"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja diekori harimau meninggal kerana trauma

NURUL ZAILA MOHD TAHIR

Rohani (tengah) kelihatan sedih ketika mengiringi upacara pengebumian anaknya.

Meninggal kerana trauma
KENANGAN...Mastura di samping ibunya selepas mendapatkan rawatan di hospital.
KENANGAN...Mastura di samping ibunya selepas mendapatkan rawatan di hospital.
Pak belang yang ditembak mati selepas mengekori arwah dan ibunya 3 bulan lalu.
KUALA KANGSAR: Peristiwa diekori harimau hampir tiga jam di kawasan Padang Ragut Changkat Jambu, di sini, mengakibatkan kehidupan Mastura Kamaruddin, 16, diselubungi trauma sehingga dia menghembus nafas terakhir pada jam 5 petang kelmarin, di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Kisah Mastura bersama ibunya, Rohani Osman, 50, diekori harimau ketika menoreh getah pada 15 Januari lalu pernah menggemparkan negara apabila tersiar di dada akhbar.

Menurut Rohani, selepas peristiwa itu, kesihatan Mastura sering terganggu termasuk mengalami demam panas dan pernah dimasukkan ke wad Hospital Taiping untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, kesihatan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Kati itu semakin teruk dari sehari ke sehari sehingga hilang kemampuan berjalan pada 7 April lalu.

“Keadaannya sangat lemah ketika itu sehingga perlu didukung oleh bapanya untuk ke bilik air dan memerlukan jagaan sepanjang masa.

“Mastura dipindahkan ke HRPB pada 13 April lalu kerana keadaannya semakin teruk sehingga tidak mampu bercakap,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di Kampung Chuar Hilir, di sini, semalam.

Laporan hospital mengatakan kematian Mastura berpunca daripada jangkitan kuman dalam darah dan Sinar Harian difahamkan selepas peristiwa diekori harimau, kehidupan remaja itu sering dihantui insiden berkenaan.

Sentiasa ketakutan

ROHANI mengakui Mastura mengalami trauma dan sentiasa berada dalam ketakutan selepas peristiwa itu, sehingga tidurnya sering terganggu.

Katanya, selain mendapatkan rawatan di hospital, keluarganya turut mendapatkan rawatan alternatif daripada pengamal perubatan tradisional dan pernah dibekalkan limau nipis untuk mandi.

“Hanya saya sahaja mandi menggunakan limau nipis itu sedangkan Mastura tidak mahu melalui proses berkenaan,” jelas Rohani.

Rohani juga memaklumkan anaknya itu mengalami luka di bahagian kaki dan pinggang serta sedikit kecederaan semasa melarikan diri daripada harimau berkenaan.

Menurutnya, luka berkenaan semakin teruk sehingga kaki Mastura menjadi lemah menyebabkan remaja itu tidak mampu berjalan dan kini mereka sekeluarga reda dengan pemergiannya walaupun di selubungi kesedihan.

Hilang mata pencarian

DALAM pada itu, Rohani menceritakan, Mastura sempat berpesan agar dia tidak lagi menoreh di kawasan kejadian beberapa hari sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Katanya, anak bongsu daripada dua beradik itu turut memberi pesanan sama kepada ayahnya kerana bimbang mereka akan jatuh sakit sepertinya.

“Kerana menghormati pesanan akhir Mastura, saya dan suami tidak lagi menoreh di kawasan padang ragut itu demi mengelak kejadian sama berulang.

“Sekarang kami tidak tahu di mana mahu mencari rezeki kerana selama ini pendapatan kami sekeluarga hanya bergantung kepada kerja menoreh getah,” katanya.

Dalam keadaan sedih serta muram, Rohani mengakui dia sendiri tidak dapat melupakan kejadian tersebut dan akan berpegang kepada pesanan Mastura sungguhpun tertekan memikirkan cara mencari sumber pendapatan keluarga.

*Kepada sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi sendiri keluarga ini di talian 012-5825300.

Tiada ulasan: