"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas Menteri Kesihatan anggap Dr Hisham ‘sangat tertekan’

ARIF ATAN

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berpendapat Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sangat tertekan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menangani penularan Covid-19.

Katanya, tanggapan tersebut muncul selepas Ketua Pengarah Kesihatan itu menyatakan dirinya hanya penyampai ketika memaklumkan PKP yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini, tidak akan dilanjutkan pada sesi taklimat 25 Januari lalu.

“Apabila KPK (Ketua Pengarah Kesihatan) kata PKP tidak akan disambung, jadi ketika kerajaan buat PKP, itu apa rasionalnya? Apa ukuran dan penghujahannya?

KPK juga sebutkan kalau lanjutkan PKP akan meninggalkan kesan parah terhadap eknomi negara.

“Saya nampak beliau (Dr Hisham) sangat tertekan. Sehari sebelum PKP, darurat diumumkan untuk kekang penularan Covid-19.

“Tapi apabila tiba-tiba Dr Hisham sebut PKP tidak perlu dilanjutkan, darurat pula bagaimana? Kalau PKP tidak perlu, darurat itu lagilah tidak perlu,” bidasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata demikian menerusi Facebook Live bersama Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebentar tadi.

Dr Dzulkefly turut berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini sudah hilang kawalan hinggakan seramai 46 pakar kesihatan pada 7 Januari lalu merayu supaya satu strategi baharu diwujudkan bagi mengatasi lonjakan kadar jangkitan Covid-19.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) mengakui walaupun mungkin berbeza beberapa pendekatan dengan Dr Hisham seperti kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt tetapi mereka ada ‘rentak kerja’ yang sama.

“Saya perasan pertama kali sebutan itu – ‘saya hanya penyampai’. Kita sudah kehilangan menterinya. Hari ini hanya Ketua Pengarah Kesihatan berdepan dengan sidang media.

“Sebab itu sebelum ini saya kata, PKP halang rakyat bergerak tetapi darurat halang orang politik untuk bertindak terhadap keabsahan kerajaan,” tegasnya.

Menurutnya, langkah Malaysia membendung gelombang ketiga pandemik Covid-19 mesti dilakukan dengan menambah lebih banyak pengesanan kontak, saringan dan kuarantin.

“Kita telah menggesa kerajaan guna kit ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) yang lebih cepat dan murah untuk tingkatkan kapasiti ujian sehingga 200,000 sehari.

“Kita juga perlu tambah tenaga barisan hadapan. Kita perlukan lima kali ganda bilangan profesional dan petugas perubatan.

“Taiwan contohnya ada persediaan kesihatan awam sangat hebat hingga dipuji WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia). Kita ada keupayaan itu tetapi tidak dimobilisasikan secara keseluruhannya,” kata Dr Dzulkefly.

Difahamkan, kerajaan menggunakan teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) yang mengambil masa lebih dua hari untuk mendapat keputusan ujian.

Berkongsikan pendekatan STFC, katanya, usaha digerakkan secara proaktif dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar perubatan.

“Kita buat secara proaktif cegah penularan di tempat kerja seperti kilang selain penjara,” tambahnya lagi.

Selangor membuat perolehan bekalan hingga lima juta dos vaksin Covid-19 dengan tumpuan program vaksinasi kepada sektor industri termasuk pekerja asing bagi memastikan sumbangan negeri itu sebanyak 24 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tidak terjejas akibat pandemik itu.

Tiada ulasan: