Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 23 Nov: Beberapa tindakan terbaru kerajaan BN menyekat hak rakyat untuk bersuara membuktikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbohong untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Merujuk kepada tangkapan 13 orang di bawah ISA di Sabah, pembatalan program di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) melibatkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan larangan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) terhadap pakar perlembagaan, Prof Dr. Abdul Aziz Bari untuk membentangkan kertas kerja, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ianya bertentangan dengan pengumuman Najib 15 September lalu.
"Kejadian-kejadian yang berlaku mutakhir ini jelas menunjukkan segala komitmen yang disuarakan Najib hanya omongan dan retorik kosong.
"Apa yang dilakukan adalah sebaliknya dan bertentangan dengan apa yang dikatakan.
"Pembatalan program di UIA ternyata menghina kebebasan intelek dan hak mahasiswa," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu turut berkata, Pakatan Rakyat mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan janji Najib yang hanya ingin mengaburi mata rakyat.
"Pakatan Rakyat mengingatkan rakyat walaupun apa sahaja yang dikatakan Perdana Menteri adalah omongan kosong.
"Ini hanya untuk mengaburi mata rakyat kononnya beliau ingin melakukan reform tapi sebenarnya mencekik dan meningkatkan lagi undang-undang zalim," katanya.
Sementara itu, Saifuddin melahirkan rasa terkejut dengan tindakan UIA membatalkan program yang akan dihadiri beliau kerana ianya kali pertama berlaku sepanjang beliau menjadi timbalan menteri.
Sementara itu, Aziz seperti dilaporkan media dijadualkan membentangkan kertas kerja di Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) esok.
Bagaimanapun beliau pagi tadi menerima notis daripada pihak penganjur bahawa Mais meminta kertas kerjanya digugurkan.
Ia dipercayai kerana tindakannya mengkritik Sultan Selangor baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan