"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

APCO: Tindakan susulan PR lepas PRK Hulu Selangor

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 23 April:
Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan perbincangan untuk mengambil tindakan susulan bagi membantah perjanjian Malaysia dengan APCO Worldwide selepas selesai pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor nanti.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, PR tidak akan berdiam diri dalam perkara ini apatah lagi usaha mereka menyerahkan memorandum bantahan kepada Majlis Raja-Raja baru-baru ini belum mendapat sebarang respons.

"Kita akan berbincang selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor ini untuk melihat apa tindakan susulan yang harus diambil. Yang penting kita tidak akan berdiam diri dalam isu ini," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menegaskan, beliau tidak gentar jika sekali lagi terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang akibat menentang kerajaan seperti yang berlaku pada tahun 2000 dahulu.

"Saya sendiri sudah bertekad kalau kehadiran pasukan kriket Israel saya menentang dan kemudiannya mahkamah memberi pilihan pada saya sama ada denda atau penjara, dan saya pilih penjara dan dalam hal ini saya tidak akan bertolak ansur kerana tindakan kerajaan ini satu tindakan yang menjual Malaysia dan rakyatnya kepada pihak asing.

"Saya tidak akan berdiam diri walaupun terpaksa berhadapan dengan hukuman penjara," tegasnya.

Mengulas keputusan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee meluluskan usul merujuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengaitkan 1Malaysia dengan One Israel, beliau berkata, Umno sememangnya bermati-matian mempertahankan APCO kerana terikat dengan perjanjian di antara mereka.

"Bagi pihak kerajaan, mereka tidak boleh menempelak APCO kerana APCO boleh mencabar mereka kalau mereka cuba mengambil tindakan terhadap APCO.

"Jadi dengan dengan perjanjian yang dibuat di antara Malaysia dengan APCO, kerajaan kena pertahankan APCO yang ternyata menyebelahi APCO, bukan menjaga kedaulatan negara," katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap pengaruh APCO di Malaysia kerana didakwa lebih 'kebal' daripada kuasa Raja-Raja Melayu.

"Dalam perjanjian di antara Malaysia dengan APCO, APCO diberi kekebalan. Jadi ia tidak boleh didakwa di bawah mana-mana undang-undang di negara kita yang saya anggap bahawa kekebalan ini lebih kebal dari Raja-Raja Melayu, sedangkan Raja Melayu boleh dibawa ke mahkamah melalui peruntukan mahkamah khas yang telah pun diguna di parlimen ini suatu ketika dahulu.

"Kekebalan APCO ini adalah akibat daripada kebebalan Umno yang menganugerahkan kekebalan tersebut," katanya.

Majoriti ahli Parlimen PR semalam bertindak keluar dewan apabila Ronald meluluskan usul merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Usul itu didakwa 'cacat' kerana terus menjatuhkan hukuman sebelum Anwar benar-benar didapati bersalah.

Tiada ulasan: