"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MENTERI2 YANG WAJIB DIDAKWA DAN DIDENDA

Shahbudin Husin

Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga menteri wajib disaman kerana melanggar SOP sewaktu PKP 2.0 dikuatkuasakan.

Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zulkifli Al-Bakri, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dan Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Dr. Zulkifli dilihat melanggar SOP kerana menghadiri acara memotong pulut kuning di pejabat Yadim.

Di ketika kerajaan sendiri melarang acara sosial dan mesyuarat bersemuka ketika tempoh PKP 2.0, tindakan Dr. Zulkifli menghadiri acara tersebut, sambil tidak menjaga penjarakan fizikal, selain suatu kesalahan yang tidak boleh dipertikailan, ia juga menunjukkan beliau sebagai anggota kabinet yang “tidak boleh pakai” walaupun tinggi ilmu agamanya.

Walaupun gambar yang menunjukkan kesalahan beliau itu tersebar luas di media, tetapi kenapa pihak berkuasa hanya berdiam diri saja?

Kenapa tidak disiasat dan diambil keterangan?

Apakah kerana beliau seorang menteri, maka ianya dipejam mata begitu saja?

Dalam waktu yang sama, selain sewaktu PKP 1.0 dulu dikesan bermesyuarat di pejabatnya, ini adalah kesalahan berulang yang dilakukannya.

Sebagai menteri dan orang kayangan, lebih kelihatan zalim terhadap rakyat biasa ialah kerana Dr. Zulkifli, bekas mufti sebelum ini, hanya memilih untuk berdiam diri tanpa menuturkan kata-kata maaf sebagai tanda kesalan atau ketinggian akhlak yang sesuai dengan ilmu agama dimiliknya.

M Saravanan pula melanggar SOP kerana menghadiri sambutan Thaipusam di kuil Batu Caves, sambil dilihat tidak memakai pelitup muka ketika dikalungkan jambangan bunga ke lehernya.

Alasan Saravanan bahawa beliau hadir kerana diundang lantaran banyak membantu kuil tersebut, selain mengatakan hanya membuka pelitup mukanya sekejap saja ketika dikalungkan jambangan bunga. benar-benar tidak boleh diterima.

Bukankah Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan ketika PKP telah mengeluarkan arahan dan ketetapan bahawa sambutan Thaipusan pada tahun ini tidak dibenarkan dan sambutan hendaklah diadakan di rumah masing-masing?

Apakah Saravanan sebagai menteri tidak faham keputusan yang dibuat oleh kerajaan sendiri?

Bolehkah alasan kerana ada membantu kuil digunakan untuk melanggar arahan kerajaan?

Berkenaan menanggalkan pelitup muka hanya sekejap, sedarkah beliau ada seorang wanita di Johor telah disaman dan didenda RM1000 hanya kerana didapati tidak memakai pelitup ketika keluar kereta untuk mengambil anaknya di kerusi belakang serta tiada sesiapa berdekatan dengannya pada waktu itu?

Sementara itu, Annuar Musa yang memuat naik sendiri gambarnya beriadah bersama dua rakannya yang lain di media sosialnya, selain memperlihatkan ketidakfahamannya mengenai SOP ditetapkan kerajaan di mana beliau sendiri adalah anggota kabinetnya, tetapi juga menunjukkan keangkuhannya sebagai orang kayangan yang berasakan tarafnya lebih tinggi berbanding dengan rakyat biasa.

Meski diakui tidak perlu memakai pelitup muka ketika beriadah, tetapi tindakannya berjalan bertiga itu adalah suatu kesalahan yang nyata di mana kerajaan sendiri menetapkan SOP beriadah atau berjogging hanya dibenarkan bersendirian atau berdua saja dalam satu kumpulan.

Alasan berjumpa seketika dan kemudian berpisah, kalau pun hujah itu mahu diterima, tetapi tidakkah dengan Annuar sendiri memuat naik gambarnya bertiga menunjukkan ada kesalahan telah terbukti dilakukan?

Tindakannya berhujah mempertahankan diri seolah-olah tiada kesalahan tidak lebih hanya menunjukkan keangkuhannya sebagai seorang menteri yang boleh bebas dan terkecuali daripada tindakan undang-undang.

Untuk apa beliau menunjuk-nunjuk gambarnya bertiga itu, walhal sebagai anggota kabinet, tentunya beliau tahu ianya berlawanan dengan SOP yang telah ditetapkan kerajaan?

Di ketika rakyat biasa ramai yang kena saman dan didenda RM1000 kerana melanggar SOP, kegagalan kerajaan bertindak adil dan saksama terhadap tiga menteri berkenaan, setidak-tidaknya setakat ini, bukan saja mengecewakan rakyat, malah menunjukkan seolah-olah ada dua set undang-undang diamalkan di negara ini.

Buat apa ditetapkan SOP jika hanya rakyat biasa yang diikat dengannya, manakala para menteri selaku kelompok kayangan bebas melanggarnya?

Rakyat dalam hal ini mahukan keadilan dan ingin melihat ketiga-tiga menteri berkenaan didenda jika benar undang-undang negara ini sama untuk semua.

Kepada Ismail Sabri, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan dan setiap hari bercakap tentang SOP, malah semalam mengatakan akan menaikkn kadar denda kepada mereka yang melakukan kesalahan itu, kiranya gagal memastikan ketiga-tiga menteri berkenaan didakwa atau didenda, lebih baiklah berhenti saja mengadakan sidang media setiap hari dalam tempoh PKP ini.

Buat rakyat makin meluat saja jadinya. (Shahbudindotcom 29/01/2021)

Tiada ulasan: