak menyangka membabitkan kematian.

"Kami beritahu adik beradik untuk bersiap ke sini (HSNI) untuk melawat arwah, namun kira-kira 15 minit kemudian, tunangnya hubungi saya beritahu adik sudah tiada.

"Sehari sebelum kejadian, arwah hubungi emak beritahu nak gerak balik ke Mersing dan mereka berjanji untuk keluar membeli barangan persiapan majlis kahwin," katanya.

Mengenai majlis perkahwinan arwah Sabtu ini, Nor Syamila berkata, dia dan keluarga belum memutuskan sama ada perlu diteruskan atau ditukar kepada majlis tahlil.

Buat masa ini, katanya mereka perlu selesaikan urusan arwah yang akan dibawa pulang ke kampung halaman untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kemalangan itu dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengundi pilih BN kerana muafakat, tapi PAS belum ‘move on’ dari DAP

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno mengingatkan PAS bahawa pengundi Ayer Kuning memilih Barisan Nasional kerana mahukan politik muafakat yang progresif dan kerajaan yang bertanggungjawab.
Katanya, rakyat Ayer Kuning pada PRK lalu mengundi politik yang rasional dan berhikmah, namun PAS apabila kalah akan memangsakan Umno dan DAP.

“Setakat itu sahaja kemampuan pemikiran mereka,” kata Naib Presiden Khaled Nordin.

Semalam, menerusi artikel minda presiden PAS, Hadi Awang melabel kemenangan calon BN, Yusri Bakir, sebagai kejayaan Umno menubuhkan ‘UmDAP’ iaitu gabungan Umno dan DAP.

Ahli Parlimen Marang itu dakwa ‘UmDAP’ mempersuci DAP.

Khaled bagaimanapun berkata PAS beberapa kali ‘mensucikan DAP’ melalui beberapa kerjasama sebelum ini, seperti Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

“Masa itu semuanya halal dan diharuskan,” katanya.

“PAS sepertinya tidak boleh ‘move on’ setelah berpisah dengan DAP.”

Khaled berkata dalam lanskap politik sekarang, Umno sedia meneroka kerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan ia tidak merugikan bangsa Melayu dan Islam.

Umno juga tidak mahu menafikan hak masyarakat majmuk yang lain, atau merencatkan cita-cita menjadikan Malaysia negara terbaik.

“Pengundi Ayer Kuning memilih BN untuk mewakili kepentingan politik mereka,” katanya.

“Mereka jelas mahukan Malaysia yang pertengahan, politik muafakat yang progresif dan Kerajaan yang bertanggungjawab.”

Khaled berkata kemenangan pada PRK Ayer Kuning bukan sekadar kejayaan politik untuk Umno, tetapi juga kejayaan moral untuk BN menjadi lebih baik, susulan ‘pelbagai kelemahan lepas’.

Pelatih juruterbang jatuh tingkat 39 pangsapuri: Polis rakam keterangan 5 saksi

Noor Hidayah Tanzizi

KUALA LUMPUR: Polis merakam keterangan lima individu berhubung kejadian pelatih juruterbang maut terjatuh dari tingkat 39 sebuah pangsapuri di Sungai Besi, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, mereka yang diambil keterangan termasuk pengadu iaitu pegawai polis bertugas di pusat kawalan Cheras, selain empat saksi lain.

"Saksi terbabit masing-masing membabitkan seorang ejen rumah, waris iaitu abang mangsa, pemilik kereta dan rakan serumah mangsa," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bedah siasat dilakukan semalam mendapati punca kematian adalah 'multiple injuries due to fall from height' (kecederaan berganda disebabkan terjatuh dari tempat tinggi).

"Keluarga juga sudah menuntut mayat mangsa di Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), petang semalam.

"Setakat ini kejadian tiada unsur jenayah," katanya.

Semalam media melaporkan lelaki berusia 19 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri atas bumbung kereta yang diparkir di hadapan sebuah restoran nasi kandar di blok berkenaan pada jam 10.53 malam.

Aidil dilaporkan berkata, kejadian dimaklumkan orang awam dengan siasatan mendapati mangsa keluar melulu dari rumah dan berlari ke arah tangga menuju tingkat 39.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan pergerakan mangsa dan terdapat kesan pecahan cermin tingkap serta telefon bimbit miliknya ditemui di lokasi terbabit.

Dahi murid tahun dua berlubang dilanggar, pemandu cabut lari

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Kecederaan dialami Nur Qasyifa Hazlina dalam nahas langgar lari berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Demang Hussin di Bukit Katil, semalam.
MELAKA – Seorang murid perempuan tahun dua cedera parah di dahi, manakala kakaknya luka di beberapa anggota badan dalam nahas langgar lari berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Demang Hussin di Bukit Katil di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa, Nur Qasyifa Hazlina Mohd. Hayider, 8, dan kakaknya, Nur Qarinah Hazirah,17, dikejarkan ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan nahas telah dibuat oleh mangsa pada pukul 12.32 tengah hari tadi dan pihak polis sedang memburu pemandu yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Katanya, mengikut laporan dibuat remaja berkenaan, nahas berlaku selepas dia mengambil adiknya pulang dari sekolah di SK Demang Hussin dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solaris.

“Mangsa dalam perjalanan menuju ke arah Duyong, selepas melepasi sekolah terbabit motosikal ditunggang mereka telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan tidak dapat dikenal pasti.

“Akibat pelanggaran itu, dua beradik itu telah terjatuh menyebabkan mangsa kanak-kanak mengalami kecederaan di muka, mata dan dahi berlubang, manakala pengadu luka kecil di kaki serta tangan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, pihaknya turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan.

“Kini kedua-dua mangsa perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Melaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Budak 5 tahun maut tertinggal dalam van sekolah, pemandu ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemandu van sekolah ditahan bagi membantu siasatan kematian seorang kanak-kanak lelaki lima tahun disyaki tertinggal dalam kenderaan itu lebih empat jam semalam.

Ketua Polis Iskandar Puteri, M Kumarasan, berkata lelaki 56 tahun itu ditahan di sekitar Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri pada 2.40 petang Rabu.

Menurutnya, suspek tiada rekod lampau dan negatif dadah.

“Suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan,” katanya menurut Harian Metro.

Terdahulu, beliau mengesahkan polis sedang menyiasat kematian kanak-kanak yang bersekolah di tadika dekat Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri selepas mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam van sekolah kira-kira 12 tengah hari.

Katanya, mangsa dipercayai tertinggal dalam van sekolah itu ketika pemandu menurunkan murid di depan sekolah kira-kira 7.30 pagi semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, iaitu pengabaian dengan bertindak secara cuai ke atas kanak-kanak.

Berita basi di Ayer Kuning

Baid MK

Bagi orang politik tidak ada istilah maklumat basi. Mereka sering mengulangi maklumat atau berita sudah mereka sebut walaupun perkara sama diketahui umum.

Apabila sesuatu berita sudah disiarkan di salah satu platform media, secara automatik ia tergolong dalam kategori berita dan maklumat basi. Jika media lain mahu menggunakan berita yang sama, ia perlu mencari maklumat baharu. Bagi media yang menjaga kredibiliti, pantang bagi mereka menyiarkan berita basi, yang sudah disiarkan oleh media lain. Berita basi bermaksud berita yang tidak lagi segar, tidak relevan dan hilang nilai kesemasaannya.

Untuk mengelakkan media menggunakan berita basi, wartawan perlu mencari fakta dan maklumat segar yang belum disiarkan oleh media lain. Cuma, dalam kemajuan teknologi maklumat (IT) hari ini, media mengejar masa – siapa cepat, dialah yang lebih awal menyiarkan sesuatu berita, khasnya di platform media sosial. Inilah cabaran bagi media untuk memastikan mereka menyiarkan sesuatu berita lebih awal berbanding pesaing lain. Itulah sebabnya media cetak, malah media penyiaran sukar bersaing dengan media dalam talian. Untuk bersaing, mereka terpaksa mewujudkan media dalam talian sendiri. Jika tidak, media cetak hanya akan menerbitkan berita yang sama keesokannya, manakala di media penyiaran pula pada siaran berita utama pada sebelah malam. Secara praktisnya, media cetak menyiarkan berita yang sama lewat sehari, bergantung kepada berita yang sama mula disiarkan di media lain.

Bagi orang politik, tidak ada istilah maklumat basi. Mereka sering mengulangi maklumat atau berita yang sudah mereka sebut atau disebut berulang kali oleh orang lain, walaupun perkara sama diketahui umum. Ahli politik akan bercakap mengenai topik atau isu yang sama di pentas berbeza sedangkan bagi wartawan, mereka sentiasa menjadi maklumat yang baharu untuk menulis berita. Ini kerana matlamat antara ahli politik dan wartawan adalah berbeza.

Wartawan menulis untuk menyampaikan maklumat terbaru kepada khalayak manakala ahli politik menyampaikan mesej untuk mempengaruhi seberapa ramai khalayak walaupun terpaksa bercakap topik yang sama berulang kali. Pada PRK DUN Ayer Kuning, Tapah, Perak, ahli politik menyogok khalayak khasnya pemilih dengan modal kempen yang dikitar semula. Walaupun sudah direkod dan dicakapkan di media sosial, ketika berceramah, modal sama juga diulang-ulang. Sepanjang dua minggu berkempen dari 12 April hingga tengah malam hari pembuangan undi pada 26 April lalu, parti bertanding membangkitkan isu sama dan berulang-ulang tanpa jemu dengan matlamat untuk mengurangkan kepercayaan kepada parti lawan.

Isu diutarakan di Ayer Kuning khasnya berkaitan politik nasional, adalah sama dengan topik dibangkitkan pada PRU lalu, dilanjutkan pada PRN dan kemudian di beberapa PRK lain selepas PRU15 November 2022. Antaranya bagi kawasan Parlimen ialah Padang Serai, Kedah dimenangi Perikatan Nasional (PN) – Bersatu, Pulai, Johor dimenangi Pakatan Harapan-Amanah dan Kuala Terengganu, Terengganu dimenangi PN-PAS. PRK juga diadakan di lapan DUN iaitu Tioman dan Pelangai di Pahang, Simpang Jeram dan Mahkota di Johor; Jepak, Sarawak; Kuala Kubu Baharu, Selangor; Sungai Bakap, Pulau Pinang dan Nenggiri, Kelantan.

Sebahagian isu nasional dijadikan bahan kempen seperti kerajaan tidak menunai janji, kerjasama Umno-DAP yang disebut UmDAP, kos sara hidup dan sebagainya sudah dianggap berita basi oleh rakyat. Itulah sebabnya media arus perdana tidak memetik maklumat daripada kempen. Itulah juga sebabnya media arus perdana lebih tertumpu kepada berita mengenai calon dan berita tempatan. Sudah tentulah calon parti kerajaan mendapat kelebihan dari segi liputan berita. Calon pembangkang mengharapkan media dalam talian untuk menyiarkan kempen mereka.

Di Ayer Kuning, ada juga beberapa pendedahan dibuat oleh pemimpin parti pembangkang, jurukempen dan pempengaruh tetapi orang ramai tidak begitu berminat mengenainya, apatah lagi mempengaruhi pemikiran mereka. Ini kerana sebahagian besar mereka bukan tokoh untuk dijulang bagi mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Malah, parti, Umno-Barisan Nasional (BN) mewakili PH tidak melayan pendedahan atau hujah daripada pembangkang kerana ia hujah yang sudah dijawab sebelum ini.

Terbukti, keputusan PRK DUN Ayer Kuning memihak kepada parti kerajaan. Calon BN-Umno, Mohamad Yusri Bakir mendapat 11,065 undi berbanding calon PN-PAS, Abdul Muhaimin Malik (6,059 undi) manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) KS Bawani (1,106 undi), membuktikan parti kerajaan yang memerintah masih mempunyai kelebihan. Pelbagai analisis dibuat mengenai keputusan itu. Dalam sistem demokrasi, analisis keputusan selepas pilihan raya adalah semata-mata akademik. Ia boleh berubah mengikut perkembangan semasa.

Secara umumnya, PH-Umno mempunyai banyak kelebihan untuk menang sama ada dari segi pelbagai maklumat rasmi mengenai Ayer Kuning dan pemilih yang mudah diperoleh, kewangan, tenaga kerja, logistik dan sebagainya. Mereka juga tahu masalah sebenar penduduk dan menawarkan jalan penyelesaian segera. PN-PAS tidak ada tawaran yang hendak diberikan, melainkan sekadar mengulangi isu berulang-ulang. Begitu juga, parti kerajaan mempunyai kelebihan dari segi liputan luas media. Dengan saluran beberapa stesen TV dan akhbar pelbagai bahasa yang memihak kepada kerajaan, sememangnya pembangkang terpaksa akur dengan keputusan itu. Namun, ia bukanlah satu pengakhiran kerana harapan PN untuk bangkit adalah cerah dengan strategi lebih tersusun.

Daripada liputan media, boleh dikatakan tidak ada perhimpunan besar-besaran di Ayer Kuning. Barangkali orang ramai berasa mereka tidak perlu lagi membuang masa untuk mendengar ceramah. Tambahan pula, mereka boleh meramalkan hujah berkempen yang sudah mereka baca atau tonton di media sosial. Mereka juga tidak nampak tokoh yang mampu menggegarkan suasana. Suasana dan kaedah berkempen sudah jauh berubah. Jika pada 1950-an dan 60-an, wayang pacak mampu menarik khalayak, diikuti persembahan pentas termasuk Pentarama, Jabatan Penerangan dengan membawa artis untuk menghiburkan khalayak di tapak kempen pada 1970-an dan 1980-an, sekarang semua elemen untuk menarik minat khalayak tertumpu di media sosial. PN perlu menilai semula kaedah untuk berkempen bagi menghadapi PH-BN dalam gelanggang politik PRU16 nanti.

Rafizi cuma bercuti, bukan letak jawatan

Ng Ling Fong

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sedang bercuti, kata seorang menteri kabinet susulan khabar angin yang mendakwa timbalan presiden PKR itu telah meletakkan jawatan dalam kerajaan.

"Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan mesyuarat kabinet hari ini bahawa Rafizi sedang bercuti beberapa hari.

“Tiada peletakan jawatan berlaku, dan khabar angin ini sama sekali tidak benar," kata menteri berkenaan kepada Malaysiakini dengan syarat namanya tidak didedahkan.

Keresahan mula timbul di kalangan pemimpin parti susulan keputusan pemilihan cabang yang menyaksikan beberapa sekutu rapat Rafizi tersingkir – memberi isyarat laluan getir buatnya dalam mempertahankan jawatan nombor dua PKR dalam pemilihan kepimpinan pusat bulan depan.

Sementara itu, Presiden PKR merangkap Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa juruaudit bebas telah dilantik untuk menyiasat aduan berkaitan ketidakteraturan dalam pemilihan parti.

"Ada aduan dibuat, kita ambil maklum dan sekarang juruaudit antarabangsa sedang menyemak (aduan) sekiranya ada asas," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR Dr Zaliha Mustafa pula berkata, pengundian semula akan diadakan pada 1 Mei bagi empat cabang – Jempol, Selayang, Silam dan Semporna.

Pemilihan di peringkat cabang itu menyaksikan beberapa nama besar dalam parti tumbang, termasuk Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad dan K Saraswathy, Ketua Pemuda PKR Adam Adli, serta beberapa ahli parlimen.

Bekas suami buat onar, ibu tunggal diugut along

BERNAMA
Lau menunjukkan gambarnya bersama bekas suami yang tular di media sosial pada pertemuan bersama wartawan Bernama di Wisma MCA hari ini. FOTO BERNAMA
Lau menunjukkan gambarnya bersama bekas suami yang tular di media sosial pada pertemuan bersama wartawan Bernama di Wisma MCA hari ini. FOTO BERNAMA
Ipoh: Gara-gara bekas suami tidak melunaskan pinjaman 'along', seorang ibu tunggal kini hidup dalam ketakutan selepas diugut bunuh oleh sindiket wang pinjaman tidak berlesen itu.

Ibu tunggal yang juga seorang guru dikenali sebagai Lau, 47, berkata dia menerima ugutan menerusi panggilan telefon daripada individu yang mendakwa bekas suaminya meminjam wang berjumlah RM1,000 dan kemudian meningkat kepada RM10,000.

Lau memberitahu sindiket itu menggugut mahu membunuhnya dan empat orang anak berusia 10 hingga 17 tahun termasuk dua adik perempuan jika tidak membayar hutang dipinjam bekas suami.

"Mimpi ngeri kami sekeluarga bermula Isnin lepas apabila saya menerima mesej dan panggilan ugutan daripada along, mendesak supaya membayar wang yang dipinjam bekas suami.

"Tidak cukup dengan itu, along kemudian membuat hantaran di media sosial Facebook kumpulan komuniti memaparkan gambar saya bersama anak-anak dengan nota ugutan supaya membayar balik hutang bekas suami," katanya dalam sidang media di Bangunan MCA Perak di sini hari ini.

Lau berkata sejak itu dia bimbang keselamatan diri dan keluarganya.

"Saya telah menyatakan saya bukan lagi isteri kepada bekas suami dan tidak tahu menahu sebarang hutang yang dibuat bekas suami tetapi along tetap meminta saya menjelaskan hutang terbabit.

"Kali terakhir terima panggilan semalam, menyatakan saya hanya perlu bayar RM1,500 dan sertakan sekali surat cerai untuk pastikan mereka tidak ganggu saya lagi di rumah selain akan buat kacau di sekolah jika tidak menurut arahan," katanya yang sudah berpisah dengan bekas suami sejak Julai 2024.

Wanita itu berkata dia sudah membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Isnin lepas serta laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 25 April dan hantaran di Facebook sudah diturunkan.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan MCA Perak Yuen Chan How berharap pihak berkuasa dapat memburu dan mengambil tindakan sewajarnya bagi membanteras kegiatan jenayah ini.

"Sindiket along kini semakin berani kerana bukan sahaja mengugut peminjam tetapi bahkan ahli keluarga untuk membayar hutang," katanya.

Bunuh rakan, tidur dengan mayatnya selama empat hari, Mahkamah kekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan

BERNAMA

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan sabitan, hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang pekerja sambilan yang membunuh rakannya sebelum tidur bersama mayat mangsa selama empat hari.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Tan Sri Nallini Pathmanathan bersama Hakim Datuk Nordin Hassan dan Hakim Datuk Hanipah Farikullah menolak rayuan Mohd Azhud Ibrahim terhadap sabitan dan hukumannya.

Menyampaikan keputusan, Hakim Nallini berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mohd Azhud, 33, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tahun lepas, yang mengekalkan sabitan atas kesalahan membunuh namun menggantikan hukuman mati kepada penjara seumur hidup dan 12 sebatan.

Mengikut fakta kes, seorang rakan yang melawat rumah Mohd Azhud telah terhidu bau busuk dan menyoalnya membuatkan Mohd Azhud mengakui terdapat mayat di dalam rumah.

Rakannya telah memberi keterangan di mahkamah bahawa Mohd Azhud memberitahunya, "Saya sudah lama marah padanya. Saya kecewa."

Dalam keterangan dari kandang tertuduh, Mohd Azhud mendakwa dia bertindak demikian untuk mempertahankan diri semasa bergaduh dengan Ahmad Azam Ahmad, 43, dengan menggambarkan rakannya itu seorang yang agresif.

Selepas kejadian, Mohd Azhud berkata dia telah mengambil ganja dan tidur selama dua hari sebelum terjaga dan mendapati mangsa tidak memberikan sebarang reaksi, dan oleh kerana tidak mampu menguruskan mayat, dia akhirnya mengakui telah tinggal bersama mayat itu.

Laporan bedah siasat mendapati 23 kecederaan luaran dan trauma teruk pada kepala serta dada mangsa.

Dalam prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini, peguam Gurbachan Singh yang mewakili Mohd Azhud berkata anak guamnya sepatutnya dibebaskan daripada tuduhan membunuh kerana tiada bukti keadaan menunjukkan secara jelas kesalahan anak guamnya.

Beliau juga menyebut mengenai ketiadaan saksi mata kepada kejadian itu.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa raya Mohd Fairuz Johari mengakui tiada saksi mata hadir namun berkata bukti keadaan yang ada, amat kukuh.

Beliau berkata tertuduh adalah satu-satunya individu dilihat berada di dalam rumah bersama mayat mangsa dan polis telah menemukan beberapa barang yang mempunyai kesan darah, termasuk senjata, berdasarkan maklumat diberikan tertuduh. – BERNAMA

Papagomo mohon maaf kepada Ketua Polis Negara, mahkamah

Ahmad Johari Mohd Ali

KUALA LUMPUR: Blogger, Papagomo atau nama sebenar Wan Muhammad Azri Wan Deris, hari ini mengemukakan permohonan maaf tanpa bersyarat kepada Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain dan Mahkamah Tinggi.

Papagomo membuat permohonan maaf itu berhubung kenyataan pada 14 Januari lalu dan penggunaan gambar imej KPN yang diubah suai pada 15 Januari lalu, membacakan pernyataannya di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong.

Kenyataan dan gambar itu disiarkan Papagomo walaupun selepas perintah injunksi dikeluarkan mahkamah pada 31 Disember tahun lalu, yang menghalangnya daripada berbuat demikian.

Selepas pernyataan itu dibacakan, Razarudin dan mahkamah menerima pernyataan maaf berkenaan dengan syarat ia disiarkan di YouTube, Tiktok, X dan Telegram bermula hari ini dan tidak diturunkan sekurang-kurangnya tujuh hari.

Pernyataan maaf itu berbunyi:

"Saya, Wan Muhamamd Azri bin Wan Deris, dengan suci hati tanpa apa apa syarat memohon maaf kepada mahkamah yang mulia ini, kepada KPN, Tan Sri Razarudin Husain diatas penggunaan perkataan berunsur fitnah dan khianat terhadap plaintif pada terbitan bertarikh 14 Januari 2025 dan penggunaan gambar KPN yang disunting pada 15 Januari 20225.

"Saya mengaku janji tidak akan mengulangi sebarang kenyataan fitnah dan kesat terhadap KPN dan akan memadamkan kenyataan bertarikh 14 dan 15 Januari ini."

Mahkamah hari inj sepatutnya mendengar prosiding komital yang diperoleh KPN terhadap Papagomo, bagaimanapun beliau diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memaklumkan mengenai hasrat anak guamnya untuk meminta maaf.

Pada prosiding itu, Raam Kumar bertindak bagi pihak Razarudin.

Razarudin memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan prosiding komital terhadap Papagomo pada 10 Februari lalu kerana tidak mematuhi perintah mahkamah.

Prosiding komital adalah satu prosiding untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap seseorang yang dikatakan menghina mahkamah dengan melanggar perintah yang telah dikeluarkan.

Razarudin memfailkan permohonan komital terhadap Papagomo pada 24 Januari lalu dengan memohon supaya beliau dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah berikutan tidak mematuhi perintah injunksi pada 31 Disember tahun lalu dengan membuat hantaran terhadap Razarudin di aplikasi YouTube, TikTok, X serta akaun Telegram.

Mahkamah mengeluarkan perintah injunksi melarangnya daripada menerbitkan kenyataan berbaur fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin, sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan oleh mahkamah.

Papagomo juga diperintahkan menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan berkenaan.

Pada 26 Disember tahun lalu, Razarudin memfailkan saman fitnah dengan menuntut ganti rugi RM3 juta daripada Papagomo.

Saman berkenaan difailkan berhubung kenyataan Papagomo yang melabelkan Razarudin sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perbicaraan kes saman itu ditetapkan pada 28 hingga Disember 2026 dan 11 hingga 15 Januari 2027.

Saiful Apek: 'Saya ditahan berpunca isu pergaduhan'

Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
rajamawar@bh.com.my
SAIFUL Apek. FOTO Hazreen Mohamad
SAIFUL Apek. FOTO Hazreen Mohamad
KUALA LUMPUR: Pelawak, Saiful Apek, 56, mengakui dirinya adalah individu ditahan polis dalam video yang tular sejak semalam.

"Saya yakin dan pasti, itu adalah gambar saya. Sekarang, pastinya ramai tertanya-tanya apakah punca saya ditahan polis.

"Apa yang boleh saya katakan, ia disebabkan isu pergaduhan. Itu sahaja yang boleh dikongsi, tunggu saya berikan penjelasan sepenuhnya nanti," katanya secara eksklusif kepada BH Online.

Semalam, kecoh apabila sebuah portal melaporkan kelibat seorang pelawak memakai baju merah jambu yang menyamai Saiful Apek ditahan oleh dua anggota polis. Bagaimanapun, lokasi dan punca kejadian tidak dikenal pasti.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2003 itu meluahkan kekesalan apabila perkara sensasi tersebar dalam sekelip mata.

"Kesimpulannya, bila kita buat baik, ramai yang diam. Bila buat silap, ramai berbunyi dan jika tak buat apa-apa, ada pula mula mereka-reka cerita.

"Kalau boleh henti sebarkan perkara yang kita tidak tahu hujung pangkal atau kesahihan selagi tak dengar daripada mulut 'tuan badan'.

"Tak perlulah nak buat andaian tak kira pihak mana sekalipun.

"Apapun tunggu saya berikan penjelasan selanjutnya. Jadi, tolonglah jangan sebar berita tidak sahih. Doakan yang terbaik buat saya," kata Apek atau nama sebenarnya, Mohd Saiful Azam Mohamed Yusoff.

Mac lalu, industri hiburan kecoh apabila salah seorang anggota Senario dipercayai Yassin Yahya, ditahan di Lapangan Terbang Jeddah oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Difahamkan, pelawak berkenaan menunaikan umrah bersama rakan-rakannya, namun, ditahan selepas disyaki membawa bahan terlarang.

Pelawak berkenaan dipercayai sedang menjalani penjara selama enam bulan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman semasa tempoh perbicaraannya pada November tahun lalu.

Kelantan: Lelaki didakwa rogol, lakukan amang seksual terhadap anak saudara

Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
Seorang bapa saudara berusia 27 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuan di bawah umur. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Seorang bapa saudara berusia 27 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuan di bawah umur. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kota Bharu: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuan bawah umur, pertengahan Mac lalu.

Walau bagaimanapun tertuduh yang bekerja sebagai pembantu jualan berusia 27 tahun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan di dalam sebuah kereta di daerah Kuala Krai, jam 7.30 malam pada 13 Mac lalu.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa sama yang mana perhubungan tertuduh dengannya adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta Bukit Sireh, dekat Kuala Krai jam 7.30 malam pada 15 Mac lalu.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan tidak kurang 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kesalahan itu serius.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pemandu e-hailing tular ganggu penumpang, minta buka tudung 'nak tengok muka'

Mohd Roji Kawi
am@hmetro.com.my
TANGKAP layar video tular pemandu e-hailing ditahan keluarga cuba melakukan gangguan seksual. FOTO tular
TANGKAP layar video tular pemandu e-hailing ditahan keluarga cuba melakukan gangguan seksual. FOTO tular
Kuching: Seorang pemandu e-hailing cuba melakukan gangguan seksual terhadap penumpangnya, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan meminta remaja terbabit membuka tudungnya ketika dalam perjalanan menghantarnya ke rumah.

Kejadian itu yang tular di media sosial dipercayai berlaku ketika remaja terbabit menaiki kereta lelaki tua terbabit baru-baru ini.

Dalam video berdurasi 12 saat dipercayai dirakam oleh mangsa yang duduk di bahagian belakang, pemandu e-hailing terbabit kedengaran jelas meminta mangsa membuka tudungnya.

Apabila remaja perempuan bertanya untuk apa, lelaki terbabit berkata hanya untuk melihat muka.

Bagaimanapun, remaja perempuan itu enggan sambil memberitahu tidak boleh mendedahkan aurat.

Dalam satu lagi video, lelaki terbabit berjaya ditahan oleh keluarga remaja terbabit di satu lokasi yang tidak dikenal pasti.

Walaupun ditanya oleh bapa remaja itu apa motif dia meminta mangsa membuka tudung, lelaki terbabit seolah-olah tidak rasa bersalah malah mengugut akan menyaman mereka yang merakam video keretanya.

"Aku nak nangga muka ajak, salahkah (Saya hendak melihat mukanya sahaja, salahkah?)," katanya sambil duduk bersahaja di dalam keretanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dalam reaksi selepas menerima video terbabit memuji tindakan berani remaja terbabit mendedahkan perbuatan lelaki itu.

"Saya menyeru semua pihak untuk berani bersuara menentang gangguan seksual demi mempertahankan maruah dan keselamatan masyarakat.

"Kepada remaja di luar sana, jangan berdiam diri anda berhak untuk bertindak demi keselamatan dan maruah diri dan pada masa yang sama, saya komited untuk memperkasa keadilan melalui pelaksanaan penuh Tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nancy berkata, tindakan tegas bapa mangsa yang menggesa lelaki terbabit ke balai polis untuk membuat laporan mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap isu gangguan seksual yang tidak boleh dipandang ringan.

"Saya difahamkan bahawa kes ini kini berada di bawah siasatan pihak polis. Apabila berlaku kes gangguan seksual, masyarakat meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak polis untuk bertindak dengan adil dan segera.

"Saya juga mengajak semua wanita, lelaki, ibu bapa, pendidik dan rakan sekerja untuk bersama-sama membina persekitaran yang lebih selamat dan bermaruah, dengan berani bersuara apabila berdepan atau menyaksikan sebarang bentuk gangguan seksual, khususnya dalam usaha melindungi kanak-kanak dan wanita," katanya.