"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Segera haramkan rokok elektronik sebelum jadi bencana

DR MOHD AFIQ MOHD NOR
Pada lewat petang Selasa lepas, Syarikat British American Tobacco (BAT) Malaysia tergesa-gesa mengeluarkan satu kenyataan media yang bertajuk ‘Banning Vape will Bring Negative Impact to Malaysia’.

Kenyataan tersebut yang kemudiannya dilaporkan oleh beberapa akhbar nampak seperti syarikat tersebut tidak senang duduk andai ada usaha daripada kerajaan untuk mengharamkan vape di Malaysia.

Jika kita perasan, sebenarnya cara seperti ini adalah ritual bagi syarikat-syarikat tembakau ini mengeluarkan kenyataan menjelang persidangan Dewan Rakyat sesi ketiga atau lebih spesifiknya menjelang pembentangan belanjawan negara.

Syarikat-syarikat tembakau risau jika ada polisi-polisi baru yang bakal diwujudkan nanti boleh menggugat industri mereka seperti kenaikan harga rokok, larangan-larangan dan sekatan baru, dan lain-lain.

Maka, tidak hairanlah jika suara-suara seperti ini muncul pada sekitar bulan ini bagi bertujuan mempengaruhi ahli-ahli parlimen selaku pembuat dasar-dasar kerajaan memutuskan sesuatu perkara yang baik berkaitan rokok dan merokok.

Namun, apa yang menghairankan kita pada kali ini adalah mereka pula yang terlampau risau jika kerajaan ingin mengharamkan rokok elektronik atau vape sedangkan mereka tidak pun menjual rokok elektronik atau vape ini di Malaysia.

Mereka juga mempertikaikan mengapa mereka tidak dipanggil terlibat berunding untuk mengawal selia rokok elektronik ini sedangkan setahu saya selama ini industri vape sudah beberapa kali membuat pertemuan dengan kerajaan kerana ingin merayu agar tidak diharamkan penggunaannya di Malaysia.

Kenapa perlu diajak syarikat tembakau pula untuk berbincang sekali dalam menentukan status dan hala tuju vape ini?

Adakah syarikat tembakau kini sedang mengakui mereka juga mempunyai kepentingan tertentu dalam industri vape ini?

Apa pun jawapannya, kita sedang menyiasat dan menjejak bukti-bukti daripada ura-ura yang mengatakan ada syarikat tembakau yang giat membiayai promosi dan pergerakan industri vape ini.

Bagi saya, perkara seperti tidak mustahil boleh berlaku kerana kita faham jangka hayat syarikat tembakau ini sebenarnya bergantung kepada tahap ketagihan nikotin rokok di kalangan pengguna belia, remaja dan kanak-kanak kita.

Semakin ramai anak muda yang tersangkut dengan nikotin, semakin lamalah industri mereka ini boleh bertahan.

Menurut kajian, peratusan pengguna vape di kalangan remaja kini jauh lebih tinggi daripada perokok remaja. Dapatan ini amat mengejutkan kerana kita khuatiri pengguna vape muda yang baru mencuba pertama kali ini kemudiannya akan mula merokok rokok konvensional pula pada suatu hari nanti.

Jika proses ini berlanjutan berlaku, maka ia akan meranapkan Pelan Strategik Kebangsaan Kawalan Tembakau negara kita yang mensasarkan kanak-kanak yang lahir selepas tahun 2009 tidak memulakan sebarang tabiat merokok.

Kematian anak muda

Berikutan daripada kes-kes kematian anak muda yang menghisap vape yang berlaku di Amerika Syarikat sejak kebelakangan ini sehingga meragut 11 nyawa manakala ratusan lagi sedang dirawat di hospital, semakin banyak negara yang sedang mengambil langkah proaktif untuk mengharamkan rokok elektronik di negara-negara mereka.

Yang terkini turut menyertai 32 negara lain yang mengharamkannya adalah negara India dan majoriti negara yang mengharamkan vape ini adalah negara-negara umat Islam.

Malahan negara-negara jiran terdekat kita pun sudah lama melarang sebarang penjualan, pengimportan, penggunaan dan pemilikan rokok elektronik seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Kemboja.

Jika kerajaan mengambil langkah mengharamkan rokok elektronik dan vape secara keseluruhan seperti negara-negara jiran kita tersebut, ia adalah jauh lebih baik daripada membenarkannya dijual walaupun ada pantauan atau regulasi.

Kerugian hasil cukai

Syarikat tembakau cuba membuat perbandingan dengan mengaitkan situasi rokok-rokok seludup (tidak bercukai) yang kini dijual di pasaran baik secara terbuka mahupun tersembunyi.

Mereka mendakwa jika rokok elektronik diharamkan, kegiatan penjualan secara haram akan berleluasa dan negara akan mengalami kerugian hasil cukai.

Perbandingan yang diberi mereka ini langsung tak boleh diterima pakai sama sekali.

Kita tidak akan dapat mengenali dengan sepintas lalu sepuntung rokok kovensional mana yang legal (bercukai) dan rokok mana yang diseludup sedang dihisap oleh seseorang kerana rokok-rokok legal ini masih lagi berada di dalam pasaran, melainkan jika kita sendiri melihat dengan lebih teliti pada kotak dan jenis rokok tersebut.

Berbanding dengan rokok elektronik, jika ia diharamkan secara keseluruhan, maka sesiapa yang memiliki rokok elektronik atau vape, menggunakannya, menghisapnya dan apatah lagi menjualnya boleh diambil tindakan undang-undang.

Kegiatan penjualan rokok elektronik secara haram melalui pasaran gelap sebenarnya lagi mudah berleluasa berlaku jika kerajaan memberi lampu hijau kepada industri ini untuk bergerak.

Dalam pasaran bebas berteknologi moden kini, ramai antara mereka pastinya pandai memanipulasi peraturan bagi mengelak dicukai, mengelak peraturan peranti, sekatan kandungan cecair, perasa dan jumlah nikotin.

Sebahagian pengusaha produk ini akan menjual melalui jalan belakang terutamanya melalui laman atas talian dan platfom media sosial yang tidak mudah untuk dipantau, dicukai dan diregulasi sepenuhnya oleh pihak berkuasa.

Oleh itu, jika polisi ini berjaya dilaksanakan, lompong yang besar untuk aktiviti penyeludupan, penjualan, pemilikan dan penggunaan vape di kalangan rakyat Malaysia boleh diatasi.

Bahkan jika ada orang luar yang hendak membawa masuk melalui pintu-pintu masuk utama negara pun boleh ditahan dan didakwa sepertimana kita lihat ada rakyat Malaysia yang ditahan dalam cubaan menyeludup rokok elektronik ke Singapura.

Penyelesaian terbaik

Pengharaman rokok elektronik dan vape adalah langkah yang paling baik untuk diambil oleh pimpinan negara.

Negara kita bukan sahaja dapat menyelesaikan sebahagian besar isu kesihatan yang boleh menjadi bencana epidemik yang baru, malah isu bagaimana hendak mengawal selia standard peranti, bagaimana hendak tentukan cecair, perasa vape, jumlah nikotin yang diperlukan, cara penjualan dan promosi turut dapat ditangani.

Dan perkara yang selalu menghantui negara kita adalah bagaimana untuk mengawal aktiviti pasaran gelap yang akan berjalan selari dengan pasaran biasa jika kerajaan membenarkan industri mereka ini bergerak.

Oleh hal yang demikian, sebelum industri vape ini berkembang jauh lebih besar dan mula masuk melabur dalam institusi kewangan negara, inilah sebenarnya masa yang terbaik untuk Malaysia mengharamkannya.

* Penulis merupakan Pengarah Kempen, Selangor Bebas Asap Rokok (SELBAR) juga merangkap Timbalan Yang Dipertua IKRAM Health Malaysia.

Tiada ulasan: