"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRK Port Dickson paling aneh dalam sejarah

Zin Mahmud
Pada Jumaat lepas, 28 September 2018, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York, suatu peristiwa bersejarah yang membanggakan bagi rakyat Malaysia.

Tetapi keesokan harinya, rakyat Malaysia menyaksikan bermulanya proses penyediaan bakal pengganti perdana menteri dengan penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Port Dickson. Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadapi PAS dan 5 calon bebas yang lain.

Apakah hubungan prestasi Dr Mahathir di UNGA dengan Anwar di PRK Port Dickson? Ia terletak pada standard yang menjadi suatu persepsi bagi rakyat Malaysia.

Umumnya, rakyat negara ini memandang tinggi kepada Dr Mahathir sebagai negarawan.

Walaupun mereka tidak mengharapkan adanya pemimpin negara ini yang boleh menandingi beliau pada waktu terdekat ini, tetapi bakal penggantinya hendaklah juga bermutu tinggi, kalau tidak setara, sekurang-kurang hampir pada kedudukannya.

Inilah cabaran yang dihadapi oleh Anwar, iaitu untuk membuktikan pada rakyat Malaysia bahawa beliau juga hebat, hampir pada kedudukan Dr Mahathir.

Maka PRK untuk membolehkan beliau memasuki Parlimen merupakan peluang dan medan bagi ketua umum PH itu untuk menyandang jawatan perdana menteri menggantikan Dr Mahathir.

Jadi, jika beliau dapat mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), bukan saja dengan majoriti besar, tetapi dengan bergaya, maka markah politik yang banyak boleh diperolehinya.

Tetapi keadaan itu hanya boleh berlaku jika BN meletak seorang calon yang juga hebat di Port Dickson untuk melawan beliau.

Namun BN mengambil keputusan tidak bertanding dan tidak mempedulikan PRK itu. Sebaliknya, parti utama BN, Umno mengadakan Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dengan majlis pembukaannya turut dihadiri tetamu dari sahabat baharu parti itu, iaitu PAS.

Menurut Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi, keputusan BN tidak bertanding di situ kerana kekosongan kerusi itu dianggap bercanggah dengan prinsip demokrasi.

Beliau merujuk pada tindakan sengaja Ahli Parlimen Port Dickson yang menang PRU14, Datuk Daniyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusinya semata-mata hendak memberi tempat kepada Anwar bertanding.

Tindakan ini dianggap melanggar demokrasi kerana ia membelakangkan pilihan rakyat untuk melihat Daniyal mewakili mereka bagi 1 penggal penuh.

Tetapi, oleh kerana BN pun pernah melakukan perkara yang serupa pada waktu-waktu dulu, maka hujah itu tidak dapat diterima secara serius oleh kebanyakan orang.

Bagaimanapun, ada pihak yang sedang berusaha melakukan tindakan undang-undang untuk menuntut supaya peletakan jawatan Daniyal itu tidak seharusnya boleh dilakukan.

Banyak pihak melihat keputusan itu adalah kerana BN tidak mempunyai harapan untuk menang dan menjadi sia-sia untuk mereka bertanding, lebih-lebih lagi dengan kekangan dana yang dihadapi oleh Umno sekarang.

Tetapi ada pula pihak yang melihat keputusan Zahid adalah kerana suatu pertimbangan strategi Umno untuk kembali berkuasa melalui pintu belakang.

Ini ekoran daripada kenyataan beliau mahu mengembalikan Umno menjadi parti kerajaan dalam masa 6 bulan.

Strategi ini melibatkan suatu pakatan baharu, malah ia dinamakan sebagai Pakatan Malaysia yang boleh menumbangkan PH. Maka apa yang dibayangkan ialah kerjasama antara BN, PAS dan PKR, dengan menyingkirkan PPBM, DAP dan Amanah.

Banyak pihak dalam Umno menyokong usaha Zahid dan pucuk pimpinan parti itu terhadap gagasan ini. Namun ia ditolak oleh calon presiden Umno yang kalah iaitu Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah.

Di pihak Dr Mahathir dan Anwar, mereka dari awal menolak gagasan seumpama itu. Tetapi bagi pihak lain pula, memandang kepada apa yang pernah dilakukan oleh kedua-duanya sebelum ini, pandangannya ialah, dalam politik, apa saja boleh berlaku.

Tetapi di penghujung Perhimpunan Agung Umno itu, masih tidak jelas ke mana hala tuju parti itu dari segi kerjasamanya dengan PAS. Bukan saja terdapat halangan dari komponen BN yang lain iaitu MCA dan MIC, malah sokongan dari kalangan Umno juga tidak padu.

Oleh kerana BN tidak bertanding, seperti kata pemimpinnya, maka PAS masuk PRK itu. Kalau dilihat kerjasama Umno dalam PRK terdahulu, Sungai Kandis dan Seri Setia, maka penyertaan PAS bertanding itu turut sebagai mewakili BN juga.

Walaupun PAS mengharapkan penyokong Umno akan memberi undi padanya tetapi ia meletakkan calon yang menarik untuk memperoleh undi Melayu.

Calon mereka, Nazari Mokhtar adalah bekas tentera dan Port Dickson mempunyai bilangan pengundi tentera yang besar. Adalah dipercayai juga kemenangan Daniyal dalam PRU14 yang lalu adalah kerana beliau merupakan bekas pegawai tentera.

Malah peletakan jawatan itu dibantah oleh Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang dianggotai oleh veteran polis dan tentera. Mereka mahukan Daniyal terus menjadi suara golongan veteran tentera. Dalam PRU14, Patriot memberi sokongan kepada PH.

Tetapi bukan saja PAS mengharapkan undi dari penyokong Umno. Dua calon itu ialah Tan Sri Isa Samad dan Saiful Bukhari Azlan, adakah mereka ini calon proksi Umno? Tentulah tidak ada pengakuan rasmi.

Malah terhadap calon PAS pun, Umno tidak memberikan sokongan rasmi walaupun jelas strategi kerjasama mereka selepas PRU14.

Sebelum PRK itu lagi, banyak pihak mengharapkan BN mengemukakan calon yang kuat. Bagi penentang Anwar, bukan saja dari kalangan BN tetapi dalam PH sendiri, bakal perdana menteri itu perlu diberi cabaran besar untuk menghantar isyarat bahawa beliau mesti tidak rakus apabila menyandang jawatan itu. Walaupun Anwar akan menang juga tetapi biarlah undi majoriti yang diperolehnya adalah tipis.

Calon kuat dari BN yang diharapkan ialah Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Hassan Mohamad yang merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan. Beliau dianggap popular dan kekalahan beliau dalam kerusi DUN dalam PRU14 kerana partinya ditolak pengundi.

Tetapi penyertaan Isa yang juga menjadi menteri besar Negeri Sebilan lebih lama daripada Hassan, iaitu 22 tahun bermaksud nilai seorang yang pernah memegang jawatan ketua kerajaan negeri juga boleh diambil kira.

Lebih-lebih lagi beliau dulu mengetuai Umno Bahagian Teluk Kemang, kawasan lama Port Dickson. Beliau dipercayai akan dapat menarik undi penyokong Umno. Soal skandal kewangan Isa tidak menjadi isu bagi kebanyakan penyokong Umno.

Namun misteri paling besar ialah penyertaan Saiful. Kehadirannya pasti mewarnai dan mengganggu kempen Anwar. Persoalan siapakah di belakang Saiful masih tidak terjawab.

Menurut Saiful, beliau saja mahu menjadi ahli Parlimen. Hakikat, beliau tidak dikenali sebagai aktivis politik, maka penyertaannya itu tidak dapat diterima.

Tetapi pengundi Port Dickson bukan saja memilih siapa wakil rakyat mereka. Malah merekalah yang menentukan siapa pengganti Dr Mahathir. Bagi penyokong Anwar dan penyokong tegar PH, mereka jelas akan memberi undi kepada presiden PKR itu.

Tetapi bagi mereka yang menyokong Dr Mahathir dan menolak Anwar, mereka akan mengundi PAS atau mana-mana calon bebas.

Dalam taktik pilihan raya pula, peletakan calon bebas adalah antara lain bertujuan untuk memecah undi lawan. Maknanya apabila undi lawan terpecah, maka tidak ada seorang yang dapat menyaingi calon utama.

Nampaknya, calon yang bertanding melawan Anwar bukanlah hendak mencapai kemenangan. Mereka sebenarnya hendak menghantar isyarat bukan saja kepada Anwar dan PH tetapi juga terhadap Umno. Maka PRK ini adalah paling aneh dalam sejarah.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Tiada ulasan: