Mat Zain Mat Isa
Agaknya kalaulah Terengganu kini di bawah PAS, pada adatnya kes wabak Hepatitis A yang sedang melanda beberapa kampung di daerah Hulu Terengganu akan benar-benar dimanipulasi Barisan Nasional (BN) sebagai bahan menyerang kerajaan negeri. Boleh jadi tidak akan ada pemimpin parti itu yang tidak menyuarakan keluhan dan sesalan terhadap apa yang sedang berlaku kini.
Akan ada juga kumpulan demi kumpulan rakyat yang kononnya prihatin terhadap permasalahan itu tampil meluahkan rasa tidak puas hari terhadap kerajaan negeri menerusi berbagai pertubuhan bukan kerajaan. Manakala segenap saluran media arus perdana berkemungkinan dimanfaatkan semahunya untuk berulangkali menyorot kes itu secara negatif.
Kerajaan negeri pimpinan PAS akan dibalun dan dipersalahkan atas petaka menimpa sebilangan rakyat itu. Ia akan didakwa tidak prihatin atau gagal memastikan kesihatan rakyat terjamin, apabila rakyat terpaksa menggunakan bekalan air yang tidak bersih sehingga menyebabkan mereka terdedah kepada risiko dijangkiti wabak tersebut.
Andaian itu tidak mustahil, bahkan berkemungkinan besar berlaku, terutama jika dilihat daripada reaksi dan kecaman diterima kerajaan Kelantan berhubung risiko wabak merbahaya yang didakwa mungkin dihadapi rakyat negeri tersebut akibat permasalahan serupa.
Tabloid harian pada Isnin, 21 November memetik kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang menyalahkan kerajaan negeri diterajui PAS di atas status bekalan air yang dikatakan tercemar. Beliau memetik hasil ujian Kementerian Kesihatan yang mendapati air di negeri itu dicemari berbagai bakteria merbahaya termasuk bakteria E-coli.
Lantas beliau mengandaikan betapa sebahagian besar rakyat Kelantan berisiko terdedah kepada penyakit berbahaya yang boleh membawa maut sekiranya permasalahan itu tidak diatasi segera. Tanpa selindung Awang Adek menyalahkan pihak pengurusan air negeri. Beliau malah secara terbuka memperlekeh negerinya sendiri yang dianggapnya lebih teruk daripada Afrika Selatan.
“Rakyat Kelantan harus menyuarakan keinginan mereka untuk mendapatkan air bersih dan kegagalan menyediakan air bersih menunjukkan negeri ini begitu daif berbanding Afrika Selatan yang sudah tiada masalah E-coli ini,” katanya, dipetik tabloid berkenaan.
Beliau turut menempelak kerajaan negeri yang diharapnya jangan hanya pandai berceramah saja, tetapi perlu lebih bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan rakyat sentiasa terjamin, terutama dengan menyediakan bekalan air bersih.
Apa yang dilaporkan di Kelantan itu sebenarnya hanya andaian. Andaian itu juga turut disarati sentimen politik, selain wujud unsur berlebih-lebihan. Setakat ini belum ada wabak dimaksudkan itu dilaporkan berlaku. Masih belum ada mangsa E-coli yang direkodkan di negeri itu sebagai akibat daripada meminum air dibekalkan yang didakwa tercemar bakteria itu.
Namun, reaksinya sudah sedemikian keras seakan satu wabak membimbangkan telah pun melanda negeri itu. Bayangkan sebahagian besar rakyat negeri itu ditakutkan dengan kemungkinan menjadi mangsa wabak tersebut. Bahkan, belum pun tercetus wabak itu, kerajaan negeri sudah pun menerima penangannya.
Bayangkan saja andaikata wabak itu telah pun berlaku dan sudah ada sebilangan rakyat Kelantan menjadi mangsanya, sepertimana yang sedang dialami penduduk Hulu Terengganu kini. Agaknya bagai nak kiamat dunia media saban hari menyorot perkembangan membimbangkan itu.
Namun, kegilaan media itu tidak berlaku dalam kes di Terengganu itu, walau pun sudah berminggu berita wabak Hepatitis A itu dilaporkan. Terbaru, tabloid harian edisi negeri itu pada Isnin melaporkan jumlah mangsa wabak tersebut sudah mencecah 57 orang. Semua mangsa adalah penduduk dari Kampung Basung (35 orang), Kampung Pasir Dula (19) dan Kampung Padang Setebu (3).
Bagaimana pun laporan itu disajikan kepada pembaca dalam bentuk bersahaja, sama seperti laporan dan berita lain. Gambar Exco bertanggungjawab terhadap kesihatan negeri yang sering dilampirkan bersama berita mengenai wabak itu pula sengaja dipilih dengan pose tersengih, walau pun dia sendiri tidak menolak kemungkinan wabak itu merebak ke daerah lain.
Seperkara menarik, punca wabak itu ada persamaan dengan kemungkinan wabak E-coli yang sangat digeruni Awang Adek di Kelantan itu. Hepatitis A di Hulu Terengganu ini juga berpunca daripada amalan penduduk yang tidak menjaga kebersihan, terutama meminum air yang tercemar dan memakan makanan yang tidak dimasak.
Agak pelik, kegagalan BN Terengganu memastikan kesihatan rakyatnya tidak pula menjadi bahan kritikan mana-mana pihak. Apa kata rakyat negeri itu pinjam hujah Awang Adek tadi dan isytiharkan bahawa Terengganu lebih daif daripada Afrika Selatan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan