MOHD KHALIL SREEDARAN
SEMENJAK ‘Langkah Sheraton’ digerakkan pada tahun lalu kita melihat pelbagai rentak dan aksi para pencatur dan pemain industri politik negara.
Tidak cukup dengan peralihan tampuk pemerintahan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN), ia juga meliputi pelbagai komponen dan siri kejutan politik negara.
Ada yang menuding jari kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan secara tiba-tiba di kala kemuncak ‘Langkah Sheraton’.
Ada pula menuding jari dan menghukum para politikus yang rakus kuasa dengan berpaling arah kiblat untuk menikam rakan-rakan sekutu dan tidak kurang juga di kalangan mereka yang menimba dan menangguk di air yang bergelora dalam pergolakan politik negara.
Kesemua tingkah laku sepanjang pergolakan politik negara ini sejak 2020 menjadi bahan tontonan seluruh dunia. Hingga ramai yang bergurau, malah ada yang ‘troll’ sehingga menjadi lelucon di kalangan masyarakat.
Malah peristiwa kejatuhan Barisan Nasional (BN) kepada PH dalam pilihan raya umum lalu seolah-olah lenyap dengan fenomena ‘Langkah Sheraton’. Tidak sedikit, malah menjadi bahan harian bagi setiap grup politik sehinggakan jika bersembang dengan rakan ‘mengopi’ atau ‘mengeteh’ akan bertanya dan berceloteh untuk mengetahui perkembangan terkini senario politik semasa.
Apabila menyebut menangguk di air keruh, penulis teringat kepada Pas. Pas selama ini sinonim dengan politik Islam. Gerakan Islamnya menjadi pemangkin dalam susur atur sejarah politiknya di negara.
Perjalanan dan sejarah Pas tidak pendek, boleh dianggap telah dewasa dan menuju usia emas. Banyak yang dilalui oleh parti ini dalam kancah politik negara.
Tidak sedikit kejayaan yang diperolehinya dalam mengharungi pilihan raya terutamanya pilihan raya umum. Penulis tidak ingin mengungkap segala kemenangan politik Pas dalam negara ini. Cuma penulis terlihat dari aspek ‘product placement’ bagi sebuah parti yang meniti usia emas. Apakah itu ‘product placement’?
Bagi tujuan pemudahan makna, penulis mengambil tafsiran daripada Wikipedia betapa, “Product placement is a form of advertising in which branded goods and services are featured in a production that targets a large audience.”
Bagi permudahkan pemahaman Pak Ali (tiada kaitan antara yang hidup dan mati) yang selama ini memangkah parti keramat hidupnya Pas, ‘product placement’ atau dalam bahasa pasar kita ‘barang paparan’ adalah satu bentuk pengiklanan yang mana barangan atau perkhidmatan dipertontonkan untuk mendapatkan perhatian khalayak ramai.
Dalam erti kata lebih mudah, barangan diiklankan untuk mendapat tarikan dan perhatian agar tertarik dengan produk yang dipaparkan.
Dalam ‘Langkah Sheraton’ yang berakhir dengan pembentukan Kabinet Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pas telah diangkat buat julung kalinya untuk duduk sebaris dengan pimpinan parti Bersatu dan Umno.
Jika tidak cukup dengan penglibatan ‘heavyweight’ seperti Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Takiyuddin Hassan, pimpinan tertingginya iaitu Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Duta ke Timur Tengah. Permainan politik apakah ini?
Apakah sumbangan besar Pas dalam ‘Langkah Sheraton’? Apakah Muhyiddin tidak mampu berdiri sendiri dengan Bersatu dan Umno dalam mendirikan kerajaan?
Dan paling menimbulkan persoalan, bagaimana Pas yang dianggap sebagai parti yang memperjuangkan Islam setuju dan sanggup untuk duduk sebaris dengan kalangan yang menikam belakang serta ‘menebuk atap’ kerajaan Tun Mahathir sebelum ini?
Apa muslihat di sebalik penglibatan Pas? Ramai menganggap Pas ditawarkan kerana Muhyiddin ingin mengukuhkan kedudukan Bersatu dalam kerajaan yang dibentuk.
Ramai bersangka Muhyiddin sekadar inginkan ‘numbers’ untuk menghalalkan pembentukan kerajaannya. Namun, satu aspek yang kita mungkin terlepas pandang adalah Pas hanya sebagai ‘product placement’.
Bahan wayang
Pas tidak lebih sebagai bahan wayang dan paparan untuk mendapatkan sokongan dan tarikan majoriti undi di kalangan Melayu-Islam. Muhyiddin nampak betapa keuntungan Pas sebagai ‘product placement’ yang memiliki kelebihan dengan menguasai beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Kuasa undi Melayu-Islam dengan adanya dukungan ketiga-tiga negeri itu sudah memadai bagi ‘Sang Penguasa’ untuk terus memegang tampuk pemerintahan.
Selain Bersatu, penglibatan Pas sebagai anggota bersekutu dengan Umno melalui Muafakat Nasional (MN), Pas dilihat tidak lebih sebagai boneka dalam perencanaan yang begitu bermuslihat.
Umno juga tidak mahu ketinggalan. Parti yang mendasari perjuangan Melayu ini turut mahu menangguk di air keruh dan menarik serta merencana agar Pas tidak lari daripada cengkaman mereka.
Akhirnya, Pas dihimpit kiri dan kanan. Ibarat pelanduk yang mati di tengah-tengah apabila gajah sama gajah berjuang. Di kiri PN dan di kanan MN. Kiri dan kanan menjadi ‘product placement’.
Namun yang menjadi kemusyikilan besar adalah, di manakah maruah yang ada parti yang berpaksikan Islam ini. Penerimaan Pas untuk menganggotai Kabinet dengan persetujuan memikul pelbagai jawatan pelbagai peringkat seolah-olah tanda setuju dengan ‘Langkah Sheraton’.
Penulis kurang arif, tetapi rasanya daripada peringkat bawah sehinggalah ke Presiden Pas sendiri pelbagai jawatan dihamburkan kepada parti Islam ini. Apa erti semuanya ini?
Inikah ganjaran dan sogokan sebagai habuan menjadi ‘product placement’ untuk parti Islam ini? Di mana maruah dan letaknya tanda dan dasar Islam yang dipikulnya selama ini?
Tanpa pergi jauh, ayuh lihat bagaimana penglibatan Presiden parti yang dikatakan mendasari Islam sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam urusan ke Timur Tengah dan dunia Islam. Apa peranan Hadi di situ?
Di manakah tanggungjawab yang dipikulnya untuk menyampaikan suara dan hasrat rakyat negara ini terutamanya di kalangan umat Islam negara? Agak hanyir dan meloyakan apabila melihat pimpinan Islam yang sanggup bersekongkol dan bersetuju dengan melacuri maruah parti yang mendukungi Islam ini.
Rakyat perlu sedar. Parti ini sekadar menjadi ‘product placement’ semata-mata. Sekadar wayangan dan boneka dalam Kabinet ‘Langkah Sheraton’. Tiada sebarang fungsi. Malah, agak jauh tersasar dengan landasan Islamnya.
Kepada pimpinan parti Islam ini ingatlah, rakyat sedang memerhati. Jangan nanti ada yang menyebut pimpinan Pas ‘makan gaji buta’. Tiada peranan. Dan ramai mungkin tidak menyedari betapa Muhyiddin hanya ingin dilihat bahawa Kabinet dan barisan pemerintahnya adalah ‘multi level’ yang memiliki pelbagai lapisan dan betapa harmoninya di mata masyarakat.
Semuanya indah belaka. Bagai mengecat sebuah rumah yang usang, padahal kualiti kayu di sebalik cat adalah usang dan penuh beranai dan berpenyakit. Menunggu masa untuk roboh sahaja. Dan tanda disedari, ‘product placement’ sudah berakar dalam politik negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan