"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengundi hantu: 201 Pengundi yang berumur 90 tahun ke atas diragui

Syed Mu’az Syed Putra

HULU SELANGOR, 23 April: Parti Keadilan Rakyat (PKR) petang ini mendakwa kewujudan pengundi hantu di bahagian Parlimen Hulu Selangor — dua hari sebelum hari pengundian — selepas mendapati terdapat kepincangan dengan maklumat diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh, pihaknya telah mendapat senarai pengundi yang berumur 90 tahun ke atas dalam Parlimen Hulu Selangor yang tidak diketahui sama ada masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

“Kita telah mengenal pasti 201 nama dalam daftar pemilih yang berumur 90 tahun ke atas dalam Parlimen Hulu Selangor yang kita tidak tahu masih hidup ataupun tidak.

“Kita telah mengesahkan sebanyak 10 nama yang telah disahkan meninggal dunia tetapi masih ada dalam daftar pemilih, malah kita telah mengesahkannya dengan keluarga mereka.

“Jadi ini menunjukkan satu lagi kepincangan dan ketidaktelusan SPR yang sebelum ini telah mengatakan bahawa daripada Disember 2009 hingga April 2010, mereka telah mengemas kini dan membersihkan sebanyak 558 nama dari daftar pemilih,” katanya pada sidang media di Kuala Kubu Baru dekat sini.

Beliau berkata SPR telah mengeluarkan data-data pengundi yang telah mati selain telah berurusan secara terus dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai perkara itu.

Fuziah Salleh.

“Tetapi kita masih menemui 201 nama pengundi yang berumur 90 tahun ke atas yang kita tidak tahu mereka masih hidup ataupun tidak.

“Kita berpendapat individu yang berumur 90 tahun ke atas pasti sudah tua, tidak sihat ataupun sudah meninggal dunia.

“Jadi kita terpaksa memastikan status mereka dengan turun kebawah untuk berjumpa dengan keluarga bagi mengesahkannya,” katanya.

Ahli Parlimen Kuantan itu berkata pihaknya tidak yakin dengan SPR sebab itu terpaksa mengambil tanggungjawab untuk mengenal pasti status pengundi-pengundi yang terbabit.

“Kita tidak yakin dengan SPR sebab itu kita kena pastikan dengan turun ke bawah dan berjumpa mereka.

“Ini bukan fokus tetapi kita kena tunjukkan penipuan SPR kepada umum dan kita masih mengenal pasti pengundi-pengundi ini.

“Selain itu, kita memberi amaran kepada SPR bahawa kita mempunyai semua maklumat tentang perkara ini.

“Kita juga nak memberi amaran kepada Barisan Nasional (BN) supaya jangan berani membawa masuk hantu-hantu untuk datang mengundi kerana kita sedang mengawasi,” katanya lagi.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: