Metro
AFP
Beijing: China memulakan ujian calitan di dubur untuk menguji mereka yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi, lapor stesen televisyen negeri.
Doktor mengatakan bahawa prosedur itu lebih berkesan untuk mengesan virus berkenaan.
Pegawai kesihatan melakukan ujian calitan dubur dalam kalangan penduduk di kawasan yang disahkan mencatatkan kes jangkitan Covid-19 di Beijing sejak minggu lalu.
Malah, mereka yang berada di fasiliti kuarantin juga perlu melakukan ujian berkenaan, lapor penyiar CCTV.
Kes jangkitan tempatan dilaporkan sejak beberapa minggu lalu di banyak bandar di utara China menyebabkan kempen pengesanan besar-besaran dilaksanakan, yang sehingga kini masih menggunakan kaedah pengambilan sampel di tekak dan hidung.
Namun, teknik calitan di dubur 'boleh meningkatkan kadar pengesanan di kalangan mereka yang dijangkiti' kerana virus berkenaan bertahan lebih lama di dubur berbanding saluran pernafasan, kata Li Tongzeng, doktor kanan di Hospital You'an Beijing kepada CCTV.
Pengguna platform media sosial di China memberi reaksi bercampur baur mengenai kaedah terbaru itu.
"Kurang sakit, tetapi memalukan," komen seorang pengguna.
Seorang pengguna yang sudah mempunyai pengalaman berdepan kaedah baru itu berkata bahawa dia terpaksa meminta jururawat untuk menggunakan kaedah berlainan sekiranya perlu melakukan dua ujian calitan.
"Saya sudah melakukan dua kali ujian calitan di dubur. Setiap kali saya melakukan ujian calitan pertama di dubur, saya meminta jururawat untuk melakukan ujian calitan kedua di tekak.
"Saya bimbang jururawat lupa untuk menukar peralatan baru," katanya.
Namun, CCTV melaporkan, ujian calitan itu tidak akan dilaksanakan secara meluas kerana ia dianggap sebagai 'tidak selesa'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan