"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketahui punca darah dalam air kencing

FMT Reporters

Menyedari kewujudan darah dalam air kencing anda semestinya sesuatu yang merisaukan baik untuk lelaki, wanita, muda mahupun tua.

Dalam kelas perubatan, punca-punca kewujudan darah dalam air kencing dibahagikan kepada dua iaitu darah dalam air kencing yang dapat dilihat dengan jelas (Gross Hematuria) dan darah dalam air kencing yang hanya dikesan melalui ujian makmal (Microscopic Hematuria).

Mana-mana pun puncanya, pemerhatian dan pemeriksaan rapi doktor adalah perlu.

Kencing berdarah adalah apabila air kencing anda berwarna sama ada sedikit merah jambu atau perang seakan-akan warna air coca-cola.

Dari Mana Datangnya Darah Tersebut?

Darah dalam air kencing anda boleh datang daripada beberapa struktur khususnya struktur-struktur yang membentuk sistem urinari, yang terdiri daripada buah pinggang, ureter, pundi kencing dan juga uretra.

Namun darah tersebut juga boleh disebabkan oleh struktur berdekatan lain yang dekat dengan organ-organ sistem urinari dan boleh juga disebabkan keradangan menyeluruh sistem badan.

Punca darah dalam air kencing yang kurang serius
Senaman yang terlalu lasak

Senaman yang terlalu lasak berupaya untuk mengakibatkan berlakunya kencing berdarah dan ianya juga disebut sebagai runner’s bladder atau marathoner’s bladder.

Senaman yang terlalu lasak, sama ada daripada sukan yang mempunyai perlagaan fizikal atau tidak, berupaya untuk menyebabkan kencing berdarah.

Lazimnya, kewujudan darah dalam air kencing akan tidak lagi kelihatan selepas 72 jam daripada aktiviti tersebut atau selepas rehat yang mencukupi.

Namun penting juga untuk diingati bahawa senaman yang terlalu lasak dalam seseorang yang sudah menghidapi penyakit buah pinggang atau penyakit berkaitan sistem urinari, mampu menyebabkan kecederaan tambahan kepada sistem tersebut.

Trauma

Trauma kepada alat kelamin dan bahagian badan yang membabitkan buah pinggang khususnya, boleh menyebabkan berlakunya kecederaan dan pendarahan yang akhirnya membawa kepada kewujudan darah dalam air kencing.

Trauma boleh berlaku sama ada disebabkan oleh aktiviti seksual yang ganas, kecederaan ketika di ranjang, kemalangan, kecederaan atau impak daripada aktiviti sukan.

Punca darah dalam air kencing yang lebih serius
Jangkitan

Jangkitan ini boleh merujuk kepada jangkitan terhadap mana-mana struktur atau organ dalam sistem urinari seperti jangkitan buah pinggang (Pyelonephirits), jangkitan pundi kencing (Cystitis), dan jangkitan saluran urethra (Urethritis).

Jangkitan kelamin juga boleh menyebabkan berlakunya kewujudan darah dalam air kencing.

Batu Karang

Batu karang boleh terbentuk atau beralih ke mana-mana struktur dalam sistem urinari sama ada di dalam buah pinggang, di dalam saluran ureter, dalam pundi kencing mahupun dalam saluran urethra.

Lazimnya, simptom kencing berdarah dalam batu karang akan disertai oleh simptom sakit berdenyut-denyut pada bahagian yang terlibat.

Kanser

Selain daripada kanser yang membabitkan struktur sistem urinari seperti kanser buah pinggang dan pundi kencing, organ-organ sekeliling yang bertukar menjadi kanser turut berupaya untuk menyebabkan kencing berdarah, khususnya apabila ia sudah mencerobohi sistem urinari seperti kanser usus dan kanser prostat.

Sebelum menjadi kanser, pembesaran prostat juga mampu menyebabkan kencing berdarah.

Penyakit-penyakit lain

Penyakit sel darah merah seperti Sickle Cell Anaemia membawa kepada penghancuran darah dalam badan yang disingirkan melalui air kencing.

Penyakit seperti Haemolytic Uremic Syndrome juga berupaya untuk menyebabkan berlakunya kewujudan darah dalam air kencing.

Selain itu, penyakit autoimun seperti Systemic Lupus Erythematosus (SLE) juga mampu menyebabkan kecederaan kepada buah pinggang yang menyebabkan air kencing mengandungi darah.

Tambahan lagi, penyakit keturunan seperti Sindrom Alport dan juga penyakit buah pinggang Polycystic turut berupaya untuk menghasilkan simptom yang sama.

Apabila anda berjumpa dengan doktor anda, pemeriksaan dan ujian tertentu akan dilakukan oleh mereka demi mengenal pasti punca sebenar di sebalik keterjadian simptom kencing berdarah. Walaupun lazimnya darah dalam air kencing tidak membawa kepada masalah serius, terdapat juga punca-punca serius yang perlu diberi perhatian.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Kumpulan Hello Health tidak menyediakan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Tiada ulasan: