KUALA LUMPUR: Persatuan Peneroka Anak Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa peneroka seperti diperdaya apabila menandatangani surat pinjaman pembelian saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).
Surat perjanjian bank setebal 60 muka surat itu ditulis dalam Bahasa Inggeris, mengandungi syarat-syarat yang memaksa peneroka menanggung semua risiko sendiri jika saham itu rugi.
Presiden Anak Mazlan Aliman berkata, borang pembiayaan pinjaman saham FGVH telah pun diedarkan oleh bank-bank komersial kepada peneroka.
Bank-bank komersial memberikan kebebasan kepada peneroka untuk menyatakan jumlah pinjaman yang mereka mahu.
Ini kerana menurut Mazlan, bank memberikan kelonggaran sedemikian kerana mendapat jaminan kerajaan dan peneroka mempunyai aset tanah 10 ekar.
Namun dalam masa sama jika rugi, peneroka perlu menanggung semua risiko dan pembayaran semula pinjaman.
“Malangnya hampir 90 peratus peneroka sudah pun menandatangani borang (pinjaman bank) itu.
“FGVH memperalat pengurusan Felda memaksa peneroka mengisi borang tersebut dalan keadaan mereka keliru dan sebahagian besar tidak tahu apa-apa,” katanya kepada pemberita di pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di sini hari ini.
Katanya, situasi ini menyedihkan apabila peneroka diperdaya dengan ‘durian runtuh’ untuk menghalalkan tindakan kerajaan bagi tujuan penyenaraian ke Bursa Malaysia.
“Pasaran saham dimanipulasi oleh pihak spekulator dan tidak menentu. Ini mampu memudaratkan kepentingan aset peneroka,” katanya.
Himpunan ala Bersih
Oleh itu, beliau berkata Anak tidak akan teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran seperti Perhimpunan Bersih jika Felda terus mengganggu hak peneroka.
Katanya, perhimpunan itu adalah langkah terakhir memandangkan pelbagai usaha telah dibuat termasuk membuat laporan polis, injunksi mahkamah, dan sebagainya.
“Kita akan buat himpunan terbesar demi mempertahankan saham peneroka. Ini saja pilihan yang ada,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan