SUBKY LATIF
SAYA amat tidak seronok dengan pembabitan Dato’ S Ambiga dalam program Seksualiti Merdeka yang sudah diharamkan oleh kerajaan tetapi saya tetap sayang kepadanya sebagai seorang pejuang kebebasan rakyat.
Sebagai mana sayang saya kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Prof Dr Abdul Aziz Bari dan Exco kerajaan Selangor, Elizabeth Wong, maka begitulah sayangnya saya kepada Ambiga.
Keberaniannya dan ketegasannya memimpin Bersih 2.0 demi menuntut satu sistem dan urusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baik amat menguntungkan negara, rakyat dan demokrasi. Sebagai orang Islam saya dapat menumpang faedah daripada sumbangannya dan saya percaya umat Islam dapat sama faedah yang saya dapat.
Sebagai manusia dia ada kelemahan dan kesilapan. Saya tidak seronok apabila dia setuju untuk merasmikan program tahunan Seksualiti Merdeka 2011 kerana program itu boleh meruntuhkan kemanusiaan yang mendapat kemuliaan Allah itu.
Betapa mulianya manusia itu, Allah jadikan semua alam dan makluk selain manusia itu untuk kepentingan manusia. Bumi dan langit serta segala isinya untuk manusia. Disediakan syurga dan neraka untuk manusia. Bahkan kejadian malaikat dan penghulunya Jibril adalah untuk menyambut kewujudan manusia.
Syurga nanti dipenuhi oleh manusia. Sekalian malaikat yang ada di syurga nanti dihantar ke situ bagi menunaikan khidmat kepada manusia.
Di dunia malaikat berkhidmat untuk manusia, di akhirat pun ia berkhidmat untuk manusia.
Justeru manusia itu ditentukan peraturan bagi menyempurnakan kemanusiaannya dibezakan dengan makhluk bernyawa yang lain seperti haiwan termasuk ulat tahi.
Haiwan saja apa jenis dan spesies mendapat hak bebas seksualiti. Walaupun ia bebas tetapi terhad juga kebebasannya sesama jenisnya.
Monyet tidak bebas melakukan seks dengan anjing. Malah harimau dan singa yang sama-sama ganas tidak bebas juga bagi harimau jantan berhubung jenis dengan singa betina.
Ada peraturan yang ditentukan. Bagi membezakan manusia dengan binatang, maka kemerdekaan seks bagi binatang itu tidak diberi kepada manusia bagi menjamin terpelihara kemanusiaan manusia itu.
Manusia di Barat sudah menyamakan dirinya dengan masyarakat haiwan. Banyak yang baik dalam tamadun di Barat tetapi peraturan seksnya sudah sama dengan binatang.
Gejala itu tidak boleh dibawa ke Timur termasuklah negara kita. Ambiga dan penganjur program Seksualiti Merdeka berbeza pandangan dengan masyarakat umum Malaysia khususnya umat Islam.
Pengaruh seksualiti liberal itu terpaksa dicegah kerana ia boleh memusnah kemanusiaan orang lain.
Walaupun saya tidak setuju dengan aliran fikiran orang-orang sepertinya, saya tidak mahu meng hukum mereka seperti yang dianjurkan setengah pihak. Umpamanya melucutkan kerakyatan, mendakwanya di mahkamah dan apa juga hukum yang boleh difikirkan. Ataupun mengutuknya.
Saya tidak sedia mengutuknya atau memulaukannya daripada masyarakat. Orang yang sepertinya ramai juga. Biasanya anak sulung Dr Mahathir Mohamad, Dato’ Marina antara orang yang berfikiran bebas. Saya tidak tahu sikapnya dalam isu ini. Mungkin dia juga suka.
Bagaimana kalau dia juga bersekongkol? Adakah Perkasa mahu status kerakyatannya ditarik? Sisters In Islam sah jadi penganjurnya. Kepercayaan sesetengah pihak merasakan anak mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, isteri Ketua Pemuda Umno adalah rapat dengan pertubuhan itu. Kalau dia terlibat adakah penyokong Umno hendak dakwa dia di mahkamah?
Reaksi orang yang marahkan Ambiga itu tidak nampak adanya anak-anak orang ternama Melayu ikut dalam gerakan itu.
Yang marah kepada Ambiga kerana dia berani menyatakan tidak setuju dengan kerajaan dalam banyak perkara. Ini adalah satu kesempatan untuk membenamkannya ke lumpur.
Tetapi mengutuknya tidak menyelesaikan masalah.
Apa yang penting sekalian yang tercicir daripada pandangan dan kebebasan yang sebenar ialah membawa semula mereka ke pangkuan yang sebenar.
Khidmat Ambiga dalam masyarakat begitu diperlukan. Kita mahu khidmatnya itu seperti meneruskan tuntutan Bersih 2.0. Mungkin kita memerlukan Bersih 3.0 pula. Kita mesti mencari jalan supaya mereka dapat ditarik menganut fikiran yang peduli kepada cara berfikir orang Malaysia.
Mungkin mereka perlu dikaunseling. Mungkin kaunseling itu boleh merendahkan mereka. Cari satu pendekatan yang menyenangkan seperti berdialog. Dalam bahasa orang Islam didakwah.
Kita ramai pakar kaunseling dan pakar motivasi. Dato’ Fadhilah Kam sah hari-hari muncul di TV dan radio. Dia tidak pernah kering idea.
Orang sepertinya tampil berdailog dengan Ambiga. Bentangkan mengapa pendirian Ambiga itu tentang seksualiti merdeka itu patut dihentikan?
Ambiga adalah seorang intelektual dan peguam ternama. Dia tentu seorang yang berfikiran terbuka. Dia tentu tidak menolak dialog dan perbincangan supaya masing-masing dapat menerima kebebasan seksual itu tidak wajar diteruskan.
Kita ada Yadim, Ikim dan begitu banyak NGO Islam yang boleh mengendalikan motivasi dan kaunseling supaya gejala yang tersasul itu dapat diurus sebaik-baiknya.
Yadim adalah badan khusus untuk mendamaikan dakwah. Ia patut mengumpulkan seramai-ramai orang yang boleh mengadakan dialog dengan semua pihak supaya masyarakat kita dari semasa ke semasa berada dalam kawalan fikiran yang bertul.
Daripada ulama muda Umno bekerja untuk membetulkan Umno, maka lebih baik mereka menumpukan masa mendekati kumpulan Islam liberal dalam Sisters In Islam dan Majlis Peguam dan lain bagi menerangkan pandangan Islam tentang setiap masalah.
Daripada ulama muda Umno membantu Umno bagi menghadapi PAS, maka baik mereka membantu Yadim, Jakim dan lain-lain mengadakan perbincangan ilmiah menarik orang bukan Islam supaya dapat berfikiran Islam.
Ambiga sebelum timbul isu seksualiti merdeka ini telah bergaul luas dengan semua masyarakat termasuk orang Melayu dan Islam. Beliau telah berjaya menarik keyakinan masyarakat Islam untuk menegakkan kebebasan dan kebenaran yang amat diperlukan oleh masyarakat negara ini.
Para pemimpin gerakan Islam seperti Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dapat menerima penampilan perjuangan Ambiga. Sokongan itu diberi bukan sekadar kerana Ambiga memimpin isu yang mereka amat kehendaki, tetapi sokongan itu diberi supaya Ambiga dapat lahir sebagai pejuang masyarakat yang disegani.
Kita memerlukan ramai pejuang berkebolehan dan tahan uji sepertinya. Malaysia beruntung kira Ambiga boleh terus cergas dalam masyarakat.
Oleh itu kita mahu hubungan baik dengan kumpulan pendesak seperti Ambiga, Majlis Peguam, Suaram dan yang lain supaya negara dan masyarakat sentiasa berada di tempat yang betul.
Sedikit sebanyak penampilan Ambiga bersama masyarakat yang menuntut perubahan telah membuka pintu kesedaran kepada kerajaan. Apa pun tujuan kerajaan mencuri sesetengah daripada isu perubahan yang dikemukakan dalam Buku Jingga dan Negara Berkebajikan, tetapi ia adalah disebabkan masyarakat yang mahukan perubahan itu bersatu.
Kita jangan bekerja mengasingkan Ambiga daripada arus kebangkitan tetapi kita mesti menyokong Ambiga supaya Ambiga dapat berkongsi pandangan dan pengalaman bersama kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan