"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pakar perlembagaan didakwa manipulasi tafsiran Ordinan Darurat

SITI NUR ZAWANI MISCON

Angkatan Wanita AMANAH Nasional (AWAN) menyangkal dakwaan pakar perlembagaan, Dr Shamrahayu Abd Aziz yang telah memanipulasi tafsiran Perlembagaan Persekutuan serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 terhadap soal penggantungan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua AWAN, Senator Aiman Athirah Al Jundi merujuk kenyataan Shamrahayu di wacana Sinar Harian baru-baru ini, bahawa tindakan melaksanakan darurat adalah untuk mengelakkan ahli politik saling jatuh menjatuhkan.

Tegas Aiman, ulasan yang dikemukakan Shamrahayu dalam wacana tersebut jelas bersifat partisan dengan penyembunyian fakta yang amat ketara, khususnya menggelapkan insiden-insiden kerakusan kuasa politik Perikatan Nasional (PN).

“Shamrahayu seolah lebih rela menggunakan statusnya sebagai ahli akademik untuk menjadi ‘enabler’ yang terjebak dengan penggelapan fakta apabila mengatakan darurat adalah satu-satunya cara berkesan menangani pandemik, sedangkan PN ternyata gagal dalam serba serbi aspek pentadbiran negara.

“Shamrahayu juga secara tidak bertanggungjawab telah menyembunyikan fakta bahawa Usul Undi Tidak Percaya atau Usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri telah dinafikan melalui proses yang betul di Parlimen sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Pengkhianatan mandat rakyat ini telah mencetuskan episod gelap Demokrasi Berparlimen Malaysia, sekaligus membawa kepada ‘unprecendented event’ termasuk penyingkiran tidak demokratik speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Aiman, Kenyataan Shamrahayu jelas menggadaikan kejujuran akademik kerana hakikatnya politiking jatuh-menjatuhkan yang diamalkan oleh Muhyiddin lah yang membawa kepada kehilangan seorang Speaker Dewan Rakyat yang berjaya mengangkat martabat Parlimen dan ‘separation of power’ ke satu aras yang belum pernah berlaku di Malaysia.

Beliau turut menggesa agar ahli-ahli akademik tampil dengan ulasan lebih bertanggungjawab, mempertahankan fakta serta integriti intelektual dan paling penting, mempertanggungjawabkan kerajaan yang sepatutnya terus berusaha menghilangkan kelaparan, kejahilan, kebimbangan serta kedukaan rakyat.

Malangnya beliau berkata, kebanyakan ahli akademik yang tampil dalam forum awam gagal mencungkil fakta-fakta ini secara telus.

Tiada ulasan: