"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rebah Kerana Penangan Dadah

BELIAU begitu popular satu ketika dahulu. Gambarnya terpampang di dada akhbar dan majalah dan lagu dendangannya kerap berkumandang di radio serta menjadi siulan anak-anak muda dan wajahnya kerap muncul di kaca televisyen.

Namun kerana lemas dalam populariti serta glamor dan gaya hidup meriah dunia artis, beliau sanggup menggelapkan masa depan sendiri dengan menagih dadah.

Punca terjebak

Ini contoh daripada kisah benar seorang artis yang terjebak dalam gejala penyalahgunaan dadah.

"Kebarangkalian terlibat dengan salah guna dadah adalah tinggi kerana faktor gaya hidup yang diamalkan. Mereka ini termasuk golongan artis dan cenderung mengamalkan gaya hidup tidak sihat seperti mengunjungi kelab-kelab malam, dan menghadiri parti liar.

"Ia turut berpunca daripada pengaruh budaya yang diamalkan masyarakat barat yang menggunakan dadah bagi mengawal tekanan yang dihadapi," kata Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah (AADK) Malaysia, Datuk Abdul Bakir Zin kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.

Beliau berkata selain itu, punca pengaruh dadah dalam kehidupan individu itu juga disebabkan kegagalan dalam menghayati didikan agama dan menjadikan dadah sebagai jalan untuk melupakan masalah yang paling mudah.

"Ini membuatkan mereka menjadikan dadah sebagai jalan penyelesaian yang paling mudah iaitu dengan cara lari daripada memikirkan masalah yang dihadapi," katanya.

Faktor itu ditambah lagi dengan sikap positif yang lemah dalam diri dan lemahnya pengasuhan ibu bapa dalam sesebuah keluarga.

"Sifat manusia mudah terikut-ikut. Bagi menghindari perkara-perkara begini apa yang paling penting ialah pegangan agama itu sendiri...bila tiada agama dalam diri, individu terdorong untuk melakukan perkara-perkara negatif," kata Abdul Bakir.

Artis sebagai penagih dan pengedar

Beliau berkata penularan penagihan dadah dalam kalangan artis telah lama berleluasa. Namun sejak kebelakangan ini, isu terbabit lebih mendapat perhatian media ekoran populariti artis yang terlibat.

"Pada Mei 1997, seorang vokalis dari kumpulan blues ditahan di Melaka dan ditempatkan di bawah Pusat Serenti (Puspen) sehingga Mei 1999. Ini diikuti dengan penahanan seorang pelakon dan penyanyi program realiti tv di Selangor dan kemudian artis itu diperintahkan di bawah pengawasan AADK daerah Sepang selama dua tahun akibat pengambilan dadah jenis ganja.

"Sehinggalah baru-baru ini vokalis dari kumpulan popular tahun 90-an menyerah diri di AADK Seremban untuk berada di bawah program pemulihan kami," katanya.

Kini, artis bukan sahaja dilihat semakin berani mengambil dadah tetapi juga sanggup menjadi perantara atau orang tengah dalam membekalkan dadah.

Menurut Abdul Bakir faktor utama yang dilihat mendorong kepada seseorang itu menjadi penagih dan seterusnya menjadi pengedar ialah disebabkan ingin menampung keperluan dadah dalam kehidupan mereka.

"Ada orang yang ambil dadah tetapi tidak menjadi pengedar...ada orang mengedar dadah tetapi tidak menagih.

"Mereka yang ambil dadah itu ialah penagih manakala kumpulan pengedar ialah mereka yang mengedar dadah untuk mendapatkan keuntungan besar atau duit dengan cara yang mudah tanpa perlu bekerja keras," katanya.

Beliau berkata dorongan kewangan dan keuntungan menyebabkan pengedar dadah tidak mempedulikan masalah yang dihadapi oleh orang lain.

Kumpulan penagih yang menagih dan kemudian menjadi pengedar ialah disebabkan ingin menampung bekalan dadah mereka sehari-hari.

"Mereka ini perlukan duit untuk dapatkan dadah. Macam artis juga...kalau mereka popular dan kaya-raya mungkin tiada masalah untuk mereka dapatkan dadah.

"Tetapi bagi artis yang dah tak terkenal, tiada tawaran untuk menyanyi atau berlakon itu, menjadi masalah bagi mereka," katanya.

Menurutnya, kos untuk mendapatkan dadah yang mahal mendorong individu itu menjadi pembekal dan pengedar.

"Bila mereka menagih dan mengedar, secara tidak langsung mereka ada duit untuk tampung bekalan dadah yang diperlukan.

"Selain itu mereka juga akan dapat duit lebih apabila menjual dadah," tambahnya.

Jenis dadah yang popular

Abdul Bakir berkata penggunaan dadah sentiasa berubah-berubah mengikut trend semasa dan gaya hidup seseorang itu.

"Sepuluh tahun lalu mungkin penggunaan dadah tradisional seperti candu dan ganja dikatakan mendapat tempat dalam kalangan penagih, tetapi kini dadah itu tidak popular seperti dulu.

"Dadah jenis ini majoritinya digunakan oleh penagih di kawasan pedalaman atau di kampung yang mana dadah dari jenis ini lebih murah," katanya.

Beliau berkata cara hidup masyarakat yang lebih moden pada masa kini turut menukar trend dadah tradisional kepada dadah jenis sintetik.

"Dadah jenis sintetik seperti syabu dan ecstasy ialah jenis dadah yang lebih berbahaya dan penagih memerlukan proses rawatan yang berbeza berbanding penagih yang mengambil dadah jenis tradisional.

Dadah jenis sintetik ialah dadah yang boleh dihasilkan sendiri dan keadaan itu juga menggalakkan wujudnya makmal-makmal pemprosesan dadah.

"Dadah sintetik popular dalam kalangan artis. Ini disebabkan kesan dadah ini lebih 'terasa" atau mempunyai kesan yang lebih kuat berbanding dadah tradisional lain seperti ganja.

Sasar Malaysia bebas dadah 2005

Abdul Bakir berkata selain program pemulihan dan rawatan yang dijalankan di pusat-pusat serenti, AADK turut menjalankan operasi penguatkuasaan secara bersepadu iaitu '1 Operasi, 1 Daerah, 1 minggu' yang dilaksanakan sejak November 2009.

"Operasi bersepadu ini melibatkan hampir kesemua badan penguatkuasaan seperti Rela (Ikatan Relawan Rakyat), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sendiri.

Katanya operasi itu akan dapat mengenal pasti individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah termasuk juga golongan artis bagi mengekang gejala negatif ini.

"AADK menjalankan operasi seminggu sekali di setiap daerah di seluruh negara. Namun jika terdapat aduan daripada orang awam tentang kegiatan dadah ini sama ada penagihan atau pengedaran kecil-kecilan, kita akan turun padang untuk lakukan serbuan," tegasnya.

Menurut Abdul Bakir, AADK memperkuat jenteranya dalam mengatur strategi bagi menghapuskan permintaan dan bekalan dadah dalam negara melalui pelbagai aspek termasuk pencegahan, rawatan, pemulihan termasuk menjalinkan kerjasama di peringkat antaranbangsa untuk mengatasi masalah itu.

"Strategi ini selaras dengan misi AADK sebagai agensi utama dalam memerangi dadah di Malaysia. Diharap melalui usaha ini dapat mencapai visi masyarakat Malaysia bebas dari dadah menjelang 2015," katanya.

-BERNAMA-

Tiada ulasan: