"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PM dan PN, siapa acah siapa?

Mohsin Abdullah

Jika laporan The Star siaran 5 Ogos 2022 betul bahawa Perikatan Nasional (PN) mungkin menarik sokongan daripada kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob, ada beberapa persoalan timbul.

Yang utama ialah adakah PN benar-benar serius? Maksudnya, akan kotakan apa yang dikata atau PN acah-acah? Sekadar bikin “gempak”, mengancam dan gertak Ismail?

Ini kerana, sebelum ini pun banyak juga “tanda” dan “isyarat” yang diberikan, terutamanya Bersatu yang menjadi tunjang PN bahawa sokongan ke atas Ismail akan ditarik.

Yang paling menarik perhatian ialah kata-kata Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin pada November 2021 berbunyi:” Sekarang, saya boleh tekan semua butang semua jatuh. Kamu nak itu berlaku? Saya tak takut, tapi saya fikirkan nasib rakyat Johor.”

Untuk berlaku adil terhadap beliau, diingatkan kata-kata Muhyiddin itu dibuat dalam konteks Johor dan pilihan raya negeri (PRN) itu. Itu adalah reaksinya terhadap cabaran yang dilontarkan veteran Umno, Shahrir Samad supaya Bersatu pimpinan Muhyiddin menarik sokongan terhadap Menteri Besar Johor (ketika itu), Hasni Mohammad.

Beberapa pemerhati dan penganalisis politik waktu itu melihat kenyataan Muhyiddin itu boleh juga “dipakai” di peringkat kebangsaan, yakni beliau boleh “tekan butang” lantas “semua di peringkat nasional” jatuh.

Tetapi, di Johor, butang entah ke mana, tekan pun tiada. Mungkin Muhyiddin tidak tekan apa-apa butang kerana “memikirkan nasib rakyat Johor” seperti yang dikatakannya. Apa pun, PRN Johor tetap diadakan dan kita maklum PN kalah. Dalam erti kata lain, rakyat Johor yang nasibnya difikirkan Muhyiddin, majoritinya memilih Umno/Barisan Nasional (BN).

Itu kisah tahun lalu. Kisah terbaharu tahun ini ialah laporan The Star pada 5 Ogos lalu yang disebut tadi. Akhbar itu memetik sumber Bersatu berkata, faktor yang mendorong PN mahu tarik sokongan kerana Ismail “keberatan menunaikan janji yang diberi kepada PN, terutama melantik wakil Bersatu menjadi timbalan perdana menteri”.

Sumber itu tidak dinamakan. Namun, The Star turut melaporkan seorang pemimpin PN Sabah yang juga tidak dinamakan, mengesahkan soal tarik sokongan ada dibincangkan dalam mesyuarat PN.

Orang kuat Muhyiddin, Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan dilapor mengingatkan Ismail supaya menghormati PN seperti beliau menghormati Pakatan Harapan.

Tetapi, hampir serta-merta pemimpin kanan PN, termasuk Bersatu menafikan gabungan itu mahu tarik sokongan terhadap Ismail.

Apa pun reaksi Ismail mudah. “Kalau ada parti tarik sokongan, pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan. Kalau ada pihak yang menarik sokongan dan kerajaan tumbang, maka pilihan raya perlu diadakan selepas itu,” kata Ismail – reaksi paling logik.

Dengan berkata demikian, Ismail jelas memberitahu kerajaannya bersedia menghadapi pilihan raya. Bagi saya, kata-katanya juga bermaksud “sesiapa yang hendak blah, boleh blah – aku tak takut”.

Ulang soalan tadi: Adakah PN serius atau acah-acah? Adakah Ismail tidak percaya PN akan buat serupa bikin, lalu pantas beliau berkata sedia mengadakan pilihan raya? Dalam erti kata lain, Ismail tidak makan umpan PN. Bak kata Inggeris “he has called PN’s buff”. Begitu?

Atau Ismail tahu jika Bersatu mahu tarik sokongan, rakan parti itu dalam PN, iaitu PAS tidak akan berbuat demikian. PAS akan terus menyokong kerajaan. Perlu diingatkan PAS menerusi banyak kenyataan pemimpin tertingginya masih yakin Muafakat Nasional yang dimeterai bersama Umno belum terkubur, walaupun ramai kata talkin sudah dibacakan.

Dalam isu terbaharu ini, Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau beranggapan “dakwaan” (PN nak tarik sokongan) “bagai seekor nyamuk yang cuba ganggu orang tidur”.

Ahmad bersama Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin mewakii PN bertemu perdana menteri tempoh hari – pertemuan yang dikatakan mahu digunakan PN untuk meluahkan rasa tidak puas hati mengenai apa yang mereka dakwa janji kepada mereka yang tidak ditunaikan Ismail.

Ismail mengesahkan pertemuan itu tanpa memberi butiran, selain berkata “mereka beri pandangan mereka, saya beri pandangan saya”. Menurut beliau, kedua-dua pihak setuju tidak mengumumkan apa yang berlaku dalam mesyuarat itu.

Adakah Hamzah membangkitkan soal jawatan timbalan perdana menteri untuk diisi wakil partinya? Ada atau tidak saya tidak boleh pastikan, tetapi sehingga kini tiada pengumuman apa-apa pelantikan dibuat. Ertinya, Ismail tidak terkesan dengan apa jua tekanan Bersatu (jika ada) ke atasnya.

Jika benar Azmin Ali adalah calon Bersatu untuk jawatan timbalan perdana menteri (seperti yang ramai percaya), saya rasa Ismail tidak mahu menimbulkan kemarahan partinya dengan melantik Azmin kerana semua orang tahu apa perasaan Umno terhadapnya.

Dan Bersatu juga mesti mengambil kira isu Zuraida Kamaruddin. Beliau keluar Bersatu sejak Mei lalu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia – parti yang sudah menyuarakan hasrat untuk menjadi komponen BN.

Bersatu menjangkakan jawatan menteri yang disandang Zuraida akan kosong atau perdana menteri menggugurkannya daripada Jemaah Menteri. Itu semua tidak terjadi. Zuraida kekal menteri sehingga hari ini.

Muhyiddin sendiri mengakui beliau menunggu terlalu lama (keputusan muktamad perdana menteri) dan tidak dapat berjumpa Ismail untuk membawa isu itu. Hakikatnya, sekali lagi Ismail menunjukkan beliau tidak gentar apabila berdepan Bersatu.

Ramai pemimpin PN berkata, cadangan tarik sokongan adalah pendirian beberapa individu secara persendirian dan bukannya keputusan rasmi pucuk pimpinan. Tetapi, adakah mungkin individu terbabit mewakili pemimpin secara senyap? Menjadi proksi pemimpin untuk melihat keadaan atau “test water”?

Tidak dapat dipastikan semua itu. Namun, tidak kira apa pun, persoalannya adakah apa yang Bersatu lakukan sehingga kini satu langkah yang silap? Dari sudut lain – adakah Bersatu tersilap langkah? Berani-berani takut?

Bagi Ismail pula, walaupun beliau dengan berani mengumumkan kerajaannya sedia berdepan pilihan raya jika mana-mana pihak tarik sokongan, adakah beliau benar-benar berani?

Pilihan raya segera sememangnya tuntutan kepimpinan Umno, terutama tim Ahmad Zahid Hamidi, presiden parti. Manakala tim Ismail (ya, beliau pun ada pasukannya) berbeda pendapat.

Menurut Annuar Musa, menteri dalam Kabinet ismail “banyak perkara yang perlu dilakukan” dan perdana menteri komited membantu rakyat menghadapi krisis kenaikan harga barang dan sebagainya. Maknanya, itu keutamaannya, bukan pilihan raya segera.

Annuar dilihat penyokong kuat Ismail dan bukan rahsia beliau tidak sebulu dengan Zahid dan orang presiden, meskipun kekal dalam Umno. Kata-kata beliau pernah disuarakan Ismail.

Tetapi, dengan berkata pilihan raya akan diadakan jika ada pihak tarik sokongan daripada kerajaan membawa maksud pilihan raya akan diadakan, jika terpaksa.

Oleh itu, adakah Ismail juga acah-acah atau lebih tepat gertak PN “jika kamu kacau aku, pilihan raya akan diadakan”. Kita tahu ramai dalam PN tidak gemar PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

Ini kes kamu gertak aku, aku gertak kamu ke?

Tiada ulasan: