MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
P'NGIENG tidak dapat membiasakan diri dengan kehidupan manusia kerana telah hidup terlalu lama di dalam hutan.
CERITA manusia hidup dan membesar bersama haiwan cukup popular dalam siri Tarzan yang dihasilkan oleh ‘penciptanya’ Edgar Rice Burroughs yang berasal dari Illinois, Amerika Syarikat (AS).
Tarzan mengisahkan seorang lelaki yang diasuh sejak kecil oleh sekumpulan gorila di hutan Afrika. Budak itu mampu menyesuaikan diri dengan gorila yang dikenali dengan sifat agresif dan ganas. Tarzan juga bersahabat dengan haiwan lain seperti gajah, beruk dan ular.
Tetapi sisi kehidupan ‘normal’ Tarzan digugat dengan ketibaan sekumpulan pengembara dari Britain, Profesor Archimedes Q. Porter, anaknya Jane dan pembantu mereka, Clayton yang juga seorang pemburu.
Walaupun Burroughs telah lama meninggal dunia, bukunya, Tarzan of the Apes telah diterjemahkan ke dalam 58 bahasa.
Kisah mitos Tarzan sering menimbulkan persoalan sama ada bolehkah manusia hidup malah berinteraksi dengan haiwan? Hakikatnya, lebih 100 kes telah direkodkan di seluruh dunia membabitkan dakwaan seperti itu.
Antara cerita yang mendapat liputan meluas media adalah tentang seorang wanita bernama Oxana Malaya yang dilahirkan pada tahun 1983 di Ukraine. Malaya berkelakuan seperti anjing.
Ketika gadis itu ditemui oleh pihak berkuasa tempatan pada tahun 1991, dia hidup dengan sekumpulan anjing liar. Ibu bapanya menghadapi masalah ketagihan dadah yang kronik menyebabkan Malaya terabai sejak kecil.
Rumahnya terletak di kawasan pinggir bandar yang kotor dan dipenuhi anjing liar.
Semasa ditemui, kelakuannya sama seperti anjing. Dia menyalak serta berjalan menggunakan kedua-dua belah tangan dan kaki.
Curi beras
Malah, Malaya juga sukar berkomunikasi dengan manusia. Dia dihantar ke sebuah klinik mental di Ukraine sejak ditemui.
Kisah Malaya turut dialami oleh seorang wanita bernama Rochom P’ngieng yang hilang secara tiba-tiba dari kampungnya di Kemboja semasa berusia lapan tahun.
P’ngieng dikesan kembali semula ke kampungnya selepas hilang selama berpuluh-puluh tahun pada tahun 2007 semasa dia ingin mencuri beras milik seorang penduduk kampung.
Ibu bapa P’ngieng mendakwa, gadis itu ialah anak mereka yang hilang berdasarkan parut luka di badannya.
Walaupun telah berumur lebih 30 tahun, gadis itu tidak mampu bertutur dalam bahasa Kemboja. Akhirnya, dia lari semula ke hutan dan tidak ditemui sehingga kini.
Mungkin kisah lelaki bernama John Ssebunya paling menyayat hati. Ini kerana dia yang berumur empat tahun melarikan diri dari rumah ke hutan pada pertengahan tahun 1988 akibat trauma melihat ibunya mati ditembak bapanya sendiri.
Semasa ditemui oleh seorang wanita tiga tahun kemudian, fizikal lelaki itu begitu menyedihkan dengan rambut lebat tidak terurus, berjalan menggunakan kedua-dua tangan dan kaki serta tidak boleh menjamah makanan yang dimasak.
Dia bernasib baik kerana diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga. Uniknya, dia mampu menjadi ahli kumpulan koir.
Kelakuan
Pakar sakit mental dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Nor Zuraida Zainal, berkata, walaupun kisah manusia dipelihara oleh haiwan tidak berlaku di negara ini, manusia yang sejak kecil tinggal di habitat semula jadi mampu berkelakuan seperti haiwan tersebut.
Katanya, semasa manusia kecil mereka belajar dengan memerhatikan tindak tanduk individu atau haiwan yang mereka anggap sebagai ibu.
Proses itu juga dikenali sebagai etologi ataupun kajian tingkah laku haiwan. Sama seperti anak itik yang sebaik sahaja menetas mendapati ada seekor monyet di sebelahnya, ia akan menganggap monyet itu sebagai ibunya.
“Lebih-lebih lagi jika manusia itu terdedah selama bertahun-tahun. Haiwan kebiasaannya tidak menyerang budak kecil kerana mereka tidak mengancam keselamatan haiwan tersebut.
“Haiwan tidak boleh berfikir. Segala tindakannya berdasarkan pemerhatian dan kebiasaan semata-mata. Hasilnya, manusia yang hidup dengan binatang kurang cerdas mentalnya,” ujarnya.
Namun, Zuraida memberitahu, sekiranya ditemui dan dipulihkan ketika masih kecil potensi untuk mereka sembuh adalah tinggi.
“Tetapi jika sudah meningkat dewasa, mungkin mereka akan memberontak dan melarikan diri ke hutan semula,” katanya.
Beliau juga tidak menolak sebahagian besar cerita manusia hidup dengan haiwan adalah rekaan dan penipuan pihak tertentu.
“Mereka mungkin menghadapi masalah kekurangan fizikal sejak kecil ataupun berpenyakit, jadi mereka dibuang oleh keluarga.
“Kadangkala kekurangan fizikal itu juga digunakan untuk mencari keuntungan menerusi kutipan derma,” katanya.
Pengarah Zoo Negara, Dr. Mohamad Ngah tidak menolak manusia boleh hidup bersama binatang tetapi kes tersebut jarang sekali berlaku.
“Haiwan sendiri mempunyai habitat dan cara hidup tersendiri sama seperti manusia. Lagipun mengapa kita ingin merendahkan martabat manusia sebagai makhluk yang paling bijak di muka bumi ini?” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan