"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tolak BN, protes layanan tidak adil Felda

Dzulfikar Mashoor
HULU SELANGOR, 23 April:
Para pengundi di kawasan Felda dalam Parlimen Hulu Selangor perlu menggunakan kuasa mengundi untuk memprotes layanan tidak adil kerajaan Pusat dan Felda kepada mereka.

"Apa yang penting bagi kita adalah Hulu Selangor mesti menjadi referandum peneroka Felda tolak kezaliman Najib dan (pengurusan) Felda Holding yang selama ini tidak pernah endah dengan makan minum yang sepatutnya dinikmati oleh kita dan tanah yang sepatutnya menjadi milik kita," ujar Badrul Hisham Shaharin, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Beliau juga mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta jentera Umno supaya tidak menjadikan konsortium Felda Holdings Bhd sebagai perkakas politik kempen demi meraih sokongan pengundi di beberapa Felda, di sini.

Badrul Hisham berkata, tanpa sumbangan peneroka Felda generasi pertama, kerajaan dan Felda yang ada hari ini tidak mungkin menikmati hasil kekayaan bumi Malaysia.

"Sebelum Malaysia berjumpa minyak, semaju mana, sehebat mana Malaysia, Malaysia ini dibina oleh keringat masyarakat Felda sehingga menjadikan Malaysia antara pengeluar getah ulung di negara dan antarabangsa.

"Negara ini asasnya dibina dari hasil getah dan kelapa sawit, kalau Najib dan Felda mahu bercakap dengan para peneroka Felda, tolong hormat maruah mak bapak (generasi pertama) kita," jelas beliau di Felda Gedangsa, Dun Hulu Bernam, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau yang juga ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) PKR menegaskan bahawa pihak pengurusan Felda tidak seharusnya mengabaikan peranan para peneroka di seluruh negara.

"Hari ini, Felda jauh meninggalkan para peneroka, Felda sudah menjadi punca dan lubuk kekayaan yang menjadi cita-cita seluruh pemimpin Umno yang tidak ada maruah ini," ujarnya lagi di depan lebih 300 para peneroka terbabit.

"Berbilion ringgit yang diperdagangkan oleh Felda dalam industri perhotelan, termasuk di Arab Saudi, tetapi para peneroka yang bersabung nyawa di hutan belantara sejak tiga dekad lalu masih dibayar upah serendah gaji yang mereka terima dahulu, dan terus hidup susah di bawah ini."

Tambahnya lagi, peneroka Felda dahulu diajak menyertai pengurusan Felda untuk membuat nilai harga sawit dan buat polisis-polisi demi memelihara kepentingan peneroka sendiri, hari ini semua itu dimansuhkan kerana Felda sudah dijadikan lubuk kakayaan mereka yang tidak bertanggungjawab," tambahnya.

Disebabkan itu, para peneroka tidak seharusnya menyuarakan rasa kecewa apabila Najib serta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta peneroka Felda berterima kasih kepada kerajaan kerana sudi memberi sagu hati kepada para peneroka.

Menurutnya yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard, Najib, Muhyiddin dan kerajaan sepatutnya berterima kasih kepada para peneroka Felda kerana pegangan saham merak holistiknya adalah 51 peratus, menguasai Felda Holdings Bhd.

Harakahdaily diberitahu Felda Gedangsa merupakan antara kubu kuat Umno yang sukar ditembusi pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Namun, pilihan raya kecil kali ini menyaksikan beberapa generasi awal peneroka begitu menyantuni kempen sederhana oleh lebih 100 jentera PAS dan Pakatan Rakyat di sekitar kawasan Felda sejak Ahad lalu.

Tiada ulasan: