"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas tidak akan kongsi kuasa dengan Umno, dua negeri sudah jadi bukti

ARIF ATAN

Pertembungan politik di peringkat akar umbi antara Umno dan Pas sudah begitu lama dan boleh dilihat di Kelantan dan Terengganu, kata Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad.

Menurutnya, Pas tidak akan berkongsi kuasa dengan Umno walaupun atas nama gabungan Muafakat Nasional (MN).

Walhal, katanya, Pas boleh sahaja berbuat demikian di kedua-dua negeri Pantai Timur berkenaan sekali gus dapat menangani masalah persepsi antara dua parti Melayu itu.

“Kalau mereka hendak selesaikan masalah ketika ini, tindakan paling mudah ialah Pas berkongsi kuasa dengan Umno di Kelantan dan Terengganu.

“Tapi Pas tidak akan buat kerana perbalahan di peringkat akar umbi antara Umno dan Pas masih wujud. Bukannya kalau pemimpin kata begini (berbaik dengan Umno) mereka akan ikut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam slot Bicara YB Khalid Samad (Siri 94) menerusi JOMchannel Facebook Live bertajuk “PRU15: Penjajaran Baharu?” malam tadi.

Sehubungan itu, beliau berpendapat Kelantan dan Terengganu sebenarnya adalah kerajaan negeri Pas bukannya kerajaan MN lantaran permusuhan Umno dan Pas sejak sekian lama.

“Jadi, tiada muafakat. Lalu, ini yang buatkan Umno marah. Dalam masa sama, Pas pula condong kepada Bersatu.

“Lagilah Umno marah. Ini yang dialami menjelang PRU-15. Kalau Umno dan Pas bersatu, pengundi yang setia kepada Umno atau Pas di peringkat akar umbi ada kemungkinan akan lari.

“Kalau Umno dan Pas bertanding berasing-asing sudah pasti akan berpecah. Hanya yang setia kepada Umno akan undi Umno. Begitu juga hanya yang setia kepada Pas akan undi Pas.

“Ini yang mereka pun sedang pening,” kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan lagi.

Tiada ulasan: