"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rasuah dalam kalangan penjawat awam di negara ini disifatkan seperti satu pandemik

 Bangun perangi rasuah: Ikram sokong penuh usaha Sinar

BORHAN AHMAD

Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) menyambut baik dan mengajak semua pihak agar bangun menyokong penuh gerakan melawan rasuah yang diusahakan Editor Pengurusan Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Sehubungan itu, Presiden Ikram, Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad menyeru rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama untuk menyambut gesaan ini bagi menyelamatkan negara daripada amalan rasuah yang kini telah sampai ke kemuncak sehingga negara boleh tergadai dan mandat rakyat tidak dihormati.

“Ikram berpandangan, pencapaian markah 53/100 Malaysia pada tahun 2019 dalam tinjauan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International sangat menyedihkan,” kata beliau dalam satu kenyataannya.

Ikram, katanya, turut memandang serius kenyataan Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar bahawa gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam di negara ini disifatkan seperti satu pandemik.

“Tindakan yang tegas oleh pihak berwajib perlu diambil segera bagi membendung gejala ini,” kata beliau.

Hussamuddin Yaacub, Pengasas Kumpulan Karang Kraf, penerbit akhbar Sinar Harian kini aktif berkempen menentang amalan rasuah di negara ini.

Hampir setiap hari beliau menyebarkan pesanan agar semua rakyat negara ini menolak rasuah.

Beliau melancarkan perang peribadi beliau, Jihad Memerangi Rasuah, dan mengajak semua pihak menyertainya.

Bagi Mohd Parid, rakyat negara ini, umat Islam khususnya perlu kembali menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sebenar yang bukan sahaja melarang mengambil rasuah, malah mengutuk pemberi rasuah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr radiallahuanhuma, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

Sehubungan itu, katanya, Ikram berpendirian tegas bahawa rasuah adalah musuh utama negara.

“Bagi mengelakkan kehancuran, seluruh rakyat harus memegang sikap menolak sepenuhnya amalan rasuah dan para perasuah tanpa kompromi,” kata beliau.

Ikaram, katanya, menggesa kerajaan supaya mengambil langkah yang segera, tegas dan bersungguh-sungguh serta holistik agar gejala rasuah dapat dikawal dan seterusnya dihapuskan.

Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 perlu dilaksanakan sepenuhnya dan dilaporkan pencapaiannya kepada rakyat.

Ikram juga, kata beliau, menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turut sama secara aktif dalam gerakan menghapuskan rasuah, termasuk menjadi mata dan telinga melaporkan kes yang diketahui kepada pihak berwajib.

“Ikram akan bekerjasama dengan semua pihak dalam perjuangan membanteras rasuah.

“Dalam masa terdekat, pelbagai program bakal dianjurkan termasuklah sesi wacana, bulan kempen anti-rasuah dan kempen integriti dan akhlak mulia pada bulan Ramadan al-Mubarak

“Ikram mendoakan agar amalan rasuah ini dapat dihapuskan di tanah air yang tercinta ini dan seluruh rakyat dilindungi daripada keburukan amalan terkutuk in,” katanya.

Tiada ulasan: