"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apabila rakyat terpaksa menadah parang dengan tangan...

Lim Hong Siang
http://www.gerbergear.com/var/gerber/storage/images/frontpage/survival/gear/survival-series-parang_31-000698/321112-22-eng-US/Bear-Grylls-Survival-Series-Parang-Nylon-Sheath.jpg
Mereka yang pernah diragut atau dicuri mungkin tidak asing dengan pengalaman dipujuk untuk menggunakan perkataan "HILANG" (bukan DIROMPAK atau DIRAGUT), ketika membuat laporan di balai polis. DIRAGUT ertinya polis perlu mencari "si-PERAGUT"-nya, dan ia perlu disusuli perbicaraan di mahkamah.


Namun jikalau ceritanya "HILANG", maka polis hanya perlu menunggu siapa-siapa warga Malaysia yang jujur untuk mengembalikan harta itu ke balai setelah menemuinya. Dengan kata lain, jika namanya RAGUT, maka kecekapan polis diuji dan prestasinya diukur dengan KPI; kalau namanya HILANG, siapa pula yang berani persoal nasib diri yang ditakdir Tuhan?

Lebih-lebih lagi, siapa yang masih menaruh harapan bahawa harta yang dirampas dari miliknya di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur itu, akan dikembalikan setelah aduan polis dibuat? Untuk kebanyakan orang, laporan polis dibuat sekadar untuk "tujuan rekod", sebagai bukti kepada bank, Jabatan Pendaftaran Negara dan sebagainya, bahawa dokumen berkenaan telah dipisahkan daripada si pemilik - dan si pemilik tidak lagi bertanggungjawab ke atas penggunaan dokumen tersebut selepas jam dan tarikh yang tercatat dalam laporan polis.

Maknanya, jaminan hak harta benda yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak memberi apa-apa makna untuk warganya, apabila rakyat sendiri tidak yakin bahawa haknya mampu dilindungi pihak berkuasa. Padahal polis dan hakim wujud dalam konteks ini untuk menjunjung keadilan dan melindungi hak rakyat. Rakyat tidak perlu mengambil risiko untuk berlawan dengan peragut, kerana ianya tugas polis yang terlatih, dan diberi kuasa untuk menggunakan keganasan secara halal. Rakyat tidak dibenarkan mencederakan peragut, kerana ianya tugas hakim untuk memutuskan apakah hukuman yang setimpal untuk dijatuhkan terhadap si pelaku.

Baru-baru ini tersebar satu klip video rakaman CCTV dalam internet, menyaksikan bagaimana pemilik kedai runcit melawan balik dua orang perompak yang tampil dengan parang. Salah seorang peruncit itu terpaksa menadah parang dengan tangan, untuk melindungi ahli keluarganya daripada ditetak dalam pergelutan. Meskipun perompak itu akhirnya melarikan diri apabila peruncit menyerang balik dengan batang kayu, namun darah telah kelihatan pada bahagian dahi dan tangan peruncit.

Sering kali kita mendengar pelbagai cadangan daripada polis mahupun kerajaan untuk membanteras jenayah ragut dan rompak. Malah pemasangan CCTV antara yang paling kerap dibangkitkan, untuk memudahkan agar si penjenayah dikenalpasti, kononnya. Namun untuk beberapa tahun kebelakangan ini, CCTV di Malaysia nampaknya tidak berkesan untuk tujuan tersebut - kerana sering tidak berfungsi secara kebetulan pada detik saat yang paling mustahak. Sebaliknya, ia berfungsi dengan baik apabila dipasang untuk merakam "pemimpin politik", malah diselit dengan subtitle bahasa Thai ada kalanya, barangkali untuk tujuan dieksport ke negara jiran terdekat.

Kita jarang dibuktikan bagaimana pemasangan CCTV ini menyumbang kepada hasil siasatan polis. Sebelum ini tersebar juga klip video CCTV bagaimana sebuah warung mamak di Shah Alam dirompak pada awal pagi. Tiada dalam ingatan saya bahawa penjenayah itu telah ditangkap. Apa yang melantun-lantun dalam otak saya adalah komen seorang warga internet, "Lain kali biar duduk di luar warung... Lebih selamat, kerana senang untuk melarikan diri."

Kesemua reaksi ini mencerminkan betapa "pasrah"-nya rakyat ketika hak asasi diri dicabul. Situasi menjadi lebih dahsyat apabila sesetengah menyalahkan si mangsa kerana "mengundang malapetaka". Misalnya, apabila berlakunya kes ragut, si mangsa dipersalahkan kerana menbawa beg tangan berjenama. Jikalau kereta dipecah cerminnya, si mangsa dipersalahkan kerana meletakkan komputer bimbit di tempat yang "terdedah kepada penglihatan umum" - lantas menjurus kepada kes pecah cermin.

Lantaran daripada kegagalan dan ketidakcekapan polis, kita tidak lagi mengutuk perbuatan "mencuri" atau "meragut" itu, sebaliknya kita mengecam perbuatan yang memungkinkan pencurian atau ragut berlaku. Nilai moral mahupun agama telah dipintal sewenang-wenangnya, seolah-olah si mangsa lebih berdosa daripada si penjenayah. Logiknya bagai gadis yang cantik patut dirogol, kerana dilahirkan terlalu cantik. Kalau itulah logiknya, mengapa tidak gubal akta untuk mengharamkan kecantikan?

Lebih jelek, terdapat politikus yang ghairah menumbuk udara untuk mempertahankan ketuanan mahupun kepentingan bangsa, padahal harta milikan persendirian sekecil beg tangan pun gagal dipertahankan - itupun bukan beg tangan jenama berharga belasan ribu ringgit atau cincin RM24 juta. Bukan itu sahaja, malah si mangsa terus dipersalahkan terlebih dahulu, belum pun si penjenayah dikenalpasti bayangnya.

Sebelum tulisan ini dinoktahkan, saya terserempak dengan satu gambar di mana Perdana Menteri Malaysia bersama isterinya dilindungi sepasukan soldadu ketika dalam perjalanannya untuk menunaikan ibadah haji. Sempena Hari Raya Aidiladha 1432H, saya berharap beliau merenungi semula krisis "pemintalan nilai" di bawah pemerintahan beliau. Kalau isu itu terlalu rumit untuk akalnya, lebih baik beliau menginsafi persoalan berikut: apakah perlu dan layaknya seseorang PM dilindungi sepasukan soldadu ketika mendarat di tanah suci Islam, sedangkan PM itu tidak terdaya untuk melindungi hak harta rakyatnya di tanah pemerintahan dirinya?

Tiada ulasan: